Assalamualaikum wbt...
Hari ini merupakan hari kelapan kita berpuasa. Itupun jika dipanjangkan usia dan sempat pula kita berbuka, berterawih, qiyamulail, tadarrus dan beramal sebanyak yang mungkin.
Ramadhan memang bulan penuh kebaikan yang sewajarnya dipenuhkan dengan amal kebaikan juga. Adakah amal kebaikan cukup dengan amalan yang wajib dan sunat seperti yang disebut sebelum ini. Adakah yang wajib itu sekadar berpuasa, solat, taddarus dan lain-lain seperti yang disebutkan diatas.
Sebab itu mari kita renungkan, sudahkah kita menjadikan Ramadhan ini bulan untuk melakukan segala amal kebaikan.
1. Akhlak kita - Adakah akhlak kita lebih baik pada bulan ramadhan berbanding pada bulan-bulan yang lain. Yang suka menyakitkan hati ibubapa, sudah mulai berlembut dan bersopan dengan ibubapa sepanjang ramadhan. Yang suka menyakitkan hati sesama teman, sudah membaiki hubungi sesama insan. Yang suka membuli, masihkah jadi pembuli. Yang suka cakap kotor-kotor, adakah sudah insaf dan bertambah baik budi bahasanya. Yang suka menghina dan mencerca orang lain, sudahkah belajar memuji dan melihat kebaikan orang lain. Yang suka mengumpat, sudahkan berhenti mengumpat dan memanfaatkan mulut yang cantik untuk menyampaikan kebaikan, amar maaruf nahi mungkar.
2. Pakaian Kita - Ketika melihat persekitaran, mata ini masih melihat susuk tubuh wanita yang tidak menutup auratnya. Bertawaf di sekeliling pasar Ramadhan tanpa rasa segan dan silu. Ada juga yang menutup kepala masing-masing dengan tudung jarang yang sebenarnya lebih baik tidak dipakai sebab tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada yang memakai kerana pakaiannya yang jarang dan ketat. Ramadhan bulan yang penuh kebaikan untuk lelaki dan wanita yang menyempurnakan kesempatan ini untuk mengutip pahala. Menutup aurat memanglah bukan tuntutan untuk bulan Ramadhan semata-mata. Ia tuntutan bagi setiap lelaki dan wanita yang sudah baligh dengan mereka yang bukan muhrim masing-masing. Namun jika bulan Ramadhan yang mana para iblis dan syaitan dipenjarakan pun kita tidak dapat menutup aurat mengikut al-quran dan as-sunnah. Bilakah lagi kita boleh dan mampu memenuhi tuntutan ini. 3. Makanan Kita - Apakah makanan yang kita makan di bulan Ramadhan adalah lebih baik dari bulan-bulan sebelum ini. Adakah kita makan dari makanan yang halal. Adakah kita pentingkan kebersihan makanan yang kita makan untuk berbuka dan bersahur. Apakah makanan yang menyihatkan menjadi sesuatu yang utama untuk kita. Namun persoalannya adakah semua yang disebutkan ini berlaku atau kita masih tetap sama seperti sebelum ini. Memakan dari rezeki yang tidak halal melalui rasuah atau kerja-kerja kotor yang lain. Makan atau "bantai" sahaja apa-apa makanan yang ada di depan mata kita tanpa mengira kebersihan dan kesuciannya atau kita abaikan saja bab makanan berzat sebab dengan berpuasa sudah cukup untuk menyihatkan badan kita. Tidak kurang pula yang menyimpan niat, berpuasa untuk menguruskan badan. Rugilah bagi kita yang tidak mengisi perut dengan makanan yang halal, suci dan menyihatkan di bulan Ramadhan sedangkan ini tempoh terbaik memberikan keseimbangan dan kerehatan sewajarnya kepada badan.
..............Bersambung insyaAllah.
Ramadhan Kareem!Roha Hassan
No comments:
Post a Comment