Saturday, May 15, 2010

Remajaku, Gurumu Untuk Dikasihi, Bukan Disakiti


Puisi Guru Oh Guru – Usman Awang

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Setiap kali membaca puisi guru oh guru oleh SN Dato’ Dr Usman Awang wajah setiap guru yang pernah mendidik dari sekolah rendah hingga universiti akan bermain dalam ingatan.

Menjadi seorang guru bukanlah satu tugas yang mudah. Bukan semua insan sanggup dan mahu melakukannya. Guru ibarat lilin, membakar diri menerangi orang lain. Sejak dahulu hingga kini guru tetap merupakan insan penting dalam kehidupan kita.

Namun, akhir-akhir ini sering kita dengar hal-hal kurang menyenangkan antara guru dan pelajar. Tidak sedikit kisah yang kita dengar tentang guru mencabul pelajarnya, begitu juga guru memukul dan mencederakan pelajar dan macam-macam lagi hal yang kurang enak didengar.

Dari sudut lain pula, semakin ramai guru yang keluh kesah dengan sikap pelajar masing-masing. Terutamanya pelajar remaja. Bukan sedikit kisah pelajar yang degil, ponteng sekolah, melawan, memaki hamun, memukul atau menyakiti guru masing-masing.
Remajaku, gurumu untuk dikasihi bukan disakiti. Hayatilah puisi diatas betapa sentuhan para guru merupakan sentuhan ajaib yang boleh mengubah seorang manusia dengan izin Allah. Insan boleh jadi istimewa atau sebaliknya dengan bimbingan guru.

Dalam membicarakan kepentingan guru dalam kehidupan remaja. Meletakkan semua tanggungjawab mendidik diri remaja di atas bahu para guru juga merupakan perbuatan yang tidak wajar. Guru adalah sebahagian daripada kehidupan seorang remaja. Namun bahagian yang paling besar mesti diisi oleh ibubapa. Guru ada peranannya yang tersendiri dalam hidup remaja. Manakala ibubapa memiliki tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan apa yang disampaikan oleh guru diamalkan oleh remaja masing-masing.

Kenapakah guru sangat penting dalam kehidupan kita wahai remajaku? Jawapannya kerana guru dan ilmu tidak dapat dipisahkan. Melalui guru kita mendapatkan ilmu. Manakala dalam mendapatkan ilmu kita memerlukan bimbingan guru.

Islam memandang tinggi orang yang menuntut ilmu, ia merupakan satu amalan yang sangat tinggi nilainya. Pahalanya amat besar sehingga orang yang mati semasa menuntut ilmu dikategorikan saperti seorang yang mati dalam beribadah.

Ayat pertama yang diturunkan dalam al-Quran memerintah manusia supaya membaca yang maksudnya menuntut ilmu, sebagaimana firman Tuhan yang bermaksud
"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang maha pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan Qalam”. (al-Alaq – ayat 1-4)

Dalam Hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda madsudnya "Barang siapa keluar untuk menuntut ilmu maka ia termasuk dalam golongan orang yang berjuang pada jalan Allah , sehinggalah ia kembali".

Menuntut ilmu sama ada ilmu fardu ain atau fardu kifayah, kedua-duanya adalah penting.

Allah turut berfirman "Katakanlah hai Muhammad! Adakah sama kedudukan orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu ? Sesungguhnya orang yang sedar itu ialah orang yang berfikir”. (al-Zumar – ayat 9)

Ilmu pengetahuan yang ada pada seseorang itu dapat meningkatkan kedudukannya dalam masyarakat. Lagi tinggi pengetahuan seseorang maka lagi tinggilah kemuliaannya dalam masyarakat. Orang berilmu bagaikan bintang yang bersinar diwaktu malam.

Usia remaja adalah usia dimana seseorang itu perlu melengkapkan diri dengan ilmu sebanyak-banyaknya sebagai bekalan menuju kedewasaan dan paling penting menuju dunia abadi.

Usahlah marah dan benci jika guru memberikan nasihat. Jauhilah salah sangka dan benci pada guru walaupun adakalanya mereka melukakan hatimu. Guru juga manusia, mereka juga boleh tersilap seperti kita. Terimalah setiap ilmu, teguran, muhasabah, nasihat dan bekalan yang gurumu berikan dengan lapang dada.

Andai kita umpama sibuta, guru adalah tongkatnya. Andai kita umpama sijahil, belajarlah menjadi cerdik dari seorang guru dan andai kita sebatang pensil, redhalah guru menjadi pengasahnya!


~Roha Hassan~

Saturday, May 8, 2010

Remajaku, Tudungmu Bukan Passport Berbuat Kemungkaran




Seorang sahabat bercerita tentang seorang gadis remaja yang beruniform sekolah dan bertudung ayu sekali. Namun demi sahaja gadis itu melangkah keluar dari pagar sekolah, tudungnya disingkap. Rambutnya yang berwarna 'oren' terserlah.

Oh remajaku! Kenapa singkapkan tudungmu? Kemudian jawabmu, “Kena la pakai tudung. Kalau tidak kantoi la. Cikgu mesti tahu bab rambut aku yang 'oren' ini."

Ada sahabat yang lain pula berkata, “Ramai gadis bertudung terlibat dengan perzinaan.” Haruskah kenyataan ini dinafikan? Haruskah kita marah? Haruskah kita menyalahkan tudung yang menutupi kepalamu.

Oh remajaku! Kenapa tanggalkan tudungmu demi cinta dan kekasih? Kemudian jawabmu, “Ala..tudung ni kan fesyen saja. Semua orang pun pakai. Lagipun aku pakai sebab 'boyfen' aku yang suruh.” Memang katamu tidak boleh dinafikan. Hari ini tudung dipakai bukan untuk menutup aurat. Tudung dikenakan dengan baju yang ketat. Tudung lilit dipadankan dengan baju kurung yang jarang. Tudung singkat dikenakan dengan t-shirt singkat dan seluar jeans yang ketat. Tudung bagaikan hiasan dan fesyen semata-mata.

Remajaku, ambillah tudungmu dan renungkan sejenak betapa Allah sangat sayangkan dirimu. Sesungguhnya sebaik-baik perhiasan di dunia ialah wanita yang solehah.

Kerana kasihnya Allah taala kepada kita, maka Allah memberikan panduan yang jelas tentang aurat kita dalam al-Quran menerusi ayat hijab iaitu ayat 30 dan 31 surah an-Nur yang bermaksud:

30. "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.

31. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka….." sehingga akhir terjemahan ayat ini.

“Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu remajaku, dikongsikan beberapa peringatan untuk bekalan kita bersama:

1. Tudungmu bukan untuk berfesyen semata-mata. Gunakan tudungmu untuk menutup auratmu agar dirimu selamat dan dihormati. Tudung jika sekadar sebagai fesyen, sifatnya bermusim dan membawa kemudaratan.

2. Tudungmu bukan pasport membuat kemungkaran. Usahlah gunakan tudungmu untuk menutup kesalahan. Bukan untuk menutup rambut yang diwarnakan agar tidak dimarahi guru. Atau menutup kemungkaran lain agar tidak dimarahi ibumu.

3. Tudungmu bukan uniform semata-mata. Walaupun tidak dinafikan, ketika di alam persekolahan, tudung menjadi sebahagian uniform di sesetengah sekolah. Namun hayatilah hikmah di sebalik pemakaian tudung. Jika ia hanya dianggap sebagai uniform, betapa ruginya kita kerana rambut kita adalah sebahagian daripada aurat. Pakailah apabila tiba masanya demi menyempurnakan penutupan aurat daripada lelaki yang bukan muhrim kita.

4. Tudung bukan aksesori semata-mata. Ia dipakai sebagai pelengkap agar seorang gadis bertambah ayu atau seorang wanita bertambah anggun. Kelak yang menjadikan tudung sebagai aksesori semata, pagi dipakai, petang dibuka. Hari ini disukai, hari esok dilupakan.

Sesungguhnya wahai remajaku, mari kita jadikan tudung kita istimewa dan pembeza. Istimewa kerana ia akan menjadikan aurat kita sempurna seperti yang diperintahkan oleh Allah. Pembeza kerana ia mampu menjadikan pemakainya malu untuk berbuat kemungkaran. Maka ia akan membezakan antara yang memakai dengan yang tidak memakainya!



~Roha Hassan~

Friday, May 7, 2010

Salam Muhibbah I-SPA Bersama Komuniti

Seberang Perak. Felcra Training and Consultancy dengan kerjasama Akademi Razma telah mengadakan program Remaja Hebat Rohani, Hebat Jasmani. Program berlangsung pada 08 Mei 2010 bermula jam 9.00 pagi - 2.30 petang di Pusat Latihan FELCRA Seberang Perak.
Program ini dianjurkan bertujuan untuk melahirkan remaja yang mempunyai wawasan yang besar dan jelas disamping memberikan kesedaran tentang kepentingan nilai-nilai kendiri yang positif.
Berkonsepkan penggunaan latihan kemahiran dalam memperkasakan diri serta disulami dengan pengisian kerohanian dalam membina kekuatan fizikal dan mental. Pendedahan ilmu keusahawanan yang islamik turut dilakukan.


Menurut Encik Rohaizat Ahmad, Pengurus Latihan, Pembangunan Busines dan Logistic Felcra Training and Consultancy, "Kami mensasarkan tiga objektif utama penganjuran program ini iaitu, pertamanya ialah untuk melahirkan generasi muslimah yang baik dari segi aspek Rohani dan Jasmani.
Keduanya ialah untuk membantu mengeluarkan seorang atau sekumpulan usahawan muslimah yang mampu berdaya saing dalam bidang peniagaan dan akhir sekali, mewujudkan satu suasana yang dapat meransang pemulihan sikap remaja yang terlibat secara keseluruhannya".

Antara pengisian program ialah senamrobik, peragaan fesyen muslimah dan produk keluaraan WADIRA Seberang Perak. Disamping itu I-Spa dibuka kepada komuniti sebagai sebahagian daripada aktiviti masyarakatan.
~ Roha Hassan~
Seberang Perak
08 Mei 2010