Friday, April 2, 2010

Secawan Kopi Untuk Aku Dan Sahabat

Assalamualaikum wbt...

Pagi ini ketika bertemu salah seorang pelanggan. Aku sempat membaca berita dari sebuah akhbar tempatan yang menceritakan kisah seorang remaja tingkatan dua telah merogol teman sekelasnya. Pedihnya hati ini ketika membaca kisah tersebut.

Rasa tersayat hati ini. Lalu aku dapatkan secawan kopi. Sambil menikmati kopi yang hitam itu aku memikirkan debu-debu hitam yang sedang mencemarkan nilai-nilai murni remaja hari ini. Bukan sesuatu yang asing bila jenayah dan remaja hari ini digandingkan.

Aku benci gandingan itu. Bagaimana mungkin bakal pemimpin masa depan boleh berjalan seiringan dengan rogol, dadah, zina, pembuangan bayi, pembunuhan, ragut, curi, lepak dan banyak lagi.


Aku cuba tersenyum ketika menikmati secawan kopi bersama sahabat. Kopi ku hirup sambil tersenyum sebab aku yakin senyum pengubat hatiku yang sedang kesedihan. Namun kopi yang kuhirup terasa pahit. Mungkin aku tidak patut minum kopi sebab ada sesetengah orang menyatakan dalam kopi ada kandungan kafein yang ada ketikanya boleh memudaratkan.

Namun bukan kisah kafein yang menyentuh hatiku, namun pahit manis kehidupan yang lebih menambat hatiku untuk merasa serta menyentuh mindaku untuk berfikir.

Memang tidak dinafikan hidup adalah satu pelayaran buat seorang hamba Tuhan menuju ke negeri yang abadi. Tempat abadi yang kekal. Ada yang Indah lagi menyenangkan. Itulah syurga ciptaan Ilahi yang tidak tergambar keindahannya namun sentiasa menjadi impian dan harapan semua makhluk. Tidak kira siapa, mereka mahukan syurga.

Namun makhluk Tuhan yang mampu membezakan yang benar atau salah, yang pahit atau manis, yang baik atau jahat, yang buruk atau cantik akan segera memahami, pasti sedar, disebelah dunia abadi yang indah itu adanya dunia abadi yang buruk lagi menakutkan. Di dalamnya api yang membakar, air yang menggelegak, makanan dari buah-buahan berduri serta minuman dari darah dan nanah. Itulah Neraka. Satu ciptaan yang sifatnya berlawanan dengan sifat sebuah syurga.

Bacalah Dengan Nama Tuhanmu. Bacalah Al-Quran. Ikutilah sunnah RasululLah SAW. Di sana ada penceritaan tentang syurga dan neraka. Al-Quran dan As-sunnah bagai bintang penyuluh dimalam hari, bersinar bak mentari di kala siang menjelang. Ia bagai rumah api, memberi petunjuk kepada kapal yang berlayar di tengah lautan luas. Pendekata, Al-Quran dan As-sunnah adalah pedoman untuk insan yang berlayar menuju ke negeri yang abadi.

Jangan biarkan pahit kehidupan memusnahkan seluruh perjuangan. Jangan juga mencemarkan seluruh kebaikan dengan noda-noda hitam dosa dan kejahatan hanya kerana kita bangga sebagai manusia.

Hidup di dunia baik yang putih atau hitam sememangnya ketentuan Tuhan! Namun Tuhan tidak akan mengubah nasib seorang manusia itu jika manusia itu tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubahnya.

Kita boleh menentukan rasa kopi. Jika ingin yang pekat, cair, manis atau masin. Kita boleh menentukan jenis dan kualiti kopi yang menjadi pilihan. Kita juga boleh menentukan untuk minum secawan kopi atau hanya segelas air putih. Setelah berusaha dan memilih kembalikan penyelesaiannya kepada Allah.

Tanpa izin Allah, seorang insan boleh hilang seleranya untuk minum secawan kopi buat selama-lamanya.

Dengan kehendak Allah juga segelas air putih boleh menjadi sesuatu yang sukar untuk diperolehi oleh seorang hamba Tuhan di sebuah negara yang mengalami kemarau yang panjang.

Kseimpulan yang ingin dikongsikan disini ialah, untuk setiap manusia, baik remaja, belia atau dewasa, Tuhan memberikan ruang untuk memilih. Kita boleh memilih yang hitam atau putih yang baik atau jahat. Setelah memilih, berusahalah diatas jalan kebaikan yang kita pilih. Selepas itu berserahlah kepada Allah.

Jangan katakan, memilih kejahatan itu adalah satu takdir sebelum kita berusaha melakukan kebaikan. Setelah berusaha bertawakkallah kerana bukan sedikit manusia jahat menjadi baik kerana keinginannya untuk berubah. Tidak sedikit pula manusia baik menjadi jahat bila diri mula riya', sombong dan merasa cukup dengan kebaikan yang dilakukan. Padahalnya iman kita sentiasa ada turun naiknya. Manakala syaitan tidak pernah penat dan putus asa!

~Roha Hassan~

No comments: