Bukan Itu Yang Dipinta : Diceraikan Pada Malam Pertama
”Cukuplah Allah menjadi penolong bagi kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.”
– Surah Ali Imran [3] : 173-
Berada bersamanya membuatkan aku berasa bahagia. Wajahnya yang manis, menyejukkan pandangan. Gadis sederhana tinggi dan berkulit hitam manis itu juga sentiasa kelihatan tenang. Sekali sekala dia tersenyum manis. Jarang kudengar dia ketawa berdekah-dekah. Jauh sekali menutur hal-hal yang tidak berfaedah.
Rasa rendah diri dan tawaduk jelas dilihat pada dirinya. Sudah lima tahun dia menghambakan diri menuntut ilmu di sekolah pondok itu. Sekolah pondok yang terletak di utara tanah air itu menenangkan hatinya. Aku pun, jika rindukan dirinya, akan ke madrasah itu menemuinya. Sepanjang mengenalinya, banyak ujian mampu dilalui dengan tabah dan sabar. Bekalan ilmu dan iman yang dipupuk sekian lama itu banyak membantu dirinya.
Sahabatku Anis adalah salah seorang wanita yang amat kukagumi dalam dunia ini. Bukan pada paras rupa dan kejelitaannya, tetapi pada kesabaran, ketulusan dan ketabahannya.
Wanita mana yang lebih tenang daripada dirinya walaupun diuji dengan ujian yang besar. Anis masih seperti dahulu. Walaupun ujian besar melanda dirinya beberapa tahun yang lalu, dia tidak memerlukan masa yang lama untuk sembuh. Walaupun cincin masih di jari, aku tidak pasti sama ada Anis masih mengingati tarikh keramat itu. Tarikh yang menyaksikan seorang gadis dilukakan hatinya.
Kumulakan perkongsian kisah yang menyayat hati ini dengan catatan yang dikongsikan sendiri oleh Anis. Anis dilamar oleh seorang pemuda melalui ibu saudara pemuda itu. Oleh kerana pemuda yang melamar itu baik daripada sudut agama dan memiliki ciri-ciri suami yang soleh, lamaran itu diterima Anis dengan penuh rasa syukur.
Kami tidak melupakan kegembiraan Anis selepas bergelar tunangan orang. Matanya berseri dan bercahaya. Walaupun tidak over excited dengan berita yang beliau tunggu selama ini, Anis nyata bahagia.
Seperti bakal pengantin lain, Anis menghitung hari untuk diijabkabulkan. Anis mula menelaah buku-buku dan kitab-kitab berkaitan dengan keluarga dan perkahwinan. Beberapa helai baju yang akan dipakai semasa bertandang ke rumah mertuanya dijahit sendiri.
Begitu juga set pakaian pengantin, semuanya dijahit sendiri. Anis tidak terlalu miskin. Namun, sifat zuhudnya terserlah. Dia lebih suka bersikap sederhana. Wajah dan tubuhnya sering disaluti dengan jubah dan purdah berwarna hitam dan kelabu.
Hari yang dinantikan tiba. Kenduri yang sederhana dan meriah berjalan lancar di rumah pengantin perempuan. Anis yang hitam manis kelihatan ayu dibalut pakaian pengantin berwarna kuning air. Tudung Anis yang diletakkan sedikit labuci dan manik-manik menyerlahkan lagi seri pengantin.
Segalanya berjalan lancar. Ketibaan pengantin lelaki dan rombongannya dinantikan dengan penuh debaran. Tidak berapa lama kemudian, terdengar suara riuh rendah mengkhabarkan pengantin lelaki dan rombongannya sudah tiba.
Anis pernah bertemu beberapa kali dengan bakal suaminya dalam pertemuan yang diaturkan oleh orang tengah. Bakal suaminya baik orangnya. Tidak sabar rasanya mahu berbakti sebagai isteri yang solehah. Anis mula berangan-angan memiliki keluarga yang bahagia bersama suami yang soleh dan anak-anak sebagai penyejuk mata.
“Assalamualaikum,” suara wakil pihak lelaki kedengaran, menghentikan lamunan Anis. “Waalaikumussalam. Masuklah.” Kedengaran suara Mak Long Anis menyambut ketibaan pengantin lelaki dan rombongan.
Majlis akad nikah dilangsungkan dengan baik. Cuma, seakan-akan ada perkara buruk yang akan berlaku. Ibu pengantin lelaki serta sanak saudaranya asyik berbisik-bisik seperti tidak berpuas hati. Walaupun majlis tidak mempunyai cacat cela, tetapi wajah ibu mertua dan ipar duai Anis masam mencuka.
Anis sendiri tidak pasti apa yang berlaku. Cuma, setiap kali bersalam dengan ahli rombongan lelaki, keluar kalimat, ”Ingat putih melepak, hitam legam rupanya.” ”Pengantin perempuan dan lelaki tidak sama langsung. Lelakinya putih, perempuannya hitam legam.”
Ditahan-tahan air matanya dengan menganggap itu hanyalah gurau senda. Barangkali begitulah cara keluarganya menyambut keluarga baru. Rupa-rupanya, kalimah yang dilahirkan itu adalah petanda berakhirnya hubungannya dengan suami.
Pada malam itu, tidak seperti pengantin baru yang lain, Anis menangis dengan penuh hiba apabila dijatuhkan talak satu. Anis tidak berkata apa-apa, hanya mendengar luahan suaminya.
Sebelum suaminya menjatuhkan talak, dia dimaklumkan terlebih dahulu sebab mereka perlu berpisah. ”Abang tidak ada apa-apa masalah dengan Anis. Abang sayangkan Anis. Tetapi, apakan daya ibu dan adik-beradik abang tidak merestui. Abang tidak menyangka semua ini akan berlaku. Maafkan Abang.” Azril pun turut bersedih dengan perpisahan itu. Namun, dia kenal benar dengan perangai ibu dan adik-beradiknya. Azril sendiri terkejut. Memang selama ini ibu dan adik-beradiknya kurang gembira dengan pertunangannya. Namun, tindakan mereka pada hari itu amat mengejutkan.
Seminggu sebelum majlis perkahwinan diadakan, ibu dan adik-beradik Azril mula menunjukkan rasa benci yang ketara terhadap Anis. Bayangkan selepas kad dikirim dan jemputan dilakukan, timbul suara-suara sumbang dan tidak puas hati. Ibunya mahu dia memutuskan pertunangan dengan Anis.
Namun, Azril tetap bersabar dan bertenang. Dia memujuk ibu dan adik-beradiknya. Mana mungkin pertunangan mereka diputuskan memandangkan seminggu lagi pernikahan mereka akan berlangsung. Anis pula tidak dimaklumkan langsung berkenaan hal ini. Namun, ibunya dengan tegas memberi amaran kepada Azril supaya menceraikan Anis. Jika tidak, ”Nahaslah Anis.” Itulah ucapan yang menggundahkan hati Azril. Azril tidak menyangka ibunya tidak merestui pertunangan mereka. Namun, kerana malu dengan ibu saudara yang menjadi orang tengah, ibu dan adik-beradik diam-diam menyimpan perasaan tidak puas hati.
”Semua hantaran yang abang beri, termasuk cincin yang tersarung di jari Anis, semua itu adalah milik Anis. Tolong jangan pulangkan. Abang mohon maaf banyak-banyak. Mohon dihalalkan makan minum abang. Bagi abang, Anis tidak ada kurang. Anis tidak bersalah. Cuma, abang takut ibu dan adik-beradik abang akan menyakiti Anis.” Air mata Azril turut mengalir semasa melafazkan kalimah cerai kepada Anis.
Tinggallah Anis sendiri menjahit luka dengan kalimah-kalimah Allah. Merawat duka dengan wuduk dan solat tahajud. Mengubat rindunya dengan zikir dan selawat.
Kini, tahun demi tahun berlalu. Luka dan duka semakin sembuh. Namun, memori peristiwa itu masih jelas sehingga menyukarkan dia membukakan hatinya sekali lagi bagi mana-mana lelaki. Kakinya begitu berat melangkah ke alam perkahwinan lagi. Sehingga saat ini, biarlah dia berada dalam dunia tanpa suami tanpa rasa marah pada takdir. Ketetapan Allah diterimanya dengan tenang dan tabah. Setiap hari Anis terus berdoa, berdoa dan terus berdoa.
2 comments:
Salam, tahniah roha atas perkongsian yang berani dan bermunafaat ini...simpan satu untuk kak, bila bila kita jumpa kak ambik buku ni dr roha. Cari dan pilihlah untuk bahgia, bersendiri bukan alasan untuk berkabung.
Roha..entah bila nak jumpa Roha nak dapatkan buku ni.Pandaila Roha buat promo..sedihla baca cerita tu..okay simpan satu ye...
Selalu jugalah...akak singgah2 di blog roha ni..cuma baru sekrang pandai sikit nak guna kemudahan ni...nak cari sahabat2 baru di alam maya sambil berkongsi cerita, pengalaman dan macam2 lagi.
Tahniah....jemputla singgah ke blog ummu asiah.
Post a Comment