Friday, April 2, 2010

Secawan Kopi Untuk Aku Dan Sahabat

Assalamualaikum wbt...

Pagi ini ketika bertemu salah seorang pelanggan. Aku sempat membaca berita dari sebuah akhbar tempatan yang menceritakan kisah seorang remaja tingkatan dua telah merogol teman sekelasnya. Pedihnya hati ini ketika membaca kisah tersebut.

Rasa tersayat hati ini. Lalu aku dapatkan secawan kopi. Sambil menikmati kopi yang hitam itu aku memikirkan debu-debu hitam yang sedang mencemarkan nilai-nilai murni remaja hari ini. Bukan sesuatu yang asing bila jenayah dan remaja hari ini digandingkan.

Aku benci gandingan itu. Bagaimana mungkin bakal pemimpin masa depan boleh berjalan seiringan dengan rogol, dadah, zina, pembuangan bayi, pembunuhan, ragut, curi, lepak dan banyak lagi.


Aku cuba tersenyum ketika menikmati secawan kopi bersama sahabat. Kopi ku hirup sambil tersenyum sebab aku yakin senyum pengubat hatiku yang sedang kesedihan. Namun kopi yang kuhirup terasa pahit. Mungkin aku tidak patut minum kopi sebab ada sesetengah orang menyatakan dalam kopi ada kandungan kafein yang ada ketikanya boleh memudaratkan.

Namun bukan kisah kafein yang menyentuh hatiku, namun pahit manis kehidupan yang lebih menambat hatiku untuk merasa serta menyentuh mindaku untuk berfikir.

Memang tidak dinafikan hidup adalah satu pelayaran buat seorang hamba Tuhan menuju ke negeri yang abadi. Tempat abadi yang kekal. Ada yang Indah lagi menyenangkan. Itulah syurga ciptaan Ilahi yang tidak tergambar keindahannya namun sentiasa menjadi impian dan harapan semua makhluk. Tidak kira siapa, mereka mahukan syurga.

Namun makhluk Tuhan yang mampu membezakan yang benar atau salah, yang pahit atau manis, yang baik atau jahat, yang buruk atau cantik akan segera memahami, pasti sedar, disebelah dunia abadi yang indah itu adanya dunia abadi yang buruk lagi menakutkan. Di dalamnya api yang membakar, air yang menggelegak, makanan dari buah-buahan berduri serta minuman dari darah dan nanah. Itulah Neraka. Satu ciptaan yang sifatnya berlawanan dengan sifat sebuah syurga.

Bacalah Dengan Nama Tuhanmu. Bacalah Al-Quran. Ikutilah sunnah RasululLah SAW. Di sana ada penceritaan tentang syurga dan neraka. Al-Quran dan As-sunnah bagai bintang penyuluh dimalam hari, bersinar bak mentari di kala siang menjelang. Ia bagai rumah api, memberi petunjuk kepada kapal yang berlayar di tengah lautan luas. Pendekata, Al-Quran dan As-sunnah adalah pedoman untuk insan yang berlayar menuju ke negeri yang abadi.

Jangan biarkan pahit kehidupan memusnahkan seluruh perjuangan. Jangan juga mencemarkan seluruh kebaikan dengan noda-noda hitam dosa dan kejahatan hanya kerana kita bangga sebagai manusia.

Hidup di dunia baik yang putih atau hitam sememangnya ketentuan Tuhan! Namun Tuhan tidak akan mengubah nasib seorang manusia itu jika manusia itu tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubahnya.

Kita boleh menentukan rasa kopi. Jika ingin yang pekat, cair, manis atau masin. Kita boleh menentukan jenis dan kualiti kopi yang menjadi pilihan. Kita juga boleh menentukan untuk minum secawan kopi atau hanya segelas air putih. Setelah berusaha dan memilih kembalikan penyelesaiannya kepada Allah.

Tanpa izin Allah, seorang insan boleh hilang seleranya untuk minum secawan kopi buat selama-lamanya.

Dengan kehendak Allah juga segelas air putih boleh menjadi sesuatu yang sukar untuk diperolehi oleh seorang hamba Tuhan di sebuah negara yang mengalami kemarau yang panjang.

Kseimpulan yang ingin dikongsikan disini ialah, untuk setiap manusia, baik remaja, belia atau dewasa, Tuhan memberikan ruang untuk memilih. Kita boleh memilih yang hitam atau putih yang baik atau jahat. Setelah memilih, berusahalah diatas jalan kebaikan yang kita pilih. Selepas itu berserahlah kepada Allah.

Jangan katakan, memilih kejahatan itu adalah satu takdir sebelum kita berusaha melakukan kebaikan. Setelah berusaha bertawakkallah kerana bukan sedikit manusia jahat menjadi baik kerana keinginannya untuk berubah. Tidak sedikit pula manusia baik menjadi jahat bila diri mula riya', sombong dan merasa cukup dengan kebaikan yang dilakukan. Padahalnya iman kita sentiasa ada turun naiknya. Manakala syaitan tidak pernah penat dan putus asa!

~Roha Hassan~

Jom Solat Jumaat

Assalamualaikum wbt...Jom kita jawab soalan-soalan berikut :

1. Negeri Apakah yang mottonya, "Membangun Bersama Islam"?
2. Yang kebanyakan peniaganya orang Melayu?
3. Yang kedai-kedainya ditutup pada hari jumaat
4. Yang Menteri Besarnya seorang ulama.

Jawapannya: Sila jawab sendiri..:-)


Apa-apapun saya nak ajak..Jom ke Kelantan!

Antara yang saya sukai ialah suasana persekitarannya, makanan dan rakan-rakan yang baik.
Sekurang-kurang hati terasa lapang bila mendengar pengumuman, "Para Pembeli diminta menyelesaikan pembayaran serta merta kerana Pasaraya ini akan ditutup bagi membolehkan para muslimim menunaikan solat jumaat". Pasaraya akan dibuka kembali pada jam 2.30 petang.

Memang bagus sikap seperti ini memandangkan solat jumaat adalah solat jemaah yang dilakukan seminggu sekali. Ia sangat penting dalam mengukuhkan hubungan ukhuwah sesama muslim.


Memang ramai majikan yang tidak prihatin dengan solat pekerja masing-masing. Begitu juga dengan para pekerja lelaki yang kadangkala tidak kisah untuk menunaikan solat jemaah. Bagi saya, seorang lelaki yang baligh sepatutnya bersolat jumaat secara konsisten. Bukan selang-selang atau sekali sekala atau tak buat langsung.

Semoga dengan kesungguhan untuk menunaikan solat jumaat dapat mengukuhkan peribadi seorang muslim disamping mengeratkan ukhuwwah dan silaturrahim!


~ Roha Hassan ~



Indahnya Alam Ciptaan Ilahi

Salam..

Indahnya pagi ini, itulah ungkapan yang terlintas dalam pemikiran ini ketika memandang alam ciptaan Allah.

Menggunakan kamera biasa, saya sempat merakamkan beberapa keping foto keindahan alam yang luar biasa, dalam perjalanan menuju ke KLIA.

Destinasi yang ingin dituju ialah Kelantan.


Apabila melihat alam ciptaan Allah ini, saya teringat ayat-ayat suci al-quran dan al-hadis yang menceritakan tentang keunikan dan keajaiban alam ciptaan Tuhan.

"Dia-lah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak terhadap langit, lalu di jadikanNya 7 lapisan langit. Dan Dia maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah al-Baqarah; 29)

"Maka Dia menjadikannya tujuh langit dalam dua masa dan Dia mewahyukan pada tiap-tiap langit urusannya. Dan Kami hiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang yang cemerlang dan Kami memeliharanya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui." (Surah Fusilat; 12)


Alam mengandungi sejuta pelajaran dan pengajaran yang boleh diambil oleh manusia. Ia adalah salah satu formula untuk kita lebih rapat dan dekat dengan Tuhan jika kita benar-benar berfikir.

Alam yang begitu unik dan tidak mungkin diciptakan oleh insan. Sesuatu yang tiada cacat celanya pastinya dari Tuhan bukan insan atau makhluk

Manusia yang berfikir akan menyedari bahawa alam yang Tuhan jadikan penuh dengan rahsia ini adalah semata-mata untuk
kebaikan semua mahkluk Tuhan. Sebab itu menyayangi dan menyantuni alam adalah merupakan salah satu tanggungjawab insan.

Manusia dan alam memiliki perhubungan yang sangat erat. Oleh itu, kita wajib mengasihi dan memelihara alam sebaik-baiknya.

Mencemari dan menyakiti alam hanya akan membawa kepada kemusnahan.

Malahan segala keindahan yang ada ini mungkin lenyap dari mata dan tidak mampu kita nikmati lagi selama-lamanya

~Roha Hassan~