Thursday, September 9, 2010

Raya Tiba Lagi, Jangan Lupa Pada Yang Tiada



Berikan mereka kail bukan ikan semata-mata! Itulah ungkapan yang popular dalam menterjemahkan bagaimana sikap yang perlu kita tunjukkan dalam membawa mereka yang memerlukan bantuan kearah yang lebih membangun.


Seringkali kita akan menghulurkan bantuan dalam apa jua bantuan apabila ada fakir miskin, miskin, janda, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan. Antara bantuan yang popular ialah wang ringgit dan harta benda ataupun material. Walaupun ia merupakan bantuan yang sangat disukai oleh kebanyakan insan, namun ia adalah sesuatu yang bersifat tidak kekal jika ia tidak diuruskan dengan baik.


Bukahkah sesuatu yang mampu menjana pendapatan yang berterusan lebih baik dan bermanfaat untuk golongan ini.


Menyedari hal ini, maka Program Champion yang merupakan kursus Kraf Komersil diwujudkan. Ia merupakan program untuk menambah pendapatan kepada peserta-peserta e-Kaseh seterusnya mengeluarkan peserta-peserta dari garis kemiskinan. Ia dianjurkan oleh ICU Terengganu (Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu) dan dikendalikan oleh Krafedge Sdn. Bhd. sebagai syarikat pembimbing seterusnya menjadi mentor kepada peserta-peserta tersebut. Program ini mengambil masa selama enam bulan mulai bulan Mei hingga bulan November 2010. Program ini disertai oleh 40 orang peserta senarai e-Kaseh. Peserta e-kaseh merupakan kumpulan miskin tegar, miskin serta ibu tunggal.


Antara produk yang dihasilkan oleh para peserta ialah kraf yoyo yang diberikan sentuhan baru serta pouch bag. Menurut Pengarah Projek, Saudari Norazah bt Asat, antara objektif program ini ialah untuk :
1. Menjana ekonomi peserta melalui program yang mudah, murah dan berkualiti
2. Menambah pendapatan peserta supaya dapat keluar dari garis kemiskinan
3. Memberi ilmu pengetahuan kepada peserta berkenaan kemahiran menggunakan bahan terpakai dan kemahiran dalam diri sendiri
4. Menyediakan kualiti dan perkhidmatan serta pembelajaran yang mudah, ceria dan santai kepada peserta
5. Mendidik peserta menggunakan kemudahan alam semulajadi


Bagi memastikan perjalan projek berjalan lancar, baru-baru ini satu perjumpaan khas telah diadakan bersama peserta projek. Kecerian jelas terbayang apabila hasil kraftangan masing-masing diserahkan kepada pengarah projek.


Selain daripada perbincangan dari hati ke hati, tazkeerah ringkas oleh Saudari Roha Hassan serta pengagihan bahan-bahan untuk projek akan datang, pemberian sumbangan turut dilakukan.


Diakhir perjumpaan, Saudari Norazah Asat dan Roha Hassan turut turun padang untuk menziarahi beberapa ahli yang tidak dapat menghadirkan diri semasa perjumpaan diadakan.


Penyerahan sumbangan kepada golongan yang memerlukan seterusnya di serahkan kepada kumpulan yang terpilih di Kota Bharu Kelantan dan Kuantan Pahang.


~Roha Hassan~