Saturday, January 16, 2010

Gerhana Hidup vs Gerhana Matahari

Assalamualaikum wbt
  • Setiap insan pasti diuji. Ketika diuji bagaimanakah reaksi kita?Ujian kadangkala bagaikan gerhana dalam kehidupan. Cahaya dan sinaran tiba-tiba diselubungi kegelapan. Ada yang kehilangan sesuatu yang disayangi samada ibubapa, keluarga, suami/isteri, anak-anak, harta benda, pekerjaan dan apa sahaja yang kita rasakan milik kita.
  • Ada pula yang melalui gerhana kesihatan, pekerjaan, pelajaran, kehidupan bukan dalam bentuk kehilangan tapi kemudaratan.
  • Apapun situasi yang kita hadapi, gerhana kehidupan adalah sesuatu yang kita kategorikan sebagai keadaan yang kelam dan gelap.
  • Setiap insan pasti pernah melalui gerhana kehidupan. Cuma tahap kegerhanaannya yang berbeza-beza. Namun yang paling penting bagaimanakah kita menghadapi gerhana tersebut.
  • Tipsnya ada banyak dalam ayat-ayat al-Quran dan hadis. Antaranya;
Ayat 286 surah al Baqarah yang bermaksud : "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya. (Mereka berdoa) ya Tuhan kami, Janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir."
  • Tips yang Seterusnya boleh pula diperolehi Melalui "Kejadian Alam Itu Sendiri"
Lihatlah kejadian alam. Biasanya kita pantas bertindak bila ada gerhana dalam kehidupan namun tidak mengambil sebarang tindakan dan pengajaran melalui gerhana matahari atau bulan. Dibawah ini dikongsikan Gerhana Matahari yang berlaku baru-baru ini. Hayati dan ambil la pengajaran.


1. Gerhana Matahari 15 Januari 2010


Ketika membaca maklumat Gerhana Matahari di laman sesawang http://www.falak.online.net.

Saya mendapat maklumat berikut : "Pada hari Jumaat, 15hb Jan 2010 nanti, sebuah lagi kejadian gerhana matahari akan berlaku. Kali ini, ia merupakan Gerhana Matahari Cincin yang akan dapat dilihat disepanjang laluan sejauh 300km yang merentasi benua Afrika, kemudian melalui Lautan Hindi di mana gerhana akan berada pada fasa paling lama iaitu 11 m 8 saat.

Kemudian ia akan meneruskan laluannya ke India, Bangladesh, Burma dan berakhir di China.Di Malaysia, hanya Gerhana Matahari Separa sahaja dapat dilihat pada tarikh tersebut.

Kiraan waktu gerhana dari lokasi bandar-bandar utama di malaysia adalah seperti berikut:

Kuala Lumpur
Fasa Sentuhan Pertama (Mula Gerhana): 3:01 PM
Fasa Maksimum (41% 28.6% Matahari Tertutup):4:26 PM
Fasa Sentuhan Terakhir (Tamat Gerhana): 5:38 PM "


2. Foto Gerhana Matahari Dari pelbagai Laman Web dan Blog.


Saya juga sempat melihat foto-foto berikut yang boleh dilihat di laman web dan blog, http://www.sabili.co.id/, rovicky.wordpress.com, darmawanku.com


Dikongsikan foto-foto gerhana matahari disini;

















Apabila menatap kejadian Gerhana Matahari atau bulan, bandingkalah dengan gerhana dalam kehidupan yang telah dan sedang kita lalui, kita akan mendapati :



  1. Gerhana Bulan dan Matahari adalah fenomena alam yang tidak dapat dielakkan. Begitu jua gerhana kehidupan, ia pasti berlaku kerana setiap gerhana kehidupan akan membawa sinar yang terang bagi insan yang menerimanya dengan tabah dan sabar. Ia mendewasa dan mematangkan insan.
  2. Gerhana Bulan dan Matahari hanya berlaku sekali sekala bukan sepanjang hari atau sepanjang tahun. Begitu jua gerhana kehidupan, bukan berlaku sepanjang masa! Hanya tiba sekali sekala bagi mengingatkan kita bila terlalai serta tanda kasih sayang Allah yang diterjemahkan dalam bentuk ujian dan kegerhanaan.
  3. Gerhana Bulan dan Matahari akan berlalu dan alam pasti cerah kembali. Begitu jua gerhana kehidupan, ia pasti akan berlalu. Sinar kebahagian insyaAllah akan muncul kembali selepas gerhana berlalu pergi. Yang paling penting sangka baik kepada Allah. Semuanya dengan kehendak Tuhan.

Oleh itu, bila berada dalam gerhana kehidupan, tabah dan sabarlah, ia pasti akan berlalu. Bersangka baik, berusaha dan bertawakallah kepada Allah. Manakala jika melihat gerhana bulan atau matahari, sujudlah kita seraya memuji kebesaran Allah sambil memohon agar gerhana itu segera berlalu kerana gerhana matahari yang berlaku selama-lamanya adalah petanda alam ini akan berakhir, maka takutlah kita kepada Allah.


~Roha Hassan~

Diari Seorang Tetamu Allah (02) – “Haji” Hanya Untuk Orang “Baik-baik”


'Kata orang kaya “A”, “Walaupun saya ada duit, saya belum bersedia menunaikan haji. Maklumlah nak buat jahat lagi…ha ha ha ha”.

Kata Datin “B”, “Saya ni bukan tak nak ke Mekah. Tapi belum bersedia. Maklumlah dah jadi hajah nanti nak kena berjubah dan bertudung pulak. Ish rimaslah. Nanti nak join group poco-poco pun tak boleh lagi…he he he”

Ada juga yang kata, yang boleh pergi haji hanyalah “orang baik-baik”, “orang kaya-kaya”, “orang yang sudah matang”, “orang yang dah pencen yang ada banyak masa” dan macam-macam lagi kata-kata dan ungkapan orang.

Semua itu kadangkala buat kita bertanya...betulkah seruan untuk menunaikan haji hanya sampai pada mereka yang baik-baik, kaya-kaya, pandai-pandai atau orang yang sudah tua ?

Bagi saya, jawapannya tidak.

Ketika membaca kisah-kisah perkongsian pengalaman macam-macam manusia ketika berada di tanah suci dan pengalaman sendiri sebagai tetamu Allah. Dapatlah difahami bahawa mereka yang datang untuk menunaikan haji datang dari pelbagai latarbelakang. Tidak semestinya orang baik-baik sahaja.

Ada orang yang setahu saya merupakan “pemimpin yang digelar zalim oleh rakyat” telah pergi menunaikan haji. Ada juga artis yang digelar “symbol seks” pergi menunaikan haji. Saya lihat ramai anak muda menunaikan haji dicelah-celah tubuh tua dan uzur. Ada yang menginap di hotel-hotel mewah. Ada pulak yang hanya bermalam di bawah jambatan. Ada yang datang berjalan kaki, ada pulak yang menaiki pesawat mewah!

Benarlah firman Allah swt dalam surah Al-Hajj ayat 27 yang bermaksud, "Dan maklumkanlah kepada manusia supaya mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada Engkau dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus, mereka datang dari segenap ceruk penjuru atau pelusuk yang jauh (seluruh dunia)".

Pendekata, perintah dan seruan menunaikan haji tidak dikhaskan untuk golongan tertentu sahaja. Sebaliknya seluruh umat manusia. Namun menunaikannya menjadi wajib bagi mereka yang berkuasa yakni berupaya melakukan ibadah haji sama ada secara sendiri atau melalui pertolongan orang lain.

Tetapi “hanya yang terpilih” sahaja yang akan dikurniakan oleh Allah dengan Haji mabrur. RasululLah saw bersabda "Haji yang mabrur itu, tidak ada balasan baginya melainkan syurga” (Hadis Riwayat Ahmad di dalam kitab Baqi Musnad al-Mukatthirin, bab Musnad Abi Hurairah r.a).

Oh betapa nikmatnya manusia yang dikurniakan haji yang mabrur. Mudahkah mendapat haji mabrur. Mungkinkah aku mampu memperolehinya. Apakah sifat-sifatnya?

Dalam surah al Baqarah ayat 197, 200-202, diterangkan sifat haji yang mabrur. Marilah kita hayati dan renungi maksud ayat-ayat tersebut.

197. (Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats ("Rafats" artinya mengeluarkan perkataan yang menimbulkan berahi yang tidak senonoh atau bersetubuh.) berbuat fasik dan berbantah- bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal.

200. Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berdzikirlah dengan menyebut Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyangmu, atau (bahkan) berdzikirlah lebih banyak dari itu. Maka di antara manusia ada orang yang bendo'a: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.

201. Dan di antara mereka ada orang yang berdo'a: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka"

202. Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian daripada yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.
Begitulah istimewanya mereka yang dikurniakan Haji yang Mabrur. Kita mungkin datang dengan latarbelakang yang kotor, tetapi haji mabrur bisa membersihkan insan yang kotor menjadi suci bagai bayi yang baru dilahirkan.
Bahkan....kekayaan, kemasyuran, kecantikan dan segala kelebihan dunia bukan ukuran untuk penganugerahah haji yang mabrur.

Oh Tuhan! Kurniakan aku haji yang mabrur walaupun aku sedar betapa hina dan kerdilnya aku....


Roha Hassan