Monday, July 9, 2012




Sikap Remaja Muslim Menjelang Ramadhan


Ell       : “Apa tengok-tengok? Tiba-tiba Ell menyergah Urwah yang sedang menyusun buku di Library

Urwah : “Eh! Apa pulak ni? Aku tak tengok engkaupun? Kau jangan bikin aku panas! Urwah memberikan reaksi  dengan wajah yang kurang menyenangkan.

Amal : “Urwah! Ell! ini Library la. Janganlah nak bergaduh kat sini”. Amal menegur dengan
suara berbisik.

Nisa’ : “Ish dia orang berdua tu, aku tengok selalu je bertegang urat. Dua-dua panas baran.
Sikit-sikit angin. Sikit-sikit panas”.

Amal : “Ell! Urwah! Kesini kejap! Kita ni dah nak masuk bulan Ramadhan tau! Belajar-
belajar la sabar. Ni tak, asyik nak gaduh je. Cubalah jujur dan tabah dalam berkawan. Tak
elok nak gaduh je. Cabaran kecik je ni. Dah nak jadi huru-hara. Aku taulah korang berdua
dulu kawan baik, awek punya pasal, semua lintang pukang. Tabahlah sikit dengan ujian beb!

Hari demi hari berlalu. Minggu demi minggu meninggalkan kita. Bulan demi bulan silih berganti. Tidak lama lagi bulan paling mulia ini akan tiba. Sudahkah anda menyediakan diri agar cukup tabah untuk melalui liku-liku ramadhan dan kehidupan. Bersiap sediakah anda untuk beramal penuh amanah, rendah diri, ikhlas tanpa mengharap upah, pujian atau balasan.


Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya): “Wahai manusia, menjelang tiba bulan agung lagi berkat; bulan yang di dalamnya ada satu malam lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan fardu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardu pada bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar iaitu bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah)


Bagaimanakah sikap remaja kita menjelang Ramadan?

Sesungguhnya remaja Muslim sejati berpuasa pada bulan Ramadan. Dia akan bersikap seperti orang yang benar-benar berpuasa, menjauhkan dirinya daripada semua perkara yang boleh membatalkan puasanya atau mengurangkan pahala.

Sikap remaja Muslim dalam bulan Ramadan mestilah bertambah baik daripada masa-masa yang lain. Dia mesti tahu bahawa bulan Ramadan tidak sama dengan bulan-bulan yang lain. Ia bulan yang mana amal kebajikan harus digandakan dan pintu kebaikan dibuka seluas-luasnya. Sesungguhnya Allah sangat sayang pada hamba-Nya yang berpuasa.

Sebagai persiapan menghadapi Ramadan, dikongsikan di sini beberapa tip untuk para remaja menghadapi Ramadan al-Mubarak:


 



Pertama: Peningkatan ilmu



Persiapkanlah diri anda dengan ilmu wahai remaja - ilmu berkaitan dengan ibadah puasa. Segala yang rukun, wajib, sunat dan makruh. Juga tambahkan ilmu untuk mengetahui segala amalan yang digalakkan sepanjang Ramadan.


Dalam hal ilmu ini, usahlah bimbang. Kita boleh memperolehnya dengan mudah melalui media baru dan tradisional seperti “you tube”, “facebook”, “website” “friendster”, sistem pesanan ringkas (SMS), radio, televisyen, majalah, akhbar, buletin, ceramah, kem dan di mana-mana sahaja. Pendek kata, terlalu mudah untuk mendapatkan ilmu, tip dan panduan untuk menghadapi Ramadan.


Kedua: Mengumpul dan menambahkan kekuatan

Berpuasa memerlukan kekuatan. Fizikal, mental dan spiritual perlulah dipersiapkan untuk
melakukan ibadah sepanjang Ramadan. Pastikan tubuh kita sihat dan bertenaga dengan mengambil makanan yang seimbang dan menyihatkan. Penuhkan jiwa dengan kekuatan iman kerana ia amat penting untuk berpuasa.


Berkaitan perlunya kekuatan iman dalam menunaikan ibadat puasa ini, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):



“Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala, maka semua dosanya yang telah lalu diampunkan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)




Ketiga : Tingkatkan Ketabahan dan Kejujuran

Ini adalah dua elemen paling penting diantara semua elemen penting yang perlu ditanamkan dalam diri para remaja. Ketabahan yang mantap dalam ertikata tabah melalui ujian kehidupan sebelum, ketika dan selepas ramadhan. Manakala kejujuran adalah rahsia kejayaan anda untuk menjadi remaja yang baik dan cemerlang. Sikap jujur pada diri, kawan-kawan, keluarga, guru, masyarakat serta paling penting kepada Allah perlu dibajai menjadi subur. Hanya remaja yang jujur mampu melalui Ramadhan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan dan pujian.

Keempat: Memperbanyak latihan

Latihlah diri dengan berpuasa sunat sebelum menjelangnya Ramadan. Di samping latihan menahan diri daripada lapar dan dahaga, jangan lupa melatih diri dalam amalan yang lain. Kurangkan amalan yang tidak sihat seperti merokok, bercakap kasar, menonton rancangan atau hal-hal yang batil di televisyen atau internet, bergosip, ber'dating' dan segala yang tidak baik dan memudaratkan.



Selain latihan meninggalkan hal-hal yang dilarang, latihan memperbanyak amalan juga harus dilakukan. Lipat gandakan amalan menjelang Ramadan supaya kita akan dapat kekuatan melaksanakan lebih banyak kebaikan berbanding hari-hari biasa. Ia selari dengan amalan RasululLah sallallahu alaihi wasallam seperti yang diceritakan oleh Sayidatina Aisyah, “Rasulullah selalu melipatgandakan usahanya sepanjang bulan Ramadan, terutamanya pada
sepuluh hari terakhir daripadanya.”

Kelima: Kemaskan jadual kehidupan




Sebagai remaja yang aktif dan sibuk, Ramadan akan menjadi sesuatu yang sukar jika kita tidak menyusun jadual kehidupan sebaik mungkin. Ramadan akan dijadikan alasan keletihan kita. Ia juga akan dijadikan alasan untuk kurang aktif. Ia juga sering dijadikan batu loncatan untuk memperbanyak tidur dan rehat.
Sebenarnya remaja Muslim yang bijak mesti menyusun jadual kehidupannya secara menyeluruh sepanjang Ramadan. Malahan sewajarnya menjadi seorang remaja Muslim lebih aktif, bijak, cergas, rajin dan lebih baik daripada sebelumnya.



Jadual yang menyeluruh bermaksud keseimbangan antara tugasan belajar atau menuntut ilmu, berpuasa, solat, membaca al-Quran, solat terawih, qiamullail, menolong ibu bapa, bersedekah, membantu orang lain yang di dalam kesusahan serta melakukan amar makruf dan nahi mungkar.



Menukar sikap tidak semudah menukar baju. Namun jika baju sahaja yang ditukar, manakala sikap dan iman masih ditahap lama, mana mungkin anda berjaya!


Roha Hassan
Ramadhan..kehadiranmu ku tunggu...

No comments: