Monday, June 30, 2008
Sunday, June 22, 2008
Perhubungan Sosial Yang Syari'e (Part 1)
Antara input penting yang dikongsikan dengan peserta ialah :
Perhubungan sosial adalah merupakan satu keperluan memandangkan setiap insan saling berhubung diantara satu sama lain. Ia tidak sahaja merujuk kepada perhubungan seorang lelaki dan seorang wanita sahaja. Tetapi lebih kepada seorang individu dengan individu yang lain atau seorang individu dengan sekumpulan insan yang lain. Juga seorang individu dengan haiwan dan alam.
Di dalam hadis yang lain, RasululLah SAW bersabda, ”Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan baginya, dikurniakannya seorang teman yang saleh. Apabila terlupa diingatkan dan apabila teringat ditolong oleh teman itu”.
Roha Hassan
Sunday, June 8, 2008
Oh Alam...Maafkan Kejahilan Kami
Betapa indahnya dirimu. Aku jadi begitu cemburu pada kehijauan yang kau miliki. Aku jadi kagum pada kecantikan yang diberi padamu. Merah, hijau, kuning, ungu, putih...segala warna ada padamu.
Kau menyediakan tempat berteduh dengan kerendanganmu. Kau berikan kami makanan dari daun-daun, batang, buah atau akarmu. Wangian mu membawa kebahagiaan. Kehijauanmu membawa kedamaian. Kau berikan batang-batangmu yang kukuh untuk dijadikan tempat berlindung. Daun-daunan sebagai baja. Ranting-rantingmu sebagai bahan bakar. Bunga-bungaanmu sebagai perhiasan.
Racun yang kami hembus kau sedut dan gantikan dengan Oksigen yang amat penting buat kami. Oh alam...betapa sepatutnya kita menjadi teman rapat. Yang begitu akrab kerna kita saling memerlukan.
Alam...kalian memang hebat! Kehebatan yang dianugerahkan oleh yang Maha Hebat iaitu Allah swt. Allah yang menjadikan kalian sebagai pelengkap kitaran kehidupan. Aku dan dikau, aduhai alam adalah ciptaan Tuhan. Segala keajaibanmu adalah bukti kehebatan Allah swt. Bukti kewujudan dan kekuasaan Ilahi. Raja di langit dan di bumi.
Kita sama-sama punya tugas dan amanah yang mesti dilaksanakan. Kalian dengan segala keindahan dan kelebihan adalah rezeki kurniaan Tuhan. Terlalu banyak nikmat dari Tuhan melalui penciptaan kalian.
Namun sayang sekali, untuk makhluk yang bergelar manusia seperti kami ini, kebanyakannya adalah golongan yang tidak pandai bersyukur. Kerakusan bangsa kami memusnahkan kalian. Kemusnahan demi kemusnahan ke atas alam. Pohon-pohon ditebang. Gunung ganang ditarah. Sumber airmu dijadikan bahan dagangan. Atas nama pembangunan, terkadang insan bersikap keterlaluan.
Aku bukan anti-pembangunan. Cuma aku takut kehijauanmum hari ini tidak mampu lagi dinikmati generasi kami di masa depan. Aku bimbang keindahanmu hari ini akan menjadi kegelapan hari esok jika kami masih belum sedar-sedar!
Oh Alam. Oh Tuhan. Maafkan kejahilan kami yang menyakiti alam tanpa belas kasihan...
Kurniakanlah pengertian buat kami manusia yang seringkali tidak adil dan zalim pada alam. Agar kami lebih menyayangi dan memberikan hak yang diperlukanmu. Kerna itulah antara fungsi khalifah Allah di atas muka bumi ini! Kemakmuran buat insan dan alam!
Di Sebalik Tembok Dan Pagar Berduri
Paling jauh pun jangkauan pemikiran kita ialah penghuni di sebalik sana adalah insan-insan yang bersalah. Mereka yang mengancam keselamatan negara. Sebab itulah yang diberitahu kepada kita oleh semua media. Dari orang-orang besar hinggalah orang-orang kecil yang menjadi pemerintah negara ini memberitahu bahawa kem ini adalah tempat buangan orang-orang yang merbahaya. Tempat untuk memulihkan mereka agar menjadi warga yang berguna.
Kalau adapun di antara kita memiliki saudara mara, rakan-rakan, jiran-jiran yang menghuni Kem tahanan ini. Kita hanya difahamkan hanya beberapa orang salah sahaja yang terlibat. Hanya beberapa orang yang merbahaya sahaja yang dikurung. Hanya beberapa peribadi yang mengancam keselamatan yang diasingkan disana.
Namun pernahkah kita membayangkan di sebalik tembok sana terdapat tangisan dan airmata para isteri yang ditinggalkan. Di sebalik tembok dan pagar berduri itu juga ada kerinduan berpanjangan anak-anak yang sudah terlalu lama tidak dibelai.
Bagi kita yang berada di luar dunia wanita-wanita ini, kita pasti akan membayangkan keadaan para suami yang berada di dalam tahanan semata-mata. Memang benar, mereka yang ditahan tanpa bicara sudah cukup tersiksa dan menderita.
Namun, ramai antara kita tidak menyedari di sebalik tembok batu dan pagar berduri ini, terdapat wanita-wanita dan anak-anak kecil yang turut menanggung kesengsaraan akibat tindakan terhadap suami dan ayah anak-anak mereka.
Ikutilah perkongsian kisah benar daripada isteri-isteri tahanan dan bekas tahanan ISA. Kesudian untuk berkongsi oleh wanita-wanita yang telah dan sedang melalui ujian hebat ini amat mengkagumkan. Pasti kita yang tidak melalui apa yang mereka lalui akan tersentak sebaik sahaja membaca kisah-kisah mereka.
Sudah pasti intipati cerita oleh mereka tidak sama dengan yang dipaparkan di dalam media. Tidak sama dengan apa yang diceritakan dalam radio, televisyen, akhbar dan majalah. Tiada kebenaran yang disembunyikan dalam kisah-kisah mereka.
Bagi wanita dan anak-anak yang tidak bersalah ini, kefahaman dan pengertian setiap kita amat bermakna. Sudah cukup terseksa tanpa suami di sisi. Ditambah pula dengan hinaan dan tohmahan masyarakat sekitar. Mudah-mudahan selepas kalian membaca baris demi baris, ayat demi ayat, rangkap demi rangkap penulisan wanita-wanita ini. Kalian akan lebih mengerti. Bersimpati dan memahami.
Dunia Tanpa Suami Jilid 2 Kini Dipasaran
Kembalikan Ayah!
Jam demi jam
Hari demi hari
Minggu demi minggu
Bulan demi bulan
Tahun demi tahun
2 tahun, 4 tahun, 6 tahun
Penantian seorang isteri
Penantian seorang ibu
Penantian seorang wanita
Pagi, petang dan malam
Kelmarin, esok dan lusa
Minggu ini, minggu depan , entah sampai bila
Rindu anak-anak tidak terkira
Harapan bertemu ayah tidak kunjung tiba
Pintu dipandang berkali-kali
Khabar dinanti setiap hari
Manalah tahu
ada berita pembebasan suami
Tunggu dan tunggu lagi
Anak yang dulu disekolah rendah
kini remaja disekolah menengah
Dilalui hari-hari dengan penuh tabah
pedih pilu hati seorang isteri dan anak,
bila suami dan ayah tercinta dituduh penjenayah
Kadang-kadang dia berkhayal
Kadangkala dia bermimpi
Bersama ayah macam dulu-dulu lagi
Bersenda, bergurau satu famili
Begitu kepingin memeluk ayah
Berharap benar bersatu kembali
Tentu ummi juga amat rindu sekali
pada ayah yang amat kami cintai
Namun,
Tersedar dari mimpi
Ayah masih dalam tembok berduri
Ayah tersiksa dibalik pintu-pintu besi
Ayah yang juga rindukan kami
Ayah yang juga amat kepingin berada disisi kami
Ayah yang amat mahukan kehidupan normal kembali
Tapi
realitinya
Yang tinggal kini hanyalah anak-anak dan ummi
Yang terus berjuang tanpa henti
Dihina,
Dibenci,
Ummi tetap tabahkan hati
demi kasihnya pada seorang suami
Biar sejuta orang tidak mengerti
Biar sejuta orang tidak memahami
Biar sejuta orang tidak simpati
Namun ummi tidak akan berhenti
sebab ummi yakin pada pertolongan Ilahi
yang akan membela insan-insan yang dizalimi
Mereka boleh merampas ayah dari rumah kami
Tapi mereka tidak mungkin merampas ayah dari hati anak-anak dan ummi
Mereka boleh membawa ayah jauh dari kami
Tapi mereka tidak akan mampu memisahkan kasih sayang kami satu famili
Mereka boleh menuduh ayah itu dan ini
Tapi Anak-anak dan ummi tidak akan mempercayai selagi tiada bukti
Mereka boleh tuduh ayah penjenayah
Tapi Anak-anak dan ummi kenal keperibadian ayah
Mereka boleh menuduh ayah mengancam keselamatan negara
Tapi Anak-anak dan ummi cukup kenal hati budi ayah
Anak-anak dan ummi
Tidak akan lemah
Biar dilanda segalan tohmah
Terus berjuang untuk membebaskan ayah
Kerna kami sangat memerlukan ayah
Kerna kami sangat rindukan ayah