Setiap kali mendengar senikata lagu ”ibu, oh ibu, engkaulah ratu hatiku...”. Aku akan berasa sebak. Rindu pada ibu akan menerjah ke kalbu. Memang benar! Ibu adalah ratu hatiku!
Ratu hanyalah satu perkataan menggambarkan betapa mulia dan tingginya darjat insan yang memiliki gelaran tersebut.
Ibu yang ku panggil ”emak” atau ”mak” adalah wanita istimewa yang lemah lembut, penyayang, penyabar dan pemalu. Itu hanya beberapa ciri istimewa yang mak miliki.
Kahwin dahulu, bercinta kemudian
Mak dan abah tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Selepas bernikah barulah mereka berkenal dan bercinta. Memang banyak kalau nak diceritakan bab percintaan mak dan abah. Namun yang pasti, dalam menempuh badai dan ombak perkahwinan, rumahtangga mak dan abah terus kekal hingga ke akhir hayat. AlhamdulilLah perkahwinan mak dan abah juga telah dikurniakan dengan sembilan orang cahayamata.
Rumahtangga mak abah penuh kesederhanaan. Keluarga kami bukanlah keluarga yang terbaik di atas mukabumi ini. Namun hidup kami bahagia, gembira serta sederhana.
Kami akan berkumpul bila menjelang perayaan atau hari-hari istimewa yang lain. Kami ada bertengkar, berbeza pendapat, ada masalah tetapi kami masih sebuah keluarga yang tahu asal usul dan cuba membantu antara satu sama lain sedaya upaya kami.
Keluarga kami sebenarnya adalah keluarga yang istimewa dalam segala kelemahan dan kekurangan yang ada. Semua keistimewaan yang kami miliki hari ini, tidak lain dan tidak bukan kerana sentuhan ajaib mak. Sebab itu nukilan ini adalah tentang mak. Walaupun bukan segala-galanya tentang mak, tapi aku ingin sekali berkongsi dengan kalian tentang sentuhan ajaib mak.
Ini kerana tanpa sentuhan ajaib mak, aku tidak pasti akan dewasa dan memiliki apa yang aku miliki hari ini.
Sentuhan Ajaib Mak
Emak mendidik kami melalui pesanan dan sentuhan ajaibnya. Aku nukilkan beberapa sentuhan ajaib mak sebagai perkongsian dan panduan. Walaupun aku tahu lembaran ini tidak cukup panjang untuk aku mencoretkan segala-galanya tentang mak, namun aku tetap ingin kongsikan apa yang termampu sebab sentuh an ajaib mak sangat indah untuk dikongsi.
1. Masakan mak yang paling sedap
Sehingga kini aku tidak pernah menemui laksa yang dimasak sesedap laksa yang mak masak. Kata orang air tangan ibu memang istimewa. Apa sahaja yang dimasak oleh mana-mana ibu adalah lebih sedap berbanding masakan orang lain.
Tapi kesedapan masakan mak bukan sebab air tangannya semata-mata. Mak sebenarnya memang tukang masak yang hebat. Apa sahaja yang mak masak hatta sambal tumis ikan bilis amat sedap.
Ada rahsia disebalik keajaiban masakan mak. Bukan senang menjadi isteri abah. Hanya mak yang paling sesuai. Abah sangat cerewet perihal makanan dan masakan. Bab halal haram makanan dijaga dengan sempurna. Bab kebersihan dan bahan-bahan yang dimasukkan dalam makanan juga ditelitinya.
Kalau abah tidak pasti dengan sesuatu makanan maka abah tidak akan makan makanan tersebut. Bayangkanlah ketika itu, tidak ramai dikalangan umat islam di Malaysia terlibat dalam industri makanan halal. Beberapa makanan seperti jeruk, telur asin, keropok, acar dan macam-macam lagi mak yang buat sendiri. Semuanya untuk menggembirakan hati seorang suami. Apatah lagi abah tidak suka makan di kedai makan. Hanya makanan yang mak dan anak-anak masak, yang abah makan. Kami anak-anaknya juga amat beruntung memiliki emak yang pandai memasak.
Peraturan mak dalam bab masakan ialah, kami adik beradik mesti belajar memasak sejak berusia sembilan tahun lagi. Dua orang anak mak iaitu Kak Cah dan Kak Dah juga pandai memasak. Malahan mereka mencari rezeki dengan menjual nasi lemak, nasik berlauk, mee goreng, laksa dan macam-macam lagi. Adik-adikku, Pah, Dekna turut mewarisi kemahiran mak dalam bab masak memasak.
Walaupun kebolehan mak ini tidak aku warisi sepenuhnya seperti adik beradikku yang lain. Tapi tips mak tentang makanan akan aku ingati, hayati serta amalkan sehingga akhir hayat, insyaAllah.
Begitulah mak mendidik kami tentang makanan yang halal, bersih, berkat melalui masakannya. Contoh yang mak berikan dalam bab makanan dan masakan terus menjadi bekalan kami adik beradik.
2. Sentuhan kreativiti yang dimiliki mak tiada bandingannya
Disamping memasak, mak juga menjahit baju kami adik beradik, menganyam mengkuang untuk dijadikan bakul dan tikar, membuat gubahan untuk pengantin, memasak macam-macam makanan yang sedap dan macam lagi yang mak boleh lakukan.
Ketika abah berniaga di pasar, mak membantu di sawah. Mak tahu semua urusan di sawah atau kami panggil bendang. Mak bijak menangkap ikan menggunakan pelbagai kaedah. Yang pasti, ada sahaja ikan yang diperolehi setiap hari.
Kami masih ingat keropok mak yang sedap dengan pelbagai corak dan warna. Juga masih ingat tikar mengkuang mak yang sering dibeli oleh rakan dan taulan mak.
Pendekata, mak memang kreatif dan boleh melakukan banyak tugasan yang berbeza dalam satu masa. Cara fikir mak juga kreatif. Biasanya mak memiliki beberapa penyelesaian untuk sesuatu masalah.
3. Penegasan agama terhadap anak-anak
Dari sudut pengajian, mak tidak bersekolah tinggi. Namun penegasan abah dalam bab agama dibantu dengan sepenuh jiwa raga oleh mak. Abah mahu kami semua berada di rumah jam tujuh malam setiap hari. Solat dan mengaji adalah tugas rutin yang mesti dilakukan setiap malam.
Mak dan abah tidak akan memaksa kami dalam bab agama, tetapi kami diberikan didikan agama sewajarnya.
Setiap hari, antara jam 4-5 pagi, abah akan bangun menunaikan solat malam. Aku menyaksikan peristiwa itu hampir setiap hari sejak aku masih kecil. Ia menumbuhkan keinginan ku untuk mengikut jejak mak dan abah. Hari ini, abah masih mengamalkannya penuh dedikasi.
Sesungguhnya tanpa didikan dan penegasan agama oleh mak dan abah, mana mungkin aku menjadi aku seperti hari ini.
4. Penglipur lara nombor satu
Aku masih ingat ketika zaman kanak-kanak ku mak adalah penglipur lara kami nombor satu. Setiap malam kami akan mengelilingi mak untuk mendengar cerita. Macam-macam cerita menarik yang mak akan ceritakan pada kami.
Dari kisah para Nabi dan Rasul hinggalah kisah-kisah dongeng yang penuh pengajaran seperti ”Batu belah Batu Bertangkup”, ”Si Tanggang” dan macam-macam lagi.
Segala cerita yang mak kisahkan kepada kami mengandungi macam-macam pengajaran yang baik. Mak menjadikan aktiviti ini sebagai salah satu cara mengajar kami tentang perbezaan akhlak yang baik dengan buruk. Balasan perbuatan baik dan akibat perbuatan jahat. Aktiviti ini juga dapat mengukuhkan hubungan kami sekeluarga.
Tidak hairanlah bila aku mampu memenangi tempat ketiga dalam pertandingan syair peringkat sekolah rendah kerana penulisan ku bertajuk, ”Tikus yang Engkar”. Barangkali aku mewarisi darah seni yang ada dalam tubuh mak.
5. Penerapan nilai-nilai kepimpinan
Mak adalah seorang pemimpin yang baik. Mak juga mendidik kami nilai-nilai kepimpinan tanpa mak dan kami sedari. Peraturan mak ialah kakak dan abang mesti menjaga adik-adik. Kalau adik-adik buat salah, abang dan kakak yang akan ditanya dulu oleh mak.
Kami adik-beradik dididik dengan kehidupan berdikari. Setiap kami diberikan tugasan masing-masing. Kakak yang sulong memasak, kakak kedua menolong mak di bendang, aku mengemas rumah, adik melipat pakaian dan seterusnya. Setiap hari kami masing-masing sudah tahu apa tugasan yang mesti kami bereskan. Kami mesti bertanggungjawab terhadap hasil kerja kami masing-masing.
Bukan senang menjaga dan mendidik sembilan orang anak dengan kenakalan kami yang pelbagai. Namun emak telah berjaya mendidik kami semua sebaik-baik mungkin.
Mak adalah wanita yang sangat tabah. Teramat tabah sehingga hampir tidak kedengaran keluh kesahnya terhadap segala jerih payah yang dilaluinya.
Aku masih ingat bagaimana mak begitu tabah ketika kami sekeluarga difitnah oleh jiran sebelah. Malam-malam buta kami sekeluarga dihalau keluar dari rumah. Masa itu aku masih kecil, tetapi memori ku jelas merakamkan beberapa aksi jiran sebelah ketika mengugut abah dengan pisau.
Mak dan abah yang tabah itu menerima segala maki hamun dengan penuh ketabahan. Semuanya angkara harta. Harta abah yang sekangkang kera itupun ingin direbut, padahal ia adalah hasil titik peluh mak dan abah.
Ketika aku meningkat remaja, ketabahan mak abah diuji lagi. Onar yang dicipta oleh keluarga sendiri bukan orang luar. Kerana harta jua alkisahnya. Kami sekeluarga terpaksa berpindah lagi. Memang sukar dan payah. Tapi adanya mak yang tabah buat kami semua berjaya menghadapi segala keadaan.
7. Kelembutannya menjadi idaman
Kelembutan mak bukan sahaja pada pandangan matanya yang menyejukkan. Tapi kelembutan hatinya menawan ramai pemuda pada zaman remajanya. Bila sudah beristeri dan bergelar ibu, kelembutan mak tetap terserlah walaupun dalam segala ketegasannya.
Kelembutan mak bukan bermaksud mak boleh diperkotak katikkan sesuka hati. Kelembutan mak adalah terhadap anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan bantuan. Kami bukan orang kaya, tapi mak cukup kaya hati budinya. Mak ada ramai anak angkat dikalangan anak-anak yatim dan susah.
Rumah kami bagai tempat anak-anak yatim mendapat perlindungan dan kasih sayang. Aku masih ingat bagaimana anak-anak angkat mak sentiasa mengunjungi mak setiap kali mereka sedih atau gembira.
Apa yang mak lakukan ini menjadikan kami sentiasa menghormati mereka yang kurang bernasib baik berbanding kami, dalam masa yang sama sentiasa mensyukuri apa yang kami miliki.
Sifat lembut, pemurah dan prihatin pada anak-anak yatim dan golongan yang kurang bernasib baik terus subur dalam jiwa kami anak-anak mak.
8. Adakalanya ketegasan mak melebihi kelembutannya
Dalam kelembutan mak ada ketegasan yang membentuk kami menjadi insan yang kuat dan tabah. Kami belajar soal ketegasan dari mak.
Diantara ketegasan mak adalah terhadap perkara berkaitan dengan tanggungjawab. Jika aku atau mana-mana ahli keluarga tidak menjalankan tugasan masing-masing mak akan marah. Kalau tidak masuk ke rumah selewat-lewatnya jam tujuh malam, aku akan didenda. Apatah lagi dalam bab menuntut ilmu, tiada siapa yang berani ponteng sekolah sesuka hati.
9. Kekemasan bukan soal main-main
Aku masih ingat tentang perkara ini. Setiap perkara ada cara dan peraturannya. Kalau melipat dan menyusun baju ada caranya. Kalau menyidai pakaian ada caranya. Kalau membasuh dan menyusun pinggan ada caranya. Setiap hari tempat tidur dan seluruh rumah mesti dibersihkan dan dikemaskan Semuanya mak didik penuh peraturan.
Walaupun bukan semua pesanan mak sesuai untuk semua anak-anak mak dan boleh pula digunakan di zaman mana sekalipun. Tapi yang paling penting mak pentingkan bab kekemasan dan mahu kami hidup penuh keselesaan walaupun di dalam rumah kecil yang serba sederhana.
Mungkin aku tidak berapa kemas dalam soal rumahtangga, tapi nampaknya kekemasan mak itu tersangkut juga pada aku dalam bab dokumentasi. Cerewetnya aku dalam bab dokumentasi hinggakan setiap patah perkataan akan aku semak satu persatu.
10. Kesetiaan mak tidak pernah berbelah bagi
Mak adalah anak, isteri, ibu dan kakak yang setia. Mak setia dalam soal kasih sayangnya pada abah. Dalam senang dan susah, mak tetap berada disisi abah. Rumahtangga mana yang tiada riak dan getaran. Termasuklah rumahtangga mak dan abah. Mereka memang ada berbeza pendapat. Tapi, semua itu tidak mengoyahkan kesetiaan mak pada abah. Kemana abah pindah, mak setia mengikuti. Apapun keadaan kami sekeluarga, mak menerimanya sebaik mungkin. Tidak pernah tanggungjawabnya diabaikan.
Mak juga amat setia pada janji-janjinya pada adik beradik. Semua adik-adik mak menjadikan mak tempat meminta pertolongan bila diperlukan. Walaupun tidak kaya, mak tetap setia membantu adik-adiknya. Sejak tok meninggal dunia, mak lah ibu kepada adik-adiknya. Hinggakan adik bongsu mak, disusukan oleh mak. Menurut mak, ketika itu mak melahirkan kakak sulong kami, manakala tok melahirkan mak su. Umur tok tak panjang, Allah memanggil tok kembali ke sisiNya. Sebab tu, mak su disusukan oleh mak. Namun umur arwah kakak kami pun tak panjang. Beberapa bulan kemudian kakak kami pula meninggal dunia.
11. Kecantikan akhlaknya seiring keindahan paras rupa
Dari sudut fizikal, mak memang cantik. Kulitnya cerah, halus dan lembut. Matanya kuyu, hidungnya mancung dengan tubuh kecil molek. Langkah mak tersusun dan lemah lembut. Pendekata mak memang cantik orangnya.
Namun, yang ingin aku kongsikan disini ialah berkaitan sentuhan mak yang paling ajaib dan cantik iaitu sentuhan akhlaknya. Dengan yang muda, mak penyayang dan prihatin. Dengan yang tua, mak bersopan dan mengalah. Dengan rakan dan kenalan, mak sentiasa menjaga persahabatan.
Akhlak mak mengandungi keceriaan, kebijaksanaan, pemurah, penyayang, penyabar, mementingkan kebersihan, rendah diri, pandai mengambil hati rakan dan taulan, suka membantu dan banyak lagi keindahan akhlak mak.
Semua contoh yang mak beri sedikit sebanyak memberikan kami suntikan awal ke arah menjadi insan yang mulia, berjaya dunia dan akhirat.
Kebaikan dan pengorbanan mak tidak tertulis
Sebenarnya semua sentuhan ajaib mak tidak tertulis. Apatah lagi bila membicarakan soal kebaikan dan pengorbanannya. Cukuplah aku kongsikan secebis dari segala kebaikan dan pengorbanan sebagai tanda kasih sayang padanya. Harapan ku yang lain, moga-moga ada dicelah-celahnya pengajaran dan pengalaman yang boleh dikongsikan dengan generasi hari ini dan akan datang.
Walaupun mak yang bernama Zainab binti Salleh itu sudah tiada di sisi kami lagi. Nama dan jasa mak tetap terpahat dalam sanubari aku serta anak cucu mak yang lain. Setiap waktu, aku sentiasa berdoa agar ruh mak dimasukkan bersama mereka yang soleh, dirahmati dan diberkati oleh Allah. Sesungguhnya abah dan anak-anak mak sentiasa sayang dan rindukan mak.
No comments:
Post a Comment