Nabi saw. bersabda: “Bila Ramadhan tiba, pintu-pintu surga dibuka, dan pintu-pintu neraka ditutup, sementara syaitan-syaitan diikat.” (HR. Bukhari-Muslim).
“Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan kesedaran iman dan penuh harapan ridha Allah, akan diampuni semua dosa-dosa yang lalu.” (HR. Bukhari-Muslim).
“Orang yang berpuasa doanya tidak ditolak, terutama menjelang berbuka.” (HR. Ibn Majah, sanad hadits ini sahih).
Begitu hebatnya bulan Ramadhan dan ganjaran yang disediakan oleh Allah swt dapat kita hayati melalui ayat-ayat Al-Quran dan Hadis. Namun bagaimanakah kita selaku hamba tidak kira dewasa atau remaja dapat melaksanakannya sebaik mungkin?
Berikut dikongsikan beberapa persediaan yang boleh kita ambil untuk mempersiapkan diri menghadapi dan melalui Ramadhan. Mudah-mudahan tips ini dapat membantu saudari dan semua remaja bersungguh-sungguh menunaikan ibadah puasa yang akan tiba tidak lama lagi;
1. Berdoalah agar Allah swt. memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan dalam keadaan sihat. Mudah-mudahan kita dapat melaksanakan ibadah puasa dan lain-lain sepanjang Ramadhan dengan penuh ketaatan dan kesungguhan. Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa Rasulullah saw. apabila masuk bulan Rejab selalu berdoa yang ertinya, “ Ya Allah, berkahilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban; dan sampaikan kami ke bulan Ramadan.” (Riwayat Ahmad dan Tabrani)
1. Bergembiralah dengan kedatangan bulan Ramadan. Rasulullah saw. selalu memberikan khabar gembira kepada para sahabat setiap kali datang bulan Ramadan, “Telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan yang penuh berkah. Allah telah mewajibkan kepada kalian untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka.” (Riwayat Ahmad). Jangan ada dalam hati kita rasa resah gelisah bila hampir dengan bulan Ramadhan. Tidak sepatutnya rasa bimbang tidak dapat makan di waktu siang hari atau gundah sebab perlu menjaga beberapa larangan sepanjang Ramadhan.
2. Rancanglah agenda kegiatan untuk mendapatkan manfaat sebesar mungkin dari bulan Ramadhan. Ramadhan sangat singkat. Kerana itu, isi setiap detiknya dengan amalan yang berharga, yang dapat membersihkan diri, dan mendekatkan diri kepada Allah. Dari sudut aktiviti rutin seorang remaja hendaklah dilalui seperti biasa malahan lebih baik sepanjang Ramadhan. Jangan jadikan Ramadhan sebagai alasan untuk ponteng kelas atau tidur di dalam kelas.
3. Bertekadlah mengisi waktu-waktu Ramadan dengan kebaikan. Susunlah agenda kehidupan dengan teratur dan mengamalkannya dengan jujur. Sesungguh Allah pasti membantu mana-mana hambanya yang berusaha dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan sesuatu. Seimbangkan diantara kesibukan belajar dan beribadah.
4. Sambutlah Ramadan dengan membuka lembaran baru yang bersih. Kukuhkanlah kasih sayang kepada Allah, Rasulullah saw, ibubapa, ahli keluarga, rakan-rakan, guru-guru dan masyarakat. Jadilah orang yang paling bermanfaat bagi mereka. Sebab, manusia yang paling baik adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.
5. Mengambil pelbagai iktibar daripada ibadah puasa dengan memanjatkan kesyukuran yang tiada hentinya kepada Allah swt. Berlapar dan dahaga membuat kita berasa insaf dengan keadaan rakan-rakan kita yang sepanjang hidup berada dalam kebuluran dan peperangan.
~Roha Hassan~