Ketika itu hati saya berbisik, “betapa tenangnya gadis istimewa ini, berjalan penuh keyakinan seakan-akan tidak peduli pada kecacatan ketara yang ada pada dirinya”. Ketika itu saya berasa kagum dan bersyukur kepada allah kerana allah mengurniakan kesempurnaan fizikal kepada saya. Padahal ada ramai lagi insan yang kurang bernasib baik dari saya. Ketika itu pandangan saya sudah dialihkan ke arah dua orang lelaki yang sedang tekun menjahit kasut-kasut yang rosak di kaki lima. Agaknya berapalah pendapatan mereka setiap hari. Bagaimana mereka begitu tabah tanpa rasa malu walaupun tempat mencari rezeki sekadar kaki lima. Bukankah semua ini memerlukan ketabahan dan kesabaran yang amat tinggi?
Itulah antara liku-liku kehidupan insan. Ada yang kaya tetapi tidak pernah bahagia. Ada yang miskin namun sentiasa ceria. Ada yang cantik jelita, tetapi akhlaknya punah ranah. Ada yang cacat fizikal namun baik pekertinya. Ada yang bijak, tetapi tidak amanah. Ada yang kurang cerdik tetapi boleh dipercayai. Ada yang memiliki segala-galanya tapi hatinya lemah. Ada yang serba kekurangan tetapi berjiwa besar.
Saya empati pada elly yang harus melalui ujian seumpama ini. Namun kagum dengan keinginan yang dimiliki. Pada dasarnya setiap masalah boleh diselesaikan. Namun setiap penyelesaian mesti bermula dengan usaha.
Berikut ialah antara usaha yang boleh dilakukan;
Bersyukurlah – satu kalimah yang mudah tapi amat sukar untuk dilaksanakan. Namun itulah didikan yang diberikan tuhan kepada setiap hambanya. Bermula sejak waktu pagi ketika bangun dari tidur, kita dianjurkan berdoa tanda kesyukuran kerana masing dipanjangkan usia. Bayangkan andai kita baring di malam hari, lantas tidak bangun esok paginya. Padahal amal ibadah belum cukup. Sedangkan kita belum sempat bertaubat. Tentulah kita amat beruntung diberikan masa lagi untuk bertaubat dan beramal. Seterusnya kita juga dianjurkan agar berdoa ketika hendak makan kerana di hadapan kita ada rezeki yang allah kurniakan. Bayangkan jutaan penduduk dunia lain yang sedang kebuluran.
Untuk kes elly, bersyukurlah kerana masih punya keluarga. Walaupun miskin dan cacat. Masih ramai manusia di seluruh dunia ini yang tidak pernah melihat ibubapa sejak dilahirkan. Terlalu ramai pula yang sudah kematian ibu dan bapa.
Berfikiran positif – setiap perkara bermula dari minda kita. Fikiran yang positif akan menghasilkan aura dan tindakan yang positif. Ambillah sekeping kertas, senaraikan semua perkara positif yang ada pada diri kita. Kemudian senaraikan hal-hal positif yang ingin kita lakukan. Disamping itu senaraikan pula perkara-perkara positif yang ada pada keluarga kita. Setelah disenaraikan, mula bertindak secara positif seperti yang dirancang. Kita boleh bermula dengan sedikit tetapi berterusan. Kelak kita akan dikuasai oleh sikap dan nilai-nilai yang positif.
Melihat orang lain yang lebih susah dan kurang berbanding kita – perkara ini ada kaitan dengan sifat syukur tadi. Salah satu cara allah mendidik kita ialah dengan melihat segala kejadian yang berlaku disekeliling kita. Lihatlah manusia dan alam di sekitar kita. Kalau kita berasa sedih kerana keluarga kita miskin, kita masih jauh beruntung kerana dalam kemiskinan mereka mampu menyekolahkan kita. Kalau kita malu mempunyai seorang adik yang cacat, kita masih beruntung sebab punya adik manakala kita sendiri tidak cacat fizikal. Kalau kita malu dan sedih untuk berhadapan dengan orang lain atas kekurangan kita, saksikanlah keadaan rakyat palestine yang menderita di bumi sendiri. Hidup dalam peperangan dan kesakitan. Tapi mereka sangat tabah dan hebat jiwanya.
Fokus pada kelebihan – belajarlah untuk fokus pada kelebihan yang ada pada diri dan keluarga. Allah maha adil, setiap kita memiliki kekuatan dan kelemahan masing-masing. Fokuslah pada kekuatan atau kelebihan yang allah kurniakan pada setiap kejadiannya. Tumpuan yang lebih kepada kelebihan dan kekuatan bukan beerti kita harus menjadi insan yang bongkak dan sombong. Fokus ada kelebihan mampu membina keyakinan diri yang tinggi. Dengan keyakinan diri yang tinggi kita mampu melihat dunia dari sudut yang lebih besar.
Tingkatkan usaha untuk mengubah nasib diri dan keluarga – jadikanlah kemiskinan dan kekurangan sebagai sumber inspirasi untuk ke mercu kejayaan tingkatkan usaha untuk membuktikan kita mampu walaupun serba kekurangan.. Berazamlah untuk mengubah nasib diri dan keluarga. Bayangkan betapa beruntungnya kita dan keluarga jika kita menjadi agen perubah. Bayangkan dengan usaha kita, kelak kita dan keluarga tidak miskin lagi. Allah tidak akan mengubah nasib kita jika kita tidak berusaha sedaya upaya. Setelah berusaha bertawakkallah.
Mudah-mudahan panduan yang sedikit ini mampu membuatkan anda merasa lebih yakin dalam menghadapi hari-hari mendatang.
Nurdinie sufi
No comments:
Post a Comment