Showing posts with label BioGRAFI. Show all posts
Showing posts with label BioGRAFI. Show all posts

Friday, February 8, 2008

Harapan Dan Cita-Cita.

Beberapa perkara yang menjadi impian saya sebagai Setiauaha Kehormat WJIM dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Remaja JIM Pusat ialah :

1. Memartabatkan kedudukan wanita muslimah dalam masyarakat – Cita-cita dan hasrat ini memang besar dan kelihatan agak sukar untuk dicapai. Namun sebagai seorang wanita muslimah, saya percaya semua kita mesti memiliki hasrat ini. Ia tidak mustahil untuk dicapai. Sejarah telah membuktikan bahawa peranan wanita amat penting dalam membangunkan masyarakat yang bermaruah dan unggul.

Wanita, melalui peranan sebagai anak, kakak, isteri, ibu, guru, ahli profesional atau pemimpin masyarakat memiliki peranan, tuntutan dan tanggungjawab yang mesti dipenuhi. Pandangan bahawa wanita adalah golongan yang lemah dan boleh diperlakukan sesuka hati oleh golongan lelaki adalah satu pandangan yang salah.

Agak mendukacitakan apabila semakin ramai wanita yang menjadi mangsa penderaan dan kes-kes jenayah manusia yang rakus dan tunduk kepada nafsu syaitan semata-mata. Disamping itu, kerelaan wanita membiarkan diri mereka dieksplotasi oleh sesetengah media dan pihak-pihak yang hanya ingin mengaut untung semata-mata.

Sudah tiba masanya wanita lebih memahami hak mereka sebagai makhluk istimewa yang telah dijadikan oelh Allah swt. Di dalam al-Quran dan al-hadis pun telah termaktub ayat-ayat Allah dan sunnah RasululLah tentang hak dan keistimewaan wanita.

2. Menyantuni generasi masa depan ke arah remaja dan belia yang ”ori bukan fotokopi”. Sepertimana yang kita sedia maklum remaja dan belia atau golongan muda hari ini adalah generasi pemimpin masa depan.

Sebagai aktivis remaja saya mengimpikan sekumpulan remaja dan belia yang memiliki ciri-ciri generasi muda seperti yang digambarkan oleh Al-Quran dalam surah Al-Kahfi yang bermula dari ayat 9 hingga ayat 26, dimana di dalam ayat 13 dan 14 diterjemahkan sebagai :

“Kami ceritakan kisah mereka kepadau (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (dijelaskan yakni berdiri dihadapan Raja Dikyanus/Decius yang zalim dan menyombongkan diri) lalu berkata : Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami sekali-kali menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau menyembah yang lain, bermakna kami memperkatakan sesuatu yang amat jauh dari kebenaran.”

Amat penting untuk generasi hari ini kembali kepada sumber yang asli iaitu, Al-Quran dan As-sunnah. Hanya dengan ini kita mampu generasi masa depan yang cemerlang dan gemilang.

Imam Ghazali telah berpesan, ”Kuat dan jayanya suatu umat adalah kerana akhlaknya, apabila akhlaknya rosak maka binasalah umat itu”.

3. Semakin Ramai Yang Sedar Kepentingan Kerja Kebajikan Dan Khimat Masyaratkat

Saya sentiasa berharap semakin ramai ahli masyarakat yang cenderung untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan berbentuk kebajikan dan khidmat masyarakat. Dengan cara ini kita mampu berganding bahu kearah membina ummah yang teguh dan berwawasan.

Hayatilah pesanan Sayidina Ali Abi Talib : “Majulah dengan cara berfikir yang serba mungkin. Tiada yang mustahil. Bersiaplah menghadapi kesulitan dan percayalah tiada kesulitan yang tidak dapat diatasi.

Tugas Sukarelawan Adalah Tugas Yang Mulia

Setiap manusia sejak azali lagi telah dikurniakan sifat-sifat insani seperti kehendak untuk mengambil berat, membantu meringankan kesukaran insan lain, membimbing, memberi tunjuk ajar, membelai, menyayangi dan disayangi, menghargai dan dihargai, bergotong royong dan bekerjasama dan lain-lain perasaan kebersamaan yang semulajadi.

Pepatah melayu juga ada menyebut, ”Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul” turut menterjemahkan perasaan masyarakat kita sejak dahulu. Perasaan yang tidak sanggup melihat ahli masyarakat lain menanggung penderitaan, sedangkan sebahagian lagi bergembira dan bersenang lenang.

RasulululLah s.a.w mendidik umat baginda dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang diterjemahkan sebagai, Dari Abi Hamzah Anas bin Malik r.a khadam RasululLah dari nabi s.a.w sabdanya : ”Tiada beriman seorang kamu sehingga ia menyintai saudaranya seperti apa yang ia cintai untuk dirinya.”

Begitulah juga perasaan yang ada dalam diri saya. Keinginan untuk memainkan peranan sebagai ahli masyarakat mendorong saya melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarelawan dan kemanusiaan. Sejak di sekolah menengah lagi, saya memang aktif berpesatuan. Saya pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan Sains Dan Matematik. Minat ini diteruskn di IPT sehingga hari ini.

Pada saya, biarlah kita menjadi insan yang sanggup menjadikan diri kita sebesar-besar manfaat ditengah-tengah masyarakat. Meletakan kepentingan ummah dan agama sebagai kepentingan utama.

Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia

Jawatankuasa Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia telah diwujudkan secara rasmi pada 28 Ogos 1993 memandangkan separuh daripada ahli JIM adalah dikalangan wanita.

Visi Wanita JIM ialah ”Menjadi Pemimpin Wanita Yang Fundamental, Kontemporari Dan Profesional Berasaskan Islam”

Misi Wanita JIM ialah ”Mendokong misi JIM Pusat melalui sistem tarbiah dan pembangunan sumber manusia yang mantap, ilmu dan kemahiran yang berpandukan asas yang sahih dan organisasi yang tersusun”.

Antara Objektif Wanita JIM ialah :

  1. Memimpin pandangan umum khususnya dalam isu-isu berkenaan wanita dan islam
  2. Menampilkan imej wanita muslim kontemporari yang positif, progresif dan moden
  3. menyebarkan kefahaman yang benar tentang islam dikalangan muslim dan bukan muslim
  4. Menanamkan nilai islam yang benar dikalangan golongan muda muslim
  5. Mewujudkan jaringan perkongsian misi dakwah

Antara bidang-bidang fokus oleh Wanita JIM ialah :

1. Pembangunan dan pendidikan wanita melalui pelbagai program seperti Seminar Isu-Isu Wanita (SMIWI), menyampaikan ceramah melalui jemputan daripada pelbagai pihak termasuk melalui media elektronik termasuk radio dan televisyen.

2. Latihan dan pembangunan ahli wanita melalui unit tabiyyah dan pembangunan sumber manusia. Antara program-program ialah usrah, ELIT, sunrise program dan lain-lain lagi.

3. Bimbingan dan pembangunan generasi masa depan iaitu remaja dan belia melalui Pusat perlindungan dan Bimbingan,Raudhatus Sakinah, Pusat Sokongan Wanita Dan Keluarga Islah (PAKSI-JIM) dan unit Remaja. Pebagai program dianjurkan secara bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mencapai tujuan ini.

4.Menyantuni wanita dan keluarga melalui PAKSI-JIM yang antara lain menfokuskan bidang-bidang berikut, antaranya, khidmat nasihat dan kaunseling, klinik undang-undang wanita dan keluarga (dilakukan secara temujanji), sokongan kepada bekas pesakit barah serta menyantuni wanita dipenjara.

5. Pendidikan melalui TADIKA dan TASKA serta rangkaian sekolah-sekolah JIM yang terdapat diseluroh Negara.

6. Perhubungan Antarabangsa serta perhubungan dan kerjasama erat dengan mana-mana individu dan organisasi wanita yang memiliki halatuju dn peranan yang membawa kebaikan kepada wanita.

7. Penulisan dan penerbitan yang berterusan didalam menyampaikan input dan pandangan JIM terhadap sesuatu isu secara berterusan

8. Terlibat dengan semua rancangan dan aktiviti yang diatur oleh Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia secara keseluruhannya.

Secara umumnya semua aktiviti kami boleh dikategorikan sebagai aktiviti tarbiah, pembangunan sumber manusia, pendidikan umum, kepimpinan pandangan umum, kekeluargaan, Raudhatus Sakinah, remaja dan PAKSI-JIM.

Wanita JIM terdapat diperingat Pusat, 14 buah Negeri dan 30 buah daerah di seluroh Malaysia.

Saya Dan JIM

Terlibat dengan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bernama Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) adalah satu pilihan. Saya menyintai dan menyukai apa yang saya lakukan sepanjang masa bersama JIM. Terutamya konsep “Amar Maaruf, Nahi Mungkar” yang kami amalkan. Motto JIM adalah bersama Islam Membina Masyarakat.

Saya mendapat motivasi untuk terlibat dengan kerja-kerja amar maaruf nahi mungkar melalui ayat-ayat al-Quran dan hadis, antaranya ;

Ayat Allah yang mengiktiraf manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi antaranya dalam surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud, ”(Dan ingatlah) semasa Tuhanmu berkata kepada para malaikat, ”Sesungguhya aku akan menjadikan di bumi, khalifah.” Di dalam kitab al-Asas fi al-Tafsir, Said Hawa berkata, ”(Khalifah) ialah Nabi Adam dan zuriat-zuriatnya.”

Ayat Allah yang menjelaskan tanggungjawab pengislahan. Antaranya dalam surah Huud ayat 88 “…Dan aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) pembaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepadaNyalah aku kembali

Hadis yang berkaitan dengan tanggungjawab kepimpinan yang menjadi amanah setiap manusia, antaranya :

Sabda RasuluLah saw: ”Setiap kamu adalah pemimpin. Dan setiap pemimpin bertanggungjawab tentang kepemimpinannya. Imam itu pemimpin, bertanggungjawab tentang kepemimpinannya. Laki-laki itu pemimpin dalam keluarganya, bertanggungjawab tentang kepemimpinannya. Wanita itu pemimpin dalam rumahtangganya, dan bertanggungjawab tentang kepemimpinannya. Khadam itu pemimpin bagi harta majikannya, bertanggungjawab tentang kepemimpinannya.” (Bukhari dan Muslim)

Hadis lain pula menyebut tentang akibat yang akan menimpa seluruh umat manusia apabila kemaksiatan melata di atas muka bumi.

“Wahai Rasulullah saw apakah kami akan binasa juga sedangkan ada di antara kami orang-orang yang masih berbuat baik?. Rasulullah saw menjawab : ‘Ya, apabila telah melata kejahatan’ (Hadis riwayat Muslim)

BIODATA

Dilahirkan di Bagan Serai Perak dan mendapat pendidikan di ITM Arau Perlis. Merupakan aktivis Pertubuhan Jamah Islah Malaysia (JIM). Kini memegang jawatan sebagai Setiausaha Kehormat Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Remaja (JKPR) Pusat.

Antara jawatan yang pernah disandang sepanjang masa bersama dengan JIM ialah selaku pengarah Kelab Remaja JIM negeri Pulau Pinang, Penolong Setiausaha Kerhormat dan Jawatankuasa Remaja Wanita JIM Pusat.

Berpengalaman sebagai aktivis remaja lebih daripada 10 tahun dan banyak terlibat dalam menyediakan pelbagai kertas kerja dan modul seperti Jom LEPAK, Modul Prihatin Remaja, Modul Remaja Alaf Baru (RAB), Leadership Camp dan lain-lain.

Beliau juga kerap memberikan motivasi kepada remaja dan pelajar sekolah. Selain dari itu sering menulis artikel dan memberikan pandangan tentang remaja dan golongan muda.

Disamping itu beliau ialah penulis buku ”Aku Ori Bukan Fotokopi” yang dihasilkan bersama dengan sebuah CD yang mengandungi 6 lagu-lagu hadis dan 4 buah tazkirah.