Tuesday, October 7, 2008

Anda Bijak Jauhi Zina - Part 1

Assalamualaikum wbt...

Anda Bijak Jauhi Zina!


Baru-baru ini saya dan rakan-rakan daripada Raudhatus Sakinah iaitu ummi rose (pengarah RS) dan Kak Yus (Pengerusi RS Selangor) juga rakan-rakan lain di RS, wanita JIM negeri dan daerah telah memberikan pengisian berkaitan dengan kempen "Anda Bijak Jauhi Zina" di merata tempat.

Tentu sahabat-sahabat semua tertanya-tanya apa itu kempen Anda Bijak Jauhi Zina. Itu perihal tersebut, kita akan kongsi selepas ini. Sebelum ini, sila baca soalan daripada saya seorang remaja yang merupakan salah satu sebab kenapa kita, harus merancakkan lagi kempen, "Anda Bijak Jauhi Zina"

============================

Soalan
Assalamualaikum wbt,
Saya adalah seorang mahasisiwi di sebuah IPT. Saya memiliki teman rapat yang memiliki teman lelaki. Hubungan mereka seperti 'belangkas'. Teman rapat saya merupakan seorang pelajar yang pintar dan beberapa kali telah menerima hadiah kecemerlangan pelajaran. Dia juga telah memaklumkan bahawa beliau telah beberapa kali terlanjur dengan pasangannya. Memang saya tidak merestui perbuatannya. Malahan akhir-akhir ini saya melihat terdapat beberapa perubahan ketara pada dirinya. Sebagai teman, saya jadi gundah. Saya risau dia akan hamil. Lagipun ia satu perbuatan yang berdosa. Mohon input untuk saya membantu teman saya ini. Saya juga ingin membantu kawan-kawan lain yang bersikap seperti teman rapat saya ini.


Terimakasih.
Nuraliyah, Selangor
----------------------------------------------------------------------------------


Jawapan

Waalaikummussalam wbt,
Teman yang baik ialah teman yang gembira melihat temannya bahagia serta melakukan kebajikan. Dalam masa yang sama akan rasa sedih dan gundah bila melihat temannya berada dalam kesedihan atau melakukan perbuatan mungkar.

Jadi, memang wajar untuk saudari memberikan nasihat dan peringatan kepada teman yang lain. Terutamanya dalam perihal yang boleh memudaratkan diri serta masa depan mereka. Berilah nasihat dan peringatan mengikut kemampuan kita masing-masing. Mudah-mudahan, ada hati yang diberikan hidayah oleh Allah atas nasihat yang kita berikan.

Berkaitan dengan perbuatan teman rapat saudari, Kak Roha ingin kongsikan beberapa peringatan yang mungkin boleh membantu saudari ketika memberikan peringatan kepada beliau.

Allah berfirman dengan maksudnya, "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar." (Al-Israk : 32-33)

Islam mengharuskan hubungan halal di antara lelaki dan wanita melalui perkahwinan. Malah, Islam menganggap perkahwinan sebagai sebahagian daripada amal soleh dan ibadat kepada Allah. Islam mahu menjadikan perkahwinan itu satu pekerjaan yang mudah dibuat dalam masyarakat serta menjadikan zina itu sebagai pekerjaan paling sukar dilakukan. Kerana itu, Islam menggariskan konsep hijab yang juga merupakan kod etika atau pedoman bagi lelaki dan wanita berurusan dalam masyarakat.

Sistem hijab menekankan kepada menjaga batas pergaulan, adab berpakaian di kalangan ahli keluarga lelaki dan perempuan, dan adab menutup aurat di hadapan mereka yang halal dinikahi. Ia juga menekankan supaya menjauhi diri daripada syahwat yang tersembunyi, dengan cara menundukkan pandangan terhadap media lucah, pandangan berahi dan pendedahan aurat.

Remaja dan belia harus dididik supaya bertanggungjawab di atas segala tindakan mereka, yang akan memberi kesan pada kemudian hari. Sekali mereka terjebak, kesudahannya penyesalan sepanjang hayat!

Apakah kesan bagi remaja dan belia IPT ini apabila berlaku kehamilan di luar nikah?
1. Mereka dibuang dari IPT atau digantung pengajian. Bayangkan perasaan malu yang menimpa serta masa depan yang gelap! Mereka juga terpaksa bekerja dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia saja.

2. Mereka menggugurkan kandungan dan dalam keadaan jahil, berterusan melakukan zina, hingga ada yang telah berkali-kali ke klinik untuk melakukan pengguguran! Perlu ditegaskan, melakukan pengguguran berulangkali dalam tempoh terdekat pada usia remaja boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem reproduksi dan mendatangkan pelbagai komplikasi pada masa depan.

3. Menghidap penyakit kelamin seperti herpes, sifilis dan AIDS. Ini biasa berlaku kepada remaja perempuan yang berpasangan dengan lelaki dewasa yang sering pula bertukar-tukar pasangan.

4. Dibuang keluarga yang malu akibat perbuatan aib mereka. Kasihan pada ibubapa dan keluarga yang bekerja keras memastikan kita berjaya hingga ke IPT. Alangkah pilu anak yang ditatang bagai minyak yang penuh menconteng arang ke wajah mereka. Apabila dibuang keluarga, tentu hidup individu ini akan terbiar. Betapa sedih dan sukar hidup tanpa keluarga.

5. Terpaksa bernikah secara tergesa-gesa tanpa persediaan mental dan emosional yang stabil. Pernikahan secara tergesa-gesa sudah pasti mengundang pelbagai kegawatan selepas itu. Mulalah kedua pihak saling ungkit mengungkit dan tuduh menuduh apabila menghadapi perlbagai rintangan mendatang.

6. Mengalami penderitaan emosi, terutamanya apabila si lelaki tidak mahu bertanggungjawab atau menghilangkan diri. Kisah si lelaki yang melarikan diri apabila pasangannya hamil bukan kisah baru atau khayalan. Perkara ini memang sering berlaku dalam masyarakat. Tinggallah si gadis menanggung segala keperitan dan penderitaan seorang diri.

7. Gangguan mental juga boleh dialami oleh remaja atau belia perempuan yang melalui senario ini apabila memikirkan masa depannya yang gelap.
Melihatkan kepada kesan-kesan buruk yang begitu banyak. Lebih bijak untuk remaja dan belia menjauhi zina. Untuk yang sudah terlanjur, bertaubat, berkahwin dan baikilah kesalahan yang telah dilakukan. Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa-dosa kita. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat mereka yang benar-benar mahu membersihkan diri mereka dari dosa dan noda.

~Roha Hassan~

No comments: