Wednesday, June 13, 2012
Bapa Adalah Hero Kita
Dinie : “Awak pilih kad apa tu”
Nadia : “Kad Hari Bapa. Kan tak lama lagi Hari bapa”
Nabila: “Ye ke? Kita pun nak beli jugak la”
Syikin : “Bole ke kita sambut Hari Bapa?
Faezah: “Rasanya boleh kot sebab Hari Ibu pun disambut. Dulu-dulu lagi. Hari Bapa ni kite rasa macam kemudian sikit. Tapi kalau kurang pasti kita boleh tanya cikgu atau semak pandangan tentang hari Bapa ni kat internet!
Selain Dinie, Nadia, Nabila, Syikin dan Faezah, ramai lagi para remaja yang ternanti-nanti untuk mengucapkan “Selamat Hari Bapa” atau memberikan kad atau hadiah yangbersesuaian untuk bapa kita sempena hari bapa yang disambut dalam bulan jun setiap tahun. Hari Bapa seperti juga Hari Ibu bagaikan trend dikalangan para remaja hari ini. Ada yang merasakan anda memang tidak cool dan ketinggalan jika tidak tahu mengenainya.
Bapa berperanan penting menyara isteri dan anak-anak, memberikan kasih sayang, mendidik, memberi kebahagiaan dan kedamaian kepada keluarga, mendisiplinkan serta menjadi contoh. Pendekata, bapa adalah hero kita! Mereka adalah pemimpin kita.
Hari Bapa merupakan suatu hari yang bermula pada awal abad ke-12 untuk memberi penghormatan dan peringatan terhadap para bapa. Ia disambut pada tarikh yang berlainan di seluruh dunia serta melibatkan pemberian hadiah kepada bapa dan lain-lain aktiviti kekeluargaan.
Sambutan hari bapa bermula di Amerika Syarikat dengan ideanya dicetuskan oleh seorang wanita, Sonora Dodd dari daerah Spokane.
Beliau mahu sesuatu dilakukan untuk mengenang bapanya, William Smart, seorang veteran perang saudara yang ditinggalkan oleh isterinya dan membesarkan enam orang anak secara bersendirian di sebuah ladang kecil. Hari Bapa yang pertama disambut pada tahun 1910 dengan mengambil sempena tahun kelahiran William Smart sendiri.
Sejak tahun 1972, ia disambut setiap tahun apabila bekas Presiden AS, Richard Nixon menandatangani satu undang-undang awam yangmenjadikan hari tersebut dicatat di dalam kalendar.Tarikh yang diakui secara rasmi di berlainan negara.
Malaysia bersama negara-negara lain seperti Amerika syarikat, Afrika Selatan, Argentina, Bahamas, Bangladesh, Belanda, Bulgaria, Chile dan lain-lain lagi menetapkannya pada hari ahad ketiga pada bulan Jun.
Hari Bapa dan Hari Ibu sudah menjadi sesuatu yang global dan tidak eksklusif kepada mana-mana ajaran atau fahaman agama. Ianya mungkin dicetuskan oleh orang kristian tetapi bukanlah sesuatu yg terkandung dalam mana-mana kitab atau ajaran pokok agama tersebut.
Apa yang penting sebagai remaja muslim, anda mesti tahu bagaimana memanfaatkan hari bapa tanpa mencemarkannya dengan perkara-perkara yang dilarang oleh agama.
Jom kita sambut Hari Bapa dengan perkara-perkara yang bermanfaat seperti berikut:
1. Ucapkanlah kata-kata kasih sayang kepada bapa dan ahli keluarga – Sempena Hari Bapa, ucapkanlah kata-kata kasih sayang kepada hero kita yang telah bertungkus lumus membesarkan kita selama ini. Cuma, tanamkan dalam hati, kasih sayang pada bapa bukan hanya pada hari bapa tetapi sepanjang masa. Ia akan menjadi sesuatu yang salah jika menyintai bapa hanya pada Hari Bapa. Menyayangi bapa mestilah hingga ke syurga.
2. Bersederhana – Ketika menyambut Hari Bapa, kita tidak boleh melakukan pembaziran. Sambutannya yang sederhana sudah mencukupi. Kita boleh membelikan kad atau hadiah tetapi biarlah berpada-pada. Yang paling penting ingatan pada hero kita. Sebenarnya bapa kita juga tidak mengharapkan balasan atas setiap pengorbanan yang dilakukannya, namun pasti berbesar hati bila anda menunjukan ingatan dan penghargaan.
3. Pengisian yang berfaedah – Pada Hari Bapa, ajaklah ahli keluarga bersolat berjamaah bersama-sama dengan bapa sebagai imamnya, mengadakan majlis tahlil dan doa selamat, berkumpul dalam usrah keluarga yang dipimpin oleh bapa sambil saling memberikan pesanan dan nasihat. Boleh juga bercuti dan berehat-rehat bersama keluarga serta ziarah menziarahi sesama keluarga dan sahabat handai.
4. Saling memperbaharui azam – Manfaatkan hari bapa untuk anda perbaharui azam untuk terus menjadi anak yang soleh dan solehah terhadap ibubapa. Dalam masa yang sama, mohonlah agar bapa kita terus menjadi contoh dan hero kita. Kisah Luqmanul Hakim yang merupakan bapa contoh dengan anaknya telah diwartakan dalam Al-Quran sebagai contoh yang baik. Ambilnya ia sebagai panduan yang bermanfaat.
5. Tiada unsur-unsur maksiat dan melalaikan – Walaupun menyambut Hari Bapa adalah sesuatu yang harus, namun akan menjadi rosak jika kita mengisinya dengan aktiviti-aktiviti yang buruk serta melalaikan seperti pergaulan bebas yang melampaui batasan, minum arak, membuka aurat serta lain-lain perbuatan yang mencemarkan akhlak dan keperibadian yang murni.
Semoga anda menyambut Hari Bapa dengan menyerlahkan lagi tiga unsur kasih sayang yang sangat penting iaitu yang pertamannya, kasih kepada Allah dengan menyatakan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dikurniakan seorang bapa yang telah banyak berkorban untuk kita sekeluarga.
Yang keduanya, kasih kepada RasululLah saw yang merupakan bapa contoh yang paling penyantun kepada ahli keluarga baginda dan Yang ketiganya, kasih pada sesama makhluk khususnya bapa yang merupakan hero kita seterusnya ibu, adik-beradik, rakan-rakan, jiran dan sanak saudara semuanya.
Disediakan oleh:
Roha binti Hassan
Rujukan : www.muftiselangor.gov.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Teruskanlah kerja mulia puan.
Terima kasih atas doa...doakan semoga kami terus istiqamah.
Post a Comment