Thursday, August 5, 2010

Jom Cepat-cepat! Ramadan Dah Dekat!


Jom cepat-cepat kita siapkan kerja kita sebab nanti nak puasa pulak!
Jom cepat-cepat siapkan latihan sebab Ramadan dah dekat!
Jom cepat-cepat beli baju raya, puasa dan dekat! Jom cepat-cepat kalau nak outstation, puasa nanti tak larat nak jalan sana sini!
cepat-cepat buat program, bulan Ramadan susah kalau buat program!
Jom cepat-cepat aku belanja hang makan, Ramadan nanti tak boleh makan tengahari bersama dah!

Itulah antara ungkapan yang sering kita dengar. Namun amat jarang kita dengar bicara seumpama ini:
i. Jom cepat-cepat buat persediaan, Ramadan dah dekat.
ii. Jom cepat-cepat kemas rumah dan pejabat, kita nak sambut Ramadan.
iii. Jom cepat-cepat tambahkan ilmu tentang ibadah yang terbaik sepanjang Ramadan.
iv. Jom cepat-cepat rancang program yang bagus-bagus sepanjang Ramadan.
v. Jom kita terus berdoa agar dapat bertemu Ramadan kali ini!


Ramadan akan tiba tidak lama lagi. Jika kita merindukan kehadiran yang indah, inilah masa bahagia, masa betapa dekatnya jiwa kita bersama Allah, inilah waktu kedamaian.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa melakukan satu ibadat sunnah pada Ramadan, maka ia seperti orang yang melakukan ibadat wajib pada bulan selain Ramadan. Dan barang siapa yang melakukan ibadat wajib pada Ramadan, maka ia seperti orang yang melaksanakan 70 ibadat wajib di selain Ramadan." (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah).

Berpisah dengan bulan ini bermakna kita meninggalkan kesempatan meraih pahala kebaikan yang berlipat ganda.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, kegembiraan saat berbuka dan kegembiraan tatkala bertemu dengan Allah." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Maka, perpisahan dengan bulan ini pula, bererti kita kehilangan dua keajaiban kegembiraan di kala berbuka puasa.

Perpisahan dengan bulan ini juga adalah hilangnya kesempatan kita untuk memperoleh keampunan Allah terhadap dosa yang tidak sanggup kita kira lagi.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa yang menunaikan qiamullail pada Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampuni dosanya yang lalu." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Selesai saja Ramadan bermakna lenyapnya kesempatan kita untuk menunaikan solat malam dengan jaminan pahala ampunan atas dosa dan kesilapan yang kita sudah tenggelam di dalamnya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Siapa saja yang solat tarawih bersama imam hingga selesai, akan ditulis baginya pahala solat satu malam suntuk." (Hadis riwayat Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasai dan Ibnu Majah)

Kehadiran Ramadan juga beerti peluang untuk bertemu Lailatul Qadar tiba lagi. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Kami sudah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan." (Surah al-Qadr, ayat 1-3)

Maka Rasulullah SAW sentiasa mencari malam Lailatul Qadar dan memerintahkan sahabat mencarinya. Beliau membangunkan keluarganya pada malam sepuluh terakhir dengan harapan mendapat malam Lailatul Qadar.

Ketika menanti kehadiran Ramadan tahun ini, berpesan-pesanlah. Bahawasanya perginya bulan ini daripada sisi kita, bermakna kita akan terlepas kesempatan yang tidak ternilai dalam seluruh hidup sekalipun. Maknanya, lenyap peluang kita memperoleh keuntungan 1000 bulan, iaitu kira-kira 80 tahun daripada usia kita. Mampukah kita hidup dan beramal lengkap selama 80 tahun?

Oleh itu, jangan disia-siakan kehadiran Ramadan. Usah lakukan segala kebaikan dan ibadah ketika detik perpisahan dengannya menjelang. Rasakan benar-benar kehadiran kita pada bulan ini. Lantunkan zikir, tilawah al-Quran, munajat, permohonan ampun di sini. Buang kepenatan, hilangkan rasa lelah.

Usahlah menunggu hari-hari terakhir menjelang perpisahan dengan bulan penuh kemuliaan ini. Gigihkan usaha kita mengejar Lailatul Qadar. Namun, apa yang lebih penting adalah semangat diambil dengan makna Lailatul Qadar.

Semangatnya, adanya sebuah perubahan sikap yang istiqamah terhadap Islam, mencintai Allah sepenuhnya tanpa dinodai dengan cinta dunia. Dengan itu kita boleh menjadi manusia yang ikhlas, menerima Islam seutuhnya, tidak separuh-separuh dan tidak memilih.

Berdoalah bersungguh-sungguh agar kita dapat bertemu dengan Ramadan tahun ini. Sambutlah Ramadan yang bakal tiba dengan penuh kegembiraan. Berebut-rebutlah melakukan amat kebajikan.

Bila tiba pula waktu perpisahan dengan bulan yang mulia ini, menangislah kerana kita akan berpisah dengan kemuliaan dan keberkatan hebat bulan ini.

No comments: