Thursday, May 5, 2011

JJMK 01 Mei (02) - Aku, Selinsing Dan Pengorbanan Ibu


Tuhan!
Izinkan kami menulis tentang dia
Walaupun ada di antara dia yang sudah tidak ada di samping kami lagi
Dia yang sudah tidak bisa membaca apa yang telah kami coret kan ini
Dia yang sudah tidak boleh memberikan ucapan pujian atau teguran
Dia yang tidak boleh ketawa bila kami bersenda, atau mengalir air mata bila terharu atau kelelahan

Tuhanku!
Dia sebenarnya amat banyak baktinya kepada kami

Tuhanku!
Dia sebenarnya sangat sayang dan kasih pada kami

Tuhanku!
Dia sebenarnya sudah menitiskan banyak keringat dan air mata kerana kami

Tuhan!
Sesungguhnya lembaran ini bukan lembaran lengkap
tentang madrasah kami yang pertama
Segala coretan dan nukilan hanyalah secebis pengalaman dan perkongsian
tentang dia yang sungguh istimewa

Tuhan!
Bukan kami ingin memuja dia melebihi diri Mu
Tapi, dari dia kami belajar tentang Mu
Dia yang mendidik kami mengenal dan mencintai Mu
Patuh dan tunduk terhadap perintah Mu
Dia yang Engkau amat muliakan dalam Al-Quran
Dia yang Engkau perintahkan kami taat selagi ia bukan perintah derhaka
Dia yang sangat disanjung oleh para Nabi dan Rasul

Kami sedar ya Ilahi
Bukan kami yang selayaknya memuji
Engkaulah yang lebih utama dalam menghargai dan mengadili
Hatta, walau kering tinta kami, tidak tercatat jasa ibu bapa kami
Namun kerana dia ibu kami
Yang sentiasa berkorban dan memberi
Mohon izinkanlah kami berkongsi
Sebagai bekalan untuk generasi esok dan hari ini
Kelak mereka akan lebih mengasihi dan menyayangi
Kata ibu yang mulia dituruti
Teguran ibu sentiasa dihormati
Nasihat ibu diaplikasikan

Kerana sesungguhnya ibulah madrasah pertama kami

Ya Allah!
Walau dimana jua ibu bapa kami
Di dunia yang sementara
Atau sudah menemui Tuhan nya
Golongkan ibu bapa kami
Di kalangan mereka yang Engkau cintai
Bahagia kan dan selamatkanlah mereka didunia dan akhirat yang abadi
Sepertimana mereka mendidik kami, sejak kecil hingga dewasa hari ini.



Nukilan seterusnya tentang JJMK 01 Mei saya mulakan dengan puisi yang saya tulis khas untuk ibu dan bakal ibu. Saya memilih insan yang sangat mulia ini kerana Allah dan RasululLah saw sendiri meletakkan ibu itu dikalangan yang tinggi dikalangan manusia.

Terlalu banyak yang ingin ditulis bila bicara tentang ibu. Kata orang kasih ibu membawa ke syurga. Kata orang juga syurga di bawah telapak kaki ibu. Tidak kurang juga yang berkata, setiap anak yang hebat itu adalah hasil asuhan ibubapa yang hebat.

Namun, kehebatan dan pengorbanan isteri dan ibu memang bukan hanya pada cerita atau kisah. Kami menemui beberapa orang isteri dan ibu yang sanggup berkorban untuk suami dan anak-anak ketika jalan-jalan Masuk Kampung Sungai Selinsing pada 01 Mei yang lalu.

Ada antara mereka ditinggal suami dengan anak-anak yang menjadi tanggungjawab. Ada pula yang kematian suami tercinta sedang kehidupan mesti diteruskan jua. Ada yang dikurniakan anak yang istimewa, tetap ditatang penuh kasih sayang. Ada yang ditinggalkan dengan anak-anak yatim piatu yang dijaga seperti anak-anak sendiri. Itulah hakikatnya kerana disamping seorang suami dan ayah, isteri dan ibulah pelengkapnya.
Bila menatap wajah dan mata ibu-ibu yang tabah ini, saya teringatkan arwah mak! Prinsip mak, biar kita susah, makan dan pelajaran anak-anak kena sempurna. Kata mak lagi, kalau anak mak lapar nanti jadi pencuri. Ulas mak lagi, kalau anak mak ada pelajaran, kami sekeluarga tak akan miskin lagi. Mak juga sebut, kalau anak mak ada ilmu nanti tau beza apa yang benar, apa yang salah. Prinsip mak buatkan kami tidak pernah lapar walaupun seekor ikan dikongsi ramai-ramai dan kami tidak berani ponteng sekolah walaupun dalam ribut atau hujan! Terima kasih mak, walaupun mak kini sudah tiada disisi kami, mak telah meninggalkan kami keberuntungan oleh nasihat dan sentuhan mak!


Begitulah yang dinamakan mak atau ibu! Samada ibu tinggal atau ibu tunggal. Ibu kandung atau ibu saudara, peranan dan pengorbanan ibu untuk anak-anak, kukuhnya sukar dipertikai. Namun dalam segala kekurangan yang ada, tidak ada ibu yang mahu melihat anak-anaknya hidup tanpa pelajaran atau berteduh disebuah rumah usang atau kekurangan hatta berlapar bila kekurangan!

AlhamdulilLah rakan-rakan wargakilang adalah golongan yang prihatin akan nasib insan-insan yang memerlukan termasuk para ibu tinggal dan ibu tunggal.

Ramai dari kita merupakan para wanita, isteri dan ibu yang tidak diuji dengan ujian kekurangan dan kesempitan dalam hidup. Namun tidak pula kisahnya dengan para isteri dan ibu yang sempat kami ziarahi semasa JJMK 01 Mei yang lalu. Kisah mereka ada dinukilkan dalam blog kawan-kawan kami, iaitu

http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
http://moniermatdin.blogspot.com/
http://pembelasp.blogspot.com/
http://comeybelako.blogspot.com/2011/05/jalan2-masuk-kampung-selinsing-dan-doa.html


JJMK 01 Mei ke selinsing juga adalah satu tazkerah tentang pengorbanan ibu! Sungguh bukan saja para ibu yang menerima sumbangan, malahan tangan para ibu yang memberikan sumbangan.

Kata arwah mak, tangan yang menjahit sehelai baju koyak si anak yatim adalah lebih mulia. Sebab mak rajin jahitkan baju koyak anak-anak yatim yang berlindung bawah kasih sayang mak. Mak ada ramai anak angkat. Kami adik beradik bukan sahaja berkongsi makan sesama kami, tapi berkongsi tangan mak, sebab sesuap mak suapkan kami, sesuap pula mak suapkan anak-anak yatim itu.

Kata mak lagi, bila kita selalu memberi, nanti hati kita jadi lembut dan tidak sombong. Sikap mak menjadikan kami belajar memberi bila kami sendiri bergelar, mak, mama, ummi dan ibu.



Tak lama lagi hari ibu, kita memang tidak kisah sebab hari-haripun hari ibu untuk kita. Namun dalam segala kesibukan rindu-rindukanlah ibu kita yang seorang itu. Ingat-ingatkanlah segala pengorbanannya.

Dalam pada itu, jangan dilupa pada ibu-ibu yang memerlukan bantuan samada di Sungai Selinsing, Gerik atau jiran sebelah. Tangan ibu yang memberi adalah sangat mulia. Oleh itu, jomlah kita jadi ibu yang sentiasa sudi berkorban buat agama, diri, keluarga dan orang lain, tidak kira samada kita ibu kandung, ibu tiri, ibu angkat, ibu tunggal atau ibu tumpang.


~Roha Hassan~

Tuesday, May 3, 2011

JJMK 01 Mei - Dia Dipanggil Allah Setelah 18 Tahun Menjadi Suamiku...

Wahai diri, dalam dunia, mana satukah milik kita?
Suami?
Isteri?
Ibubapa?
Anak-anak?
Harta kekayaan dan wang ringgit?
Pangkat dan kedudukan?
Ijazah dan kelulusan?

Jawapannya: Tiada satupun milik kita! Semuanya milik Allah. Allah boleh memberi kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan boleh mengambil apa sahaja dari kita, bila-bila masa sekalipun sebab, tiada satupun milik kita hatta nyawa sendiri.



Apa yang dialami oleh Puan Sharifah dan 7 orang anak-anaknya adalah senario yang juga pernah dialami oleh ramai dari kita. Kehilangan sesuatu yang kita kasihi dan sayangi.

Mungkin apa yang kita kehilangan itu berbeza, namun kehilangan biasanya adalah sesuatu yang menyakitkan. Terutamanya buat seorang isteri seperti Sharifah, kehilangan suami tercinta seminggu selepas ulangtahun perkahwinan yang ke 18 pasti bukan sesuatu yang mudah.

"Kakak redha dengan pemergian abang walaupun baru lepas seminggu ulangtahun perkahwinan kami yang ke 18" Ujar wanita yang tabah ini. Tiada airmata yang bergenang atau mengalir, hanya senyuman menyambut kehadiran warga NGO Wargakilang yang menziarahi beliau 01 Mei yang lalu.

Barangkali tiada lagi airmata yang boleh ditumpahkan setelah suami tempat bergantung meninggal 17 April yang lalu dihempap kayu balak ketika bekerja.



Hidup adalah putaran yang ada kegembiraan dan kesedihan. Ada kekayaan dan kemiskinan. Ada masa senang, ada masa susah. Ada masa kita membantu, ada masa kita yang memerlukan bantuan.



Untuk wanita tabah seperti Puan Sharifah, hidup mesti diteruskan. Anak-anak yang merupakan amanah dari Allah perlu dititipkan hingga usia yang sesuai untuk dilepaskan. Kata beliau, "Arwah suami Kak berhajat sangat nak melihat anak-anak berjaya. AlhamdulilLah anak Kak sorang dah masuk MRSM". Puan Sharifah beberapa kali menyebut pesanan arwah dalam bab pendidikan 7 orang anak-anak mereka yang masih kecil dan bersekolah.


Begitulah secebis kisah dan harapan Puan Sharifah dan anak-anak. Apapun, disaat-saat seperti ini, saya yakin sesiapapun amat memerlukan bantuan dan sokongan. Sudah tentu bantuan dan sokongan yang bersifat jangka pendek dan jangka panjang bisa menjadi penawar diatas ujian yang mendatang.


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mudah-mudahan Puan Sharifah dan anak-anak dikurniakan kesabaran dan ketabahan. Sedang kita pula sebagai saudara sesama muslim, ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan terhadap sesama muslim yang ditimpa musibah.


“Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita..” Al-Baqarah : 274

Untuk kita yang masih memiliki apa yang memang bukan milik kita, wajar menjadikan kisah Puan Sharifah dan anak-anak sebagai pedoman yang sangat bermanfaat. Siapkan diri, suami, isteri serta anak-anak akan hakikat, tiada satupun atas dunia ini milik kita.


Kelak kita akan lebih memahami bahawa setiap yang Allah pinjamkan kepada kita, boleh diambil Allah bila-bila masa. Allah tidak pernah menzalimi hambaNya. Bahkan sifat tamak, ego, takbur, sombong, tidak bersyukur antara punca Allah mengambil kembali setiap yang dipinjamkanNya.


Tidak kurang pula, Allah mengambil apa yang dipinjamkanNya kepada kita sebagai ujian. Ujian untuk melihat sejauh mana kita sayangkan Allah berbanding selainNya. Ujian untuk mengukur kesabaran kita bila diuji ketika ada berbanding ketika tiada.


Kadangkala Allah juga mengambil miliknya dari kita, demi menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Hanya Allah yang Maha Mengetahui setiap segala sesuatu.


Tabahkanlah hati kita atas segala kehilangan dan sesuatu yang bukan milik kita!

"Allahumma inni a'uzu bika minal hammi walhazan, wa-auzubika minal 'ajzi wal kasal ( Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kesedihan dan kegelisahan. Aku berlindung kepadaMu dari kelemahan dan kemalasan. )...amin Ya Rabbal 'Alameen.."

Kisah JJMK 01 Mei juga boleh dibaca di :

http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
http://moniermatdin.blogspot.com/
http://pembelasp.blogspot.com/

~Roha Hassan~