Kita dan alam. Mungkinkah terasing oleh perbezaan fizikal dan fungsi. Cukup kenalkah diri kita pada diri dan alam. Pernahkah kita bertanya pada diri atau mengajak diri, "kenali diriku". Sudahkah pula kita mengenal alam yang selama ini menjadi sahabat paling akrab.
Acapkali kita akan bersungut. Busuknya kawan persekitaran kita. Atau kita bersungut, kotornya sungai. Lebih hebat kita akan bersungut, hujan lagi. Atau...aduhhh panasnya cuaca hari ini.
Namun pada hakikatnya, kita dan alam memang tidak dapat dipisahkan. Malahan saling bergantung dan memerlukan. Namun kekurangan kita dari sudut memahami alam amat ketara. Kita jarang muhasabah diri terhadap hak alam. Namun kita lebih kerap menyalahkan alam atas segala kekurangan atau malapetaka alam yang melanda.
Alam yang dilukai pasti akan mengembalikan penderitaannya kepada kita sendiri. Satu hari apabila malapetaka timbul, itulah petanda alam sudah tiada kuasa menanggung derita dek sikap buruk kita manusia.
Allah menjadikan manusia selaku khalifah agar bertindak adil kepada insan dan alam. Sesungguhnya Allah dalam penciptaannya kenal benar dengan sikap sesetengah manusia yang gemar membuat kerosakan. Namun sifat Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Indah telah menjadikan alam untuk manusia mengambil manfaat, pengajaran dan bukti keEsaan Allah itu sendiri.
Kemesraan dengan alam boleh membangkitkan rasa cinta dan syukur yang tidak terhingga pada Allah swt. Sesungguhnya segala keunikan dan keindahan alam itu sendiri menggambarkan besarnya kekuasaan Allah. Alam merupakan nikmat yang tidak tergambar bagi insan yang mahu berfikir dan memahami. Segala rahsia alam bisa mengukuhkan lagi kekaguman dan kecintaan makhluk pada penciptanya.
Perkara paling penting yang kita boleh pelajari dari alam ialah; betapa besar dan tingginya gunung ganang, betapa luas dan dalamnya lautan, betapa panas dan indahnya bintang-bintang, betapa hebatnya angin dan taufan....semuanya tunduk kepada perintah Allah swt semata-mata. Tiada yang pernah derhaka dan engkar pada perintah Tuhan.
Hanya kita manusia yang kebiasaanya tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari alam ciptaan Tuhan.
~Roha Hassan~
No comments:
Post a Comment