Saturday, March 28, 2009

Sentuhan Ajaib Ibu

”Sentuhan mak yang paling ajaib dan cantik ialah sentuhan akhlaknya. Dengan yang muda, mak penyayang dan prihatin. Dengan yang tua, mak bersopan dan mengalah. Dengan rakan dan kenalan, mak sentiasa menjaga persahabatan”.


Setiap kali mendengar senikata lagu ”ibu, oh ibu, engkaulah ratu hatiku...”. Aku akan berasa sebak. Rindu pada ibu akan menerjah ke kalbu. Memang benar! Ibu adalah ratu hatiku!

Ratu hanyalah satu perkataan menggambarkan betapa mulia dan tingginya darjat insan yang memiliki gelaran tersebut.

Ibu yang ku panggil ”emak” atau ”mak” adalah wanita istimewa yang lemah lembut, penyayang, penyabar dan pemalu. Itu hanya beberapa ciri istimewa yang mak miliki.


Kahwin dahulu, bercinta kemudian

Mak dan abah tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Selepas bernikah barulah mereka berkenal dan bercinta. Memang banyak kalau nak diceritakan bab percintaan mak dan abah. Namun yang pasti, dalam menempuh badai dan ombak perkahwinan, rumahtangga mak dan abah terus kekal hingga ke akhir hayat. AlhamdulilLah perkahwinan mak dan abah juga telah dikurniakan dengan sembilan orang cahayamata.

Rumahtangga mak abah penuh kesederhanaan. Keluarga kami bukanlah keluarga yang terbaik di atas mukabumi ini. Namun hidup kami bahagia, gembira serta sederhana.

Kami akan berkumpul bila menjelang perayaan atau hari-hari istimewa yang lain. Kami ada bertengkar, berbeza pendapat, ada masalah tetapi kami masih sebuah keluarga yang tahu asal usul dan cuba membantu antara satu sama lain sedaya upaya kami.

Keluarga kami sebenarnya adalah keluarga yang istimewa dalam segala kelemahan dan kekurangan yang ada. Semua keistimewaan yang kami miliki hari ini, tidak lain dan tidak bukan kerana sentuhan ajaib mak. Sebab itu nukilan ini adalah tentang mak. Walaupun bukan segala-galanya tentang mak, tapi aku ingin sekali berkongsi dengan kalian tentang sentuhan ajaib mak.

Ini kerana tanpa sentuhan ajaib mak, aku tidak pasti akan dewasa dan memiliki apa yang aku miliki hari ini.


Sentuhan Ajaib Mak

Emak mendidik kami melalui pesanan dan sentuhan ajaibnya. Aku nukilkan beberapa sentuhan ajaib mak sebagai perkongsian dan panduan. Walaupun aku tahu lembaran ini tidak cukup panjang untuk aku mencoretkan segala-galanya tentang mak, namun aku tetap ingin kongsikan apa yang termampu sebab sentuh an ajaib mak sangat indah untuk dikongsi.

1. Masakan mak yang paling sedap

Sehingga kini aku tidak pernah menemui laksa yang dimasak sesedap laksa yang mak masak. Kata orang air tangan ibu memang istimewa. Apa sahaja yang dimasak oleh mana-mana ibu adalah lebih sedap berbanding masakan orang lain.

Tapi kesedapan masakan mak bukan sebab air tangannya semata-mata. Mak sebenarnya memang tukang masak yang hebat. Apa sahaja yang mak masak hatta sambal tumis ikan bilis amat sedap.

Ada rahsia disebalik keajaiban masakan mak. Bukan senang menjadi isteri abah. Hanya mak yang paling sesuai. Abah sangat cerewet perihal makanan dan masakan. Bab halal haram makanan dijaga dengan sempurna. Bab kebersihan dan bahan-bahan yang dimasukkan dalam makanan juga ditelitinya.

Kalau abah tidak pasti dengan sesuatu makanan maka abah tidak akan makan makanan tersebut. Bayangkanlah ketika itu, tidak ramai dikalangan umat islam di Malaysia terlibat dalam industri makanan halal. Beberapa makanan seperti jeruk, telur asin, keropok, acar dan macam-macam lagi mak yang buat sendiri. Semuanya untuk menggembirakan hati seorang suami. Apatah lagi abah tidak suka makan di kedai makan. Hanya makanan yang mak dan anak-anak masak, yang abah makan. Kami anak-anaknya juga amat beruntung memiliki emak yang pandai memasak.

Peraturan mak dalam bab masakan ialah, kami adik beradik mesti belajar memasak sejak berusia sembilan tahun lagi. Dua orang anak mak iaitu Kak Cah dan Kak Dah juga pandai memasak. Malahan mereka mencari rezeki dengan menjual nasi lemak, nasik berlauk, mee goreng, laksa dan macam-macam lagi. Adik-adikku, Pah, Dekna turut mewarisi kemahiran mak dalam bab masak memasak.

Walaupun kebolehan mak ini tidak aku warisi sepenuhnya seperti adik beradikku yang lain. Tapi tips mak tentang makanan akan aku ingati, hayati serta amalkan sehingga akhir hayat, insyaAllah.

Begitulah mak mendidik kami tentang makanan yang halal, bersih, berkat melalui masakannya. Contoh yang mak berikan dalam bab makanan dan masakan terus menjadi bekalan kami adik beradik.

2. Sentuhan kreativiti yang dimiliki mak tiada bandingannya

Disamping memasak, mak juga menjahit baju kami adik beradik, menganyam mengkuang untuk dijadikan bakul dan tikar, membuat gubahan untuk pengantin, memasak macam-macam makanan yang sedap dan macam lagi yang mak boleh lakukan.

Ketika abah berniaga di pasar, mak membantu di sawah. Mak tahu semua urusan di sawah atau kami panggil bendang. Mak bijak menangkap ikan menggunakan pelbagai kaedah. Yang pasti, ada sahaja ikan yang diperolehi setiap hari.

Kami masih ingat keropok mak yang sedap dengan pelbagai corak dan warna. Juga masih ingat tikar mengkuang mak yang sering dibeli oleh rakan dan taulan mak.

Pendekata, mak memang kreatif dan boleh melakukan banyak tugasan yang berbeza dalam satu masa. Cara fikir mak juga kreatif. Biasanya mak memiliki beberapa penyelesaian untuk sesuatu masalah.

3. Penegasan agama terhadap anak-anak

Dari sudut pengajian, mak tidak bersekolah tinggi. Namun penegasan abah dalam bab agama dibantu dengan sepenuh jiwa raga oleh mak. Abah mahu kami semua berada di rumah jam tujuh malam setiap hari. Solat dan mengaji adalah tugas rutin yang mesti dilakukan setiap malam.

Mak dan abah tidak akan memaksa kami dalam bab agama, tetapi kami diberikan didikan agama sewajarnya.

Setiap hari, antara jam 4-5 pagi, abah akan bangun menunaikan solat malam. Aku menyaksikan peristiwa itu hampir setiap hari sejak aku masih kecil. Ia menumbuhkan keinginan ku untuk mengikut jejak mak dan abah. Hari ini, abah masih mengamalkannya penuh dedikasi.

Sesungguhnya tanpa didikan dan penegasan agama oleh mak dan abah, mana mungkin aku menjadi aku seperti hari ini.

4. Penglipur lara nombor satu

Aku masih ingat ketika zaman kanak-kanak ku mak adalah penglipur lara kami nombor satu. Setiap malam kami akan mengelilingi mak untuk mendengar cerita. Macam-macam cerita menarik yang mak akan ceritakan pada kami.

Dari kisah para Nabi dan Rasul hinggalah kisah-kisah dongeng yang penuh pengajaran seperti ”Batu belah Batu Bertangkup”, ”Si Tanggang” dan macam-macam lagi.

Segala cerita yang mak kisahkan kepada kami mengandungi macam-macam pengajaran yang baik. Mak menjadikan aktiviti ini sebagai salah satu cara mengajar kami tentang perbezaan akhlak yang baik dengan buruk. Balasan perbuatan baik dan akibat perbuatan jahat. Aktiviti ini juga dapat mengukuhkan hubungan kami sekeluarga.

Tidak hairanlah bila aku mampu memenangi tempat ketiga dalam pertandingan syair peringkat sekolah rendah kerana penulisan ku bertajuk, ”Tikus yang Engkar”. Barangkali aku mewarisi darah seni yang ada dalam tubuh mak.

5. Penerapan nilai-nilai kepimpinan

Mak adalah seorang pemimpin yang baik. Mak juga mendidik kami nilai-nilai kepimpinan tanpa mak dan kami sedari. Peraturan mak ialah kakak dan abang mesti menjaga adik-adik. Kalau adik-adik buat salah, abang dan kakak yang akan ditanya dulu oleh mak.

Kami adik-beradik dididik dengan kehidupan berdikari. Setiap kami diberikan tugasan masing-masing. Kakak yang sulong memasak, kakak kedua menolong mak di bendang, aku mengemas rumah, adik melipat pakaian dan seterusnya. Setiap hari kami masing-masing sudah tahu apa tugasan yang mesti kami bereskan. Kami mesti bertanggungjawab terhadap hasil kerja kami masing-masing.

Bukan senang menjaga dan mendidik sembilan orang anak dengan kenakalan kami yang pelbagai. Namun emak telah berjaya mendidik kami semua sebaik-baik mungkin.
6. Ketabahan yang mengkagumkan

Mak adalah wanita yang sangat tabah. Teramat tabah sehingga hampir tidak kedengaran keluh kesahnya terhadap segala jerih payah yang dilaluinya.

Aku masih ingat bagaimana mak begitu tabah ketika kami sekeluarga difitnah oleh jiran sebelah. Malam-malam buta kami sekeluarga dihalau keluar dari rumah. Masa itu aku masih kecil, tetapi memori ku jelas merakamkan beberapa aksi jiran sebelah ketika mengugut abah dengan pisau.

Mak dan abah yang tabah itu menerima segala maki hamun dengan penuh ketabahan. Semuanya angkara harta. Harta abah yang sekangkang kera itupun ingin direbut, padahal ia adalah hasil titik peluh mak dan abah.

Ketika aku meningkat remaja, ketabahan mak abah diuji lagi. Onar yang dicipta oleh keluarga sendiri bukan orang luar. Kerana harta jua alkisahnya. Kami sekeluarga terpaksa berpindah lagi. Memang sukar dan payah. Tapi adanya mak yang tabah buat kami semua berjaya menghadapi segala keadaan.

7. Kelembutannya menjadi idaman

Kelembutan mak bukan sahaja pada pandangan matanya yang menyejukkan. Tapi kelembutan hatinya menawan ramai pemuda pada zaman remajanya. Bila sudah beristeri dan bergelar ibu, kelembutan mak tetap terserlah walaupun dalam segala ketegasannya.

Kelembutan mak bukan bermaksud mak boleh diperkotak katikkan sesuka hati. Kelembutan mak adalah terhadap anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan bantuan. Kami bukan orang kaya, tapi mak cukup kaya hati budinya. Mak ada ramai anak angkat dikalangan anak-anak yatim dan susah.

Rumah kami bagai tempat anak-anak yatim mendapat perlindungan dan kasih sayang. Aku masih ingat bagaimana anak-anak angkat mak sentiasa mengunjungi mak setiap kali mereka sedih atau gembira.

Apa yang mak lakukan ini menjadikan kami sentiasa menghormati mereka yang kurang bernasib baik berbanding kami, dalam masa yang sama sentiasa mensyukuri apa yang kami miliki.

Sifat lembut, pemurah dan prihatin pada anak-anak yatim dan golongan yang kurang bernasib baik terus subur dalam jiwa kami anak-anak mak.

8. Adakalanya ketegasan mak melebihi kelembutannya


Dalam kelembutan mak ada ketegasan yang membentuk kami menjadi insan yang kuat dan tabah. Kami belajar soal ketegasan dari mak.

Diantara ketegasan mak adalah terhadap perkara berkaitan dengan tanggungjawab. Jika aku atau mana-mana ahli keluarga tidak menjalankan tugasan masing-masing mak akan marah. Kalau tidak masuk ke rumah selewat-lewatnya jam tujuh malam, aku akan didenda. Apatah lagi dalam bab menuntut ilmu, tiada siapa yang berani ponteng sekolah sesuka hati.

9. Kekemasan bukan soal main-main


Aku masih ingat tentang perkara ini. Setiap perkara ada cara dan peraturannya. Kalau melipat dan menyusun baju ada caranya. Kalau menyidai pakaian ada caranya. Kalau membasuh dan menyusun pinggan ada caranya. Setiap hari tempat tidur dan seluruh rumah mesti dibersihkan dan dikemaskan Semuanya mak didik penuh peraturan.

Walaupun bukan semua pesanan mak sesuai untuk semua anak-anak mak dan boleh pula digunakan di zaman mana sekalipun. Tapi yang paling penting mak pentingkan bab kekemasan dan mahu kami hidup penuh keselesaan walaupun di dalam rumah kecil yang serba sederhana.

Mungkin aku tidak berapa kemas dalam soal rumahtangga, tapi nampaknya kekemasan mak itu tersangkut juga pada aku dalam bab dokumentasi. Cerewetnya aku dalam bab dokumentasi hinggakan setiap patah perkataan akan aku semak satu persatu.

10. Kesetiaan mak tidak pernah berbelah bagi


Mak adalah anak, isteri, ibu dan kakak yang setia. Mak setia dalam soal kasih sayangnya pada abah. Dalam senang dan susah, mak tetap berada disisi abah. Rumahtangga mana yang tiada riak dan getaran. Termasuklah rumahtangga mak dan abah. Mereka memang ada berbeza pendapat. Tapi, semua itu tidak mengoyahkan kesetiaan mak pada abah. Kemana abah pindah, mak setia mengikuti. Apapun keadaan kami sekeluarga, mak menerimanya sebaik mungkin. Tidak pernah tanggungjawabnya diabaikan.

Mak juga amat setia pada janji-janjinya pada adik beradik. Semua adik-adik mak menjadikan mak tempat meminta pertolongan bila diperlukan. Walaupun tidak kaya, mak tetap setia membantu adik-adiknya. Sejak tok meninggal dunia, mak lah ibu kepada adik-adiknya. Hinggakan adik bongsu mak, disusukan oleh mak. Menurut mak, ketika itu mak melahirkan kakak sulong kami, manakala tok melahirkan mak su. Umur tok tak panjang, Allah memanggil tok kembali ke sisiNya. Sebab tu, mak su disusukan oleh mak. Namun umur arwah kakak kami pun tak panjang. Beberapa bulan kemudian kakak kami pula meninggal dunia.

11. Kecantikan akhlaknya seiring keindahan paras rupa

Dari sudut fizikal, mak memang cantik. Kulitnya cerah, halus dan lembut. Matanya kuyu, hidungnya mancung dengan tubuh kecil molek. Langkah mak tersusun dan lemah lembut. Pendekata mak memang cantik orangnya.

Namun, yang ingin aku kongsikan disini ialah berkaitan sentuhan mak yang paling ajaib dan cantik iaitu sentuhan akhlaknya. Dengan yang muda, mak penyayang dan prihatin. Dengan yang tua, mak bersopan dan mengalah. Dengan rakan dan kenalan, mak sentiasa menjaga persahabatan.

Akhlak mak mengandungi keceriaan, kebijaksanaan, pemurah, penyayang, penyabar, mementingkan kebersihan, rendah diri, pandai mengambil hati rakan dan taulan, suka membantu dan banyak lagi keindahan akhlak mak.

Semua contoh yang mak beri sedikit sebanyak memberikan kami suntikan awal ke arah menjadi insan yang mulia, berjaya dunia dan akhirat.



Kebaikan dan pengorbanan mak tidak tertulis

Sebenarnya semua sentuhan ajaib mak tidak tertulis. Apatah lagi bila membicarakan soal kebaikan dan pengorbanannya. Cukuplah aku kongsikan secebis dari segala kebaikan dan pengorbanan sebagai tanda kasih sayang padanya. Harapan ku yang lain, moga-moga ada dicelah-celahnya pengajaran dan pengalaman yang boleh dikongsikan dengan generasi hari ini dan akan datang.

Walaupun mak yang bernama Zainab binti Salleh itu sudah tiada di sisi kami lagi. Nama dan jasa mak tetap terpahat dalam sanubari aku serta anak cucu mak yang lain. Setiap waktu, aku sentiasa berdoa agar ruh mak dimasukkan bersama mereka yang soleh, dirahmati dan diberkati oleh Allah. Sesungguhnya abah dan anak-anak mak sentiasa sayang dan rindukan mak.


~ Roha Hassan ~
Dapatkan kisah-kisah ibu dalam "Ibu Madrasah Pertamaku" yang bakal berada di pasaran sekitar April 2009.

Tuesday, March 24, 2009

Membelai Kuntuman Kasih Di Taman Ukhuwwah

Assalamualaikum...


Sejenak memandang ke arah kuntuman mawar di halaman jiran, teringat aku kuntuman-kuntuman kasih di halaman ukhuwwah.

Menjaga kuntuman mawar di halaman mestilah dengan siraman air yang menyegarkan, dibaja untuk kesuburan dan didedahkan dalam sinaran mentari untuk ia terus hidup. Karbon dioksida yang dikeluarkan oleh manusia menjadi bahan utama disamping klorofil dalam helaian daun-daunan. Semua ini demi memastikan kuntuman di Taman terus hidup segar dan mekar.

Namun kuntuman pasti kecundang jika ia disirami dengan racun. Atau dibiarkan tanpa rawatan, terdampar tanpa belaian. Mati kekeringan membawa untung nasib sendiri.

Begitu jua ukhuwwah sesama kita. Memang mudah menyemai ukhuwwah, tidak semudah menjaganya. Ukhuwwah adalah ikatan tanpa tali. Ada tapi kadang-kadang tak nampak. Nampak tapi kadang-kadang tidak ada. Sebabnya yang diikat adalah hati.

Hati yang tulus dalam persahabatan, akan terserlah dalam perbuatan. Sebaliknya ukhuwwah yang dibina atas jambatan kepura-puraan. Satu hari ia akan runtuh jua akhirnya.

Beberapa hari yang lalu ada bertanya khabar dari seorang teman yang baru sahaja diuji oleh Allah dengan tekanan yang pelbagai. Semuanya angkara "mulut". Lalu mari kita renungkan beberapa punca yang membawa kepada gersangnya kuntuman kasih di Taman ukhuwwah.

1. Gossip liar - Kita tahu, ia besar dosanya. Tapi kita masih gemar bercerita tentang keburukan sahabat-sahabat kita. Kita pun tahu, kita semua berdosa. Kita sendiripun tidak terlebih baik daripada sahabat yang kita gossipkan itu. Berita benar atau tidak, kita borong semuanya. Bercerita dan bercerita hal orang lain. Padahal hal kita sendiri masih banyak yang belum dibereskan. Teringat bicara sahabatku yang bersedih itu, "Mereka mengata saya macam-macam...padahal semua itu tidak benar. Saya tak faham, mereka semua mengaku sahabat saya. Sama perjuangan, sama wadah, tapi reka cerita yang bukan-bukan tentang saya. Pedihnya hati ini hanya Tuhan yang tahu".
2. Bersangka Buruk - Aduh, yang ini sudah jutaan kali diingatkan. Terlerai kelak kuntuman kasih di Taman Ukhuwwah kalau asyik buruk sangka dengan sahabat sendiri. Bertanyalah jika tidak pasti. Lebih baik dan kurang risikonya berbanding bersangka-sangka yang bukan-bukan. Kebanyakan krisis dalam dunia ini bermula daripada sangkaan yang salah atau tidak tepat.

3. Mudahkan Jangan Susahkan - Kalau seorang sahabat enggan berkongsi semua perkara dengan kita, mudahkan. Hormati pendiriannya. Jangan sesekali buat teman kita merasa terkongkong seolah-olah kita ini tuan, mereka itu hamba. Dalam ukhuwwah yang tulus, usia, pengalaman, pangkat, pelajaran bukan ukuran membandingkan keutamaan. Mudahkan sepertimana akhlak RasululLah SAW bersama sahabat. Semua ada tempatnya, tidak pulak mengambil kesempatan membabi buta.

4. Jangan bilang Cinta, Kalau Hanya Dibibir Semata - Jangan mudah menabur cinta dan kasih sayang kepada sahabat dan rakan seperjuangan kalau Cinta kita hanya ucapan di bibir semata. Susah dia kita tidak peduli, senang dia kita dengki. Miskin dia kita keji, kaya dia kita iri. Belum lagi bab berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Nak berbagi-bagi atau berkongsi-kongsi, jauh panggang dari api. Ertinya kita masih belum ada cinta pada diri kita atau mereka. Jadi, usah ditaburkan ke sana sini. Ia hanya akan jadi harapan yang membakar bab api.

5. Tiada Hinaan Yang Tidak Akan Kembali Pada Yang Menghina - Kata-kata, perbuatan, tulisan atau apa sahaja bentuk hinaan terhadap seorang atau para sahabat yang bersama di atas jalan perjuangan yang sama dengan kita umpama racun yang pasti membunuh. Terutamanya pada mereka yang tidak hina di sisi Tuhannya. Racun itu bukan sahaja akan membunuh kuntuman kasih di taman ukhuwwah, malahan ia akan kembali kepada tuannya bila detik dan saatnya tiba. Kerna sesungguhnya, tiada hinaan yang tidak akan kembali kepada tuanya.



Semoga coretan ini mengingatkan kita tentang kuntuman kasih di taman ukhuwwah yang sudah lama kita tanam. Sudah bertambah kukuhkah akar-akarnya. Sudah bertambah utuhkah ranting-rantingnya. Sudah semakin hijau dan merimbunkah daunannya. Sudah kembang mengharumkah kuntumannya
Atau mungkinkah ia semakin lemah, kurus, layu...sudah lama tidak diziarahi. Dibelai, dibajai dan disuburkan kembali. Atau sudah musnah akibat racun-racun yang kita siramkan secara sengaja atau tidak.
Buat sahabat ku itu, sabarlah...mudah-mudahan ujian Allah itu demi mengangkat martabat mu jadi lebih tinggi dan mulia dari mereka yang menghinamu.
~ Roha Hassan~

Sunday, March 22, 2009

Aku Ini Insan Berdosa, Sebab Itu Aku Tidak Mahu Menambahkannya - Part 1

Assalamualaikum wbr.....

Sejenak aku memandang ke arah beberapa pemuda yang sedang mencuci kereta ku yang berdebu. Terbayang kepada diri sendiri. Teringat apa yang ada dalam diri, iaitu seketul daging yang dinamakan hati. Kalau hati boleh kita umpamakan seperti kereta yang digunakan hari-hari, jika tidak dicuci lama kelamaan, ia akan menjadi kotor.

Kita bawa hati kita berjalan dan berlari dilorong-lorong kehidupan. Macam-macam bentuk kesenangan dan kesukaran yang kita tempuhi. Pelbagi debu dari sifat-sifat mazmumah dan pekerti yang jelik menyapa atau singgah di hati kita. Debu-debu itu bisa menjadi noda dan dosa. Kalau dibiarkan akan menggelapkan hati, kelak hilanglah cahaya.



Seketika kemudian beberapa pemandu lain tiba menghantar kereta masing-masing untuk dibersihkan. Beberapa minit kemudian pula, seorang wanita yang aku agak sebaya ibuku, duduk di kerusi berhadapan dengan ku. Serta merta aku lemparkan senyuman ukhuwwah juga tanda hormat. Dia menjuihkan bibirnya membalas senyuman ku. Tanpa ku tahu kenapa. Tapi aku terus tersenyum, dan dia membalasnya dengan memalingkan wajahnya. Timbul dalam hatiku rasa menyampah! Sudah tua, tapi buruk akhlak. Terasa ingin mengutuk wanita yang pelik itu.


Astaghfirullah hal azim...hatiku beristighfar. Ish apa ni. Lalu hatiku berbisik, "Aku ini insan berdosa, buat apa aku tambahkan lagi dosa-dosa yang sedia ada". Terasa sejuk dan damai hatiku sebaik-baik sahaja mengenang betapa aku bukan maksum, tapi aku tidak mahu terus berdosa. Kalau aku biarkan hati berbisik yang tidak baik tentang wanita di depan mataku ini, aku hanya akan memalitkan dosa tambahan ke dahiku.

Lalu aku biarkan wanita itu dalam dunianya, manakala aku mengeluarkan diariku untuk mencatitkan beberapa perkara penting. Aku menyelak helaian bulan Mac diariku. Lalu aku tuliskan beberapa pengajaran hidup yang aku perolehi hari ini.







Dalam kekusyukan menulis, kunci kereta ku diserahkan sebagai tanda kereta ku sudah siap dicuci. Ku sambut kunci dan menyimpannya didalam poket. Aku berniat untuk pulang. Sebaik sahaja bangun dari kerusi, ku hulurkan tangan kepada wanita yang mengabaikan senyuman ku tadi. Serta merta tangan ku di sambut dan sekuntum senyuman dilemparkan padaku. Manis sangat!

Ketika melangkah ke dalam kereta, aku menarik nafas sejenak. Harumnya kereta yang baru lepas dicuci. Selesa sekali memandunya. Dalam fikiran ku, tentu hati yang dicuci bersih pun akan harum dan selesa bila "digunakan".

Tapi yang pasti, Aku ini orang berdosa, jadi tidak perlu menambahkan dosa-dosa itu walaupun dengan dosa-dosa kecil secara nyata atau sengaja. Kalau tak, memang susah mencucinya nanti.


Dari sekeping hati,
Roha Hassan

Thursday, March 19, 2009

Bersantai Di Pasiran Pantai

Assalamualaikum...

Wah! Sibuknya Danial dan anjang bermain pasir! Memang seronok sebenarnya sekali sekala dapat berada di tepian pantai bermain pasir dan berlari mengejar ombak. Kita boleh lupakan seketika hiruk pikuk di kota.

Acu Dekna pun main pasir gak. Ape ni Acu, Danial? Main angkut-angkut pasir dalam beg plastik. Mana boleh bawak balik pasir tu. Kesian kat pantai! Kalau ada sejuta orang angkut pasir kat pantai bawak balik ke rumah, alamat berlaku la hakisan nanti. Jadi, jangan bawak balik ke rumah ye!


Ooooooooooo...pasir-pasir tu nak diangkut ke bawah pokok ye. Danial tak boleh dah nak ke pantai, sebab dah tengahari. Takpelah, janji boleh main pasir.

Wah, Danial main angkut-angkut air pulak. Terima kasih makcik Rosnah yang sudi melayan Danial yang memang suka main air dan pasir. Huh! Nak bawa ke mana air tu Danial.


Pagi-pagi macam ni baru boleh berendam dalam air dan bergurau senda dengan ombak! Memang best bila anjang dan danial berendam dalam air di pantai yang indah di Teluk Cempedak.


Ni acara apa pulak ni? Tangkap ikan ke? Ke tangkap ketam? Danial pun sama. Apa la yang dicari....


Inilah hasil tangkapan Danial dan Anjang. Banyak tu. Bukan main happy lagi si Danial. Tapi nanti kena lepaskan ni!

"Tak nak lepaskan! Danial nak cari lagi. Korek dalam pasir ni, mesti ada siput dan ketam. Mesti ada "Patrik" dan "Encik Crab"......habislahhhhhhhhhhhhh

"Cukup-cukup la Danial..jom kita balik...macam nak hujan je" Pujuk anjang. "Nantilah anjang, Danial nak main lagi" Danial tak berganjak-ganjak. Memang kanak-kanak biasanya sukakan air. Dapat peluang macam ni, memang susahlah nak dilepaskan.



Ewah! Sempat lagi Acu posing dalam hujan yang renyai-renyai. Ye memang enjoy bila ada kesempatan lepak-lepak dan bersenang-senang setelah penat dengan kuliah dan assigment.

Begitulah sedikit perkongsian percutian ringkas, danial, acu dan anjang. Kalau Allah izinkan, nanti kita cuti-cuti lagi ye.
Hidup memang menyeronokkan jika ada kepelbagaian!
Secebis perkongsian,
Roha Hassan

Sunday, March 15, 2009

Di mana RasululLah Di Hati Kita (2) - Teater Sirah Junjungan

Salam


Sejenak dalam kesibukan di pejabat, aku menerima panggilan telefon dari seorang teman. Erma Fatima namanya. ”Kak Roha, saya ingin menjemput Kak Roha untuk menyaksikan Sirah Junjungan jam 8.30 malam esok di Istana Budaya.” Begitulah suara Erma yang tenang itu menyatakan hasratnya. ”InsyaAllah” jawab ku.
Dalam masa sesingkat itu dua-tiga sahabat ku ajak. Masing-masing sudah ada rencana lain. Namun akhirnya ditakdirkan tiga orang teman, Kak Awin, anaknda Sakinah dan Ina sudi menemani.
Bila waktu yang diperkatakan tiba, kamipun dipersilakan duduk bersama beberapa jemputan yang lain dikalangan artis, wakil media dan beberapa jemputan yang lain.

Mengkagumkan dari sudut ketepatan waktu. Tepat jam 8.30 malam, majlis pun bermula. Majlis dimulakan dengan zikir dan selawat ke atas junjungan besar SAW. Dan teater pun dipersembahkan. Sebagai pendakwah, aku merenung setiap babak yang dipersembahkan dengan perasan yang bercampur-campur.
Erma adalah seorang artis, pengarah @ karyawan seni yang berazam menjadikan Sirah Junjungan sebagai tanda kasihnya seorang artis kepada RasululLah SAW. Dapat kulihat kegigihannya itu melalui setiap watak yang mempersembahkan teater Sirah junjungan. Dari pentas, pakaian pelakon, babak yang dilakonkan, hinggalah nasyid-nasyid yang didendangkan serta set pementasan dengan berhala, pohon-pohon kurma dan khemah-khemah yang disediakan. Teknik lampu, muzik dan tarian disusun sempurna.


Sayang sekali fotonya tidak dapat dikongsikan kerana dilarang mengambil gambar semasa persembahan.

Kasihan Erma, skripnya diluluskan oleh pihak JAKIM. Tapi siapa yang akan memberitahu wanita yang tabah ini tentang watak wanita menari-nari itu boleh mengundang fitnah. Walaupun semua pelakon menutup aurat. Siapa yang akan memberitahu Erma tentang watak yang kurang islami.
Siapa yang akan menunjuk ajar Erma tentang Teater Islami yang sewajarnya. Akukah! Aku memang tiada pengalaman sebanyak Erma tentang teater, tapi aku tahu sedikit sebanyak hukum hakam dalam hiburan. Atau sahabat-sahabatku! Mungkin! Itupun kalau mereka mahu. Itupun kalau mereka memang mempunyai pengalaman mengarahkan teater islami sesempurna teknologi dalam teater Sirah Junjungan ini.

Bukan calang-calang mereka yang menjayakan Sirah junjungan. Antaranya Jamal AbdilLah, Siti Nurhaliza, Vanida Imran, Ahmad Yatim, Mazlan Tahir, Rebecca Nur Islam, Amy Search, Mawi dan ramai lagi. Malam tadi yang mendendangkan nasyid-nasyid berkenaan junjungan SAW ialah Penyanyi Jamal AbdilLah yang memang power suaranya! Aku, Kak Awin, anaknda Sakinah, Ina berkongsi pelbagai emosi. Ada watak buat kami senyum, ketawa dan menangis. Siapa yang tidak menangis mengenangkan segala pengorbanan yang RasululLah lSAW lakukan
Malam itu suasana bertambah dramatik dengan kehadiran ibu Erma serta adiknya Ummi Aida, Saerah, Siti Nurhaliza dan beberapa orang lain yang aku kurang kenal. Kehadiran ini disebabkan oleh sambutan ulangtahun Erma yang ke 41 tahun (sempat hatiku berbisik...barulah aku tahu Erma lebih senior dari aku...)

Dalam ucapan ringkas Ummi Aida, dia menyatakan kekaguman terhadap usaha kakaknya berkaitan teater ini. Kata Ummi, ”Dia banyak kali menangis kerana ini. Tapi dia tidak pernah patah hati dan semangat untuk menjadikan ia satu kenyataan. Saya kagum dengan dia yang tabah”.

Dalam ucapannya Erma memohon, ”Saya pohon para hadirin bacakanlah al-fatihah buat ayahnda saya yang meninggal ketika saya memulakan Pementasan Sirah Junjungan”...sejenak semua yang hadir membacakan al-Fatihah. Mudah-mudahan ruh ayahnda Erma dicucuri rahmat.
Kami sempat bertemu beberapa artis di luar dewan. Teman-teman yang menemaniku memeluk dan mengucapkan terimakasih kerana mengajak mereka menemaniku. Sejenak kemudian kami masing-masing pulang ke destinasi masing-masing. Mereka semuanya ceria.


Aku pulang dengan perasaan pelbagai. Pengajaran yang aku pelajari bermain-main dalam minda ku.

1.Ada insan seni seperti Erma yang katanya pada aku, masih belajar banyak hal-hal agama sedang mementaskan Sirah Junjungan yang pada hakikatnya jauh ketinggalan dari sudut sambutan dan keuntungan berbanding Teater Puteri Gunung Ledang yang kebanyakan pelakon wanitanya berkemban. Tapi dia tetap yakin dan tabah.
2. Skrip Sirah Junjungan diluluskan oleh JAKIM. Persoalannya sudahkah adakah pihak JAKIM yang menonton secara keseluruhan teater. Adakah pihak JAKIM yang benar-benar membimbing hasrat murni wanita ini.
3. Apakah peranan aku dan rakan-rakanku yang dianggap Erma sebagai sahabat seperjuangan ini. Yang menamakan diri mereka pendakwah yang tidak memilih madu’. Aku masih mencari-cari jawapan hinggalah saat aku bangun malam dan memohon petunjuk dari Allah. Apakah ucapan yang terbaik harus kuberikan pada wanita yang berkorban wang ringgitnya untuk menjayakan Teater ini yang dianggapnya sebagai bukti kecintaan beliau pada baginda RasululLah SAW. Apakah pulak teguran yang terbaik untuk aku ungkapkan setelah dia bertungkus lumus menyiapkan segala-galanya dengan penuh susah payah.
4. Bukan aku hendak menggadaikan prinsip. Hukum hakam Allah tentulah yang paling utama. Memang mudah pula untuk mengkritik, namun apakah alternatif dan bantuan yang akan kita hulurkan kelak.
Sejenak aku mengalirkan airmata ketika menghabiskan coretan ini. Betapa banyaknya amanah kita yang mesti dilaksanakan. Mampukah aku ya Allah menunaikan segala janji demi agama. Sesungguhnya masih ramai madu’ yang mesti disantuni di luar sana.
Kusertakan beberapa foto yang boleh diambil. Foto semasa pementasan tidak dibenarkan. Silakan ikhwah dan akhawat saksikan sendiri kerana pementasannya masih beterusan hingga ke 22 Mac ini. Tempatnya di Istana Budaya. Kena tepat waktu, sebelum jam 8.30 malam.
Catatan Seorang Teman,
Roha Hassan

Di mana RasululLah Di Hati Kita (1)

Menyambut Maulidur Rasul Bersama Masyarakat Di Klang Gate

Assalamualaikum wbt...

Ketika dijemput oleh salah seorang kakitangan saya untuk memberikan pengisian sempena sambutan maulidur Rasul, saya bersetuju kerana ingin sekali menjalinkan ukhuwwah yang lebih akrab dengan Kak Mun dan keluarganya.

Kata Kak Mun, ”Bolehkah Cik Roha memberikan pengisian kepada kami. Tak ramai, orang-orang Boyan je yang hadir. Tempatnya di Surau dekat Jalan Kijang”

Sebelum ini Kak Mun memang ada menyebut tentang keluarga boyannya memang ramai di Klang Gate. Saya sendiri tidak pernah menyebut Kak Mun sebagai orang boyan sebab bimbang Kak Mun terasa hati. Cuma bila Kak Mun sendiri menyebut dia berketurunan boyan. Barulah saya mula mengenali dan memahami serba sedikit budaya orang boyan.

Sayapun memberikan persetujuan memandangkan bukan selalu beliau meminta sesuatu seumpama itu. Kak Mun ni sebenarnya adalah pembantu di Pejabat. Dulu Kak Mun hanya melakukan kerja-kerja pembersihan dan pengemasan di Pejabat kami. Tapi hari ini, melalui beberapa latihan Kak Mun sudah tahu menggunakan komputer. Kak Mun lebih berusia dari saya sebab itu saya hormatkan dia. Bagi saya, pangkat bukan perkara utama dalam perhubungan, sebab itu permintaan Kak Mun cuba ditunaikan sebaik mungkin.

Mulanya saya fikir bila Kak Mun mengajak saya memberikan pengisian kepada rakan-rakan, kaum keluarga beliau, tentu beberapa puluh orang sahaja yang akan hadir. Namun walaubagaimanapun saya cuba sedaya upaya menyediakan bahan ceramah terbaik mungkin. Sayapun memang tinggal di Jalan Rusa. Jadi rakan-rakan di Jalan Kijang ni kiranya termasuk sebagai jiranlah juga sebenarnya.

Kata Kak Mun, ”Cik Roha pilihlah tajuk yang sesuai ye sempena Sambutan Maulidur Rasul. Ada dua orang penceramah. Seorang lelaki, seorang perempuan. Cik Roha masukkan dalam kalendar ya. Jangan lupa ya” Jelas Kak Mun penuh pengharapan.

Maka, tadi pagi jam 10.00 pagi saya pun menghadirkan diri. Wah! Ramainya yang hadir. Bukan beberapa puluh. Hampir 300 orang termasuk kanak-kanak yang menghadiri majlis sambutan maulidur Rasul itu. Ibu-ibu, bapak-bapak, belia, remaja dan anak-anak pelbagai usia menghadirkan diri. Memang meriah!

Dua canopy dibuka sebagai tambahan kepada surau dan rumah-rumah rakan dan taulan di sekitar. Makanan yang banyak dan pelbagai terhidang diatas meja. Semuanya dilakukan secara gotong royong. Makanan yang banyak pulak adalah sumbangan daripada setiap orang. Setiap orang/keluarga membawa setalam makanan. Hasilnya meja-meja yang disediakan penuh dengan pelbagai makanan termasuk buah-buahan pelbagai jenis.

Majlis diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, bacaan selawat ke atas junjungan besar SAW, nasyid kanak-kanak, ceramah dan makan-makan.

Rasanya memang seronok dapat bersama dengan masyarakat bersama-sama meraikan ulangtahun keputeraan baginda SAW. Barangkali di masa depan ikhwah dan akahawat JIM pun mampu berkumpul seramai mungkin untuk saling berselawat, bermuhasabah, bernasyid dan beraktiviti sesama kita dalam usaha mengukuhkan lagi kecintaan kita kepada baginda RasululLah.

Kita sedar, cintakan RasululLah SAW bukan sekadar berkumpul, berselawat dan meraikan maulidur Rasul, malahan perlu diterjemahkan dalam bentuk amal dan perjuangan. Namun tidak salah untuk kita menjadikan ia salah satu aktiviti penting itu kita berkumpul dan bermuhasabah serta koreksi diri dari sudut kedalaman kasih dan rindu kita pada RasululLah SAW.

Adakah segalanya hanya ucapan atau penghayatan! Hanya kita dan Allah yang tahu. Sesungguhnya RasululLah SAW adalah rahmat untuk seluruh alam.

AlhamdulilLah selepas ceramah, beberapa ibu yang menjadi panitia program memohon saya memberikan pengisian kepada kaum ibu secara berkala. Mudah-mudahan kalau bukan saya yang memberikan pengisian, ada akhawat JIM Ampang Jaya yang boleh menyantuni kumpulan masyarakat yang boleh tahan juga jumlahnya. Saya juga diajak melihat anak-anak remaja dan kanak-kanak mereka berlatih berkompang dan bernasyid setiap 2 kali seminggu. InsyaAllah akan difikirkan cara memanfaatkan ukhuwwah yang mula dibina ini.

Begitulah sedikit perkongsian saya yang merasakan perjumpaan dengan ahli masyarakat yang menggelarkan diri mereka sebagai orang-orang boyan, jawa, aceh dan lain-lain dari Indonesia ini sebagai pertemuan yang sungguh istimewa.

Dikongsikan beberapa foto program.

Jzkk
Roha Hassan

Friday, March 13, 2009

Tentang Dia - Ibu Madrasah Pertama Kami

Tentang Dia – Madrasah Pertama Kami


Tuhan!
Izinkan kami menulis tentang dia
Walaupun ada diantara dia yang sudah tidak ada di samping kami lagi
Dia yang sudah tidak bisa membaca apa yang telah kami coretkan ini
Dia yang sudah tidak boleh memberikan ucapan pujian atau teguran
Dia yang tidak boleh ketawa bila kami bersenda, atau mengalir airmata bila terharu atau kelelahan

Tuhanku!
Dia sebenarnya amat banyak baktinya kepada kami

Tuhanku!
Dia sebenarnya sangat sayang dan kasih pada kami

Tuhanku!
Dia sebenarnya sudah menitiskan banyak keringat dan airmata kerana kami

Tuhan!
Sesungguhnya lembaran ini bukan lembaran lengkap
tentang madrasah kami yang pertama
Segala coretan dan nukilan hanyalah secebis pengalaman dan perkongsian
tentang dia yang sungguh istimewa
Tuhan!
Bukan kami ingin memuja dia melebihi diri Mu
Tapi, dari dia kami belajar tentang Mu
Dia yang mendidik kami mengenal dan menyintai Mu
Patuh dan tunduk terhadap perintah Mu
Dia yang Engkau amat muliakan dalam Al-Quran
Dia yang Engkau perintahkan kami taati selagi ia bukan perintah derhaka
Dia yang sangat disanjungi oleh para Nabi dan Rasul

Kami sedar ya Ilahi
Bukan kami yang selayaknya memuji
Engkaulah yang lebih utama dalam menghargai dan mengadili
Hatta, walau kering tinta kami, tidak tercatat jasa ibubapa kami
Namun kerna dia ibu kami
Yang sentiasa berkorban dan memberi
Mohon izinkanlah kami berkongsi
Sebagai bekalan untuk generasi esok dan hari ini
Kelak mereka akan lebih mengasihi dan menyayangi
Kata ibu yang mulia dituruti
Teguran ibu sentiasa dihormati
Nasihat ibu diapplikasi

Kerana sesungguhnya ibulah madrasah pertama kami

Ya Allah!
Walau dimana jua ibubapa kami
Didunia yang sementara
Atau sudah menemui TuhanNya
Golongkanlah ibubapa kami
Dikalangan mereka yang Engkau cintai
Bahagiakan dan selamatkanlah mereka didunia dan akhirat yang abadi
Sepertimana mereka mendidik kami, sejak kecil hingga dewasa hari ini.



Nukilan : Roha Hassan