Tuesday, April 28, 2009

Ibu Madrasah Pertama Ku Adalah Sebutir Permata (1)

Assalamualaikum wbt…

Alhamdulillah, sebutir lagi pertama ilmu diterbitkan untuk kita semua hayati dan mengambil segala kebaikan darinya.


Nama Buku : Ibu Madrasah Pertama Ku
Penyusun : Roha Hassan
Penerbit : Tinta Ori Enterprise
Usaha sama : Wanita JIM Pusat dan Tinta Ori Enterprise
Editor : Nazirah Idris dan Roha Hassan
Tebal Buku : 306 muka surat
Harga : RM25 sahaja / RM28 untuk Sabah dan Sarawak
Hubungi : Nazirah / Murni (03-41073379) atau Roha (012-4317948)


Ibu Madrasah Pertama Ku adalah Sebutir Permata


Ibu Madrasah Pertama Ku! Begitulah indahnya tajuk buku ini. Namun ia tidak seindah kasih sebenar seorang ibu. Namun kami yakin buku ini mampu membuatkan anda tersenyum disirami kasih ibu atau ketawa terkenangkan kisah lama atau menangis mengenangkan wajah ibu yang kini sudah berkedut dimamah usia atau mengalir air mata dek kerinduan pada bonda tercinta.

Anggaplah buku ini sekadar sebutir permata. Bukan yang terbaik tapi cahayanya cukup untuk menyuluh kehidupan generasi kita dan selepas kita dalam melalui liku-liku kehidupan sebagai seorang insan soleh wa musleh.

Tips daripada ibu madrasah pertama ku ini akan memberikan kita pelbagai pengajaran suka duka seorang ibu mendewasakan anak-anaknya. Sudah tentu tips tersebut dapat pula dimanfaatkan oleh kita untuk menyantuni anak-anak dan generasi muda di zaman kita dan akan datang.

Buku ini mengandungi kisah dua puluh tiga orang ibu membesarkan anak-anak yang kini sudah berjaya di bidang masing-masing.

Kerana kebahagiaan dan kejayaan yang mereka kecapi hasil sentuhan ibu, kini mereka ingin berkongsi dengan kita semua. Khususnya anda para pembaca. Banyak sekali kebaikan dalam bentuk pesanan atau perkongsian daripada para penulis tentang ibu masing-masing untuk kita ambil manfaatnya.

Mari kita hayati bersama setiap keindahan yang dinukilkan dalam buku, Ibu Madrasah Pertama ku ini.

Kandungan Buku

Bahagian I :
1) Fight For Your Right
Anfaal Saari

”Mama sentiasa tegas mengingatkan aku dan adik-adik untuk berani bangkit memperjuangkan hak kebebasan Ayah. Pengalaman ini mendidik kami adik-beradik menjadi lebih peka dan sensitif dengan hak-hak kami. Hak sebagai pengguna, sebagai mahasiswa dan sebagai warganegara.”...Fight For Your Right!....


2) Biar Miskin Dunia, Tapi Kaya di Akhirat Sana!
Anita Ali

“Tak apa kita miskin dunia, tetapi biarlah kita kaya di akhirat sana! Kita bukan orang kaya tetapi emak percaya satu hari nanti “Chek” pasti akan keluar juga dari kampung kita. Pada masa itu, “Chek” pasti akan tengok “dunia” di luar sana!”

3) Ibu! Oh Ibu! Engkaulah Ratu Hatiku
Azlina Isa

“Long, zikrullah nak ye, istiqamah, usrah jangan tinggal dan jalankan amanah yang Allah berikan dengan ikhlas dan jujur, istighfar dan selawat selalu. Buat baik dan bantu orang yang minta tolong. Jangan buat salah dengan orang. Biar dan maafkan orang yang buat salah kat kita. Kita jangan balas kejahatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segalanya dan biarlah Dia yang uruskan segalanya”.

4) Sikap Optimis Mu Pendorong Kejayaan Ku
Azlina Roszy Mohamad Ghaffar

”Emak adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan ku seperti apa yang aku jadi pada hari ini. Emak adalah seorang yang berfikiran positif dan optimis. Dengan sikap sedemikian, emak sering mendorong dan memberikan respons yang positif dan optimis dalam apa jua permasalahan hidup yang aku hadapi”.

5)Emak Aku Adalah ‘Women Of Substances’
Ir. Endok Sempo Mohd Tahir

”Tiada rehat selagi hidup, tiada pencen sebelum mati. Kerana hidup kita sentiasa berjuang dan kita mesti kaya untuk menolong orang lain.”

6)Ibu Madrasah Tarbiah Ku Yang Pertama
Fakhrul Anuar Zulkawi
"Tidak mampu ku gambar dan ungkapkan pengorbanan ibu dengan hanya sekadar lembaran penulisan ini. Namun, ku abadikan penulisan ini sebagai menunjukkan kasih sayang ku pada ibu yang tercinta. Kami bersyukur mempunyai ibu sebegini dan sudah pastinya ibu pula bertuah memiliki ayah yang berwawasan dan penyayang yang sentiasa berada di sisi. Ibu bukanlah seorang yang ternama apalagi berpendidikan tinggi namun jasa dan pengorbanan beliau bersama ayah mendidik ku serta adik-beradik ku yang lain sungguh tidak ternilai”.


7) Biar Miskin Harta, Jangan Miskin Ilmu -Faridah Maludin

8) Umi Penghibur, Pelindung Ku - Dr Hafidzah Mustakim

9) Ibu Madrasah Pertama - Hafizah @ Pen Aija

10) Apa Yang Ku Pelajari Dari Madrasah Hjh Siti Ramlah Anuar -Prof Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj

11)Kalau Kau Hendak Senang, Belajar Rajin-rajin - Haron Mohd Yusof (Hamdy)

12)Ibu Adalah Madrasah Pertama - Ibni Khalid Jurait

13)Kepercayaan Mu Penguat Semangat Ku - Kerisisiah Mohd Daud

14)Ibu Ku, Sahabat Ku…Pendamai Jiwa Ku - Norhayati S

15)Engkaulah Ibu, Engkaulah Ayah - Noor Faizah Sidek

16)Ibu Terlalu Istimewa Di Hatiku - Mahani Yusof

17)Ibu Madrasah Pertama Kami Sekeluarga - Ramlah Hussin

18)Sentuhan Ajaib Ibu - Roha Hassan

19)Pemergian Mu Tiada Pengganti - Rosnah Ahmad

20)Terima Kasih Mak - Salina Hassan

21)Ibu Madrasah Pertama Ku - Siti Aishah Mahamad

22) Ibu Permata Hati Ku - Prof Madya Dr Umi Kalthom Ngah

23) Ibu Permata Hatiku, Madrasah Pertama Ku - Ummu Mukhlis

24) Kasih Ibu Tidak Bertepi - Wan Fauziah Wan Kadir

Bahagian II : Puisi Dan Panduan Tentang Ibu

1) Tip Buat Ibu Dan Bakal Ibu
2) Puisi Indah Buat Mu Ibu
3) Tika Saat Ini
4) Tentang Dia – Madrasah Pertama Kami
5) Selendang Merah Ibu

Tentang Dia – Madrasah Pertama Kami




Nukilan : Roha Hassan

Tuhan!
Izinkan kami menulis tentang dia
Walaupun ada di antara dia yang sudah tidak ada di samping kami lagi
Dia yang sudah tidak bisa membaca apa yang telah kami coret kan ini
Dia yang sudah tidak boleh memberikan ucapan pujian atau teguran
Dia yang tidak boleh ketawa bila kami bersenda, atau mengalir air mata bila terharu atau kelelahan

Tuhanku!
Dia sebenarnya amat banyak baktinya kepada kami

Tuhanku!
Dia sebenarnya sangat sayang dan kasih pada kami

Tuhanku!
Dia sebenarnya sudah menitiskan banyak keringat dan air mata kerana kami

Tuhan!
Sesungguhnya lembaran ini bukan lembaran lengkap
tentang madrasah kami yang pertama
Segala coretan dan nukilan hanyalah secebis pengalaman dan perkongsian
tentang dia yang sungguh istimewa

Tuhan!
Bukan kami ingin memuja dia melebihi diri Mu
Tapi, dari dia kami belajar tentang Mu
Dia yang mendidik kami mengenal dan mencintai Mu
Patuh dan tunduk terhadap perintah Mu
Dia yang Engkau amat muliakan dalam Al-Quran
Dia yang Engkau perintahkan kami taat selagi ia bukan perintah derhaka
Dia yang sangat disanjung oleh para Nabi dan Rasul

Kami sedar ya Ilahi
Bukan kami yang selayaknya memuji
Engkaulah yang lebih utama dalam menghargai dan mengadili
Hatta, walau kering tinta kami, tidak tercatat jasa ibu bapa kami
Namun kerana dia ibu kami
Yang sentiasa berkorban dan memberi
Mohon izinkanlah kami berkongsi
Sebagai bekalan untuk generasi esok dan hari ini
Kelak mereka akan lebih mengasihi dan menyayangi
Kata ibu yang mulia dituruti
Teguran ibu sentiasa dihormati
Nasihat ibu diaplikasikan

Kerana sesungguhnya ibulah madrasah pertama kami

Ya Allah!
Walau dimana jua ibu bapa kami
Di dunia yang sementara
Atau sudah menemui Tuhan nya
Golongkan ibu bapa kami
Di kalangan mereka yang Engkau cintai
Bahagia kan dan selamatkanlah mereka didunia dan akhirat yang abadi
Sepertimana mereka mendidik kami, sejak kecil hingga dewasa hari ini.

Harga istimewa untuk 100 pembeli pertama! Dapatkan segera!

~ Roha Hassan~




Monday, April 27, 2009

Anda Bijak Jauhi Zina - Demi Kesejahteraan Kita Semua


Tentang Zina - Tak Kenal Maka Tak Benci!

Allah berfirman dalam surah Al-Israk ayat 32 yang bermaksud:“Janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu amat keji dan jalan yang sesat.”

Sememangnya zina itu perbuatan yang sangat keji dan kotor sehinggakan Allah memerintahkan mereka yang berzina mesti dihukum dengan 100 kali sebatan sebagaimana Allah berfirman dalam surah An-Nur ayat ke 2 yang bermaksud:“Perempuan-perempuan dan laki-laki yang berzina hendaklah keduanya didera (sebat) dengan masing-masing 100 deraan (sebatan).”

Amat malang lagi sekiranya mereka yang terus dengan perbuatan hina ini mati sebelum bertaubat, kerana seksaan di akhirat lebih dahsyat dari 100 kali sebatan.

Rasulullah saw ketika Israk Mikraj diperlihatkan Allah satu kumpulan manusia yang terdiri dari lelaki dan perempuan yang sangat hebat penyeksaan dan azab yang ditimpakan kepada mereka.

Mereka digantung pada buah dada mereka dengan rantai api neraka sedang dari kemaluan mereka keluar nanah dan danur yang sangat busuk sehingga ahli-ahli neraka sendiri mengharap dan mengeluh meminta mereka agar dijauhkan dari penzina tersebut.

Sekilas ABJZ

ABJZ adalah singkatan bagi perkataan Anda Bijak Jauhi Zina. Kempen ABJZ telah dilancarkan semasa Malam Amal Raudhatus Sakinah pada 14 Julai 2007.

Dua objektif Utama ABJZ ialah :
1. Mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang bahaya zina khususnya di kalangan remaja.
2. Memupuk sikap prihatin ibu bapa terhadap anak-anak dalam menangani permasalahan gejala sosial.

ABJZ Di SMK Teknik Tunku Jaafar, Seremban Negeri Sembilan






Tahniah dan terima kasih kepada ketua wanita JIM Negeri Sembilan, Kak Min yang juga merupakan seorang guru yang sangat berdedikasi. Beliaulah yang banyak menguruskan ABJZ di Negeri Sembilan bersama dengan teamnya.
~Roha hassan~

Sunday, April 26, 2009

Di Persimpangan Cinta Dan Cita-Cita : ERAT 09 - (1)

Assalamualaikum wbt...


Pada hari ahad yang lalu, saya bersama rakan-rakan yang lain mengisi slot "Persimpangan Cinta dan Cita-Cita".

Forum ini sempena program ERAT 09 yang diadakan di Kem Rebutia, Gombak. Anjuran KARISMA untuk remaja yang bakal melangkah ke IPT.


Dikongsikan serba sedikit persoalan dan perbincangan sepanjang forum tersebut.

Persimpangan Cinta Dan Cita-Cita : Antara persoalan yang diajukan :

1. Apakah pandangan setiap ahli panel mengenai tajuk ini sendiri iaitu ”Persimpangan Cinta & Cita-Cita” ?

2. Bagaimana kita menguruskan Cinta & Cita-Cita Dari Perspektif Wanita?



3. Bagaimana kita menguruskan Cinta & Cita-Cita Dari Perspektif Lelaki?

4. Di pasaran banyak karya-karya Cinta, adakah ini menunjukkan cinta itu perlu lebih difokuskan daripada cita-cita?


5. Bagaimana saudara meletakkan usaha dalam mencari cinta atau dalam erti kata lain mencari pasangan hidup? Berdasarkan pengalaman saudara sendiri.

6. Apa pendapat puan terhadap penyataan ini, “Kita kena kahwin untuk menjaga nafsu dan perkahwinan itu lebih penting daripada cita-cita”?

7. Apa pendapat Kak Roha, bagi golongan yang melebihkan cita-cita sehingga menolak tepi soal cinta?
Dihujung forum setiap panelis diminta membuat kesimpulan dan penutup untuk tajuk. Insya-Allah kita akan kongsikan jawapan panelis dalam posting kedua berkaitan tajuk ini.





~Roha Hassan~

Tuesday, April 21, 2009

Seribu Satu Karenah Danial

Assalamualaikum wbt...


Setiap kali memandang wajah Muhammad Danial Sufi, anjang pasti akan teringat kali pertama mama danial minta nasihat anjang tentang nama yang sesuai untuk mu. Maklumlah Danial kan anak sulong mama dan abah danial. Sebab itu mama dan abah Danial mahukan nama yang terbaik untuk Danial.


Ketika itu yang terfikir di dalam minda Danial ialah, satu nama yang menggabungkan beberapa nama yang anjang rasakan baik dan sesuatu untuk Danial. Menggabungkan nama Nabi Muhammad saw, nama Nabi Danial dan Sufi, yang bermaksud suci. Nama itu kini menjadi milik Muhammad Danial Sufi. Sebenarnya nama ini anjang pernah berikan kepada seorang kanak-kanak yang lain disamping Danial. Nanti, bila ada masa anjang akan ceritakan tentang kanak-kanak yang sorang lagi tu yang juga memiliki nama yang sama dengan Danial.

Hari ini Danial sudah berusia 5 tahun 2 bulan. Keaktifan Danial semakin bertambah dari hari ke hari. Seribu satu karenah Danial memang bisa membuat Mama, Anjang, Acu dan semua insan disekitar Danial terhibur dan ketawa. Juga mampu buat kami semua geram. Terkadang memang tak larat melayan karenah Danial.

Apa-apapun karenah Danial, Anjang yakin, satu hari Danial mampu meneruskan perjuangan anjang demi agama, Allah dan RasulNya. Sebab itu, walaupun dalam apa jua suasana, kami akan berusaha mendidik dirimu sebaik mungkin.
Ni kat kedai perabot kayu jati. Bukan main lagi Danial menguji ketahanan perabut tu
Ni pulak dalam tren.

Ni pulak time makan. Jangan harap nak berdiam diri walaupun ketika makan

Wah! Danial kat program TOPS bersama tabung Palestine kesayangannya. Stand by nak serah tabung yang penuh kepada Pak Cik Nasir JKPA. Bila dikira, jumlah duit dalam Tabung Palestine Danial berjumlah RM103.75. Nanti kita menabung lagi ye anjang! Kata Danial terus bersemangat!


Time main! Kenalah main habis-habisan! Danial bersama salah seorang kawan baiknya, Fizi.

Di Istana Budaya, semasa menemani anjang ke Teater Sirah Junjungan

Wah selesanyaaaaa...kata Danial. Geramnyaaaaa...kata anjang!
~Salam sayang~
Anjang @ Roha Hassan

Wednesday, April 15, 2009

Anda Bijak Jauhi Zina - Atas Nama Kasih Sesama Insan

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah Team RS Pusat dan Cawangannya di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Johor dengan kerjasama pelbagai pihak khususnya Wanita JIM negeri, telah berjaya menganjurkan ABJZ di beberapa tempat sejak ia mula dilancarkan. Sebagai perkongsian, dikongsi beberapa perkara berkaitan ABJZ



Sekilas ABJZ

ABJZ adalah singkatan bagi perkataan Anda Bijak Jauhi Zina. Kempen ABJZ telah dilancarkan semasa Malam Amal Raudhatus Sakinah pada 14 Julai 2007. Dua objektif Utama ABJZ ialah :

1. Mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang bahaya zina khususnya di kalangan remaja.

2. Memupuk sikap prihatin ibu bapa terhadap anak-anak dalam menangani permasalahan gejala sosial.

Bermula daripada tarikh ia dilancarkan, team ABJZ yang diketuai oleh Puan Rosmawati Zainal (yang juga dikenali sebagai Ummi Rose) terus melakukan pelbagai usaha, tanpa kenal lelah dan putus asa. Walaupun diperingkat awal, terdapat beberapa pihak yang tidak selesa dengan kempen ini. Namun Ummi Rose dan rakan-rakan di Raudhatus Sakinah (RS) meneruskan juga niat yang suci murni ini demi kasih sayang sesama insan. Begitu juga salah satu terjemahan terhadap ikrar sebagai khalifah Allah di muka bumi ini dalam melaksanakan tugasan amar makruf nahi mungkar.

Demi memartabatkan maruah remaja, belia dan wanita, RS terus-terusan melakukan usaha-usaha pendidikan dan pencegahan kepada remaja, belia dan wanita.

Pengalaman menguruskan 4 cawangan RS telah memberikan pelbagai pengajaran dan iktibar yang perlu disampaikan kepada golongan masyarakat, agar kebejatan sosial yang menjurus kepada pergaulan bebas, seks bebas atau zina, pengguguran dan pembuangan bayi serta kelahiran dapat dihentikan.

Insya-Allah dengan berpandukan misi dan visinya, Raudhatus Sakinah yang dinaungi oleh KW, Dr Harlina Halizah Siraj serta Wanita JIM Pusat ini, terus memacu usaha-usaha amar makruf nahi mungkar melalui kempen kesedaran, bimbingan, perlindungan dan pembinaan jati diri remaja, keluarga dan masyarakat.



Visi RS

Menjadi satu institusi pilihan bagi pembangunan insan yang membawa imej sejahtera untuk masyarakat majmuk.

Misi RS

1. Merealisasikan tanggungjawab mencegah mungkar ke arah membanteras gejala sosial melalui kesedaran, bimbingan perlindungan dan pembinaan jati diri remaja, keluarga dan masyarakat
2. Mendukung budaya kerja yang penyayang, efektif, proaktif dan efisien
Usaha sama Yang Berterusan

Di RS, kami mengamalkan budaya kerja usaha sama dan perkongsian dengan pelbagai pihak, antaranya Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelajaran melalui sekolah-sekolah, Pelbagai IPT dan Institusi, Pelbagai NGO, Syarikat Korporat dan Swasta, Wanita JIM Negeri dan daerah, Kelab Remaja JIM, KARISMA, PETRONITA dan pelbagai institusi lain.

Tahniah Untuk Kalian

Sekalung ucapan tahniah untuk semua pihak penganjur ABJZ sejak ia mula dilancarkan. Untuk perkongsian kali ini ucapan tahniah dan terima kasih khusus diberikan kepada KW JIM Negeri Sembilan, Kak Min dan team yang menguruskan ABJZ di Negeri Sembilan. Kak Norbaya, SU Wanita Terengganu dan Fahzan KRJ Terengganu serta team mereka yang menguruskan ABJZ di Terengganu serta, KW Pahang, Kak Aisyah serta teamnya yang terdiri daripada WJIM Pahang dan KARISMA . Tidak lupa kepada pihak SMK Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, Selangor.
Dikongsikan beberapa foto dan catatan berkaitan dengan program ABJZ di Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Pahang.

1. 08 April 2009
Tempat : Sek Men Taman Bunga Raya Bukit Beruntung, Selangor
2. 08 April 2009
Tempat : SMK Pendeta Zaa'ba, Paroi Negeri Sembilan

SMK Pendeta Zaa'ba, Paroi, Negeri Sembilan

Khususnya putera puteri mendengar nasihat ABJZ

3. 10 April 2009
Tempat : SMK Rantau Petronas, Kertih, Terengganu


Ummi Rose Bersama Regina yang hadir sepanjang program termasuk ketika dalam masjid - siap berselendang tanda hormat


Senyuman Puan Norbaya, koordinator Program ABJZ Terengganu

Trainers ABJZ bersama Penganjur


Fahzan dengan dua puloh fasilitatornya membantu menyantuni para peserta


Aktiviti Dalam Kumpulan - ABJZ SMK Rantau Petronas, Terengganu

4. 11 April 2009
Tempat : Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang

Dua daripada empat wakil IKIM (Fairus dan Maslina) yang bersama dalam program begitu khusyuk mengikuti setiap penyampaian dan perkongsian

Antara peserta yang hadir di ABJZ, Pahang. Rakaman sepanjang program dilakukan untuk tujuan dokumentasi dan bahan TOT

Sesi Wawancara oleh IKIM. Program ini ialah program kedua ABJZ yang dimuatkan dalam slot Dokumentari IKIM

Wajah ceria Gen-Y penggerak ABJZ Pahang bersama Trainers ABJZ
Semoga perkongsian ini mencambahkan lagi keinginan setiap ahli masyarakat dalam melaksanakan tugasan amar maaruf nahi mungkar demi kesejahteraan manusia dan alam. Demi Allah dan RasulNya.Sesungguhnya masih terlalu ramai yang mesti disantuni oleh kita. Tidak pernah cukup masa, tenaga, material dan segala-gala. Namun ia bukan alasan untuk kita berlepas tangan dan berlapang dada dengan segala kemungkaran yang berlaku disekeliling kita. Teruskan usaha! Walaupun jalanan dakwah dan perjuangan ini penuh ujian dan cabaran!

~ Catatan seorang hamba~
Roha Hassan
Ahli Lembaga Pengarah Raudhatus Sakinah (LPIRS)

Sunday, April 5, 2009

Terima Kasih Mak


Terima Kasih Mak
Nukilan ~ Salina Hassan (Dekna @ Adikku)


”Aku memang tidak se pandai anak-anak mak yang lain dalam mengungkapkan kata-kata tentang mak. Kerana itu, aku ingin mulakan perkongsian aku ini dengan kata-kata ini, terima kasih mak!”


Nama ku Salina. Aku masih menuntut di Institut Pendidikan Awal Kanak-Kanak dalam jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak. Aku adalah anak bongsu dalam keluarga kami. Nama mak ku ialah Zainab binti Salleh. Nama abah ku pula, Hassan bin Ali.

Mak meninggal ketika aku masih berada di bangku sekolah. Tidak dapat aku membalas segala jasa dan pengorbanan mak. Malahan ketika mak pergi mengadap Ilahi, aku dalam keadaan masih memerlukan perhatian dan kasih sayang mak. Betapa sedih dan hancurnya hati ini ketika emak menghembuskan nafas yang terakhir. Namun aku pasrah, semua itu sudah suratan takdir. Kematian dan kehidupan Allah yang menentukan. Lama kelamaan aku mampu menerima pemergian ibu dengan penuh keredhaan.

Ketika melihat kerancakan kakak ku menulis tentang mak. Aku juga terasa teringin benar menulis sesuatu tentang mak. Namun aku tidak sebijak kakak dalam menyusun kata-kata. Dia sudah biasa menulis. Aku pula, menulis bukanlah sesuatu yang mudah. Kadangkala untuk menyiapkan satu artikel aku akan mengambil masa berjam-jam untuk menyiapkannya. Kadangkala bila kepupusan idea, aku berhenti seketika dan memerlukan hari esok dan seterusnya untuk menyiapkannya.

Namun aku kepingin sekali menuliskan betapa aku amat berterima kasih pada mak. Maka dengan segala kekurangan yang ada aku mulakan coretan ini. Walaupun coretan ini amat biasa dan ringkas, aku berharap ia menjadi satu perkongsian yang bermakna. Terutamanya oleh golongan muda yang satu hari nanti akan mendirikan rumahtangga, menjadi isteri dan ibu. Kata mak, dengan menjadi ibu, seorang anak akan lebih memahami dan menghargai setiap jasa ibunya.

Terlalu banyak ucapan penghargaan dan terima kasih ingin aku berikan pada mak. Walaupun aku sering mengucapkannya ketika mak masih hidup. Tapi semua itu belum cukup. Sebab itulah dalam tulisan yang ringkas ini aku cuba lakarkan betapa aku amat berterima kasih pada mak.

Terima kasih Mak Kerana Telah Melahirkan Aku

Pertamanya aku ingin mengucapkan terima kasih kerana mak telah melahirkan aku ke dunia ini. Tentu mak bersusah payah ketika melahirkan aku. Kata kakak, masa mak mengandungkan aku, mak aktif macam biasa. Bawa perut mak yang semakin hari semakin besar itu ke bendang dan ke sana sini. Mak masih memasak dan buat kerja rumah macam selalu. Kadang-kadang mak angkat benda-benda berat masa abah tiada di rumah.

Setelah cukup masanya, mak melahirkan aku ke dunia dengan penuh susah payah. Maklumlah aku ni anak bongsu dan umur mak sudah hampir empat puluh tahun ketika itu. Bayangkan kemudahan bersalin yang serba kekurangan ketika itu, tentu mak bertarung nyawa melahirkan aku.

Mak memang wanita mulia yang sembilan kali telah menyabung nyawa untuk melahirkan kami semua. Walaupun anak-anak mak ramai, mak tidak pernah bersungut menyesal melahirkan kami.

Sesungguhnya kelahiran kami bagi mak adalah anugerah daripada Allah yang mak amat mensyukuri dan menghargai. Sebab itu mak tidak pernah mengabaikan kami.

Terima kasih Mak Sebab Jaga Aku Dengan Baik

Kata kakak, aku selalu sakit-sakit ketika masih bayi. Macam-macam usaha mak lakukan agar aku segera sembuh. Mak bawa aku ke sana ke mari. Dari perubatan moden hinggalah perubatan tradisional. Mak usahakan apa sahaja. Kata Kakak, kalau mak tidak usahakan segala-galanya untuk kesihatan aku, barangkali kedua-dua tangan aku tidak boleh digerakkan. Terima kasih mak kerana dua tangan yang sempurna ini. Walaupun aku masih belum dapat makan dengan baik menggunakan tangan kanan, aku tahu ia lebih baik daripada kedua tangan yang lumpuh.

Walaupun kami bukan orang senang, pakaian kami sentiasa bersih. Tempat tidur kami juga sentiasa tersusun. Mak tidak mahu anak mak rasa terasing atau terpencil apabila bergaul dengan orang lain. Sebab itu, mak akan berusaha sedaya upaya untuk melengkapkan keperluan anak-anak mak seperti anak-anak orang lain juga.

Aku juga agak beruntung ketika itu memandangkan dua orang kakak ku sudah mula bekerja. Manakala adik beradik yang lain masih bersekolah. Gaji kakak kecil sahaja sebab mereka berdua tidak bersekolah tinggi. Tapi sekurang-kurangnya ringan lah beban mak dan abah.

Segala penjagaan mak yang rapi ketika aku masih kecil memang amat baik berbanding dengan pengetahuan dan kelulusan mak. Ketika menjadi guru TADIKA dan kini belajar di bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak, aku boleh bandingkan apa yang ibu lakukan ketika menjaga aku berbanding dengan apa yang dilakukan oleh generasi hari ni memang berbeza. Mak telah menjaga dan membesarkan aku dengan baik sehingga ke akhir hayat mak.

Terima kasih Mak Sebab Tidak Pernah Gagal Sediakan Sarapan Buat ku

Mak tidak pernah gagal menyediakan sarapan pagi buat aku. Dari nasi goreng hingga nasi lemak ikan bilis, mak tidak lupa menyediakannya. Aku sentiasa dalam keadaan kenyang.

Prinsip mak dalam pendidikan anak-anak ialah, anak-anak yang kenyang dan ada ilmu tidak akan melakukan perbuatan yang tidak baik bila berada di tengah masyarakat. Sebab itu mak memastikan kami sentiasa kenyang.

Dari makan pagi hingga makan malam, mak akan sediakan. Bukan makanan yang paling mewah tapi makanan paling sedap. Nasi goreng dengan ikan masin pun sudah cukup sedap kalau mak yang memasaknya.

Kerap juga mak menyediakan bekalan untuk kami bawa ke sekolah. Semua itu memang membantu kami adik beradik berjimat dan makan makanan yang bersih.

Terima kasih Mak Sebab Ajar Menjadi Usahawan

Aku juga harus berterima kasih pada kesungguhan mak mendidik sifat berdikari dalam diri kami.

Mak yang pandai memasak memanfaatkan kebolehan mak dengan menyediakan jeruk dan kuih muih yang sedap. Kami pula akan menjual jeruk dan kuih muih yang mak buat di sekolah. Antaranya karipap, cucur udang, jeruk mempelam, jeruk cermai dan lain-lain lagi.

Mulanya memang aku berasa malu untuk menjual kepada kawan-kawan hasil usaha mak. Tapi lama kelamaan kami adik beradik termasuk aku, menjadikan ia aktiviti untuk kami mendapatkan wang tambahan.

Latihan mak itu kini menjadikan semua kakak ku suka berniaga. Walau pun secara kecil-kecilan masing-masing suka berniaga. Ada yang menjual makanan, baju, buku dan lain-lain.

Aku pun suka berniaga. InsyaAllah jika ada rezeki di masa hadapan, aku juga ingin ikut jejak kakak ku dalam bab berniaga. Semuanya hasil didikan mak.

Terima kasih Mak Sebab Tegur Bila Aku Salah

Kadang-kadang aku rasa geram juga bila ditegur mak. Namun bila aku muhasabah diri, aku akan segera sedar bahawa teguran mak adalah demi kebaikan aku juga.

Emak memang mementingkan kekemasan dan ketelitian. Kalau aku tidak mengikut arahan dan nasihat mak, sudah tentu akan ditegur oleh mak. Memang bertuah bila kita buat salah, ada yang menegur.

Adanya teguran mak menjadikan aku semakin bijak dan matang dari masa ke semasa.

Kini setelah mak tiada lagi di muka bumi ini, aku mula merasa rindu yang amat sangat pada teguran dan leterannya.

Banyak sekali teguran dan nasihat mak menjadi panduan untuk aku pada hari ini. Begitu juga dengan ahli keluarga kali yang lain.

Terima kasih Mak Sebab Belikan Aku Baju Baru

Setiap kali menjelang aidil fitri atau aidil adha, kenangan bersama mak akan menjelma semula. Betapa setiap tibanya hari penting itu. Mak akan belikan baju baru buat ku. Biasanya baju yang mak belikan buat aku memang cantik dan sesuai.

Sebenarnya bukan bab baju itu yang aku ingin ketengahkan di sini, tapi bagaimana mak mendidik kami adik beradik menabung dan berjimat cermat demi memenuhi cita-cita kami memiliki sesuatu.

Baju baru yang mak belikan ialah hadiah kepada kerja keras kami mengumpulkan wang, menolong mak berniaga, menabung dan sebagainya.

Mak telah mendidik kami berjimat cermat. Nilai yang mak tanamkan dalam jiwa aku menjadikan aku seorang yang berjimat cermat. Hanya membeli pakaian yang perlu dan mampu.

Kakakku sendiri, walaupun sudah memiliki pendapatan sendiri, sering membeli apa-apa yang perlu sahaja. Jika ada duit lebih, aku dan kakak akan membeli sesuatu kepada adik beradik yang lain. Pendekata kami tidak mementingkan diri sendiri semata-mata. Itulah nilai yang mak didik aku disebalik baju baru yang mak hadiahkan untuk aku.

Terima kasih Mak Sebab Banyak Berkorban

Mak terlalu banyak berkorban untuk aku. Kalau aku nak tuliskan segala pengorbanan mak untu aku. Memang tidak tertulis. Biarpun pena kering dan aku menjadi letih, namun segala pengorbanan mak aku tak mampu tulis.

Hidup mak bersama kami memang sederhana, namun mak tetap tabah. Mak tidak punya emas permata. Mak tidak punya pakaian yang mahal dan lawa-lawa. Namun memadai apa yang ada, mak tetap ceria.

Yang paling penting buat mak ialah kebahagian kami sekeluarga. Mak telah mengusahakan yang terbaik supaya aku berjaya dalam pelajaran dan kehidupan ku dunia dan akhirat.

Mak telah memastikan kami sihat, walaupun mak sendiri menanggung kesakitan. Mak juga memastikan kami makan makanan yang sedap-sedap walaupun mak sendiri di usia kanak-kanaknya penuh dengan pelbagai kesusahan, mak pastikan kami memakai pakaian yang bersih dan cantik walaupun mak sendiri tidak dihiasi dengan emas permata. Mak juga pastikan kami mendapat pelajaran yang mencukupi walaupun mak sendiri tidak pernah bersekolah.

Dalam segala kekurangan dan kesederhanaan mak memastikan kami mendapat didikan agama yang sewajarnya.

Terima kasih mak! Terlalu banyak yang mak korbankan untuk aku. Hanya Allah yang mampu membalas segala kebaikan mak kepada ku.

Terima kasih Mak Sebab Jadi Mak Aku

Terima kasih sebab mak menjadi mak aku. Aku bersyukur kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana Allah jadikan mak sebagai mak aku. Tidak ada wanita lain yang mampu menggantikan mak di sisi ku. Emak adalah mak aku selama-lamanya.

Walaupun aku bukanlah anak mak yang terbaik. Mak adalah mak yang terbaik buat aku. Siapalah aku, kalau mak tidak mendidik aku menjadi insan berguna seperti hari ini. Telah banyak yang mak korbankan buat aku. Tidak ternilai dan terhitung.

Sesungguhnya kekuatan dan ketabahan mak akan terus menjadi sumber inspirasiku untuk terus mengharungi segala cabaran dan onak duri kehidupan. Setiap kali aku rindukan mak, aku pasti akan mendoakan agar roh mak ditempatkan oleh Allah di syurga bersama orang-orang yang Allah redhai.

Apa-apapun maafkan aku mak, kerana tidak tahu mengungkapkan segala-galanya tentang segala jasa mak. Yang pasti, aku amat berterima kasih pada setiap pengorbanan mak.

Terima kasih di atas segala-galanya mak. Semoga kita sekeluarga akan dikumpulkan di syurga kelak.

Thursday, April 2, 2009

Bukan Aku Tidak Ingin Menyintai


Nukilan : Nurdinie Sufi


Bukan aku tidak ingin menyintai dan dicintai

Cuma aku takut cinta yang menjauhkan aku dari Ilahi


Bukan aku tidak ingin merindui dan dirindui

Cuma aku bimbang pada rindu yang menjauhkan aku dari realiti


Bukan aku tidak ingin mengasihi dan dikasihi

Cuma aku risau pada kasih yang meracuni


Bukan aku tidak ingin menghargai dan dihargai

Cuma aku gundah ia akan menjadi api yang membakar diri


Manusia

dalam pencariannya pada cinta

seringkali leka pada Pemberi cinta

seringkali alpa pada Pemilik segala

acapkali ego pada yang Maha Kuasa

selalu sahaja terlupa cinta yang dicari ada dalam hati


Insan

dalam keghairahan merindu kecantikan, pangkat dan kekayaan

lupa merindukan kematian

selalu meleburkan rindu pada yang tidak abadi

padahal janji mati dan syurga itu pasti

Tapi insan selalui jauh dari realiti, yang dirindu hanyalah mimpi


Kita

selalu bicara tentang kasih sayang

tetapi kenapa racuni kasih sayang sesama kita dengan hasad dengki

kenapa pisahkan suami isteri dengan fitnah

kenapa biarkan teman mati kelaparan

kenapa biarkan rakan seagama dibunuh dan disembelih

Kita selalu cakap tentang kasih sayang, padahal kita sendiri tidak pernah mengamalkannya


Wahai diri

janganlah meminta-minta untuk dihargai

walaupun kita gemar memberikan penghargaan

bimbang ada penyakit yang akan menimpa hati

risau kita jadi sombong nanti

berhati-hati kita jadi ego sebab selalu dipuji


Berebutlah untuk dicintai, dirindui, dikasihi dan dihargai oleh Ilahi

Bilamana kita sendiri menyintai, merindui, mengasihi dan menghargai setiap yang Tuhan beri

Pandai bersyukur dan berterimakasih

Pandai menguruskan amanah dan tanggung seorang hamba pada Dia, Tuhan kita.

Puisi Indah Buat Mu Ibu



Puisi Indah Buatmu Ibu
Nukilan: Ummu Mukhlis

Ibu,
Kaulah permata hidup kami,
Insan pertama dihati,
Tanpamu siapalah diri ini,
Sedari kecil kau belai kami,
Dengan belaian yang tiada tandingan,
Kesabaran mu menjadikan kami
terlalu mengagumi mu,
Ketulusan mu ibu, meruntun hati-hati kami,
Kelembutan mu ibu mencair kerasnya hati,
Tidak sia-sia pengorbananmu ibu,

Ibu,
Seandainya diberi pilihan antara ibu dan segunung intan,
Nescaya kaulah yang utama,
Tiada taranya pengorbanan mu ibu,
Sekudus doa dan ingatan buat mu,
Tidak terbalas segala budi mu,
Ya Allah ampunilah dosa ibu ku
Sayangilah ibu ku rahmatilah ibu ku.
Amin Amin ya rabbal alamin…

Nota : Puisi ini dipetik dari buku, Ibu Madrasah Pertamaku