Saturday, December 12, 2009

Diari Seorang Tetamu Allah (01) - Bila Rindu Bertamu


Assalamualaikum wbt...


Haji Oh Haji
(Ketika Kursus Haji Perdana -Putrajaya)

Apa khabar semua wahai sahabat-sahabat yang dikasihi. Hari ini genap seminggu aku kembali ke tanahair setelah 45 hari berada di Tanah Suci.

Menunaikan Haji bukanlah sesuatu yang berada dalam jadual kehidupan pada asalnya. Bukan kerana aku takut, tidak bersedia atau tidak suka. Siapalah yang tidak ingin menunaikan haji. Malahan ia impian semua insan yang bergelar muslim. Namun bila terkenangkan amanah dan bebanan yang sedang dipikul, hasrat menunaikan haji ditangguhkan terlebih dahulu.

(Suasana semasa Kursus Haji Perdana di Putrajaya)



Ibadah haji adalah puncak pengabdian insan Muslim terhadap Allah SWT. Setelah ia memenuhi tuntutan syahadah, menunaikan ibadah anggota tubuh badan yakni solat, menundukkan hawa nafsu melalui puasa (bulan Ramadhan) dan memenuhi kewajipan keatas hartanya menerusi amalan berzakat.


Malahan menunaikan fardhu haji adalah wajib bagi mereka yang berkuasa. Dimana maksud "berkuasa" disini ialah berupaya melakukan ibadah haji sama ada secara sendiri atau melalui pertolongan orang lain.



Bermulanya Di Sini


(Bersama-sama teman-teman yang juga ingin ke tanah suci)


Masih terbayang diingatan bagaimana semua ini bermula. Awal tahun ini, sekitar bulan Januari 2009, aku dan sahabat karib tiba-tiba menjadikan topik menunaikan haji dan umrah sebagai topik perbincangan. Mulanya ia sekadar sembang biasa. Namun menjadi semakin serius dan bersungguh-sungguh.

Kami mula mencongak-congak ruang dan peluang untuk ke Tanah Suci tahun ini juga. Sahabat ku yang kupanggil S ini memang beruntung kerana tidak lama lagi beliau akan genap 10 tahun bekerja di Syarikat J. Salah satu "benefit" yang diberikan kepada staff yang berkhidmat 10 tahun keatas ialah tajaan untuk menunaikan umrah. S berhasrat untuk memanfaatkan peluang ini untuk menunaikan haji.

Aku pulak, tiba-tiba "teringin" benar untuk menunaikan fardhu haji walaupun aku sedar peraturan dan syarat yang diletakkan oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji). Sedangkan seingat aku, mendaftar dengan Tabung Haji pun belum aku lakukan. Tapi sudah kepingin benar untuk menunaikan haji tahun ini. Sekali sekala bila teringatkan karenah kami ketika itu terasa kelakar. Mendaftarpun belum, tiba-tiba beriya-iya nak menunaikan haji.



Bila Rindu Bertandang


(Khusyuk mendengar ceramah haji)

Namun bila rindu bertandang, hasrat untuk ke tanah suci sudah tidak dapat dihalang. Setiap kali mendengar seruan talbiah melalui "CD Panduan Haji" yang baru ku beli, aku terasa, akulah salah seorang yang melafazkan kalimah tersebut.

"Ku sambut seruan Mu ya Allah, ku sambut seruan Mu, tiada sekutu bagi Mu, ku sambut seruan Mu. Sesungguhnya segala puji, nikmat dan kerajaan adalah milik Mu, tiada sekutu bagi Mu".

Terasa sebak hati ini dan kerinduan untuk ke tanah suci terus melonjak-lonjak dalam hati. Betapa ianya bagai tidak dapat ditahan-tahan lagi. "Aku mesti menunaikan haji tahun ini juga" itulah bicara hari ini berkali-kali.

Sejenak aku melupakan segala tangungan yang ada. Adik yang masih menuntut di IPT. Anak sedara kesayangan yang kujaga macam anak sendiri, Danil. Tugasan pejabat dan segala-galanya kini bukan alasan lagi. Aku yakin Allah akan membantuku menguruskan semua tangungan yang ada dibahu. Malah aku benar-benar yakin, Allah pasti akan memudahkan dan aku mesti terus berusaha.

Menunaikan Haji Tahun Ini Juga!



Itulah azamku! Menunaikan haji tahun ini juga! Kerinduanku sudah tidak dapat ditahan lagi. Duit dan lain-lain bukan lagi alasan dan halangan. Yang penting bagi aku ketika itu ialah mencari jalan untuk membolehkan aku menunaikan haji seperti yang aku harap-harapkan.


Kami mula mengintai cara dan peluang. Ada banyak cara, antaranya melalui muasasah atau pakej. Kami turut mendapatkan input dan nasihat daripada sahabat-sahabat yang telah bergelar "haji" dan "hajjah". Membaca buku, melayari internet dan macam-macam usaha untuk memastikan kami dapat menunaikan haji tahun ini juga.

Dalam kesibukan mendapatkan tempat untuk ke tanah suci. Aku juga telah memulakan beberapa langkah persediaan. Antaranya :

1. Melakukan senarai semak persediaan sebelum, ketika dan selepas menunaikan haji
2. Merancang kewangan, cuti, aktiviti dan kursus haji yang mesti disertai
3. Menyediakan diri, keluarga dan rakan-rakan sepejabat agar kelak apabila tiba masanya nanti tiada sebarang kejutan.

Begitulah serba sedikit persediaan awal yang aku lakukan. Namun aku sedar, perjalanan masih panjang. Usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh mesti dilakukan memandangkan masa untuk mencapai cita-cita tidak sampai 9 bulan lagi.

Aku terus membulatkan tekad, "Aku mesti menunaikan haji Tahun ini juga, insyaAllah". Bermula dengan tekad ini aku terus berusaha dan berdoa!

Bersambung insyaAllah....


Roha Hassan
Ahad - 13 Dec 2009