Tuesday, April 15, 2008
Puisi - Hidup Di Dunia Tanpa Suami
Usahlah bersimpati
kalau ia sekadar pada kata-kata
usahlah kasihan
andai ia hanya pada pandangan
Janganlah menghina
aku mungkin lebih mulia
janganlah mengata
aku mungkin lebih berjaya
janganlah salah sangka
aku mungkin lebih bahagia
Aku mungkin tidak miliki apa yang kau ada
aku barangkali tidak diberikan segala-galanya
aku memang tidak sempurna sebagai seorang wanita
Memang kata-kata pun
kadangkala tidak berupaya
menceritakan apa yang aku rasa
apatah lagi melukiskan apa yang aku ada
Cukuplah jika aku katakan
untuk insan yang menjadikan Tuhan sebagai sandaran
kekurangan ini adalah dugaan yang menjadi perantaraan
agar insan lebih akrab dengan Tuhan
agar penyerahan secara total dilaksanakan
hanya Tuhan yang berhak menjadikan
Sesungguhnya,
tiada yang dijadikan Tuhan tanpa alasan
tiada peristiwa yang dijadikan sekadar kebetulan
tiada ciptaan sekadar mainan
segalanya ada kaitan
Tuhan Maha Mengetahui
pada setiap detik yang diberi
pada setiap nikmat yang dianugerahi
pada setiap takdir yang dikehendaki
tiada yang kurang dan tidak beerti
hanya manusia yang sering kali tidak mengerti
Untuk mu wanita yang masih sendiri
janganlah ditangisi takdir ini
barangkali jodoh belum tiba lagi
kerana Tuhan lebih mengerti dan memahami
melebihi kita mengenali diri sendiri
Buat kalian yang kehilangan suami
kerana menyahut seruan Ilahi
usahlah bersedih hati
kerana dirinya lebih disayangi
janganlah berduka lagi
teruslah berjuang dengan berani
Kalau ada antara dirimu kini sepi
dulu berdua kini sendiri kembali
ditinggal suami yang tidak mensyukuri
memiliki dirimu sebagai isteri
usahlah sekali-kali dikau tangisi
kehilangan suami yang tidak menyayangi
sudah jenuh tubuhmu disakiti
sudah muak hatimu dilukai
bangunlah kembali
rebutlah kembali harga diri yang terlalu tinggi
Hidup didunia tanpa suami
janganlah dianggap ”miskin” dan tidak memiliki
padahal kita sentiasa mempunyai
kasih sayang dan rahmat dari Ilahi
pasrahkan hati, redhakanlah diri
Allah pasti akan memberi apabila tiba masanya nanti
Roha Hassan
Kuala Lumpur
Sunday, April 13, 2008
Dunia Tanpa Suami - Dicerai Pada Malam Pertama
Bab 11 :
Bukan Itu Yang Dipinta : Diceraikan Pada Malam Pertama
Bukan Itu Yang Dipinta : Diceraikan Pada Malam Pertama
”Cukuplah Allah menjadi penolong bagi kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.”
– Surah Ali Imran [3] : 173-
Berada bersamanya membuatkan aku berasa bahagia. Wajahnya yang manis, menyejukkan pandangan. Gadis sederhana tinggi dan berkulit hitam manis itu juga sentiasa kelihatan tenang. Sekali sekala dia tersenyum manis. Jarang kudengar dia ketawa berdekah-dekah. Jauh sekali menutur hal-hal yang tidak berfaedah.
Rasa rendah diri dan tawaduk jelas dilihat pada dirinya. Sudah lima tahun dia menghambakan diri menuntut ilmu di sekolah pondok itu. Sekolah pondok yang terletak di utara tanah air itu menenangkan hatinya. Aku pun, jika rindukan dirinya, akan ke madrasah itu menemuinya. Sepanjang mengenalinya, banyak ujian mampu dilalui dengan tabah dan sabar. Bekalan ilmu dan iman yang dipupuk sekian lama itu banyak membantu dirinya.
Sahabatku Anis adalah salah seorang wanita yang amat kukagumi dalam dunia ini. Bukan pada paras rupa dan kejelitaannya, tetapi pada kesabaran, ketulusan dan ketabahannya.
Wanita mana yang lebih tenang daripada dirinya walaupun diuji dengan ujian yang besar. Anis masih seperti dahulu. Walaupun ujian besar melanda dirinya beberapa tahun yang lalu, dia tidak memerlukan masa yang lama untuk sembuh. Walaupun cincin masih di jari, aku tidak pasti sama ada Anis masih mengingati tarikh keramat itu. Tarikh yang menyaksikan seorang gadis dilukakan hatinya.
Kumulakan perkongsian kisah yang menyayat hati ini dengan catatan yang dikongsikan sendiri oleh Anis. Anis dilamar oleh seorang pemuda melalui ibu saudara pemuda itu. Oleh kerana pemuda yang melamar itu baik daripada sudut agama dan memiliki ciri-ciri suami yang soleh, lamaran itu diterima Anis dengan penuh rasa syukur.
Kami tidak melupakan kegembiraan Anis selepas bergelar tunangan orang. Matanya berseri dan bercahaya. Walaupun tidak over excited dengan berita yang beliau tunggu selama ini, Anis nyata bahagia.
Seperti bakal pengantin lain, Anis menghitung hari untuk diijabkabulkan. Anis mula menelaah buku-buku dan kitab-kitab berkaitan dengan keluarga dan perkahwinan. Beberapa helai baju yang akan dipakai semasa bertandang ke rumah mertuanya dijahit sendiri.
Begitu juga set pakaian pengantin, semuanya dijahit sendiri. Anis tidak terlalu miskin. Namun, sifat zuhudnya terserlah. Dia lebih suka bersikap sederhana. Wajah dan tubuhnya sering disaluti dengan jubah dan purdah berwarna hitam dan kelabu.
Hari yang dinantikan tiba. Kenduri yang sederhana dan meriah berjalan lancar di rumah pengantin perempuan. Anis yang hitam manis kelihatan ayu dibalut pakaian pengantin berwarna kuning air. Tudung Anis yang diletakkan sedikit labuci dan manik-manik menyerlahkan lagi seri pengantin.
Segalanya berjalan lancar. Ketibaan pengantin lelaki dan rombongannya dinantikan dengan penuh debaran. Tidak berapa lama kemudian, terdengar suara riuh rendah mengkhabarkan pengantin lelaki dan rombongannya sudah tiba.
Anis pernah bertemu beberapa kali dengan bakal suaminya dalam pertemuan yang diaturkan oleh orang tengah. Bakal suaminya baik orangnya. Tidak sabar rasanya mahu berbakti sebagai isteri yang solehah. Anis mula berangan-angan memiliki keluarga yang bahagia bersama suami yang soleh dan anak-anak sebagai penyejuk mata.
“Assalamualaikum,” suara wakil pihak lelaki kedengaran, menghentikan lamunan Anis. “Waalaikumussalam. Masuklah.” Kedengaran suara Mak Long Anis menyambut ketibaan pengantin lelaki dan rombongan.
Majlis akad nikah dilangsungkan dengan baik. Cuma, seakan-akan ada perkara buruk yang akan berlaku. Ibu pengantin lelaki serta sanak saudaranya asyik berbisik-bisik seperti tidak berpuas hati. Walaupun majlis tidak mempunyai cacat cela, tetapi wajah ibu mertua dan ipar duai Anis masam mencuka.
Anis sendiri tidak pasti apa yang berlaku. Cuma, setiap kali bersalam dengan ahli rombongan lelaki, keluar kalimat, ”Ingat putih melepak, hitam legam rupanya.” ”Pengantin perempuan dan lelaki tidak sama langsung. Lelakinya putih, perempuannya hitam legam.”
Ditahan-tahan air matanya dengan menganggap itu hanyalah gurau senda. Barangkali begitulah cara keluarganya menyambut keluarga baru. Rupa-rupanya, kalimah yang dilahirkan itu adalah petanda berakhirnya hubungannya dengan suami.
Pada malam itu, tidak seperti pengantin baru yang lain, Anis menangis dengan penuh hiba apabila dijatuhkan talak satu. Anis tidak berkata apa-apa, hanya mendengar luahan suaminya.
Sebelum suaminya menjatuhkan talak, dia dimaklumkan terlebih dahulu sebab mereka perlu berpisah. ”Abang tidak ada apa-apa masalah dengan Anis. Abang sayangkan Anis. Tetapi, apakan daya ibu dan adik-beradik abang tidak merestui. Abang tidak menyangka semua ini akan berlaku. Maafkan Abang.” Azril pun turut bersedih dengan perpisahan itu. Namun, dia kenal benar dengan perangai ibu dan adik-beradiknya. Azril sendiri terkejut. Memang selama ini ibu dan adik-beradiknya kurang gembira dengan pertunangannya. Namun, tindakan mereka pada hari itu amat mengejutkan.
Seminggu sebelum majlis perkahwinan diadakan, ibu dan adik-beradik Azril mula menunjukkan rasa benci yang ketara terhadap Anis. Bayangkan selepas kad dikirim dan jemputan dilakukan, timbul suara-suara sumbang dan tidak puas hati. Ibunya mahu dia memutuskan pertunangan dengan Anis.
Namun, Azril tetap bersabar dan bertenang. Dia memujuk ibu dan adik-beradiknya. Mana mungkin pertunangan mereka diputuskan memandangkan seminggu lagi pernikahan mereka akan berlangsung. Anis pula tidak dimaklumkan langsung berkenaan hal ini. Namun, ibunya dengan tegas memberi amaran kepada Azril supaya menceraikan Anis. Jika tidak, ”Nahaslah Anis.” Itulah ucapan yang menggundahkan hati Azril. Azril tidak menyangka ibunya tidak merestui pertunangan mereka. Namun, kerana malu dengan ibu saudara yang menjadi orang tengah, ibu dan adik-beradik diam-diam menyimpan perasaan tidak puas hati.
”Semua hantaran yang abang beri, termasuk cincin yang tersarung di jari Anis, semua itu adalah milik Anis. Tolong jangan pulangkan. Abang mohon maaf banyak-banyak. Mohon dihalalkan makan minum abang. Bagi abang, Anis tidak ada kurang. Anis tidak bersalah. Cuma, abang takut ibu dan adik-beradik abang akan menyakiti Anis.” Air mata Azril turut mengalir semasa melafazkan kalimah cerai kepada Anis.
Tinggallah Anis sendiri menjahit luka dengan kalimah-kalimah Allah. Merawat duka dengan wuduk dan solat tahajud. Mengubat rindunya dengan zikir dan selawat.
Kini, tahun demi tahun berlalu. Luka dan duka semakin sembuh. Namun, memori peristiwa itu masih jelas sehingga menyukarkan dia membukakan hatinya sekali lagi bagi mana-mana lelaki. Kakinya begitu berat melangkah ke alam perkahwinan lagi. Sehingga saat ini, biarlah dia berada dalam dunia tanpa suami tanpa rasa marah pada takdir. Ketetapan Allah diterimanya dengan tenang dan tabah. Setiap hari Anis terus berdoa, berdoa dan terus berdoa.
Buku Dunia Tanpa Suami Kini Berada Dipasaran - Bah 1
Assalamualaikum wbt...
Buku Dunia Tanpa Suami - Jilid 1 kini berada di pasaran. Harganya RM12 sahaja. Tebal 139 ms sahaja. Baru berada dipasaran pada jumaat, 11 April 2008.
1. Kenapa Buku Ini Dihasilkan
a. Mengubah paradigm masyarakat terhadap golongan wanita yang tidak, belum atau ditinggalkan suami. Melalui perkongsian ini diharap masyarakat lebih bijak dan adil dalam menyantuni wanita-wanita ini.
b. Berkongsi realiti yang berlaku berkaitan dengan wanita yang berada didunia tanpa suami. Satu muhasabah untuk semua yang terlibat.
c. Perkongsian kisah-kisah benar wanita-wanita yang terpilih untuk melalui ujian sebagai wanita di dunia tanpa suami
d. Memberikan motivasi dan mengukuhkan keyakinan diri para wanita yang belum bersuami atau kehilangan suami. Hidup ini perlu diteruskan dengan berani dan berjaya!
e. InsyaAllah 10-20% keuntungan daripada jualan buku ini akan disalurkan ke tabung kebajikan wanita bujang dan ibu tunggal.
Apakah Topik-topik yang terdapat dalam buku Dunia Tanpa Suami
Kandungan
Setulus Penghargaan
Selamat Datang Ke Dunia Tanpa Suami
Bahagian I : Antara Realiti Dan Fantasi
1. Senario Hari Ini
2. Mentaliti Orang Kita
3. Tiada Jodoh atau Memilih
4. Menongkah Arus Kebiasaan
5. Salahkah Dia
Bahagian II : Kisah Benar Wanita-Wanita Terpilih
6. Aku Sudah Jemu Menunggu
7. Kerana Cinta nya Pada Ayah dan bonda
8. Suratan Atau Kebetulan vs Suratan Atau Sumpahan
9. Mangsa Jerat Cinta
10. Renungan Matanya Yang Redup
11. Bukan Itu Yang Dipinta : Diceraikan Pada Malam Pertama
12. Doa Insan Teraniaya
13. Airmata Seorang Wanita
14. Pernahkah Kau Mengerti
Bahagian III : Puisi Indah Buat Mu
15. Bunga-bunga Bangsa Dan Agama
16. Hidup Didunia Tanpa Suami
17. Airmata Seorang Wanita
18. Mawarpun Punya Duri
19. Menjadi Seorang Wanita
Epilog
Setulus Penghargaan
Selamat Datang Ke Dunia Tanpa Suami
Bahagian I : Antara Realiti Dan Fantasi
1. Senario Hari Ini
2. Mentaliti Orang Kita
3. Tiada Jodoh atau Memilih
4. Menongkah Arus Kebiasaan
5. Salahkah Dia
Bahagian II : Kisah Benar Wanita-Wanita Terpilih
6. Aku Sudah Jemu Menunggu
7. Kerana Cinta nya Pada Ayah dan bonda
8. Suratan Atau Kebetulan vs Suratan Atau Sumpahan
9. Mangsa Jerat Cinta
10. Renungan Matanya Yang Redup
11. Bukan Itu Yang Dipinta : Diceraikan Pada Malam Pertama
12. Doa Insan Teraniaya
13. Airmata Seorang Wanita
14. Pernahkah Kau Mengerti
Bahagian III : Puisi Indah Buat Mu
15. Bunga-bunga Bangsa Dan Agama
16. Hidup Didunia Tanpa Suami
17. Airmata Seorang Wanita
18. Mawarpun Punya Duri
19. Menjadi Seorang Wanita
Epilog
Komen Kawan-Kawan Yang Sudah Membaca
1. salam. saya dah baca buku roha tu. Mengalir airmata kerana isu-isu yang diketengahkan benar belaka. Mungkin ada isu lain dalam jilid 2 nanti. Semoga usaha roha ni diberkatiNya. Mengunggul dan Memperkasa wanita tanpa suami.
2. Dok baca buku Dunia Tanpa Suami. Tahniah! Bisa membahagiakan ramai wanita n mengubah paradigm masyarakat.
Jzkk kepada semua yang sentiasa menyokong!
Jzkk,
Roha Hassan
Subscribe to:
Posts (Atom)