Dalam surah Yunus ayat 4, Allah swt berfirman dengan maksud, "Hanya kepada Nyalah kamu semua akan kembali, sebagai janji yang benar daripada Allah, sesungguhnya Allah menciptakan makhluk pada permulaannya kemudian mengulanginya (menghidupkannya) kembali (sesudah bangkit) agar Dia memberi pembalasan kepada orang-orang yang beriman dan yang mengerjakan amal saleh dengan adil. Dan untuk orang-orang kafir disediakan minuman air yang panas dan azab yang pedih disebabkan kekafiran mereka."
Begitulah setiap kita akan menemui mati. Tiada yang terkecuali dan tiada yang boleh lari. Setiap makhluk ciptaan Ilahi akan mati dan diadili. Mati adalah mesti dan pasti. Cuma, kita yang sering takutkan mati. Tidak kurang juga manusia yang alpa tentang mati sehingga sanggup melakukan segala kemungkaran kerana lalai tentang mati dan pembalasan Ilahi. Berangan-angan dan berharap untuk tidak mati sehinggakan berusaha mencipta macam-macam ubat dan formula yang boleh melambatkan penuaan dan kematian.
Apabila kematian mengunjungi dan kita akhirnya tinggal sendiri dalam kubur yang hanya Allah mengetahui keadaannya. Bergantung pada amalan masing-masing. Kubur boleh menjadi tempat yang indah atau ngeri bergantung pada amalan dan rahmat Ilahi. Yang pasti setiap yang mati akan tinggal sendiri dalam liang lahad. Tiada yang menemani melainkan amalan, ilmu baik yang diajarkan ketika masih didunia serta doa tanpa henti oleh anak-anak yang soleh dan solehah. Suami, isteri, anak-anak, sanak saudara, sahabat handai dan segala yang dimiliki akan ditinggalkan. Hanya tiga perkara tadi menjadi peneman sepi. Jika amal yang baik menemani, bahagialah kita. Kubur yang sempit menjadi luas dan diterangi. Jika amal yang buruk yang mengikuti, kubur yang sempit bertambah ngeri. Kegelapan dan ketakutan yang hanya Allah yang mengetahui sedang ular dan kala jengking serta segala yang menakutkan akan menyakitkan diri setiap hari.
Antara janji Allah adalah tentang tiga perkara yang tidak terhenti kebaikannya walaupun setelah kita mati ialah doa anak yang soleh dan solehah. Bukan berapa jumlah anak yang akan menjadi penawar buat ayah bonda yang masih hidup atau telah mati. Tapi berapa anak yang akan sentiasa sudi mendoakan kebaikan buat ayah bonda yang telah pergi mengadap Ilahi. Sepertimana kita mengharapkan kelak anak-anak yang ditinggalkan terus-terusan berdoa untuk kita, begitu juga harapan ayah bonda atau mak abah atau ibu ayah yang telah terlebih dahulu dijemput oleh Allah. Adakah kita sering berdoa untuk ayah dan bonda samada yang masih hidup atau yang telah mati?
"Oh Tuhanku, kasihanilah kedua-dua ibu bapaku sebagaimana mereka mengasihi aku waktu kecil."
"Ya Allah, sampaikanlah seumpama pahala bacaanku kepada roh ibuku. Ya Allah, ampunilah dosanya, kasihani dan selamatkanlah dia dan maafkanlah kesalahannya, muliakanlah kedatangannya, lapangkanlah kuburnya, terimalah kebaikannya, hapuskanlah kesalahannya dengan rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih".
Aku selalu ingatkan pada diri. Walaupun setelah hampir sepuloh tahun bonda pergi mengadap Ilahi. Kubur bonda bukan hanya untuk dikunjungi setiap aidilfitri. Sebaliknya, batu nesan bonda pahatkan dihati agar kita akan sentiasa mengingati segala jasa dan pesanan bonda ketika dia masih hidup di muka bumi. Juga untuk kita ingati ada tanggungjawab yang perlu kita penuhi samada ketika bonda masih hidup atau setelah mati.
Sungguh kematian adalah satu peringatan. Mudah-mudahan dengan menziarahi kubur bonda, kami juga akan sentiasa mengingatkan mati. Ketika berdoa dikubur bonda, aku turut berharap satu hari nanti, jika aku mati, mudah-mudahan ada yang akan berdoa dan memohon rahmat untuk rohku. Alangkah pedih dan sedih jika punya anak yang ramai sedangkan seorangpun tidak pernah mendoakan kebaikan untuk kita ketika kita masih hidup atau setelah mati.
Buat kita yang belum atau tidak memiliki zuriat atau dikurniakan dengan anak-anak yang berkualiti, mudah-mudahan firman Allah swt dalam surah Al-Khaf ayat 46 yang bermaksud, "Harta dan anak-anak itu (adalah) perhiasan kehidupan dunia; tetapi amalan-amalan kebaikan yang kekal (manfaatnya di Akhirat) adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhan engkau serta lebih baik untuk menjadi harapan" ini menjadi penawar dan peringatan buat diri.
~Roha Hassan~24 September 2009