Showing posts with label Secebis Kisah Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Secebis Kisah Kehidupan. Show all posts

Friday, April 2, 2010

Secawan Kopi Untuk Aku Dan Sahabat

Assalamualaikum wbt...

Pagi ini ketika bertemu salah seorang pelanggan. Aku sempat membaca berita dari sebuah akhbar tempatan yang menceritakan kisah seorang remaja tingkatan dua telah merogol teman sekelasnya. Pedihnya hati ini ketika membaca kisah tersebut.

Rasa tersayat hati ini. Lalu aku dapatkan secawan kopi. Sambil menikmati kopi yang hitam itu aku memikirkan debu-debu hitam yang sedang mencemarkan nilai-nilai murni remaja hari ini. Bukan sesuatu yang asing bila jenayah dan remaja hari ini digandingkan.

Aku benci gandingan itu. Bagaimana mungkin bakal pemimpin masa depan boleh berjalan seiringan dengan rogol, dadah, zina, pembuangan bayi, pembunuhan, ragut, curi, lepak dan banyak lagi.


Aku cuba tersenyum ketika menikmati secawan kopi bersama sahabat. Kopi ku hirup sambil tersenyum sebab aku yakin senyum pengubat hatiku yang sedang kesedihan. Namun kopi yang kuhirup terasa pahit. Mungkin aku tidak patut minum kopi sebab ada sesetengah orang menyatakan dalam kopi ada kandungan kafein yang ada ketikanya boleh memudaratkan.

Namun bukan kisah kafein yang menyentuh hatiku, namun pahit manis kehidupan yang lebih menambat hatiku untuk merasa serta menyentuh mindaku untuk berfikir.

Memang tidak dinafikan hidup adalah satu pelayaran buat seorang hamba Tuhan menuju ke negeri yang abadi. Tempat abadi yang kekal. Ada yang Indah lagi menyenangkan. Itulah syurga ciptaan Ilahi yang tidak tergambar keindahannya namun sentiasa menjadi impian dan harapan semua makhluk. Tidak kira siapa, mereka mahukan syurga.

Namun makhluk Tuhan yang mampu membezakan yang benar atau salah, yang pahit atau manis, yang baik atau jahat, yang buruk atau cantik akan segera memahami, pasti sedar, disebelah dunia abadi yang indah itu adanya dunia abadi yang buruk lagi menakutkan. Di dalamnya api yang membakar, air yang menggelegak, makanan dari buah-buahan berduri serta minuman dari darah dan nanah. Itulah Neraka. Satu ciptaan yang sifatnya berlawanan dengan sifat sebuah syurga.

Bacalah Dengan Nama Tuhanmu. Bacalah Al-Quran. Ikutilah sunnah RasululLah SAW. Di sana ada penceritaan tentang syurga dan neraka. Al-Quran dan As-sunnah bagai bintang penyuluh dimalam hari, bersinar bak mentari di kala siang menjelang. Ia bagai rumah api, memberi petunjuk kepada kapal yang berlayar di tengah lautan luas. Pendekata, Al-Quran dan As-sunnah adalah pedoman untuk insan yang berlayar menuju ke negeri yang abadi.

Jangan biarkan pahit kehidupan memusnahkan seluruh perjuangan. Jangan juga mencemarkan seluruh kebaikan dengan noda-noda hitam dosa dan kejahatan hanya kerana kita bangga sebagai manusia.

Hidup di dunia baik yang putih atau hitam sememangnya ketentuan Tuhan! Namun Tuhan tidak akan mengubah nasib seorang manusia itu jika manusia itu tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubahnya.

Kita boleh menentukan rasa kopi. Jika ingin yang pekat, cair, manis atau masin. Kita boleh menentukan jenis dan kualiti kopi yang menjadi pilihan. Kita juga boleh menentukan untuk minum secawan kopi atau hanya segelas air putih. Setelah berusaha dan memilih kembalikan penyelesaiannya kepada Allah.

Tanpa izin Allah, seorang insan boleh hilang seleranya untuk minum secawan kopi buat selama-lamanya.

Dengan kehendak Allah juga segelas air putih boleh menjadi sesuatu yang sukar untuk diperolehi oleh seorang hamba Tuhan di sebuah negara yang mengalami kemarau yang panjang.

Kseimpulan yang ingin dikongsikan disini ialah, untuk setiap manusia, baik remaja, belia atau dewasa, Tuhan memberikan ruang untuk memilih. Kita boleh memilih yang hitam atau putih yang baik atau jahat. Setelah memilih, berusahalah diatas jalan kebaikan yang kita pilih. Selepas itu berserahlah kepada Allah.

Jangan katakan, memilih kejahatan itu adalah satu takdir sebelum kita berusaha melakukan kebaikan. Setelah berusaha bertawakkallah kerana bukan sedikit manusia jahat menjadi baik kerana keinginannya untuk berubah. Tidak sedikit pula manusia baik menjadi jahat bila diri mula riya', sombong dan merasa cukup dengan kebaikan yang dilakukan. Padahalnya iman kita sentiasa ada turun naiknya. Manakala syaitan tidak pernah penat dan putus asa!

~Roha Hassan~

Tuesday, September 16, 2008

23 fakir maut rebut wang zakat RM16

Oleh sopha sulaiman

JAKARTA 15 Sept. – Seramai 23 orang fakir miskin mati, manakala lapan yang lain berada dalam keadaan kritikal akibat sesak nafas kerana terhimpit semasa berasak-asak untuk mendapatkan wang zakat daripada seorang ahli peniagaan di Purworejo, Pasuruan, Jawa Timur, 800 kilometer ke timur Jakarta, hari ini.

Kebanyakan mangsa adalah wanita.

Kejadian itu berlaku tengah hari ini semasa lebih 5,000 penduduk sekitar Pasuruan berbaris di halaman rumah ahli perniagaan itu untuk mendapatkan wang zakat bernilai 40,000 rupiah (RM16).

Ketua Polis daerah, Harry Sitompul berkata, pengagihan wang zakat itu merupakan acara tradisi oleh keluarga kaya itu, sempena bulan Ramadan.

Penduduk miskin itu dilaporkan mengunjungi rumah peniaga berkenaan yang menjalankan perniagaan jual beli kenderaan sejak pukul 4 pagi, setelah mendapat khabar tentang pemberian wang zakat berkenaan.

“Setakat ini 23 telah mati dan polis masih menyiasat,” kata jurucakap Hospital Soedarsno.
Ramai yang cedera dan pengsan akibat dihimpit dan dipijak ketika berebut-rebut untuk mendapatkan bantuan zakat tersebut.

polis telah menahan ahli perniagaan itu untuk siasatan kerana gagal mengawal orang ramai semasa hendak memberikan zakat tersebut.
– Utusan - tanggal enam belas september-

'betapa pedihnya hati ini apabila membaca berita ini di akhbar. betapa mewahnya kita. walaupun tida kaya, purata kita mampu memperolehi enambelas ringgit sehari. padahal ada insan terkorban kerana enambelas ringgit. oh tuhanku, ampunilah kami yang kadang2 tidak tahu bersyukur'-rohahassan

Wednesday, July 16, 2008

Jariku Lebih Pantas Bermain Pena


Memasak Oh Memasak. Nak kata malas masak. Bolehlah dikatakan, aku ni rajin juga. Nak kata pandai memasak. Memang la tidak sehebat adikku dalam bab memasak. Nak kata rajin makan, boleh tahanlah bab makan ini.

Pernahlah beberapa kali, aku membeli buku resepi. Konon nak memasak dengan bestnya. he he he. Buku tu aku dah baca, dari kulit ke kulit. Tapi, masakannya satu pun aku belum cuba. Sudahnya masakan adik aku juga yang best.

Fikir punya fikir, barulah aku teringat. Masa dulu, guru aku bertanya, "Kalau kamu diberikan pilihan memasak di dapur berbanding berperang demi menegakkan agama Allah, yang mana kamu pilih". Pelajar lelaki semua pilih berperang. Manakala pelajar perempuan semuanya pilih untuk memasak. Tapi dalam ramai-ramai tu, ada seorang budak perempuan yang pilih untuk berperang. Tahukah siapa gadis yang bertuah itu.
Jawapannya, akulah satu-satunya pelajar perempuan yang memilih untuk berperang. Sekarang ini aku sudah memiliki jawapan. Padanlah aku tidak handal langsung dalam bab masak-memasak. Aku lebih cekap dan mahir dalam mengarang. Bukankah pena lebih tajam dari pedang?

Sehingga saat ini, jariku lebih pantas bermain pena! Moga pena ini menjadi saksi bahawa segala tulisan adalah untuk kebaikan manusia dan kemakmuran alam. Moga segala yang kutulis adalah yang Allah redhai semata-mata.


Roha Hassan