Ada Yang Lebih Memerlukan
Jika membicarakan tentang Raudhatul Jannah, Rumah Anak-anak Yatim dan Perlindungan ini memang berlainan. Berlainanan kerana konsep yang diketengahkan oleh Puan Zainab atau mesra saya panggil Kak Nab, yang memiliki beberapa pendekatan yang beliau rasakan terbaik untuk penghuni yang berada di bawah bumbung Raudhatul Jannah.
Setahun dua ini, disitu antara tempat saya menghulurkan tangan yang saya tidak mahu namakan ia sebagai amal atau sumbangan sebab Allahlah yang lebih berhak menamakan apa yang saya lakukan itu sebagai apa. Walaupun saya mengharap Allah sentiasa memandang saya, namun mahu menyebut apa yang saya lakukan ini sebagai amal, terasa kerdil berbanding usaha yang Kak Nab dan anak-anak lakukan untuk Raudhatul Jannah.
Setiap kali menerima beras dan bahan makanan yang banyak, Kak Nab akan membahagikan kepada anak-anak yatim atau fakir miskin lain yang tidak berada di dalam Raudhatul Jannah.
Saya pernah mendengar, salah seorang anak-anak di Raudhatul Jannah bertanya, “Ummi, kalau kita bagi pada orang lain, nanti habis pulak makanan kita”. Jawab Kak Nab, “Ish tak pa aih, kita kongsi-kongsi rezeki. Ada lagi yang lebih susah dan memerlukan dari kita”.
Dah Tiga Hari Kami Kehabisan Beras
Hari itu dengan penuh prihatin, Kak Nab menghantar beras kepada tiga keluarga di sekitar Sri Gombak dan Flat Seri Perak. Disitulah tinggal tiga (3) keluarga miskin dan anak-anak yatim. Yang pertamanya ada sebelas (11) orang isi rumah, mak ayah dan sembilan (9) anak yang masih kecil dan belajar. Manakala rumah yang sebuah lagi ialah rumah anak yatim yang kehilangan ayah, tinggal ibu dan dua (2) orang anak meneruskan kehidupan. Sedangkan rumah ketiga, terdiri daripada suami isteri yang memiliki lapan (8) orang anak.
Ketika beras dihulurkan, siibupun berbisik, “Sudah 3 hari kami kehabisan beras. Terima kasih banyak-banyak sebab hantar beras pada kami!
Terharu saya mendengar. Lihatlah Tuhanku sebuah rumah anak-anak yatim yang perlindungan yang memerlukan itu menyumbangkan yang sedikit mereka perolehi untuk orang lain yang mereka rasakan lebih memerlukan.
Sebenarnya saya boleh faham sedikit sebanyak kebahagiaan mereka berdasarkan pengalaman melakukan kerja-kerja sukarelawan atau berjawatan bersama beberapa NGO dan rumah anak-anak yatim sejak saya berusia 17 tahun lagi. Sejak 20 tahun itu, saya rasa bahagia dapat membahagiakan orang lain!
Dan ini antara momen yang membahagiakan bila melihat sikap prihatin Kak Nab dan Raudhatul Jannah. Sumbangan yang diterima dikongsi dengan yang juga memerlukan.
Bahagianya Jadi Drebar Anak-anak Yatim!
Ya Allah, jadikanlah tangan aku ini yang sentiasa membantu anak-anak yatim, fakir miskin, muallaf, saudara seagama yang diuji sengsara walau dimana jua mereka berada. Itulah antara doa saya setiap hari. Bahagia rasa hati bila diberikan peluang jadi “drebar” anak-anak yatim, fakir miskin, muallaf dan mereka yang memerlukan.
Ketika menjadi drebar itulah sempat mendengar ucapan syukur anak-anak ini selepas membuka sampul duit sumbangan tuan rumah. Seringgit, dua, mereka ucap AlhamdulilLah. Sepuluh dua pun mereka ucapkan AlhamdulilLah. Anak-anak ini tidak kelam kabut untuk mengetahui isinya tapi sudah biasa mengucap syukur dan terima kasih.
Saya tahu Alza saya bukanlah cukup selesa buat 10 anak-anak yang comel itu, tapi baiknya hati mereka bila menyatakan mereka selesa naik kereta saya. Terima kasih anak-anak sebab beri saya peluang jadi drebar kalian dari masa ke semasa.
Hati lebih bahagia bila terkenangkan hadis RasululLah SAW tentang anak-anak yatim antaranya:
1. Hadits Pertama
مَنْ ضَمَّ يَتِيْمًا بَيْنَ أَبَوَيْنِ مُسْلِمَيْنِ فِيْ طَعَامِهِ وَ شَرَابِهِ حَتَّى يَسْتَغْنِيَ عَنْهُ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ
“Barang siapa yang mengikut sertakan seorang anak yatim diantara dua orang tua yang muslim, dalam makan dan minumnya, sehingga mencukupinya maka ia pasti masuk surga.” [HR. Abu Ya'la dan Thobroni, Shohih At Targhib, Al-Albaniy : 2543].
2. Hadits Kedua
“Ada seorang laki-laki yang datang kepada nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam mengeluhkan kekerasan hatinya. Nabipun bertanya : sukakah kamu, jika hatimu menjadi lunak dan kebutuhanmu terpenuhi ? Kasihilah anak yatim, usaplah mukanya, dan berilah makan dari makananmu, niscaya hatimu menjadi lunak dan kebutuhanmu akan terpenuhi.” [HR Thobroni, Targhib, Al Albaniy : 254]
3. Hadits ketiga
Suatu ketika Saib bin Abdulloh rodhiyallohu ‘anhu datang kepada Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam, maka Nabi sholallohu ‘alaihi wa sallam bersabda kepadanya : ياَ سَائِبُ انْظُرْ أَخْلاَقَكَ الَّتِيْ كُنْتَ تَصْنَعُهَا فِيْ الجْاَهِلِيَّةِ فَاجْعَلْهَا فِيْ اْلإِسْلاَمِ. أَقْرِ الضَّيْفَ و أَكْرِمِ الْيَتِيْمَ وَ أَحْسِنْ إِلَى جَارِكَ
“Wahai Saib, perhatikanlah akhlak yang biasa kamu lakukan ketika kamu masih dalam kejahiliyahan, laksanakan pula ia dalam masa keislaman. Jamulah tamu, muliakanlah anak yatim, dan berbuat baiklah kepada tetangga.” [HR.Ahmad dan Abu Dawud, Shohih Abu Dawud, Al-Albani : 4836]
4. Hadits keempat
Dalam sebuah atsar disebutkan riwayat dari Daud ‘alaihissalam, yang berkata : كُنْ لِلْيََتِيْمِ كَاْلأَبِ الرَّحِيْمِ
“Bersikaplah kepada anak yatim, seperti seorang bapa yang penyayang.” [HR. Bukhori]
Ramadhan, Bulan Mewah Untuk Anak-anak Yatim
AlhamdulilLah! Ramadhan adalah bulan rahmat untuk semua hambaNya yang memohon dan bertaqwa kepadaNya. Allah tidak akan lupa pada yang tidak pernah melupakanNya. Rezeki, kebaikan, kemuliaan, segala-galanya melimpah ruah...
Kata orang, inilah masanya rumah anak-anak yatim akan dilimpahi oleh rezeki dan sumbangan. Tapi mengenali Kak Nab, tidak pernah beliau buat website, blog atau apa-apa sahaja hebahan tentang Raudhatul Jannah. Sebab itu saya berani menyatakan Raudatul Jannah tidak sama dengan kebanyakan rumah anak yatim dan perlindungan yang lain. Bukan nak menyatakan ada blog dan website itu salah, tapi itulah Kak Nab. Dia tidak suka meminta-minta.
Jika ada yang menghulurkan bantuan dan bertanyakan keperluan Raudhatul Jannah barulah Kak Nab akan “buka mulut”. Sebab itu tidak hairan jika papan putih di Raudhatul Jannah tidak penuh dengan jemputan dan undangan berbanding rumah anak-anak yatim yang lain. Adalah dalam 5-6 program, tapi itu sudah baik dan menggembirakan kami di Raudhatul Jannah.
Namun sebagai sahabat, saya suka menulis tentang Raudhatul Jannah. Saya suka bisik-bisik pada rakan yang lain tentang Raudhatul Jannah. Kata saya pada Kak Nab, “Bagilah orang lain nak buat pahala jugak untuk anak-anak yatim, fakir, miskin dan muallaf ni..”
Oh Tuhan Pandanglah Kami
Ya Allah pandanglah aku. Ya Allah pandanglah kami. Janganlah kami ini dilupakan walaupun seketika walaupun kami banyak dosa. Jika sedikit yang kami berikan untuk anak-anak yatim ini baik disisiMu, mudahkanlah.
JJMK Zon tengah kali ini, kami tampilkan dua perkara dalam satu. Atau 2 dalam 1. Sambil kami menyelusuri mereka yang yatim piatu, fakir, miskin, ibu tunggal, warga emas, OKU dicelah-celah hutan batu di sekitar Kampung Padang Balang, Flat Sri Perak di Bandar Baru Sentul hinggalah Taman Koperasi Polis, kami akan menyantuni penghuni Raudhatul Jannah.
Jom bersama kami JJMK Zon Tengah pada 11 Ogos nanti dengan melakukan aktiviti 2 dalam 1.
Hubungi nama-nama berikut untuk memberikan sumbangan atau memerlukan maklumat lanjut:
1. Kawasan Cheras dan sekitar – Warikh 019-470 1477
2. Kawasan Ampang dan sekitar - Roha 012-4317948
3. Kawasan Subang dan Sg Buluh dan sekitar – Sharul 012-631 5244
4. Kawasan Shah Alam dan sekitar – Faisal 013-3475928
5. Kawasan Petaling Jaya dan sekitar– Borhan 013-3412057
6. Kawasan Seri Kembangan, Cyberjaya dan sekitar – Che Jaafar 0104030401
7. Persatuan Wanita Dan Ibu Tunggal – Puan Azizah 013-6790657
8. Rumah Anak-anak Yatim dan Perlindungan Raudhatul Jannah – Roha 012-4317948
Tarikh : 11 Ogos 2012
Tempat Berkumpul : Raudhatul Jannah : Rumah Perlindungan dan Anak-anak Yatim Raudhatul Jannah, No. 39, Jalan Pelangi 2, Taman Pelangi, Sentul
Aturcara :
8.30 – 10.00 pagi Berkumpul untuk agihan barangan dan taklimat
10.00 pagi Penyerahan sumbangan kepada yang memerlukan di sekitar
Kampung Padang Balang, Flat di bandar Baru Sentul serta Taman Koperasi Polis.
6.30 ptg – 10.30 mlm Aktiviti tazkeerah, solat berjamaah, Iftar serta Terawih
bersama penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Perlindungan Raudhatul Jannah.
Jangan Lepaskan peluang bersama JJMK Zon Tengah yang dibuat khas untuk bulan Ramadhan yang mulia ini! Peluang seperti ini tidak datang selalu!
Disediakan oleh:
Roha binti Hassan
31 Julai 2012 / 11 Ramadhan 2012
HP : 012-4317948