Sunday, June 28, 2009

Adakah Kita Terlalu Sibuk Hingga Sukar Untuk Tersenyum


Terkadang kita merasakan kitalah orang yang paling sibuk. Terkadang kita rasa tidak pernah cukup masa. Terkadang kita rasa jadual kitalah yang paling padat.

Lebih kritikal lagi bila kesibukan kita menjadikan kita ”stress” tidak tentu hala. Kepadatan jadual kita pula buat kita lupa pada hak keluarga dan insan sekeliling kita. Bertambah teruk andai semua kesibukan dan kepadatan jadual hidup kita jadikan kita serius memanjang. Senyuman dan gurau senda jadi asing buat kita.

Kalau tanda-tanda di atas ini sudah ada pada diri kita, maka renungkanlah mutiara kata ini, ”Hiasi kehidupan ini dengan gurau senda kerana ia melambangkan kehidupan yang harmoni”.

Dalam persoalan begini, anjang punya pandangan dan cara sendiri. Bagi anjang keseimbangan dalam kehidupan wajib dimiliki. Mesti ada masa untuk Tuhan, diri, pelajaran, kerjaya, keluarga, rakan-rakan dan ahli masyarakat.

Anjang teringat Mutiara kata yang anjang pernah baca dan kongsi dengan rakan-rakan iaitu,
”Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.”
Anjang amalkan beberapa tips dalam hidup anjang. Demi menuju ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat, anjang ingin kongsi beberapa tips tersebut dengan para remaja dan belia yang dikasihi;

Hidup perlukan keseimbangan – Keseimbangan dari segenap sudut. Walaupun keseimbangan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai, namun usaha ke arah itu amat penting. Dalam mengisi waktu yang dikurniakan oleh Allah sebanyak 24 jam ini, kita harus bijak memanfaatkan setiap detik dan saat yang dikurniakan! Pembahagian masa kita mestilah mengambil kira segala kepentingan yang ada. Antaranya pelajaran, kerjaya, keluarga, ibu bapa, rakan-rakan, masyarakat dan alam. Jika kita melebihkan satu tanggungjawab dan mengabaikan tanggungjawab yang lain, hidup kita akan haru biru. Walaupun cemerlang dalam satu perkara, tetapi mengabaikan perkara penting yang lain. Kita tetap akan merasa kekurangan.

Masa kita untuk apa dan siapa? – Seperti yang disebutkan sebelum ini, kita semua dikurniakan 24 jam. Tidak ada mana-mana insan dikurniakan masa melebihi atau kurang dari 24 jam. Kita semua dikurniakan 24 jam sahaja. Cuma bagaimana kita membahagikan masa tersebut. Berapa jam untuk belajar. Manakala yang sudah berkerjaya, berapa jam untuk kerjaya dan mencari rezeki. Berapa jam untuk keluarga. Berapa jam untuk hiburan. Berapa jam untuk riadah dan rekreasi. Berapa jam untuk berbakti pada masyarakat. Berapa jam untuk bersosial dan menyambung silaturrahim. Berapa jam untuk membaca buku untuk menambahkan ilmu. Berapa jam untuk bermesra dengan alam. Berapa jam pula untuk membeli belah atau melancong. Semuanya kita yang menguruskannya sendiri.

Hidupku, matiku, ibadahku hanyalah untuk Tuhan pemilik semesta alam – barangkali ada antara kita akan bertanya, berapa jam pula untuk Allah. Setiap kali bila bersolat, kita pasti berikrar, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Tuhan pemilik sekalian alam”. Sebenarnya setiap perkara yang kita lakukan sepanjang hidup kita adalah ibadah selagi kita memenuhi syarat-syaratnya. Adalah kurang tepat jika kita nyatakan bahawa mengenal dan mengingati Allah hanyalah melalui solat Lima waktu atau ibadah itu sekadar berpuasa. Padahal Islam adalah “The way of life”, maka adakanlah setiap perbuatan kita sebagai ibadah dengan melaksanakannya mengikut peraturan dan syarat yang telah digariskan.

Menentukan keutamaan – satu lagi tips penting ialah menentukan keutamaan. Kita harus bijak menentukan siapa dan apa keutamaan kita dalam satu-satu waktu tertentu. Contohnya jika sudah hampir dengan peperiksaan, fokus utama kita tentulah kepada pelajaran. Manakala jika ketika khusuk membaca buku atau bekerja, waktu solat lima waktu tiba, yang wajib dan utama ketika itu adalah solat. Dan begitulah seterusnya. Kegagalan menentukan keutamaan merupakan salah satu punca kegagalan kita dalam mencari keseimbangan.
Setelah berusaha, bertawakal – Selepas kita berusaha bersungguh-sungguh untuk membahagikan masa dan menentukan keutamaan, kita bertawakallah kepada Allah. Kadang-kadang ada antara kita yang merasakan telah menguruskan masa yang terbaik untuk setiap perkara, tapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Bagi orang-orang berusaha dan bertawakkal, mereka tidak akan mudah berputus asa terhadap rahmat Allah. Kejayaan akan dianggap sebagai nikmat dan ujian. Sedang kegagalan akan diterima sebagai ujian dan cabaran. Kedua-duanya hadiah dari Allah dalam bentuk yang berbeza.


Disediakan oleh : Roha Hassan @ Anjang

No comments: