Wednesday, June 13, 2012
Bapa Adalah Hero Kita
Dinie : “Awak pilih kad apa tu”
Nadia : “Kad Hari Bapa. Kan tak lama lagi Hari bapa”
Nabila: “Ye ke? Kita pun nak beli jugak la”
Syikin : “Bole ke kita sambut Hari Bapa?
Faezah: “Rasanya boleh kot sebab Hari Ibu pun disambut. Dulu-dulu lagi. Hari Bapa ni kite rasa macam kemudian sikit. Tapi kalau kurang pasti kita boleh tanya cikgu atau semak pandangan tentang hari Bapa ni kat internet!
Selain Dinie, Nadia, Nabila, Syikin dan Faezah, ramai lagi para remaja yang ternanti-nanti untuk mengucapkan “Selamat Hari Bapa” atau memberikan kad atau hadiah yangbersesuaian untuk bapa kita sempena hari bapa yang disambut dalam bulan jun setiap tahun. Hari Bapa seperti juga Hari Ibu bagaikan trend dikalangan para remaja hari ini. Ada yang merasakan anda memang tidak cool dan ketinggalan jika tidak tahu mengenainya.
Bapa berperanan penting menyara isteri dan anak-anak, memberikan kasih sayang, mendidik, memberi kebahagiaan dan kedamaian kepada keluarga, mendisiplinkan serta menjadi contoh. Pendekata, bapa adalah hero kita! Mereka adalah pemimpin kita.
Hari Bapa merupakan suatu hari yang bermula pada awal abad ke-12 untuk memberi penghormatan dan peringatan terhadap para bapa. Ia disambut pada tarikh yang berlainan di seluruh dunia serta melibatkan pemberian hadiah kepada bapa dan lain-lain aktiviti kekeluargaan.
Sambutan hari bapa bermula di Amerika Syarikat dengan ideanya dicetuskan oleh seorang wanita, Sonora Dodd dari daerah Spokane.
Beliau mahu sesuatu dilakukan untuk mengenang bapanya, William Smart, seorang veteran perang saudara yang ditinggalkan oleh isterinya dan membesarkan enam orang anak secara bersendirian di sebuah ladang kecil. Hari Bapa yang pertama disambut pada tahun 1910 dengan mengambil sempena tahun kelahiran William Smart sendiri.
Sejak tahun 1972, ia disambut setiap tahun apabila bekas Presiden AS, Richard Nixon menandatangani satu undang-undang awam yangmenjadikan hari tersebut dicatat di dalam kalendar.Tarikh yang diakui secara rasmi di berlainan negara.
Malaysia bersama negara-negara lain seperti Amerika syarikat, Afrika Selatan, Argentina, Bahamas, Bangladesh, Belanda, Bulgaria, Chile dan lain-lain lagi menetapkannya pada hari ahad ketiga pada bulan Jun.
Hari Bapa dan Hari Ibu sudah menjadi sesuatu yang global dan tidak eksklusif kepada mana-mana ajaran atau fahaman agama. Ianya mungkin dicetuskan oleh orang kristian tetapi bukanlah sesuatu yg terkandung dalam mana-mana kitab atau ajaran pokok agama tersebut.
Apa yang penting sebagai remaja muslim, anda mesti tahu bagaimana memanfaatkan hari bapa tanpa mencemarkannya dengan perkara-perkara yang dilarang oleh agama.
Jom kita sambut Hari Bapa dengan perkara-perkara yang bermanfaat seperti berikut:
1. Ucapkanlah kata-kata kasih sayang kepada bapa dan ahli keluarga – Sempena Hari Bapa, ucapkanlah kata-kata kasih sayang kepada hero kita yang telah bertungkus lumus membesarkan kita selama ini. Cuma, tanamkan dalam hati, kasih sayang pada bapa bukan hanya pada hari bapa tetapi sepanjang masa. Ia akan menjadi sesuatu yang salah jika menyintai bapa hanya pada Hari Bapa. Menyayangi bapa mestilah hingga ke syurga.
2. Bersederhana – Ketika menyambut Hari Bapa, kita tidak boleh melakukan pembaziran. Sambutannya yang sederhana sudah mencukupi. Kita boleh membelikan kad atau hadiah tetapi biarlah berpada-pada. Yang paling penting ingatan pada hero kita. Sebenarnya bapa kita juga tidak mengharapkan balasan atas setiap pengorbanan yang dilakukannya, namun pasti berbesar hati bila anda menunjukan ingatan dan penghargaan.
3. Pengisian yang berfaedah – Pada Hari Bapa, ajaklah ahli keluarga bersolat berjamaah bersama-sama dengan bapa sebagai imamnya, mengadakan majlis tahlil dan doa selamat, berkumpul dalam usrah keluarga yang dipimpin oleh bapa sambil saling memberikan pesanan dan nasihat. Boleh juga bercuti dan berehat-rehat bersama keluarga serta ziarah menziarahi sesama keluarga dan sahabat handai.
4. Saling memperbaharui azam – Manfaatkan hari bapa untuk anda perbaharui azam untuk terus menjadi anak yang soleh dan solehah terhadap ibubapa. Dalam masa yang sama, mohonlah agar bapa kita terus menjadi contoh dan hero kita. Kisah Luqmanul Hakim yang merupakan bapa contoh dengan anaknya telah diwartakan dalam Al-Quran sebagai contoh yang baik. Ambilnya ia sebagai panduan yang bermanfaat.
5. Tiada unsur-unsur maksiat dan melalaikan – Walaupun menyambut Hari Bapa adalah sesuatu yang harus, namun akan menjadi rosak jika kita mengisinya dengan aktiviti-aktiviti yang buruk serta melalaikan seperti pergaulan bebas yang melampaui batasan, minum arak, membuka aurat serta lain-lain perbuatan yang mencemarkan akhlak dan keperibadian yang murni.
Semoga anda menyambut Hari Bapa dengan menyerlahkan lagi tiga unsur kasih sayang yang sangat penting iaitu yang pertamannya, kasih kepada Allah dengan menyatakan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dikurniakan seorang bapa yang telah banyak berkorban untuk kita sekeluarga.
Yang keduanya, kasih kepada RasululLah saw yang merupakan bapa contoh yang paling penyantun kepada ahli keluarga baginda dan Yang ketiganya, kasih pada sesama makhluk khususnya bapa yang merupakan hero kita seterusnya ibu, adik-beradik, rakan-rakan, jiran dan sanak saudara semuanya.
Disediakan oleh:
Roha binti Hassan
Rujukan : www.muftiselangor.gov.my
Monday, June 11, 2012
Tidakkah Anda Menyesal?
“Saya perlukan bantuan Kak Roha” ujar lelaki yang sebaya adik lelaki saya itu apabila memulakan bicara.
“Tolong yang macam mana tu? Tanya saya ingin tahu.
“Bapa saudara saya minta saya bantu seorang gadis ni. Dia mengandung tanpa suami.” Laju sahaja pemuda ini menyudahkan bicara.
“Orang mana? Tanya saya lagi
“Orang Pendang…budak Kolej” Pemuda itu terus menceritakan kisah gadis yang berusia 21 tahun ini.
Begitulah sedikit paparan perbualan kami. Minggu itu sahaja, ada 3 kes yang melibatkan gadis hamil luar nikah ini dirujuk kepada saya dan sahabat. Ini bukanlah kali pertama membantu dalam hal-hal seumpama ini, namun setiap kali berhadapan dengan mereka, hati pasti akan rasa duka.
Antara kemahuan untuk menolong dengan kerisauan bersubahat, saya mengambil pendekatan yang terbaik. Bantuan dihulurkan namun peringatan dan tazkerah mesti diberi. Cuma antara ramai yang dibantu, pasti ada yang keras kepala.
Teringat pada gadis “cute” yang mengandung 8 bulan dari Kuala Lumpur. Orangnya cantik sungguh tapi bila ditanya, “Kamu tak menyesal ke atas apa yang berlaku” tanya kami ketika sesi perkenalan. “Ada la sikit-sikit” jawab gadis tersebut selamba. “Ish, aku rasa macam nak terajang je budak ni” bisik salah seorang teman yang paling brutal dikalangan kami. Si gadis buat-buat tak dengar je bila sahabat saya yang digelar “ustazah” memberikan teguran dan tazkeerah. “Tahu ke apa hukum berzina ni” tanya sahabat saya tersebut. “Tak! Jawab gadis itu lagi menatap tajam ke wajah “ustazah”. “Kamu ambil Quran, saya tunjukkan” Begitulah antara butir perbualan yang menghiasi tengahari yang suram itu.
Dalam hati terasa kasihan. Sambil melontarkan soalan pada diri, saya mencari-cari jawapan. Teringat satu lagi perbualan antara sahabat saya dengan dua orang remaja lelaki yang salah seorangnya telah melakukan zina dengan salah seorang dari tiga gadis yang kami bantu ini.
“Ni kawan kamu dah membuntingkan anak dara orang. Kamu pulak macam mana? Ada ke cita-cita nak membuntingkan girlfren kamu pulak” tanya sahabat saya yang sangat prihatin pada remaja yang begini. “Dulu-dulu ada la jugak makcik! Tapi sekarang dah tak ada la niat tu! Wah selamba betul dia menjawab. Memang panas telinga. “Kamu ni, teruk betul. Kalau lelaki lain ada niat nak membuntingkan adik kamu, kamu marah tak? Tanya sahabat saya lagi. “Marah makcik…” jawabnya perlahan sambil menundukkan kepala. “Ish kalau adik aku, lama dah aku lempang” bisik sahabat saya yang memang dari tadi geram pada pemuda pemudi yang bermasalah tersebut.
Senario yang dikongsikan ini saya kira bukan sesuatu yang baru, barangkali ada yang lebih teruk dari ini, cuma hati rasa sedih dan benci bila bakal pemimpin masa depan ini terus selamba berbuat dosa. Bukan susuk tubuh pemuda pemudi ini yang dibenci, tapi perbuatan mereka.
“Barangkali mereka ni belum mumayyiz, tak reti nak bezakan yang mana betul dan yang mana salah” Kami saling memberikan pandangan. “Tak mumayyiz apa, dah 20-21 tahun kan? Pelajar kolej pulak tu. Otak dia orang tu simpan kat mana? Ujar N sahabat yang tegas tapi baik hatinya.
“Tapi yang akak paling tak suka bila yang lelakinya, nudah saja terlepas kan? Ujar sorang lagi sahabat. “Ala, kat dunia terlepas la, kat akhirat belum tentu lagi” Jawab N yang sejak tadi semacam tak puashati. “Ya Allah, kita berdoalah banyak-banyak agar tak berlaku pada kita, keluarga dan keturunan kita” ustazah meluahkan apa yang terbuku dalam dada.
Saya nukilkan disini tentang kisah dua gadis yang saya tapis beberapa makluman untuk menjaga nama baik mereka. Jadikan ia satu pengajaran.
Gadis pertama berasal dari KL. Sangat cantik orangnya. Berusia 20 tahun. Pelajar sebuah kolej swasta. Anak kedua dari empat adik beradik. Mak ayah orang baik-baik. Suara dan tajwidnya sangat bagus bila memperdengarkan ayat-ayat suci Al-Quran. Dari situ, kita boleh faham mak ayah memberikan didikan agama. Tapi dari perbualan dengan dia dan maklumat dari keluarganya, fahamlah kita yang dia memang degil orangnya. Kata-kata nasihat keluarga dan orang lain memang tidak diambil pusing.
Perkenalan dengan teman lelaki tersebut sudah bermula sejak dibangku sekolah. Bila menyedari hubungan tersebut, ibubapa cuba mengurangkannya dengan menghantar beliau ke sebuah kolej. Namun peluang tersebut disalahguna dengan lebih kerap berjumpa dengan teman lelaki tersebut. Menurut gadis ini, setiap kali berjumpa mereka akan berzina, cuma kali ini dia mengandung.
Ibubapa pada asalnya berhasrat menikahkan dia dengan teman lelakinya, namun bila disiasat latarbelakang teman lelaki gadis ni yang agak menakutkan dan bukan lelaki yang baik. Hasrat tersebut terpaksa dibatalkan. Harapan ibubapa, gadis ini akan berubah dan membina masa depan yang lebih baik.
Gadis kedua berasal dari Kedah. Pelajar Kolej. Berusia 21 tahun. Kesnya lebih menyedihkan. Berlatarbelakangkan keluarga miskin, beliau telah memilih jalan yang salah. Menurutnya, pada awal pengajian beliau menghadapi masalah kewangan. Jadi, dengan terburu-buru telah menceritakan masalah kewangan beliau dalam forum maya. Seorang lelaki dari Kuala Lumpur tampil menawarkan diri untuk membantu.
Maka gadis inipun ke Kuala Lumpur menemui lelaki tersebut untuk mendapatkan wang dijanjikan. Namun beliau diberikan syarat, serahkan tubuh sebagai ganjaran terhadap wang yang akan dipinjamkan. Si gadispun menyerahkan dirinya. Akhirnya diri mengandung, duit tak dapat, lelaki tersebut menghilangkan diri.
Ayah yang sedang sakit dikampung belum tahu cerita anak gadisnya mengandung 8 bulan. Emaknya pun tidak diberikan khabar berita. Tambahan sekeluarga masih bersedih dengan kematian seorang anak, iaitu adik si gadis.
Begitulah kisah dua gadis ini. AlhamdulilLah mereka semua sedang ditarbiyah oleh sahabat saya yang memiliki sebuah rumah perlindungan untuk remaja dan anak-anak yatim. Memang tidak ramai insan berhati mulia seperti dia. Saya dan beberapa sahabat yang lain adalah sukarelawan dan sahabat beliau yang bila-bila sahaja akan menghulurkan bantuan bila diperlukan.
Apa yang tidak boleh tidak saya coretkan disini ialah langkah-langkah yang boleh ibubapa lakukan sebagai langkah pencegahan.
1. Kenali anak-anak kita – Ramai yang tahu tips ini, tapi macam mana nak buat ye. Kata orang setiap anak ada perangai yang berlainan. Jadi semakin ramai anak, semakin mencabar untuk mengenal setiap satu daripadanya. Tapi apa pilihan yang kita ada. Kalau kita tidak mengenali mereka, mungkinkah boleh fahami masalah mereka? Mau tak mau, mesti berusaha kenali setiap seorang darinya. Tapi siapakah yang paling kenal anak-anak kita kalau bukan ibubapa yang melahirkannya. Maknanya, pusing macam manapun, ibubapa dan anak-anak ada ikatan yang tersendiri. Tapi, bolehkah ikatan itu kukuh jika sering mengabaikannya. Allah sudah mencampakkan mawaddah dan rahmah, tapi kalau ia tidak dibajai, mungkinkah ia akan terus subur?
2. Siapa kawan-kawan anak kita – Mesti berusaha mengenali kawan-kawan anak kita. Siapa kawan mereka akan memudahkan kita untuk mengetahui kegiatan mereka. Kalau kawan-kawan mereka suka bolasepak, mustahil anak kita suka badminton. Selalunya mereka ni suka mengikut kawan. Jarang sangat manusia tak suka berkawan. Terutama anak-anak remaja. Kalau berjaya kenal kawan-kawan anak-anak kita, insyaAllah banyak perkara yang kita tak duga ada dalam tangan kawan-kawan dia. Tapi niat kenalah betul. Kalau sekadar nak mengorek rahsia, tak jujur namanya! Lagi baik kalau dapat kenal ibubapa kawan-kawan anak-anak kita. Pergh! Banyak kerja tu. Tapi apa salahnya mencuba demi kebaikan anak-anak kita.
3. Terimalah anak-anak kita seadanya – Ini lagi susah. Kita nak anak-anak kita berjaya! Pandai-pandai! Cantik-cantik! Bijak-bijak! Tapi takan la semua anak kita tu boleh jadi doktor atau jurutera atau pengurus. Kalau yang terkurang dan terlebih tu, bagilah sokongan. Janganlah dikutuk sesedap rasa. Kelak dipendamkan hatinya yang luka, jadi cerita lain pulak. Terimalah dia seadanya. Didiklah agar dia sentiasa berusaha dan berserah. Dedahkan ia erti sebenar tawakkal! Tapi kalau kita sendiripun tak ada elemen tawakkal, jangan haraplah anak-anak kita pun akan penuh dengan sikap tawakkal.
4. Bersikap positif akan membina budaya yang positif – Positif yang kita harapkan dari anak-anak mestilah bermula dengan positifnya pemikiran dan tindakan kita. Kata orang, benih yang baik jika disemai, dibelai dan disiram dengan baik, insyaAllah akan tumbuh menjadi pohon yang baik. Tapi kalau benih yang baik ditanam tapi tidak dibelai dan dibajai sebaiknya boleh jadi semak samun jua adanya. Sedangkan benih yang tak baik sekalipun kalau kena cara tanam dan penjagaaannya, insyaAllah boleh menjadi baik. Pokok pangkal, setiap yang mahukan yang baik-baik, mulakan dengan yang baik-baik. Tapi kalau kita rasa sudah buat yang terbaik, tapi hasilnya tidak baik. Kembalikanlah ia kepada yang menjadikan kita dan anak-anak kita yakni Allah. Yang Maha Pencipta itu lebih mengerti apa yang terbaik untuk kita dan anak-anak kita.
5. Anak kita bukan malaikat – Jika ada yang mengamuk bila diberitahu oleh guru masalah anak kita, usah terus melenting. Begitu juga jika ada yang memaklumkan pada kita anak kita telah hamil 8 bulan padahal kita sangkakan anak-anak kita baik-baik belaka. Kita bukan malaikat, anak kitapun bukan malaikat. Usah disalahkan semua orang, sebaliknya analisa setiap sudut dimana silapnya. Kemudian carilah penyelesaian. Siapalah yang lebih kenal anak dan keluarga kita. Sudah tentu kita sendiri. Tiada manusia yang terlepas dari ujian. Ujian Allah dijanjikan tanda kasih sayang untuk melihat kesabaran hambaNya. Ia turut disebut penghapus dosa agar kelak diakhirat ringan sedikit. Ada juga disebut ia sebagai balasan perbuatan kita sendiri. Allah lebih mengetahui yang mana kategori yang diperuntukkanNya buat kita. Namun, sungguh Allah Maha Penyayang. Setiap kesusahan pasti diikuti dengan kesenangan dan Allah tidak menguji hambaNya melebihi kemampuan hamba tersebut.
6. Usah lepaskan tanggungjawab – Antara senario yang selalu kita lihat bila anak-anak kita ditimpa musibah akibat perbuatan mereka sendiri atau teraniaya, kita mula bertindak lepas tangan. Menghantar anak-anak ke pusat pemulihan atau pendidikan mestilah beserta tanggungjawab. Usah biarkan orang lain menyelesaikan masalah anak-anak kita. Kitalah yang lebih patut menyelesaikan masalah anak-anak kita. Sekalipun kita memerlukan bantuan, kita tidak boleh berlepas tangan. Pihak ketiga hanya pemudahcara atau penyelesai masalah sementara. Kitalah yang sebenarnya bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyelesaikan semua permasalahan yang ada. Anak kita, tanggungjawab kita.
7. Lontarkanlah ego kita jauh-jauh – Pasti ada yang marah-marah jika kita kata, anak tuan dan puan jadi begini kerana tuan dan puan tidak memberikan didikan agama sewajarnya kepada anak-anak. Kita pasti bertegang urat dengan menyatakan kita sudah berikan secukupnya buat anak-anak. Tapi pengalaman kami, ramai yang tidak. Jika ibubapa terror bab agama, terkadang terlupa jua mendidik anak-anak. Jika ibubapa tegas giler dengan orang lain, tapi dengan anak-anak cair bak ais krim yang diletakkan ditengah terik mentari. Ambillah beberapa jam dari masa kita yang amat berharga itu untuk menganalisa keseimbangan makanan yang telah kita berikan buat fizikal, mental, spiritual dan emosi anak-anak. Kelak akan kita temui ada satu lubang kosong yang satu ketika dahulu telah kita abaikan.
8. Penyelesaian terbaik ialah kembali kepada fitrah – Walaupun ada manusia yang sesedap mulut sahaja mengkritik, kembali kepada fitrah tetap penyelesaian terbaik. Ada yang berkata, “Ala, budak yang ada background agamapun ramai yang perangainya tak senonoh…”. Bagi saya itu kritikan yang melulu. Bukan menafikan 100% tetapi antara tahu, faham dan buat apa yang dianjurkan oleh agama, ada perbezaannya. Kalau sekadar tahu tapi tak faham. Tak ada ertinya. Tapi kalau tahu dan faham tapi tak nak buat, agama hanya pada nama baginya. Jika sudah tahu, faham dan buat seperti yang dianjurkan agama, kemudian tersasar juga, ini lalai namanya. Hanya sedikit dalam kelompok ini. Selebihnya lebih kepada kelompok pertama dan kedua.
Apapun yang berlaku, bagi yang tersasar, mesti kembali kembali pada fitrah. Hanya itu jalan peyelesaiannya agar tidak kembali ke jalan yang salah semula. Manakala yang tidak mahu tersasar, jadikan agama sebagai benteng dan perbanyakkan memohon perlindungan dari Allah.
9. Berdoalah – Inilah satu-satunya senjata yang tidak boleh diambil dari kita. Berdoalah dan ajarkanlah anak-anak untuk berdoa. Hanya pada Allah tempat orang-orang yang beriman mengadu. Jika kita telah melakukan apa sahaja untuk anak-anak kita. Berserahlah sepenuhnya pada Allah. Allah pasti akan membantu kita dan anak-anak.
Roha Hassan
Dublin, Ireland
Subscribe to:
Posts (Atom)