Sunday, June 28, 2009

Adakah Kita Terlalu Sibuk Hingga Sukar Untuk Tersenyum


Terkadang kita merasakan kitalah orang yang paling sibuk. Terkadang kita rasa tidak pernah cukup masa. Terkadang kita rasa jadual kitalah yang paling padat.

Lebih kritikal lagi bila kesibukan kita menjadikan kita ”stress” tidak tentu hala. Kepadatan jadual kita pula buat kita lupa pada hak keluarga dan insan sekeliling kita. Bertambah teruk andai semua kesibukan dan kepadatan jadual hidup kita jadikan kita serius memanjang. Senyuman dan gurau senda jadi asing buat kita.

Kalau tanda-tanda di atas ini sudah ada pada diri kita, maka renungkanlah mutiara kata ini, ”Hiasi kehidupan ini dengan gurau senda kerana ia melambangkan kehidupan yang harmoni”.

Dalam persoalan begini, anjang punya pandangan dan cara sendiri. Bagi anjang keseimbangan dalam kehidupan wajib dimiliki. Mesti ada masa untuk Tuhan, diri, pelajaran, kerjaya, keluarga, rakan-rakan dan ahli masyarakat.

Anjang teringat Mutiara kata yang anjang pernah baca dan kongsi dengan rakan-rakan iaitu,
”Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.”
Anjang amalkan beberapa tips dalam hidup anjang. Demi menuju ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat, anjang ingin kongsi beberapa tips tersebut dengan para remaja dan belia yang dikasihi;

Hidup perlukan keseimbangan – Keseimbangan dari segenap sudut. Walaupun keseimbangan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai, namun usaha ke arah itu amat penting. Dalam mengisi waktu yang dikurniakan oleh Allah sebanyak 24 jam ini, kita harus bijak memanfaatkan setiap detik dan saat yang dikurniakan! Pembahagian masa kita mestilah mengambil kira segala kepentingan yang ada. Antaranya pelajaran, kerjaya, keluarga, ibu bapa, rakan-rakan, masyarakat dan alam. Jika kita melebihkan satu tanggungjawab dan mengabaikan tanggungjawab yang lain, hidup kita akan haru biru. Walaupun cemerlang dalam satu perkara, tetapi mengabaikan perkara penting yang lain. Kita tetap akan merasa kekurangan.

Masa kita untuk apa dan siapa? – Seperti yang disebutkan sebelum ini, kita semua dikurniakan 24 jam. Tidak ada mana-mana insan dikurniakan masa melebihi atau kurang dari 24 jam. Kita semua dikurniakan 24 jam sahaja. Cuma bagaimana kita membahagikan masa tersebut. Berapa jam untuk belajar. Manakala yang sudah berkerjaya, berapa jam untuk kerjaya dan mencari rezeki. Berapa jam untuk keluarga. Berapa jam untuk hiburan. Berapa jam untuk riadah dan rekreasi. Berapa jam untuk berbakti pada masyarakat. Berapa jam untuk bersosial dan menyambung silaturrahim. Berapa jam untuk membaca buku untuk menambahkan ilmu. Berapa jam untuk bermesra dengan alam. Berapa jam pula untuk membeli belah atau melancong. Semuanya kita yang menguruskannya sendiri.

Hidupku, matiku, ibadahku hanyalah untuk Tuhan pemilik semesta alam – barangkali ada antara kita akan bertanya, berapa jam pula untuk Allah. Setiap kali bila bersolat, kita pasti berikrar, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Tuhan pemilik sekalian alam”. Sebenarnya setiap perkara yang kita lakukan sepanjang hidup kita adalah ibadah selagi kita memenuhi syarat-syaratnya. Adalah kurang tepat jika kita nyatakan bahawa mengenal dan mengingati Allah hanyalah melalui solat Lima waktu atau ibadah itu sekadar berpuasa. Padahal Islam adalah “The way of life”, maka adakanlah setiap perbuatan kita sebagai ibadah dengan melaksanakannya mengikut peraturan dan syarat yang telah digariskan.

Menentukan keutamaan – satu lagi tips penting ialah menentukan keutamaan. Kita harus bijak menentukan siapa dan apa keutamaan kita dalam satu-satu waktu tertentu. Contohnya jika sudah hampir dengan peperiksaan, fokus utama kita tentulah kepada pelajaran. Manakala jika ketika khusuk membaca buku atau bekerja, waktu solat lima waktu tiba, yang wajib dan utama ketika itu adalah solat. Dan begitulah seterusnya. Kegagalan menentukan keutamaan merupakan salah satu punca kegagalan kita dalam mencari keseimbangan.
Setelah berusaha, bertawakal – Selepas kita berusaha bersungguh-sungguh untuk membahagikan masa dan menentukan keutamaan, kita bertawakallah kepada Allah. Kadang-kadang ada antara kita yang merasakan telah menguruskan masa yang terbaik untuk setiap perkara, tapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Bagi orang-orang berusaha dan bertawakkal, mereka tidak akan mudah berputus asa terhadap rahmat Allah. Kejayaan akan dianggap sebagai nikmat dan ujian. Sedang kegagalan akan diterima sebagai ujian dan cabaran. Kedua-duanya hadiah dari Allah dalam bentuk yang berbeza.


Disediakan oleh : Roha Hassan @ Anjang

Sayangi Dirimu Wahai Remaja – PPR Ampang Hilir


Sayangi Dirimu Di PPR Ampang Hilir

AlhamdulilLah program remaja, Motivasi Remaja Cemerlang dengan tajuk utama, Sayangi dirimu telah berjaya dianjurkan di PPR Ampang Hilir pada 21 Jun yang lalu.

Seramai 65 remaja yang berusia 10-15 tahun telah menghadiri program yang diadakan selama 4 jam ini.

Program ini mengandungi beberapa aktiviti yang terdiri daripada, pengisian, “management games” dan aktiviti berkumpulan.

Program ini ditaja sepenuhnya oleh beberapa pihak yang prihatin dengan halatuju remaja hari ini iaitu, Syarikat Tinta Ori, Pertubuhan Amal Warga Kilang dan Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia. Turut membantu ialah Persatuan Penduduk PPR Ampang Hilir khususnya Biro wanita.

Kali Pertama Berprogram

Semua peserta amat ceria dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang program ini dijalankan. Tambahan pula program seumpama ini merupakan program yang pertama kali diadakan di PPR Ampang Hilir.

Diantara objektif penganjuran program ini ialah :

1. Menyantuni remaja yang berada diantara usia 10-15 tahun
2. Meningkatkan motivasi remaja melalui perkongsian ilmu dan tips kecemerlangan
3. Mengukuhkan ukhuwwah sesama peserta
Kami Sayang Diri Kami

Itulah antara ikrar anak-anak remaja ini selepas mereka diingatkan tentang tanggungjawab sebagai remaja, kelebihan yang Allah kurniakan serta kepentingan menjaga fizikal, mental, emosi dan spiritual masing-masing.

Para remaja juga didedahkan tentang bahagian tubuh yang perlu dijaga dan tindakan yang mesti diambil apabila terdapat mana-mana pihak yang mengambil kesempatan keatas diri mereka. Mereka juga diberikan pendedahan tentang buli yang terdiri daripada jenis-jenis buli, kesan dan cara mengatasinya

Bagi memastikan remaja ini turut mengingati amanah dan tanggungjawab masing-masing, setiap peserta diberikan sekeping kertas A4 dan menyenaraikan sendiri tanggungjawab masing-masing. Antara tanggungjawab masing-masing yang disenaraikan oleh para peserta ialah:

Beribadah
Solat
Mematuhi arahan ibubapa
Menghormati ibubapa, guru dan keluarga
Belajar bersungguh-sungguh
Bercakap benar
Menjaga kebersihan dan kesihatan diri
Menjaga diri dan keluarga
Menolong mereka yang memerlukan
Menjaga kesopanan
Mengelakkan pergaduhan
Mengulangkaji pelajaran
Saling tolong menolong
Prihatin dengan kesusahan orang lain
Bersiap menjadi pemimpin masa depan
Maklumbalas Yang Memberansangkan

Diakhir program para remaja memberikan maklumbalas yang memberansangkan tentang program, antaranya :

1. Program ini menyeronokkan
2. Mahukan program seperti ini lagi dimasa hadapan
3. Dapat banyak ilmu
4. Lebih memahami masalah remaja
5. Banyak pesanan yang berguna
6. Anjang seorang penceramah yang baik
7. Dapat sijil, majalah dan hadiah percuma
8. Dapat melihat nasib mereka yang lebih susah daripada kami
9. Seronok dapat buat aktiviti dengan kawan-kawan
10. Belajar bercakap dihadapan kawan-kawan


Disediakan oleh : Roha Hassan @ anjang

Sunday, June 14, 2009

Apa Ertinya CINTA Bagi Seorang Remaja - Part (1)



Definisi Cinta

Dalam memberikan pendapat tentang cinta, Imam Al-Ghazali di dalam bukunya Kimia as-Sa'adah (Rahsia kebahagiaan) mendefinasikan cinta sebagai "Satu Kecenderungan yang membawa kepada perasaan yang menyenangkan. Ia adalah tarikan pemikiran, kesudian dan kecenderungan kepada yang disukai.

Manakali ilmuan tersohor, Profesor Dr Hamka dalam memberikan pendapat tentang cinta menyatakan bahawa, "Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanah yang lain-lain menerimanya.

Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji"

Begitu indah ungkapan cinta apa diterjemahkan oleh dua insan mulia ini. Imam al-Ghazali dan Profesor Dr Hamka. Namun bagaimana pula tafsiran cinta oleh remaja secara umumnya. Adakah selari dengan ungkapan yang diberikan para ulama dan cerdik pandai? Atau menepati kehendak agama dan adat. Adakah mengambil kira antara kebaikan dengan kemudaratan?

Antara cinta dengan C.I.N.T.A

Remaja dan cinta bagaikan dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Ketika diambang usia remajalah, cinta mula dikenali. Semuanya berlaku apabila seorang insan yang dulunya kanak-kanak kini mengalami perubahan dari sudut fizikal, mental, emosi, sosial dan moral. Perubahan yang membawa seorang insan ke alam yang penuh mencabar iaitu alam remaja.

Ketika menjadi salah seorang panelis forum remaja dan cinta di sebuah kolej di Negeri Sembilan, baru-baru ini, Ustaz Wan Aminuddin Haji Wan Abdullah berkongsi tentang C.I.N.T.A. Dalam ceria beliau menterjemahkan C.I.N.T.A sebagai "Cuma Ingin Nak Test Aje".

Maka diatas tafsiran inilah cinta yang suci menjadi mimpi ngeri bagi sesetengah remaja. Buktinya apabila bertambahnya kes-kes perzinaan, hamil luar nikah, pembuangan bayi secara berleluasa dan pelbagai lagi penyakit sosial dikalangan remaja yang menjadikan cinta sebagai "C.I.N.T.A".

Cinta Suci Cinta Sejati

Cinta bukan sesuatu yang keji. Tidak pernah ia dimusuhi atau dibenci. Namun, hanya cinta yang suci murni yang mengandungi ketenangan dan keindahan. Maka ingin dikongsikan disini secebis keindahan dan kelebihan cinta yang suci dan murni untuk sama-sama dihayati. Antara

1. Tokoh-tokoh agama juga mengiktiraf kesucian dan keperluan cinta.

Tiada agama yang memusuhi cinta. Sebab itu kebanyakan tokoh agama mengajak kepada cinta dan kebaikan. Berikut antara ucapan tokoh-tokoh berikut tentang cinta :
a. CINTAILAH sesama manusia, seperti engkau mencintai dirimu sendiri – Nabi Muhammad saw
b. Jangan menangis kerana gagal dalam PERCINTAAN, sebab manusia akan meninggalkan semua yang dicintainya - Buddha
c. Apabila kita bersungguh ingin MENCINTAI, kita perlu belajar memaafkan – Mother Teresa
d. Ketika anda diserang oleh musuh, taklukinya dengan CINTA – Mahatma Ghandi

2. Hakikat cinta abadi

Jika benar kita faham tentang cinta, tanamkanlah dalam jiwa kita lima kecintaan hakiki iaitu :
a. Cinta kepada Pencipta
b. Cinta kepada Nabi dan Rasul
c. Cinta kepada ibu bapa
d. Cinta kepada ummah
e. Cinta kepada kecemerlangan

3. Cinta perlukan keutamaan
Sebagai insan yang bijak, kita wajib tahu cinta yang mana harus diutamakan. Jika kita seorang remaja, cinta yang manakah harus kita utamakan?

Pada kekasih atau Tuhan? Sedangkan yang menjadikan dan memberikan segala-galanya kepada kita adalah Tuhan. Sedangkan kita tidak pernah berterimakasih dan mensyukuri segala nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita.

Pada kekasih atau Rasul Saw? Sedangkan kerana cintanya RasululLah saw kepada kitalah, kita hari ini menerima kenikmatan sebagai muslim. Bukan sedikit usaha dan pengorbanan RasululLah demi umat manusia, namun berapa ramaikah antara kita yang mengenali baginda, apatah lagi menyintai junjungan besar RasululLah SAW.

Pada kekasih atau ibu bapa? Pada kekasih yang baru dikenal beberapa purnama atau pada ibu bapa yang memelihara kita penuh cinta dan kasih sayang sejak kita dilahirkan. Tidak tertulis dan terbanding pengorbanan mereka. Sayang seribu kali sayang, manusia terutamanya golongan remaja sering melukakan hati ibu bapa demi cinta kepada seorang kekasih.

Pada kekasih atau kecemerlangan? Ketika usia remaja, cinta pada ilmu adalah lebih utama. Kesungguhan mengejar kecemerlangan akan membuka ruang kepada cinta-cinta yang seterusnya.

Jangan sesekali kantoi dalam kehidupan disebabkan percintaan!


~ Roha Hassan ~