Soalan
Saya sebenarnya malu untuk bertanya tentang perihal ini. Namun saya bimbang jika berterusan begini. Saya suka meniru rakan-rakan dalam ujian dan peperiksaan setiap kali ada kesempatan. Bermula dari sekolah rendah hinggalah sekarang. Saya baru sahaja melanjutkan pelajaran ke Kolej, namun tabiat meniru ini masih berlaku. Yang lebih teruk, saya juga semakin kerap menipu. Tabiat meniru dan menipu saya ini sebenarnya bukan sahaja memalukan, malahan memudaratkan hubungan baik saya dengan rakan-rakan. Banyak kali juga saya "kantoi". Tapi masih tidak mampu menghentikan tabiat ini. Baru-baru ini saya bergaduh besar dengan orang yang saya sayang kerana hal ini menyebabkan saya berazam untuk mengubah tabiat ini. Namun saya memerlukan kekuatan untuk melakukannya. Tolonglah berikan saya panduan dan nasihat yang sewajarnya.
Suzana Abdullah
Kuala Lumpur
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Jawapan
Assalamualaikum wbt
Suzana,
Anda berhak mnerima ucapan tahniah untuk dua langkah pertama yang diambil. Pertama mengakui kelemahan diri manakala langkah kedua ialah mencari jalan mengatasinya.
Kita memang maklum perbuatan meniru merupakan satu kerugian kepada yang mengamalkannya. Meniru memang memudahkan pada awalnya. Tetapi kesan yang amat buruk jika kita tertangkap ketika meniru. Kita mungkin dibuang dari Kolej. Selain dari itu, sijil dan anugerah yang diterima, mungkin ditarik balik. Kita pasti akan mendapat malu.
Risiko lain ialah kehilangan rasa hormat dari orang lain, rakan-rakan menjauhkan diri, memusnahkan harapan keluarga juga memalukan ibubapa, dicop sebagai peniru dan penipu sepanjang hayat dan banyak kali keburukannya.
Apabila membicarakan persoalan meniru dan menipu ini, sebenarnya ia merangkumi beberapa perkara. Meniru sebenarnya termasuk dalam kategori menipu. Selain daripada itu janji bohong, berkata dusta, khianat pada janji, membocorkan rahsia, memberikan alasan yang dusta, memperdayakan orang lain juga jatuh dalam kategori menipu. Saya kurang pasti tindakan yang mana, yang sering dilakukan oleh saudari Suzana. Namun, kita akan sama-sama berkongsi keburukan dan beberapa panduan mengatasinya bersama-sama.
Pepatah melayu ada mengungkapkan kalimat ini. "Siakap Senohong, Gelama Ikan Duri. Bercakap Bohong, Lama-lama Mencuri"
Manakala sabda RasululLah saw pula bermaksud, "Tiga perkara, barangsiapa yang berada di dalamnya, maka ia dicap munafik, sekalipun ia puasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang muslim, iaitu; Bila berbicara ia bohong, bila berjanji ia mungkir, dan bila menerima amanat ia khianat".
Menepati janji itulah adalah wajib. Sebab itulah setiap kali berjanji kita mesti berazam untuk menepatinya. Kalau berjanji namun berazam untuk tidak menepatinya, maka termasuklah kita di dalam golongan yang disebutkan dalam hadis RasululLah SAW tadi.
Bagaimanakah kita boleh memulihkan sifat benar dalam diri kita dan menghalau sikap dusta dan menipu dalam diri kita. Mari kita renungkan beberapa nasihat yang diberikan oleh Imam Al-Ghazali yang dipetik dari bukunya yang sangat popular iaitu, "Bimbingan Mukminin". Mudah-mudahan nasihat beliau mampu meningkatkan keazaman dan menunjukkan jalan kepada kita mengurangkan seterusnya meninggalkan sifat buruk iaitu menipu dari diri kita.
Menurut imam Al-Ghazali, hakikat benar itu terbahagi kepada lima bidang, iaitu :
Benar dalam tutur bicara – Adalah wajar untuk setiap kita berkata benar dalam tuturkata. Setiap hamba wajar menjaga lidahnya dari tutur yang tidak benar, malah janganlah berbicara selain yang benar sahaja. Tidak akan sempurna hakikat benar dalam tutur bicara melainkan dengan menghindari kata-kata yang menyimpang. Kata-kata yang menyimpang itu adalah pembuka kepada pintu alasan untuk berdusta.
Benar dalam niat dan tujuan – Teras yang disebut dalam sesuatu niat dan tujuan ialah ikhlas, iaitu jangan sampai ada sesuatu gejala yang mempengaruhi gerak geri atau diamnya seseorang itu, kecuali Allah swt. Jika niat bercampuraduk dengan kekotoran oleh dorongan nafsu, nescaya rosaklah kebenaran niat di dalam hati dan jadilah ia seorang pendusta.
Benar dalam keazaman – Benar dalam keazaman ialah membulatkan niat dalam masa beramal dengan sekuat-kuat azam. Untuk mejadi seorang yang benar, hendaklah keazamannya dalam masa beramal taat dan membuat berbagai kebajikan itu dengan hati dan tekad bulat, sempurna dan kuat. Tidak condong kepada pengaruh-pengaruh yang lain, tidak lemah dan tidah berbolak balik. Malah seluruh jiwa dan raganya hendaklah berhasrat dengan penuh keazaman dalam masa membuat kebajikan-kebajikan itu.
Benar dalam menepati janji – Memang mudah sekali bagi jiwa mencita-citakan sesuatu, lebih lebih lagi mempunyai tekad keazaman di masa kini, sebab lidah tidak bertulang, dan untuk membuat janji dan azam memang tidaklah sukar kerana risikonya tidak berat. Tetapi apabila segala yang dicita-citakan itu menjadi hakikat dan segala yang dituntutnya itu telah tercapai, akan berkobarlah nafsu dan shahwat untuk mempengaruhi keazaman yang tadi sehinggalah akhirnya keazaman yang mula-mula itu menjadi meleset. Nyatalah menepati janji itu bukanlah sesuatu yang mudah namun kita hendaklah berusaha menepati janji kita, supaya kita dapat dijumlahkan sebagai orang-orang yang benar.
Benar dalam amalan – Orang-orang yang benar dalam mengerjakan amalannya ialah orang-orang yang berusaha dengan rajin, sehingga amalan lahiriahnya itu tidak menampakkan sifat-sifat batinnya yang bertentangan. Benar dalam amalan itu ialah persamaan gerak geri yang batin dengan gerak geri yang lahir. Umpamanya, apa yang terdetik dalam batin, hendaklah tampak sama seperti lahirnya, ataupun harus lebih baik dari yang lahir, sebagaimana digambarkan oleh seorang penyair, "Jika batin dan lahir seseorang mukmin itu sama, hidupnya mulia, dunia akhirat menerima sanjungan dan puja. Kalau yang lahir dengan yang batin pula berbeda, tiadalah sanjungan. Malah hidupnya payah penuh sengsara
~ Roha Hassan~