Showing posts with label DuniaTanpaSuami. Show all posts
Showing posts with label DuniaTanpaSuami. Show all posts

Sunday, June 8, 2008

Di Sebalik Tembok Dan Pagar Berduri


Setiap kali melalui pintu gerbang Kem Tahanan Kamunting yang indah itu, pasti kita tidak akan mampu membayangkan kehidupan sebenar di sebalik tempoh batu dan pagar berduri.

Paling jauh pun jangkauan pemikiran kita ialah penghuni di sebalik sana adalah insan-insan yang bersalah. Mereka yang mengancam keselamatan negara. Sebab itulah yang diberitahu kepada kita oleh semua media. Dari orang-orang besar hinggalah orang-orang kecil yang menjadi pemerintah negara ini memberitahu bahawa kem ini adalah tempat buangan orang-orang yang merbahaya. Tempat untuk memulihkan mereka agar menjadi warga yang berguna.

Kalau adapun di antara kita memiliki saudara mara, rakan-rakan, jiran-jiran yang menghuni Kem tahanan ini. Kita hanya difahamkan hanya beberapa orang salah sahaja yang terlibat. Hanya beberapa orang yang merbahaya sahaja yang dikurung. Hanya beberapa peribadi yang mengancam keselamatan yang diasingkan disana.

Namun pernahkah kita membayangkan di sebalik tembok sana terdapat tangisan dan airmata para isteri yang ditinggalkan. Di sebalik tembok dan pagar berduri itu juga ada kerinduan berpanjangan anak-anak yang sudah terlalu lama tidak dibelai.

Bagi kita yang berada di luar dunia wanita-wanita ini, kita pasti akan membayangkan keadaan para suami yang berada di dalam tahanan semata-mata. Memang benar, mereka yang ditahan tanpa bicara sudah cukup tersiksa dan menderita.

Namun, ramai antara kita tidak menyedari di sebalik tembok batu dan pagar berduri ini, terdapat wanita-wanita dan anak-anak kecil yang turut menanggung kesengsaraan akibat tindakan terhadap suami dan ayah anak-anak mereka.

Ikutilah perkongsian kisah benar daripada isteri-isteri tahanan dan bekas tahanan ISA. Kesudian untuk berkongsi oleh wanita-wanita yang telah dan sedang melalui ujian hebat ini amat mengkagumkan. Pasti kita yang tidak melalui apa yang mereka lalui akan tersentak sebaik sahaja membaca kisah-kisah mereka.

Sudah pasti intipati cerita oleh mereka tidak sama dengan yang dipaparkan di dalam media. Tidak sama dengan apa yang diceritakan dalam radio, televisyen, akhbar dan majalah. Tiada kebenaran yang disembunyikan dalam kisah-kisah mereka.

Bagi wanita dan anak-anak yang tidak bersalah ini, kefahaman dan pengertian setiap kita amat bermakna. Sudah cukup terseksa tanpa suami di sisi. Ditambah pula dengan hinaan dan tohmahan masyarakat sekitar. Mudah-mudahan selepas kalian membaca baris demi baris, ayat demi ayat, rangkap demi rangkap penulisan wanita-wanita ini. Kalian akan lebih mengerti. Bersimpati dan memahami.

Tuesday, April 15, 2008

Puisi - Hidup Di Dunia Tanpa Suami





















Usahlah bersimpati
kalau ia sekadar pada kata-kata
usahlah kasihan
andai ia hanya pada pandangan


Janganlah menghina
aku mungkin lebih mulia
janganlah mengata
aku mungkin lebih berjaya
janganlah salah sangka
aku mungkin lebih bahagia

Aku mungkin tidak miliki apa yang kau ada
aku barangkali tidak diberikan segala-galanya
aku memang tidak sempurna sebagai seorang wanita


Memang kata-kata pun
kadangkala tidak berupaya
menceritakan apa yang aku rasa
apatah lagi melukiskan apa yang aku ada


Cukuplah jika aku katakan
untuk insan yang menjadikan Tuhan sebagai sandaran
kekurangan ini adalah dugaan yang menjadi perantaraan
agar insan lebih akrab dengan Tuhan
agar penyerahan secara total dilaksanakan
hanya Tuhan yang berhak menjadikan

Sesungguhnya,
tiada yang dijadikan Tuhan tanpa alasan
tiada peristiwa yang dijadikan sekadar kebetulan
tiada ciptaan sekadar mainan
segalanya ada kaitan
Tuhan Maha Mengetahui
pada setiap detik yang diberi
pada setiap nikmat yang dianugerahi
pada setiap takdir yang dikehendaki
tiada yang kurang dan tidak beerti
hanya manusia yang sering kali tidak mengerti


Untuk mu wanita yang masih sendiri
janganlah ditangisi takdir ini
barangkali jodoh belum tiba lagi
kerana Tuhan lebih mengerti dan memahami
melebihi kita mengenali diri sendiri


Buat kalian yang kehilangan suami
kerana menyahut seruan Ilahi
usahlah bersedih hati
kerana dirinya lebih disayangi
janganlah berduka lagi
teruslah berjuang dengan berani


Kalau ada antara dirimu kini sepi
dulu berdua kini sendiri kembali
ditinggal suami yang tidak mensyukuri
memiliki dirimu sebagai isteri
usahlah sekali-kali dikau tangisi
kehilangan suami yang tidak menyayangi
sudah jenuh tubuhmu disakiti
sudah muak hatimu dilukai
bangunlah kembali
rebutlah kembali harga diri yang terlalu tinggi


Hidup didunia tanpa suami
janganlah dianggap ”miskin” dan tidak memiliki
padahal kita sentiasa mempunyai
kasih sayang dan rahmat dari Ilahi
pasrahkan hati, redhakanlah diri
Allah pasti akan memberi apabila tiba masanya nanti

Roha Hassan
Kuala Lumpur

Sunday, April 13, 2008

Dunia Tanpa Suami - Dicerai Pada Malam Pertama



Bab 11 :
Bukan Itu Yang Dipinta : Diceraikan Pada Malam Pertama


”Cukuplah Allah menjadi penolong bagi kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.”
– Surah Ali Imran [3] : 173-

Berada bersamanya membuatkan aku berasa bahagia. Wajahnya yang manis, menyejukkan pandangan. Gadis sederhana tinggi dan berkulit hitam manis itu juga sentiasa kelihatan tenang. Sekali sekala dia tersenyum manis. Jarang kudengar dia ketawa berdekah-dekah. Jauh sekali menutur hal-hal yang tidak berfaedah.

Rasa rendah diri dan tawaduk jelas dilihat pada dirinya. Sudah lima tahun dia menghambakan diri menuntut ilmu di sekolah pondok itu. Sekolah pondok yang terletak di utara tanah air itu menenangkan hatinya. Aku pun, jika rindukan dirinya, akan ke madrasah itu menemuinya. Sepanjang mengenalinya, banyak ujian mampu dilalui dengan tabah dan sabar. Bekalan ilmu dan iman yang dipupuk sekian lama itu banyak membantu dirinya.

Sahabatku Anis adalah salah seorang wanita yang amat kukagumi dalam dunia ini. Bukan pada paras rupa dan kejelitaannya, tetapi pada kesabaran, ketulusan dan ketabahannya.

Wanita mana yang lebih tenang daripada dirinya walaupun diuji dengan ujian yang besar. Anis masih seperti dahulu. Walaupun ujian besar melanda dirinya beberapa tahun yang lalu, dia tidak memerlukan masa yang lama untuk sembuh. Walaupun cincin masih di jari, aku tidak pasti sama ada Anis masih mengingati tarikh keramat itu. Tarikh yang menyaksikan seorang gadis dilukakan hatinya.

Kumulakan perkongsian kisah yang menyayat hati ini dengan catatan yang dikongsikan sendiri oleh Anis. Anis dilamar oleh seorang pemuda melalui ibu saudara pemuda itu. Oleh kerana pemuda yang melamar itu baik daripada sudut agama dan memiliki ciri-ciri suami yang soleh, lamaran itu diterima Anis dengan penuh rasa syukur.

Kami tidak melupakan kegembiraan Anis selepas bergelar tunangan orang. Matanya berseri dan bercahaya. Walaupun tidak over excited dengan berita yang beliau tunggu selama ini, Anis nyata bahagia.

Seperti bakal pengantin lain, Anis menghitung hari untuk diijabkabulkan. Anis mula menelaah buku-buku dan kitab-kitab berkaitan dengan keluarga dan perkahwinan. Beberapa helai baju yang akan dipakai semasa bertandang ke rumah mertuanya dijahit sendiri.

Begitu juga set pakaian pengantin, semuanya dijahit sendiri. Anis tidak terlalu miskin. Namun, sifat zuhudnya terserlah. Dia lebih suka bersikap sederhana. Wajah dan tubuhnya sering disaluti dengan jubah dan purdah berwarna hitam dan kelabu.

Hari yang dinantikan tiba. Kenduri yang sederhana dan meriah berjalan lancar di rumah pengantin perempuan. Anis yang hitam manis kelihatan ayu dibalut pakaian pengantin berwarna kuning air. Tudung Anis yang diletakkan sedikit labuci dan manik-manik menyerlahkan lagi seri pengantin.

Segalanya berjalan lancar. Ketibaan pengantin lelaki dan rombongannya dinantikan dengan penuh debaran. Tidak berapa lama kemudian, terdengar suara riuh rendah mengkhabarkan pengantin lelaki dan rombongannya sudah tiba.

Anis pernah bertemu beberapa kali dengan bakal suaminya dalam pertemuan yang diaturkan oleh orang tengah. Bakal suaminya baik orangnya. Tidak sabar rasanya mahu berbakti sebagai isteri yang solehah. Anis mula berangan-angan memiliki keluarga yang bahagia bersama suami yang soleh dan anak-anak sebagai penyejuk mata.

“Assalamualaikum,” suara wakil pihak lelaki kedengaran, menghentikan lamunan Anis. “Waalaikumussalam. Masuklah.” Kedengaran suara Mak Long Anis menyambut ketibaan pengantin lelaki dan rombongan.

Majlis akad nikah dilangsungkan dengan baik. Cuma, seakan-akan ada perkara buruk yang akan berlaku. Ibu pengantin lelaki serta sanak saudaranya asyik berbisik-bisik seperti tidak berpuas hati. Walaupun majlis tidak mempunyai cacat cela, tetapi wajah ibu mertua dan ipar duai Anis masam mencuka.

Anis sendiri tidak pasti apa yang berlaku. Cuma, setiap kali bersalam dengan ahli rombongan lelaki, keluar kalimat, ”Ingat putih melepak, hitam legam rupanya.” ”Pengantin perempuan dan lelaki tidak sama langsung. Lelakinya putih, perempuannya hitam legam.”

Ditahan-tahan air matanya dengan menganggap itu hanyalah gurau senda. Barangkali begitulah cara keluarganya menyambut keluarga baru. Rupa-rupanya, kalimah yang dilahirkan itu adalah petanda berakhirnya hubungannya dengan suami.

Pada malam itu, tidak seperti pengantin baru yang lain, Anis menangis dengan penuh hiba apabila dijatuhkan talak satu. Anis tidak berkata apa-apa, hanya mendengar luahan suaminya.

Sebelum suaminya menjatuhkan talak, dia dimaklumkan terlebih dahulu sebab mereka perlu berpisah. ”Abang tidak ada apa-apa masalah dengan Anis. Abang sayangkan Anis. Tetapi, apakan daya ibu dan adik-beradik abang tidak merestui. Abang tidak menyangka semua ini akan berlaku. Maafkan Abang.” Azril pun turut bersedih dengan perpisahan itu. Namun, dia kenal benar dengan perangai ibu dan adik-beradiknya. Azril sendiri terkejut. Memang selama ini ibu dan adik-beradiknya kurang gembira dengan pertunangannya. Namun, tindakan mereka pada hari itu amat mengejutkan.

Seminggu sebelum majlis perkahwinan diadakan, ibu dan adik-beradik Azril mula menunjukkan rasa benci yang ketara terhadap Anis. Bayangkan selepas kad dikirim dan jemputan dilakukan, timbul suara-suara sumbang dan tidak puas hati. Ibunya mahu dia memutuskan pertunangan dengan Anis.

Namun, Azril tetap bersabar dan bertenang. Dia memujuk ibu dan adik-beradiknya. Mana mungkin pertunangan mereka diputuskan memandangkan seminggu lagi pernikahan mereka akan berlangsung. Anis pula tidak dimaklumkan langsung berkenaan hal ini. Namun, ibunya dengan tegas memberi amaran kepada Azril supaya menceraikan Anis. Jika tidak, ”Nahaslah Anis.” Itulah ucapan yang menggundahkan hati Azril. Azril tidak menyangka ibunya tidak merestui pertunangan mereka. Namun, kerana malu dengan ibu saudara yang menjadi orang tengah, ibu dan adik-beradik diam-diam menyimpan perasaan tidak puas hati.

”Semua hantaran yang abang beri, termasuk cincin yang tersarung di jari Anis, semua itu adalah milik Anis. Tolong jangan pulangkan. Abang mohon maaf banyak-banyak. Mohon dihalalkan makan minum abang. Bagi abang, Anis tidak ada kurang. Anis tidak bersalah. Cuma, abang takut ibu dan adik-beradik abang akan menyakiti Anis.” Air mata Azril turut mengalir semasa melafazkan kalimah cerai kepada Anis.

Tinggallah Anis sendiri menjahit luka dengan kalimah-kalimah Allah. Merawat duka dengan wuduk dan solat tahajud. Mengubat rindunya dengan zikir dan selawat.
Kini, tahun demi tahun berlalu. Luka dan duka semakin sembuh. Namun, memori peristiwa itu masih jelas sehingga menyukarkan dia membukakan hatinya sekali lagi bagi mana-mana lelaki. Kakinya begitu berat melangkah ke alam perkahwinan lagi. Sehingga saat ini, biarlah dia berada dalam dunia tanpa suami tanpa rasa marah pada takdir. Ketetapan Allah diterimanya dengan tenang dan tabah. Setiap hari Anis terus berdoa, berdoa dan terus berdoa.

Buku Dunia Tanpa Suami Kini Berada Dipasaran - Bah 1



















Assalamualaikum wbt...

Buku Dunia Tanpa Suami - Jilid 1 kini berada di pasaran. Harganya RM12 sahaja. Tebal 139 ms sahaja. Baru berada dipasaran pada jumaat, 11 April 2008.

1. Kenapa Buku Ini Dihasilkan
a. Mengubah paradigm masyarakat terhadap golongan wanita yang tidak, belum atau ditinggalkan suami. Melalui perkongsian ini diharap masyarakat lebih bijak dan adil dalam menyantuni wanita-wanita ini.
b. Berkongsi realiti yang berlaku berkaitan dengan wanita yang berada didunia tanpa suami. Satu muhasabah untuk semua yang terlibat.

c. Perkongsian kisah-kisah benar wanita-wanita yang terpilih untuk melalui ujian sebagai wanita di dunia tanpa suami

d. Memberikan motivasi dan mengukuhkan keyakinan diri para wanita yang belum bersuami atau kehilangan suami. Hidup ini perlu diteruskan dengan berani dan berjaya!

e. InsyaAllah 10-20% keuntungan daripada jualan buku ini akan disalurkan ke tabung kebajikan wanita bujang dan ibu tunggal.

Apakah Topik-topik yang terdapat dalam buku Dunia Tanpa Suami

Kandungan
Setulus Penghargaan
Selamat Datang Ke Dunia Tanpa Suami
Bahagian I : Antara Realiti Dan Fantasi
1. Senario Hari Ini
2. Mentaliti Orang Kita
3. Tiada Jodoh atau Memilih
4. Menongkah Arus Kebiasaan
5. Salahkah Dia

Bahagian II : Kisah Benar Wanita-Wanita Terpilih
6. Aku Sudah Jemu Menunggu
7. Kerana Cinta nya Pada Ayah dan bonda
8. Suratan Atau Kebetulan vs Suratan Atau Sumpahan
9. Mangsa Jerat Cinta
10. Renungan Matanya Yang Redup
11. Bukan Itu Yang Dipinta : Diceraikan Pada Malam Pertama
12. Doa Insan Teraniaya
13. Airmata Seorang Wanita
14. Pernahkah Kau Mengerti

Bahagian III : Puisi Indah Buat Mu
15. Bunga-bunga Bangsa Dan Agama
16. Hidup Didunia Tanpa Suami
17. Airmata Seorang Wanita
18. Mawarpun Punya Duri
19. Menjadi Seorang Wanita
Epilog

Komen Kawan-Kawan Yang Sudah Membaca

1. salam. saya dah baca buku roha tu. Mengalir airmata kerana isu-isu yang diketengahkan benar belaka. Mungkin ada isu lain dalam jilid 2 nanti. Semoga usaha roha ni diberkatiNya. Mengunggul dan Memperkasa wanita tanpa suami.
2. Dok baca buku Dunia Tanpa Suami. Tahniah! Bisa membahagiakan ramai wanita n mengubah paradigm masyarakat.
Jzkk kepada semua yang sentiasa menyokong!

Jzkk,
Roha Hassan

Sunday, February 24, 2008

Dunia Tanpa Suami - Salahkah Dia?

AlhamdulilLah, Buku ”Dunia Tanpa Suami” sudah siap ditulis. Ia dijangka menemui para pembaca pada awal April 2008.

Berikut dikongsikan salah satu topik dari buku...”Dunia Tanpa Suami” tulisan Roha Hassan.

Sokongan dari kalian amat penting dan dihargai.



------------------------------------------------------------------------------------------------

Salahkah Dia

”Tuhan yang telah menciptakan aku, maka dialah yang menunjukkan hidayah kepadaku, dan Tuhanku, yang dia memberi makan dan minum kepadaku. Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku, dan yang akan mematikan aku, kemudian akan menghidupkan aku (kembali), dan yang amat kuinginkan akan mengampuni kesalahanku pada Hari Kiamat.”
–Surah asy-Syura [26] : 78-82-


Adakah aku bersalah, Dinie? Adakah aku bersalah kerana terpaksa melalui jalan ini? Adakah aku bersalah kerana ditakdirkan berada di dunia tanpa suami? Berkali-kali Zee bertanya kepadaku. Zee yang akan menyambut hari lahirnya yang ketiga puluh enam beberapa hari lagi.

Aku diam sahaja. Sikap yang jarang aku lakukan. Semua orang tahu aku jarang berdiam diri. Keramahan dan soalan-soalanku memang difahami oleh Zee dan rakan-rakanku yang lain. Namun, kali ini aku memilih untuk diam. Sejak akhir-akhir ini, matang menjadikan aku lebih banyak diam dalam hal-hal seumpama ini.

Sebenarnya, terlalu sukar bagiku menjawab pertanyaan Zee ini. Yang pasti, aku yakin kita tidak bersalah. Aku faham, kalian tidak pernah berhenti berdoa. Aku juga tahu ada antara kalian yang bukannya tidak pernah dilamar. Aku juga pasti kalian juga pernah melakukan pelbagai usaha melalui orang tengah ataupun ahli keluarga. Namun, ini adalah takdirNya.

Biar orang lain memandang serong dan menyalahkan kita. Yang penting, kita tahu kita tidak bersalah. Tidak perlu menghukum diri dan membiarkan orang lain menghukum kita bagi perkara yang bukan salah kita.

Jika apa yang kita lalui ini kerana ada kesilapan, hanya Allah sahaja yang layak menjatuhkan hukuman. Namun, pasti Tuhan tidak pernah menzalimi setiap hambaNya.

Ujian Tuhan

Perkara terbaik yang mahu aku katakan kepada Zee dan rakan-rakanku adalah Tuhan menguji setiap manusia. Ujian adalah bungkusan hadiah daripada Tuhan kerana kasihNya yang mendalam kepada hambaNya.

Umpama kita yang saling mengutus bingkisan dan bungkusan kasih apabila tiba hari lahir. Juga bingkisan dan bungkusan yang sering dihadiahkan buat individu tersayang. Seumpama itulah bungkusan-bungkusan ujian ini Tuhan kirim buat kita. Tidakkah kau rasa gembira menerimanya?

Bukalah bungkusan itu. Baca, fahami serta teliti hadiah yang berbentuk ujian ini. Di samping hadiah-hadiah yang kita nanti-nantikan dan mampu membuatkan kita ketawa gembira. Pada hari ini, mungkin kita menerima hadiah yang bukan kita harapkan. Ada juga hadiah yang kita tidak suka. Malah, banyak juga hadiah yang kita tidak perlukan. Namun, selagi ia adalah hadiah, biasanya penerima mengucapkan terima kasih.

Apatah lagi ’hadiah’ daripada Allah. Pasti ia bukan hadiah sembarangan. Setiap hadiah daripada Allah ada erti dan nilai. Kita perlu berterima kasih dan memperbanyakkan syukur, walaupun kadang kala ia bukan perkara yang kita inginkan. Setiap ’hadiah’ daripada Allah membawa kebaikan. Sudah pasti, ia kiriman tanda kasih daripada Allah buat hambaNya.

Nabi Muhammad SAW pernah berkata dalam hadis yang bermaksud, ”Apabila Allah menyintai suatu kaum, Dia akan mendatangkan cubaan kepada mereka dan sesiapa rela dengan ujian itu, dia akan memperolehi kerelaanNya, dan sesiapa membencinya maka dia akan memperolehi kebencianNya.”

Hayati pernyataan Allah dalam surah al-Jin [72] ayat 17 yang bermaksud, ”Untuk Kami beri cubaan kepada mereka padanya. Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatan Tuhannya, akan dimasukkanNya ke dalam azab yang amat berat.”

Ujian tanda kasih Allah sebagai peringatan dan nikmat. Peringatan supaya kita tidak terus melakukan kesilapan. Ia juga peringatan supaya kita mengerti tanggungjawab dan janji kepada Allah semasa di alam roh. Di samping itu, ujian juga penuh dengan nikmat dan hikmah. Ada kala nikmat dan hikmah itu dapat diterjemahkan dengan mudah. Namun, ada kalanya amat sukar dan payah.

Mungkin bagimu bingkisan hadiah yang lebih diidamkan adalah suami dan anak-anak serta keluarga bahagia. Namun, hadiah yang kau terima sehingga saat ini adalah hidup sendiri, sepi, tidak ada tempat bergantung, tanpa suami untuk mengasihi juga anak-anak untuk berkongsi gelak dan tawa.

Zee, jangan biarkan rasa sedihmu membuatkan dirimu terlupa hidup sendiri juga nikmat daripada Tuhan. Tuhan memberikan cukup masa untuk kita melakukan ibadah dan segala amal kebaikan. Setiap saat adalah ibadah, apabila diniatkan dan diserahkan kepada Allah.

Apabila Allah berikan ’hadiah’ seorang suami dan anak-anak, aku sendiri tidak pasti sama ada aku mampu menyiapkan bingkisanku itu. Apatah lagi duduk bersantai sambil mendengar luahan hatimu, Zee. Aku juga tidak tahu sama ada aku mampu memacu perjuangan dan usaha-usaha dakwahku selaju sekarang ini. Oleh itu, bukalah minda, hati dan tanganmu. Terimalah ’hadiah’ daripada Tuhan dengan reda dan sabar. Terus berdoa. Aku yakin, suatu masa nanti doamu dimakbulkan.

Kau sendiri lihat doa sahabat-sahabat kita, M, L, Kak Min dan teman-teman lain dikabulkan Allah. Khabarnya, mereka bahagia di samping suami dan anak-anak. Namun, kerap juga mereka mengadu kepadaku, ”Sejak berkahwin, sibuklah. Masa bertambah terhad.” Dan macam-macam lagi rungutan. Aku selalu ketawa apabila mendengar keluhan mereka. Begitulah manusia, serba tidak kena.

Walau bagaimanapun Zee, penutup jawapanku bagi persoalanmu ini adalah, yakinlah Zee bahagia itu ada dalam diri sendiri. Hati yang tenang dan sejahtera adalah istana paling bahagia yang pasti dimiliki oleh semua orang apabila kita menghargainya. Oleh sebab itu, cari bahagia dari dalam hatimu. Kau pasti sentiasa tenang dan bahagia kerana ia adalah janji bagi orang-orang yang bersyukur, reda dan bersangka baik dengan Tuhan ~ Roha Hassan