SUASANA kehidupan penghuni yang kebanyakannya warga emas dan OKU Rumah Titian Kasih semakin tertekan apabila mereka diberi notis sehingga 1 Julai ini untuk mengosongkan rumah tersebut atas perintah Mahkamah di Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/MOHD. NAIM FIRDAUS ABDUL AZIZ
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 29 Jun - Dalam masa kurang 48 jam lagi, 45 orang anak yatim, ibu tunggal dan warga emas yang menghuni Rumah Titian Kasih di Persiaran Titiwangsa di sini terpaksa mengosongkan rumah itu.
Ini kerana pemilik rumah tersebut telah mendapat perintah mahkamah agar premis itu dikosongkan pada atau sebelum Khamis ini.
Pengasas rumah tersebut, Sharifah Adlan, 52, berkata, apa yang dibimbangkan ialah nasib penghuni rumah tersebut terutama ke mana mereka akan menetap selepas tarikh itu.
"Sebelum ini, kami telah menerima dua notis pada tahun lalu bagi mengosongkan kediaman ini. Bagaimanapun, notis kali ini benar-benar membimbangkan kerana ia adalah perintah mahkamah," katanya ketika ditemui di sini hari.
Sejak ditubuhkan kira-kira 12 tahun lalu, Rumah Titian Kasih yang mempunyai dua premis, kini dihuni kira-kira 120 penghuni dari bayi berusia dua bulan hingga warga emas berusia 82 tahun.
Beliau berkata, bukan pihaknya tidak berusaha untuk membeli rumah itu yang ditawarkan oleh pemiliknya pada harga RM2.7 juta tetapi sehingga hari ini, dana yang dikumpulkan masih belum mencukupi.
Katanya, beliau telah berusaha mempertahankan kediaman itu sejak tahun lalu termasuklah melancarkan tabung wakaf Rumah Titian Kasih, selain membuat kraf tangan dan kuih-muih untuk dijual.
Dalam tempoh itu juga, katanya, beliau cuba mendapatkan pinjaman daripada beberapa buah bank tetapi semuanya ditolak.
Katanya, seorang individu telah menyumbang sebanyak RM270,000 bagi membantu rumah itu selepas hasrat untuk membeli kediaman tersebut disiarkan Utusan Malaysia tidak lama dahulu.
"Tabung wakaf yang dilancarkan pula sudah berjaya mengumpulkan sebanyak RM400,000 tetapi ia masih tidak mencukupinya," katanya.
Sharifah berkata, beliau juga telah membawa perkara itu ke Baitulmal dan turut mengutarakan dua cadangan bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Cadangan pertama, katanya, pihak Baitulmal membeli kediaman tersebut sebagai aset dan pihaknya akan menyewa daripada Baitulmal sementara cadangan kedua ialah Baitulmal membeli rumah tersebut dan pihak Rumah Titian Kasih akan membelinya daripada Baitulmal dengan membayarnya secara ansuran.
Namun, tegasnya, kedua-dua cadangan itu tidak diterima.
Namun, keluhan Sharifah itu mendapat perhatian daripada Pergerakan Pemuda UMNO hari ini yang berjanji akan cuba membantu menyelesaikan masalah itu.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, pihaknya sangat sedih apabila mendapat aduan yang rumah itu telah mendapat notis untuk dikosongkan.
"Kita hormati keputusan mahkamah tetapi berasa kesal kerana pemilik rumah tersebut telah menggunakan saluran yang terlalu ekstrem terhadap penghuni rumah terbabit," katanya.
Muhd. Khairun berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan mengambil tindakan dalam waktu terdesak ini untuk membela nasib penghuni rumah itu.
"Kita akan membawa perkara ini ke pengetahuan pihak berkuasa yang berkaitan untuk membantu menyelesaikan masalah ini.
"Apa yang penting kita akan mencari jalan untuk mendapatkan penempatan dan memberi perlindungan pada penghuni Rumah Titian Kasih ini," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan bertemu pihak berkuasa esok supaya penghuni rumah itu dapat lokasi sementara.
"Lebih baik jika kerajaan dapat menyediakan lokasi tetap untuk penghuni ini supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih selesa," katanya.