Sunday, April 5, 2009

Terima Kasih Mak


Terima Kasih Mak
Nukilan ~ Salina Hassan (Dekna @ Adikku)


”Aku memang tidak se pandai anak-anak mak yang lain dalam mengungkapkan kata-kata tentang mak. Kerana itu, aku ingin mulakan perkongsian aku ini dengan kata-kata ini, terima kasih mak!”


Nama ku Salina. Aku masih menuntut di Institut Pendidikan Awal Kanak-Kanak dalam jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak. Aku adalah anak bongsu dalam keluarga kami. Nama mak ku ialah Zainab binti Salleh. Nama abah ku pula, Hassan bin Ali.

Mak meninggal ketika aku masih berada di bangku sekolah. Tidak dapat aku membalas segala jasa dan pengorbanan mak. Malahan ketika mak pergi mengadap Ilahi, aku dalam keadaan masih memerlukan perhatian dan kasih sayang mak. Betapa sedih dan hancurnya hati ini ketika emak menghembuskan nafas yang terakhir. Namun aku pasrah, semua itu sudah suratan takdir. Kematian dan kehidupan Allah yang menentukan. Lama kelamaan aku mampu menerima pemergian ibu dengan penuh keredhaan.

Ketika melihat kerancakan kakak ku menulis tentang mak. Aku juga terasa teringin benar menulis sesuatu tentang mak. Namun aku tidak sebijak kakak dalam menyusun kata-kata. Dia sudah biasa menulis. Aku pula, menulis bukanlah sesuatu yang mudah. Kadangkala untuk menyiapkan satu artikel aku akan mengambil masa berjam-jam untuk menyiapkannya. Kadangkala bila kepupusan idea, aku berhenti seketika dan memerlukan hari esok dan seterusnya untuk menyiapkannya.

Namun aku kepingin sekali menuliskan betapa aku amat berterima kasih pada mak. Maka dengan segala kekurangan yang ada aku mulakan coretan ini. Walaupun coretan ini amat biasa dan ringkas, aku berharap ia menjadi satu perkongsian yang bermakna. Terutamanya oleh golongan muda yang satu hari nanti akan mendirikan rumahtangga, menjadi isteri dan ibu. Kata mak, dengan menjadi ibu, seorang anak akan lebih memahami dan menghargai setiap jasa ibunya.

Terlalu banyak ucapan penghargaan dan terima kasih ingin aku berikan pada mak. Walaupun aku sering mengucapkannya ketika mak masih hidup. Tapi semua itu belum cukup. Sebab itulah dalam tulisan yang ringkas ini aku cuba lakarkan betapa aku amat berterima kasih pada mak.

Terima kasih Mak Kerana Telah Melahirkan Aku

Pertamanya aku ingin mengucapkan terima kasih kerana mak telah melahirkan aku ke dunia ini. Tentu mak bersusah payah ketika melahirkan aku. Kata kakak, masa mak mengandungkan aku, mak aktif macam biasa. Bawa perut mak yang semakin hari semakin besar itu ke bendang dan ke sana sini. Mak masih memasak dan buat kerja rumah macam selalu. Kadang-kadang mak angkat benda-benda berat masa abah tiada di rumah.

Setelah cukup masanya, mak melahirkan aku ke dunia dengan penuh susah payah. Maklumlah aku ni anak bongsu dan umur mak sudah hampir empat puluh tahun ketika itu. Bayangkan kemudahan bersalin yang serba kekurangan ketika itu, tentu mak bertarung nyawa melahirkan aku.

Mak memang wanita mulia yang sembilan kali telah menyabung nyawa untuk melahirkan kami semua. Walaupun anak-anak mak ramai, mak tidak pernah bersungut menyesal melahirkan kami.

Sesungguhnya kelahiran kami bagi mak adalah anugerah daripada Allah yang mak amat mensyukuri dan menghargai. Sebab itu mak tidak pernah mengabaikan kami.

Terima kasih Mak Sebab Jaga Aku Dengan Baik

Kata kakak, aku selalu sakit-sakit ketika masih bayi. Macam-macam usaha mak lakukan agar aku segera sembuh. Mak bawa aku ke sana ke mari. Dari perubatan moden hinggalah perubatan tradisional. Mak usahakan apa sahaja. Kata Kakak, kalau mak tidak usahakan segala-galanya untuk kesihatan aku, barangkali kedua-dua tangan aku tidak boleh digerakkan. Terima kasih mak kerana dua tangan yang sempurna ini. Walaupun aku masih belum dapat makan dengan baik menggunakan tangan kanan, aku tahu ia lebih baik daripada kedua tangan yang lumpuh.

Walaupun kami bukan orang senang, pakaian kami sentiasa bersih. Tempat tidur kami juga sentiasa tersusun. Mak tidak mahu anak mak rasa terasing atau terpencil apabila bergaul dengan orang lain. Sebab itu, mak akan berusaha sedaya upaya untuk melengkapkan keperluan anak-anak mak seperti anak-anak orang lain juga.

Aku juga agak beruntung ketika itu memandangkan dua orang kakak ku sudah mula bekerja. Manakala adik beradik yang lain masih bersekolah. Gaji kakak kecil sahaja sebab mereka berdua tidak bersekolah tinggi. Tapi sekurang-kurangnya ringan lah beban mak dan abah.

Segala penjagaan mak yang rapi ketika aku masih kecil memang amat baik berbanding dengan pengetahuan dan kelulusan mak. Ketika menjadi guru TADIKA dan kini belajar di bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak, aku boleh bandingkan apa yang ibu lakukan ketika menjaga aku berbanding dengan apa yang dilakukan oleh generasi hari ni memang berbeza. Mak telah menjaga dan membesarkan aku dengan baik sehingga ke akhir hayat mak.

Terima kasih Mak Sebab Tidak Pernah Gagal Sediakan Sarapan Buat ku

Mak tidak pernah gagal menyediakan sarapan pagi buat aku. Dari nasi goreng hingga nasi lemak ikan bilis, mak tidak lupa menyediakannya. Aku sentiasa dalam keadaan kenyang.

Prinsip mak dalam pendidikan anak-anak ialah, anak-anak yang kenyang dan ada ilmu tidak akan melakukan perbuatan yang tidak baik bila berada di tengah masyarakat. Sebab itu mak memastikan kami sentiasa kenyang.

Dari makan pagi hingga makan malam, mak akan sediakan. Bukan makanan yang paling mewah tapi makanan paling sedap. Nasi goreng dengan ikan masin pun sudah cukup sedap kalau mak yang memasaknya.

Kerap juga mak menyediakan bekalan untuk kami bawa ke sekolah. Semua itu memang membantu kami adik beradik berjimat dan makan makanan yang bersih.

Terima kasih Mak Sebab Ajar Menjadi Usahawan

Aku juga harus berterima kasih pada kesungguhan mak mendidik sifat berdikari dalam diri kami.

Mak yang pandai memasak memanfaatkan kebolehan mak dengan menyediakan jeruk dan kuih muih yang sedap. Kami pula akan menjual jeruk dan kuih muih yang mak buat di sekolah. Antaranya karipap, cucur udang, jeruk mempelam, jeruk cermai dan lain-lain lagi.

Mulanya memang aku berasa malu untuk menjual kepada kawan-kawan hasil usaha mak. Tapi lama kelamaan kami adik beradik termasuk aku, menjadikan ia aktiviti untuk kami mendapatkan wang tambahan.

Latihan mak itu kini menjadikan semua kakak ku suka berniaga. Walau pun secara kecil-kecilan masing-masing suka berniaga. Ada yang menjual makanan, baju, buku dan lain-lain.

Aku pun suka berniaga. InsyaAllah jika ada rezeki di masa hadapan, aku juga ingin ikut jejak kakak ku dalam bab berniaga. Semuanya hasil didikan mak.

Terima kasih Mak Sebab Tegur Bila Aku Salah

Kadang-kadang aku rasa geram juga bila ditegur mak. Namun bila aku muhasabah diri, aku akan segera sedar bahawa teguran mak adalah demi kebaikan aku juga.

Emak memang mementingkan kekemasan dan ketelitian. Kalau aku tidak mengikut arahan dan nasihat mak, sudah tentu akan ditegur oleh mak. Memang bertuah bila kita buat salah, ada yang menegur.

Adanya teguran mak menjadikan aku semakin bijak dan matang dari masa ke semasa.

Kini setelah mak tiada lagi di muka bumi ini, aku mula merasa rindu yang amat sangat pada teguran dan leterannya.

Banyak sekali teguran dan nasihat mak menjadi panduan untuk aku pada hari ini. Begitu juga dengan ahli keluarga kali yang lain.

Terima kasih Mak Sebab Belikan Aku Baju Baru

Setiap kali menjelang aidil fitri atau aidil adha, kenangan bersama mak akan menjelma semula. Betapa setiap tibanya hari penting itu. Mak akan belikan baju baru buat ku. Biasanya baju yang mak belikan buat aku memang cantik dan sesuai.

Sebenarnya bukan bab baju itu yang aku ingin ketengahkan di sini, tapi bagaimana mak mendidik kami adik beradik menabung dan berjimat cermat demi memenuhi cita-cita kami memiliki sesuatu.

Baju baru yang mak belikan ialah hadiah kepada kerja keras kami mengumpulkan wang, menolong mak berniaga, menabung dan sebagainya.

Mak telah mendidik kami berjimat cermat. Nilai yang mak tanamkan dalam jiwa aku menjadikan aku seorang yang berjimat cermat. Hanya membeli pakaian yang perlu dan mampu.

Kakakku sendiri, walaupun sudah memiliki pendapatan sendiri, sering membeli apa-apa yang perlu sahaja. Jika ada duit lebih, aku dan kakak akan membeli sesuatu kepada adik beradik yang lain. Pendekata kami tidak mementingkan diri sendiri semata-mata. Itulah nilai yang mak didik aku disebalik baju baru yang mak hadiahkan untuk aku.

Terima kasih Mak Sebab Banyak Berkorban

Mak terlalu banyak berkorban untuk aku. Kalau aku nak tuliskan segala pengorbanan mak untu aku. Memang tidak tertulis. Biarpun pena kering dan aku menjadi letih, namun segala pengorbanan mak aku tak mampu tulis.

Hidup mak bersama kami memang sederhana, namun mak tetap tabah. Mak tidak punya emas permata. Mak tidak punya pakaian yang mahal dan lawa-lawa. Namun memadai apa yang ada, mak tetap ceria.

Yang paling penting buat mak ialah kebahagian kami sekeluarga. Mak telah mengusahakan yang terbaik supaya aku berjaya dalam pelajaran dan kehidupan ku dunia dan akhirat.

Mak telah memastikan kami sihat, walaupun mak sendiri menanggung kesakitan. Mak juga memastikan kami makan makanan yang sedap-sedap walaupun mak sendiri di usia kanak-kanaknya penuh dengan pelbagai kesusahan, mak pastikan kami memakai pakaian yang bersih dan cantik walaupun mak sendiri tidak dihiasi dengan emas permata. Mak juga pastikan kami mendapat pelajaran yang mencukupi walaupun mak sendiri tidak pernah bersekolah.

Dalam segala kekurangan dan kesederhanaan mak memastikan kami mendapat didikan agama yang sewajarnya.

Terima kasih mak! Terlalu banyak yang mak korbankan untuk aku. Hanya Allah yang mampu membalas segala kebaikan mak kepada ku.

Terima kasih Mak Sebab Jadi Mak Aku

Terima kasih sebab mak menjadi mak aku. Aku bersyukur kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana Allah jadikan mak sebagai mak aku. Tidak ada wanita lain yang mampu menggantikan mak di sisi ku. Emak adalah mak aku selama-lamanya.

Walaupun aku bukanlah anak mak yang terbaik. Mak adalah mak yang terbaik buat aku. Siapalah aku, kalau mak tidak mendidik aku menjadi insan berguna seperti hari ini. Telah banyak yang mak korbankan buat aku. Tidak ternilai dan terhitung.

Sesungguhnya kekuatan dan ketabahan mak akan terus menjadi sumber inspirasiku untuk terus mengharungi segala cabaran dan onak duri kehidupan. Setiap kali aku rindukan mak, aku pasti akan mendoakan agar roh mak ditempatkan oleh Allah di syurga bersama orang-orang yang Allah redhai.

Apa-apapun maafkan aku mak, kerana tidak tahu mengungkapkan segala-galanya tentang segala jasa mak. Yang pasti, aku amat berterima kasih pada setiap pengorbanan mak.

Terima kasih di atas segala-galanya mak. Semoga kita sekeluarga akan dikumpulkan di syurga kelak.

1 comment:

ezani said...

Salam Cik Roha

Satu blog yg sgt cantik.

Syurga di bawah tapak kaki ibu.

Semoga partnership kita diredhoi dan diganjarkan Allah Subhanahuwa Ta'ala.

Ezani