– Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni-
Perangkaan pada tahun 1989 menunjukkan, Malaysia mempunyai 600,000 wanita yang berumur sekitar 30 hingga 34 tahun yang masih belum berumahtangga. (petikan dari buku ”Andartu: Penyelesaian Menurut Pandangan Islam” oleh Fauziah Mohammad)
Terkini
Perangkaan Banci Penduduk dan Perumahan 2000 yang dipetik daripada laman web IKIM menunjukkan:
Pertama:
Statistik umur minimum perkahwinan yang semakin meningkat dari masa ke semasa seperti berikut:
a. Tahun 1980 26.2 tahun bagi lelaki dan 23.5 tahun bagi wanita
b. Tahun 1991 28.2 tahun bagi lelaki dan 24.7 tahun bagi wanita
c. Tahun 2000 28.6 tahun bagi lelaki dan 25 tahun bagi wanita
”(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu.” (Surah al-Hadid [57] : 23)
Istilah andartu (anak dara tua) ataupun istilah yang dimodenkan iaitu andalusia (anak dara lanjut usia) adalah istilah biasa pada masa ini. Istilah ini bukan sekadar diucapkan oleh mana-mana ahli masyarakat, tetapi turut disenaraikan di dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.
Gelaran Yang Kurang Menyenangkan, Tetapi Sudah Menjadi Kebiasaan
Andalusia (Anak Dara Lanjut Usia), Andartu (Anak Dara Tua), Janda Berhias, Janda Meletup dan lain-lain lagi adalah gelaran yang kurang menyenangkan. Ada masanya ia memberikan tekanan.
Sudahlah mereka menerima ujian dengan keadaan yang mereka miliki. Masyarakat sekeliling pula seakan-akan tidak mengerti dan memahami kerana membiasakan bibir dan minda dengan gelaran-gelaran seumpama ini.
Lelucon dan Sindiran
Lelucon yang berlebihan dan sindiran yang menyakitkan telinga memberikan kesan pada mental, spiritual dan emosi seperti, ”Itulah memilih sangat”, ”Patutlah tidak berlaki”, ”Bila kamu mahu berkahwin”, “Apa-apa pun, kamu jangan jadi perampas suami orang”, “Kamu kena mandi bunga agaknya”, “Kucing pun sudah bertanduk, kamu tidak juga berkahwin”, ”Kalau susah-susah sangat, kamu pinang sahaja aku jadi suami kamu” dan lain-lain lagi.
Bukan semua insan yang berada dalam situasi ini rasa terhibur dan turut ketawa dengan gurauan seumpama ini. Kadang kala, ada yang mampu mengalirkan air mata dan bertindak agresif.
Biasanya, salah seorang sahabat kami menangis teresak-esak apabila diusik begini. Tidak kurang yang tertekan dan terhimpit. Walaupun ada insan yang tidak kisah. Gurau senda seumpama ini bukan ucapan alu-aluan yang sesuai dan diharapkan oleh semua orang.
Andaian dan Tohmahan
Masyarakat kita juga kaya dengan andaian dan tohmahan yang tidak berasas pada golongan yang lambat berkahwin sebagai tidak berkat ataupun tidak laku. Manakala golongan ibu tunggal pula sebgai ’tidak pandai menjaga suami’, ’pembawa sial’ dan sebagainya.
Mudah Melakukan Maksiat dan Dosa
Masyarakat juga mengaitkan golongan ini dengan maksiat secara membuta tuli. Kononnya berasaskan ajaran islam, insan yang tidak berkahwin lebih mudah melakukan perbuatan yang menghampiri zina atau berzina dan sebagainya. Padahal konsep sebenar yang ingin diketengahkan oleh ajaran islam adalah menggalakkan umatnya berkahwin bagi mengelakkan diri daripada terlibat dengan zina dan lain-lain.
Walaupun kita tidak menafikan terdapat golongan ini yang terjebak dengan pelbagai maksiat dan dosa, namun punca utamanya bukan disebabkan oleh status mereka.
Dunia hari ini menyaksikan kadar dosa dan maksiat dilakukan oleh remaja seawal usia sembilan (9) tahun yang berzina dan golongan tua sehingga lapan puluh (80) tahun yang merogol cucu sendiri. Tidak kurang juga, cinta terlarang antara orang yang sudah bersuami ataupun beristeri.
Pahala dan Rahmat Allah
Ada dakwaan yang menyatakan wanita yang berumahtangga lebih mudah mengumpul pahala. Ini kerana setiap kebaikan yang dilakukan untuk suami dan anak-anak mendapat pahala, sedangkan wanita yang belum berumahtangga tidak ada peluang seumpama ini.
Kita tidak menafikan, wanita yang berumahtangga memiliki lebih banyak ruang dan peluang bagi mengumpul pahala. Namun, kita perlu ingat Allah maha adil terhadap semua makhlukNya. Yang menjadi ukuran di sisi Allah adalah iman dan takwa hamba-hambaNya.
Allah menyatakan dalam surah Ali Imran [3] ayat 139 yang bermaksud, ”Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”
Rahmat Allah terlalu luas. Tidak terbatas pada segolongan hamba sahaja. Hayati hadis Rasulullah SAW yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, ”Sesungguhnya rahmatKu lebih luas daripada murkaKu.”
Menangguk di Air Keruh
Banyak pihak yang mengambil kesempatan dengan pelbagai cara terhadap sekelompok golongan ini yang terdesak untuk berumahtangga ataupun memerlukan perlindungan dan kasih sayang.
Apatah lagi, jika mereka berpangkat dan berharta. Kalau ada paras rupa yang cantik dan pandai bergaya, semakin ramai yang menggoda.
Kurang Sokongan
Berkaitan dengan sokongan, ia diberikan kepada beberapa kategori iaitu:
i. Sokongan ibu bapa dan keluarga: Sokongan ini penting dan utama. Tanpa sokongan daripada ibu bapa dan keluarga, wanita-wanita ini pasti berasa tertekan. Lebih-lebih lagi apabila ibu bapa dan keluarga sering mendesak supaya anak-anak perempuan mereka berkahwin serta merta.
i. Rakan-rakan: Selain daripada keluarga, rakan adalah kelompok kedua terhampir dengan kita. Rakan dapat menjadi tempat yang kukuh sebagai sokongan. Namun, boleh juga menjadi punca robohnya keyakinan. Oleh itu, peranan dan kefahaman daripada rakan atau teman diperlukan. Sepatutnya, rakan-rakan dapat menjadi tempat mengadu.
Namun, keadaan menjadi rumit apabila ramai kawan yang tidak mengerti berbanding yang mahu memahami. Tambah menyakitkan apabila ada kawan yang busuk hati dan membuat tuduhan melulu.
Mentaliti Orang Kita Perlu Diubah
Bersangka baik dan menerima wanita-wanita ini seadanya adalah perkara yang amat dihargai. Lebih wajar dan munasabah jika kita menghulurkan bantuan kepada golongan ini. Ada antara mereka yang bahagia dan berjaya dalam pelbagai perkara. Ada pula yang mundur, hidup miskin dan terpencil. Lebih teruk apabila ada tanggungan sama ada ibu bapa, adik-beradik ataupun anak-anak.
Bagi mereka yang berada dalam situasi ini, bukan sahaja memerlukan sokongan emosi. Malah, memerlukan bantuan lain seperti wang ringgit dan harta benda.
Teringat aku pada keluhan teman berkenaan anak lelakinya yang semakin membesar. Dia berasa agak sukar mahu mendidik anak lelaki sulungnya melaksanakan sembahyang Jumaat. Siapakah yang dapat menemaninya? Mahu diminta bantuan suami jiran, takut disalahertikan. Maklumlah IT (Ibu Tunggal). Apabila jiran dan masyarakat sekeliling lebih prihatin, hal seumpama ini tidak berlaku.
Ini belum termasuk hal-hal lain. Oleh itu, fikir-fikirkan sikap anda kepada wanita-wanita ini. Anda perlu tahu ia patut dibetulkan.