Tuesday, May 3, 2011

JJMK 01 Mei - Dia Dipanggil Allah Setelah 18 Tahun Menjadi Suamiku...

Wahai diri, dalam dunia, mana satukah milik kita?
Suami?
Isteri?
Ibubapa?
Anak-anak?
Harta kekayaan dan wang ringgit?
Pangkat dan kedudukan?
Ijazah dan kelulusan?

Jawapannya: Tiada satupun milik kita! Semuanya milik Allah. Allah boleh memberi kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan boleh mengambil apa sahaja dari kita, bila-bila masa sekalipun sebab, tiada satupun milik kita hatta nyawa sendiri.



Apa yang dialami oleh Puan Sharifah dan 7 orang anak-anaknya adalah senario yang juga pernah dialami oleh ramai dari kita. Kehilangan sesuatu yang kita kasihi dan sayangi.

Mungkin apa yang kita kehilangan itu berbeza, namun kehilangan biasanya adalah sesuatu yang menyakitkan. Terutamanya buat seorang isteri seperti Sharifah, kehilangan suami tercinta seminggu selepas ulangtahun perkahwinan yang ke 18 pasti bukan sesuatu yang mudah.

"Kakak redha dengan pemergian abang walaupun baru lepas seminggu ulangtahun perkahwinan kami yang ke 18" Ujar wanita yang tabah ini. Tiada airmata yang bergenang atau mengalir, hanya senyuman menyambut kehadiran warga NGO Wargakilang yang menziarahi beliau 01 Mei yang lalu.

Barangkali tiada lagi airmata yang boleh ditumpahkan setelah suami tempat bergantung meninggal 17 April yang lalu dihempap kayu balak ketika bekerja.



Hidup adalah putaran yang ada kegembiraan dan kesedihan. Ada kekayaan dan kemiskinan. Ada masa senang, ada masa susah. Ada masa kita membantu, ada masa kita yang memerlukan bantuan.



Untuk wanita tabah seperti Puan Sharifah, hidup mesti diteruskan. Anak-anak yang merupakan amanah dari Allah perlu dititipkan hingga usia yang sesuai untuk dilepaskan. Kata beliau, "Arwah suami Kak berhajat sangat nak melihat anak-anak berjaya. AlhamdulilLah anak Kak sorang dah masuk MRSM". Puan Sharifah beberapa kali menyebut pesanan arwah dalam bab pendidikan 7 orang anak-anak mereka yang masih kecil dan bersekolah.


Begitulah secebis kisah dan harapan Puan Sharifah dan anak-anak. Apapun, disaat-saat seperti ini, saya yakin sesiapapun amat memerlukan bantuan dan sokongan. Sudah tentu bantuan dan sokongan yang bersifat jangka pendek dan jangka panjang bisa menjadi penawar diatas ujian yang mendatang.


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mudah-mudahan Puan Sharifah dan anak-anak dikurniakan kesabaran dan ketabahan. Sedang kita pula sebagai saudara sesama muslim, ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan terhadap sesama muslim yang ditimpa musibah.


“Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita..” Al-Baqarah : 274

Untuk kita yang masih memiliki apa yang memang bukan milik kita, wajar menjadikan kisah Puan Sharifah dan anak-anak sebagai pedoman yang sangat bermanfaat. Siapkan diri, suami, isteri serta anak-anak akan hakikat, tiada satupun atas dunia ini milik kita.


Kelak kita akan lebih memahami bahawa setiap yang Allah pinjamkan kepada kita, boleh diambil Allah bila-bila masa. Allah tidak pernah menzalimi hambaNya. Bahkan sifat tamak, ego, takbur, sombong, tidak bersyukur antara punca Allah mengambil kembali setiap yang dipinjamkanNya.


Tidak kurang pula, Allah mengambil apa yang dipinjamkanNya kepada kita sebagai ujian. Ujian untuk melihat sejauh mana kita sayangkan Allah berbanding selainNya. Ujian untuk mengukur kesabaran kita bila diuji ketika ada berbanding ketika tiada.


Kadangkala Allah juga mengambil miliknya dari kita, demi menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Hanya Allah yang Maha Mengetahui setiap segala sesuatu.


Tabahkanlah hati kita atas segala kehilangan dan sesuatu yang bukan milik kita!

"Allahumma inni a'uzu bika minal hammi walhazan, wa-auzubika minal 'ajzi wal kasal ( Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kesedihan dan kegelisahan. Aku berlindung kepadaMu dari kelemahan dan kemalasan. )...amin Ya Rabbal 'Alameen.."

Kisah JJMK 01 Mei juga boleh dibaca di :

http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
http://moniermatdin.blogspot.com/
http://pembelasp.blogspot.com/

~Roha Hassan~

Saturday, April 9, 2011

Jalan-jalan Masuk Kampung (JJMK) Hari Pekerja

Datuk/Datin/Tuan/Puan/Saudara/Saudari yang dirahmati Allah

Jom Sedekah! Sedekah adalah satu keajaiban. Rahmat bagi yang memberi. Nikmat bagi yang menerima. Yang memberi rasa bahagia. Yang menerima rasa gembira. Yang memberi rasa tenang dijiwa. Yang menerima rasa dibela. Allah swt sendiri menyebut tentang kelebihan dan kebaikan sedekah. Tinggi darjatnya disisi Allah bagi orang-orang yang ikhlas dalam bersedekah. Allah swt berfirman dalam Al-Quran, Surah Al- Baqarah, Ayat 215 dengan maksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya)”.

Dalam ayat yang lain dari Surah Al- Baqarah iaitu Ayat 245, “Allah swt turut berfirman dengan maksud: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan”

Jalan-jalan Masuk Kampung Hari Pekerja

Jesteru, NGO Wargakilang dengan sokongan para dermawan akan meneruskan aktiviti Jalan-jalan Masuk Kampung. Kali ini destinasinya ialah Selinsing, Perak. Manakala terdapat 11 Keluarga untuk disantuni. Jumlah ini mungkin bertambah jika ada keperluan dan kecukupan dari sudah sumbangan. Untuk memudahkan para dermawan, bersama-sama ini disertakan file yang mengandungi maklumat : 1. Jadual Program JJMK Hari Pekerja yang mengandungi perincian program 2. Profail penerima sumbangan bagi memudahkan para dermawan mengetahui bentuk sumbangan yang ingin disumbangkan. 3. Peta laluan ke rumah bakal penerima sumbangan Atau singgahlah ke blog http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/ untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang program ini. Bagi mereka yang tertinggal, bolehlah terus ke tempat program berpandukan peta yang disediakan!

Apa yang boleh Disumbang!

Para dermawan boleh memberikan sumbangan dalam bentuk : 1. Barangan seperti diperlukan dalam lampiran/catatan (kuali, periuk keluli tahan karat, almari baju, lampin pakai buang, dll) 2. Barangan dapur (beras, gula, tepung, susu, ikan bilis, sardin tin, dll) 3. Pakaian/peralatan sekolah 4. Dan lain-lain pemberian yang dirasakan bersesuaian dengan situasi bakal penerima. (Nota penting : Sumbangan dlm bentuk cash/kewangan tidak diterima)



Nak Sumbang dan Hubungi Siapa?

Berikut adalah senarai ahli NGO wargakilang mengikut kawasan dan negeri bagi memudahkan semua pihak untuk membuat sumbangan atau rujukan: 1. Coordinator : Shukri (019-5407859) .......penyelaras sumbangan seluruh malaysia 2. Padang Serai , Lunas & Kulim : Monier (012-4128209) 3. Sungai Petani dan ke Utara Perlis : Aznee (012-4323305) 4. Seluruh Pulau Pinang : Wahab (019-4700759) Shukri (019-5407859) 5. Seluruh Seberang Perai : Fendi (012-4097268) Sattar (019-4004655) 6. Seberang Perai Utara dan Bertam - Faizal Kadir (013-4887749) 7. Seluruh Perak : Lukman (019-5582626) 8. Kuala Lumpur : Warikh (019-4701477) 9. Selangor : Shahrul (012-6315244) Roha (012-4317948)

Macam mana Kalau Nak Ikut Serta Bagi yang ingin turut serta bersama NGO Wargakilang menyantuni insan sambil menyampaikan sumbangan, kehadiran anda amat dialu-alukan. Sila dapatkan perincian daripada wakil-wakil seperti yang tertera diatas.

Penutup

Tiada yang sia-sia dalam bersedekah. Setiap yang ikhlas bersedekah pasti akan beruntung!. Allah berjanji dalam Al-Quran melalui Surah Al- Baqarah, ayat 261 dengan maksud : “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya”.

Roha Hassan Hp : 012-4317948

Monday, April 4, 2011

Setanggi Kasih Yang Mengharum Di Pondok Haji Ahmad Nahu

Kehidupan memang indah. Namun bagi yang tidak menghargai setiap detik yang dilalui dan dimiliki, tiada apa yang bermakna untuk insan seperti ini. Apa yang indahnya dalam hidup? Banyak sangat! Namun bergantung kepada bagaimana kita memanfaatkan nikmat yang Allah kurniakan. Indah dan bahagia itu tidak boleh diukur dengan wang ringgit atau harta benda semata-mata. Kita akui kepentingan harta benda dan wang ringgit dalam kehidupan. Namun ia bukan segala-galanya. Untuk saya, nazirah dan adik-adik, perjalanan ke Pondok Haji Ahmad Nahu Kuala Beris, Sik, Kedah bersama-sama rakan-rakan NGO Wargakilang adalah satu perjalanan yang indah dan mulia. Sejak remaja, saya sukakan kerja-kerja sukarelawan. Dari Perlis hinggalah ke Aceh, saya sering merindui kerja-kerja amal dan kebajikan. Perkongsian seperti ini bukanlah untuk menceritakan berapa banyak kerja-kerja amal yang saya lakukan. Saya hanya ingin menyatakan bahawa ada kepuasan dan kebahagiaan tersendiri dalam setiap kebaikan yang kita lakukan. Bukan nilai sen atau material, masa atau tenaga, anda akan rasa bahagia bila anda dapati anda telah berkongsi bahagia dengan insan lain. Orang yang mulia berkongsi kebahagiaan dan kegembiraan dengan orang lain sebab dia tahu apa sahaja nikmat didunia ini hanyalah pinjaman semata-mata. Namun orang yang bakhil, jiwanya sempit. Semuanya ingin dibolot seorang diri! Ish berfalsafah pulak!


Sepanjang perjalanan ke Pondok Haji Ahmad Nahu, Kuala Beris. Kami memuji-muji ketenangan dan keindahahan ciptaan Allah di kiri kanan jalanraya. Maklumlah sejak berpindah ke Kuala Lumpur, banyak program di Kuala Lumpur diadakan di dewan. Tidak kira samada program motivasi percuma kepada remaja, pengisian kepada ibu tunggal atau malam amal untuk anak-anak yatim. Lama juga tidak ke kampung-kampung atau desa-desa untuk menyantuni mereka yang memerlukan. Bila ada kesempatan ke tempat-tempat yang kaya dengan keindahan alam semulajadi, memang best sangat!

Apa-apapun, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kawan-kawan wargakilang, khususnya saudara Wahab yang begitu sabar menanti kami untuk menunjukkan jalan ke tempat yang ingin dituju. Begitu juga penghargaan kepada saudara Shukri yang merupakan koordinator program kali ini. Selebihnya kepada saudara Munir, Sattar, Azman suami isteri serta yang lain-lain yang belum sempat bertaaruf. Apa pun objektif perjalanan kali ini, tidak salah rasanya untuk kita sama-sama menghalusi mutiara iman yang ditinggalkan oleh junjungan besar RasululLah saw dengan sabdanya berkaitan dengan tanggungjawab seorang muslim dengan muslim yang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barangsiapa melepaskan kesusahan seorang muslim dari kesusahan dunia, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat; barang siapa memudahkan seorang yang mendapat kesusahan, Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat; dan barang siapa menutupi (aib) seorang muslim, Allah akan menutupi (aibnya) di dunia dan akhirat; dan Allah selalu akan menolong hambanya selama ia menolong . (riwayat Muslim)


Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Hak seorang Muslim atas seorang Muslim yang lain ada enam. Di antara para sahabat ada yang bertanya: Apa saja ya Rasulullah? Baginda menjawab: 1)Bila kamu berjumpa dengannya ucapkan salam. 2)Jika ia mengundangmu, penuhilah. 3)Jika ia meminta nasihat kepadamu, nasihatilah. 4)Jika ia bersin dan memuji Allah hendaknya kamu mendoakannya. 5)jika ia sakit jenguklah. 6)jika ia mati hantarkanlah jenazahnya. (riwayat Muslim)

Perjalanan kami bermula sekitar 7.45 pagi dari Bagan Serai. Terlewat dari masa yang sepatutnya iaitu 7 pagi. Memang agak lewat tiba berbanding rakan-rakan WK yang lain kerana nak mengambil barang makanan dari kedai abah. Maklumlah agak lewat tiba dari Kuala Lumpur. Malamnya, kami bersemangat menyediakan cup cake untuk adik-adik di Sekolah Pondok sampai jam 2.00 pagi. Tak sedar masa berlalu ketika ramai-ramai memasak. Natijahnya, paginya semua bertungkus lumus nak bangun awal. Tambahan pulak ada dua anak kecik, Muhammad Danial Sufi dan Nurdinie Safiah yang ingin turut serta.


Perjalanan ke Kuala Beris dari Bagan Serai mengambil masa hampir tiga jam. Bertemu dengan kawan-kawan Wargakilang yang agak lama menanti kami di pertengahan jalan memang melegakan. Lama sungguh tidak berjumpa sebenarnya. Saya sudah terlupa apa nama tempat tersebut tapi memang seronok melihat konvoi rakan-rakan WK. Mereka ini kebanyakan memang istiqamah dengan apa yang mereka lakukan. Sejak mula WK ditubuhkan, mereka terus melakukan kerja amal dan kebajikan. Memang ada wajah-wajah baru yang silih berganti. Namun Munir and the gang masih istiqamah hingga hari ini. Tahniah!


Setelah melalui jalan-jalan berliku dan segar dengan tumbuhan hijau, AlhamdulilLah kami tiba ke tempat yang dituju. Keadaan sekitar pondok tersebut damai walaupun ada beberapa pembaikan infrastuktur yang diperlukan. Pendekata walaupun serba seadanya, wajah para penghuni Pondok Haji Ahmad Nahu kelihatan bahagia, tenang dan ceria. Ketika "abang-abang dan pakcik-pakcik" Wargakilang sibuk memunggah barang-barang makanan dan kitab selaku sumbangan kepada Penghuni Pondok Haji Ahmad Nahu. Kami pulak ke bahagian belakang madrasah untuk bertemu dengan penghuni pondok di kalangan wanita. Kami disambut oleh Maksu Zaharah dan Kak Endon bersama dengan anak-anak muda yang begitu hebat sekitar 40 orang.

Melihatkan pondok-pondok kecil yang dihuni oleh mereka, hati pasti kagum. Sungguh besar pengorbanan gadis-gadis muda ini. Berkorban demi memantapkan ilmu didada dengan pengorbanan yang bukan calang-calang orang mampu melakukannya.


Yang lebih mengkagumkan ialah Kak Endon, salah seorang ibu tunggal yang menghuni disitu. Wajahnya nampak tenang, namun disebalik ketenangan tersebut, beliau sudah dua tahun menderita kanser. Menurut Kak Endon, beliau mendapat kanser selepas kematian suaminya yang kedua yang katanya sebelum ini merupakan pengamal perubatan tradisional termasuk kanser. Namun kini


Kak Endon menanggung penderitaan kansernya seorang diri tanpa suami tercinta. Menurut Kak Endon, tubuhnya terasa nyilu. Sebelah payudaranya telah dibuang. Namun rawatan seterusnya tidak mampu dilakukan kerana masalah kewangan. Hanya pondok itulah yang bisa merawat kegundahannya daripada terlalu memikirkan tentang kanser yang dihadapinya. Sambil tersenyum Kak Endon terus berkongsi liku-liku perjalanannya setelah dua tahun mengidap kanser. Perkahwinan pertamanya berakhir dengan penceraian selepas lahirnya cahayamata yang pertama. Kemudian suami keduanya pula meninggal dunia. Kini ujian kanser melanda.Begitupun Kak Endon tetap tenang dan sabar mengharungi cabaran kehidupan.


Selain Kak Endon, sekitar tujuh orang dewasa dan 40 remaja puteri yang menjadi penghuni Pondok Haji Ahmad Nahu in yang khabarnya boleh menampung sekitar 150 orang penghuni. Banyak yang ingin dikongsikan, namun kata-kata tidak cukup untuk mengambarkan ketabahan dan kekuatan anak-anak remaja yang menghuni Pondok ini.Barangkali coretan orang kuat NGO Wargakilang iaitu Saudara Monier Mat Din ini dapat pula menceritakan sepenuhnya apa yang berlaku. Bacalah coretan tentang pengorbanan sekumpulan remaja yang terpilih ini dalam coretan berikut: http://moniermatdin.blogspot.com/2011/04/bukan-semua-org-belajar-sebab-nak-dpt.html Seperti pesanan Munir. Saya juga ingin mengajak kalian singgah ke Pondok ini jika ada kesempatan. Banyak yang akan kita pelajari dari anak muda yang masih ”kecil” dari sudut jumlah usia namun ”berjiwa besar” dari sudut pengorbanan dan ketabahan. Semoga Allah mengukuh hati anak-anak ini atas jalan yang mereka pilih.


Catatan oleh : Roha bt Hassan

Monday, March 14, 2011

Kembara Taubat di Bumi Anbiya - 02

Assalamualaikum wbt




Daftar segera, elak kecewa. Beribadah dan beramal. Peluang menaja ibu tunggal, fakir miskin, anak-anak yatim mengerjakan umrah!
~Roha Hassan~

Kembara Taubat di Bumi Anbiya - 01

Assalamualaikum wbt...



Curahan hati Mak Long Zaitun, "Mak Long teringin nak tengok Kaabah. Teringin nak solat di Masjidil Haram. Teringin nak ziarah maqam RasululLah dan sahabat. Tapi dah 10 tahun kumpul duit tak cukup-cukup! Dapat pi umrah pun jadilah"

Curahan hati Lin, "Saya dok kumpul untuk untuk mak abah. Depa tu teringin sangat nak ke Mekah..."

Curahan hati Abang Hussin, "Abang usin dan Kak Nah ni bukannya tak ada cita-cita. Kalau bolehlah tahun ni juga nak pi umrah ke, haji ke. Masalahnya nak pi daftar haji pun rasa segan sebab tak tau bila nak boleh pergi. Kena tunggu anak-anak habis belajar la dulu kot."

Curahan hati, Haji Nor Hashim Abdullah, selaku Pengarah Urusan Harmony Excellence Travel and Tours ketika diminta mengulas tentang program ini berkata, “Saya terpanggil untuk menganjurkan program seumpama ini bila mendengar keluhan dan reaksi golongan yang kurang berkemampuan yang teringin untuk mengunjungi rumah Allah. Boleh dikatakan semua insan ingin berkunjung ke bumi kelahiran para anbiya ini, namun ramai yang hanya memendamkan perasaan kerana kekangan dari sudut kewangan"


Ibadah haji dan umrah merupakan tuntutan agama yang wajib dilaksanakan ke atas setiap umat islam yang berkemampuan. Mengerjakan ibadah ini adalah sebagai satu tanda kesyukuran kita kepada Allah atas nikmat Islam dan Iman yang dianugerahkan kepada setiap hambaNya.

Setiap daripada umat Islam amat merindui untuk mengunjungi rumah Allah. Bagi yang berkemampuan, tiada halangan bagi mereka kerana boleh dilaksanakan bila-bila masa yang mereka ingini. Tetapi bagi yang kurang berkemampuan, jika diberikan peluang walaupun sekali dalam seumur hidup, ia merupakan nikmat yang besar maknanya kepada mereka.
Justeru itu, Harmony Excellence Travel and Tours dengan kerjasama Innovative Management Consultancy menganjurkan Kembara Taubat di Bumi Anbiya 2011 untuk memberi peluang kepada mereka yang berkemampuan dan yang kurang berkemampuan untuk sama-sama berkongsi peluang mengerjakan ibadah yang dituntut agama ini.

Melalui Kembara Taubat di Bumi Anbiya 2011, peserta akan dibawa untuk sama-sama berkongsi peluang mengerjakan umrah dengan peserta-peserta daripada Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/ AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM), Persatuan Perlindungan Raudhatul Jannah, Baitul Hidayah serta beberapa rumah kebajikan lain khususnya yang memberikan perlindungan kepada golongan fakir miskin, anak-anak yatim dan ibu tunggal.

Diantara objektif program ialah untuk memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk sama-sama mengerjakan ibadah umrah, membuka ruang kepada masyarakat untuk menyumbang dengan membiayai perjalanan mereka yang kurang berkemampuan mengerjakan umrah yang terdiri daripada anak yatim, fakir miskin dan ibu tunggal serta mengeratkan hubungan di antara para peserta dengan kumpulan yang ingin disantuni di samping menjadikan mereka keluarga angkat kepada peserta.

Encik Nor Hashim Abdullah, selaku Pengarah Urusan Harmony Excellence Travel and Tours ketika diminta mengulas tentang program ini berkata, “Saya terpanggil untuk menganjurkan program seumpama ini bila mendengar keluhan dan reaksi golongan yang kurang berkemampuan yang teringin untuk mengunjungi rumah Allah. Boleh dikatakan semua insan ingin berkunjung ke bumi kelahiran para anbiya ini, namun ramai yang hanya memendamkan perasaan kerana kekangan dari sudut kewangan”

Tambah beliau, “Hasrat ikhlas Harmony Excellence dalam penganjuran program seumpama ini bukanlah untuk mengaut keuntungan atas nama kebajikan atau mengambil kesempatan menggunakan rumah-rumah kebajikan tetapi atas nama kebersamaan dan kemanusiaan. Walaupun sedikit, namun sekurang-kurang ini merupakan peluang untuk golongan yang tiada dalam merealisasikan impian menjejakkan kaki dan beribadah di Tanah Suci.

Selain dari itu, setiap peserta yang menyertai Kembara Taubat ini akan turut sama menyumbang kepada rumah-rumah yang terlibat iaitu Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/ AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM), Persatuan Perlindungan Raudhatul Jannah, Baitul Hidayah serta beberapa rumah kebajikan lain khususnya yang memberikan perlindungan kepada golongan fakir miskin, anak-anak yatim dan ibu tunggal.

Pakej Umrah Khas Kembara Taubat di Bumi Anbiya ini adalah bermula dengan nilai RM5500 seorang. Para dermawan yang ingin menyertai program ini boleh memilih untuk menjadi peserta Kembara Taubat dengan membayar harga pakej Umrah yang telah ditetapkan atau menaja seorang peserta dari pusat perlindungan yang terlibat atau memberi sumbangan kewangan mengikut kemampuan masing-masing.

Selain daripada pakej ini, Harnony Excellence Travel & Tours turut menyediakan pakej umrah yang menarik sepanjang tahun dengan harga Pakej bermula daripada RM4750.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai program ini boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada :

Harmony Excellence Travel & Tours Sdn Bhd
5, Jalan Wangsa Melawati 4, Wangsa Melawati, 53300 Kuala Lumpur.
Tel: 03 - 4142 8817 Faks: 03 - 4142 4926
Handphone : 019-241 2120 / 012-9010580 / 019-223 7048
Email: admin@harmoni2u.com
Laman Web: http://www.harmoni2u.com

atau

Innovative Management Consultancy
No 216B, Jalan Negara 2, Taman Melawati,
53100 Kuala Lumpur
Tel: 03-41056233 Faks: 03-41055433
Handphone: 012-4317948/ 013-3898534/ 012-5285214/019-9150421
Email: innovativeimc@gmail.com
Laman Web: http://innovativeimc.blogspot.com/

Thursday, September 9, 2010

Raya Tiba Lagi, Jangan Lupa Pada Yang Tiada



Berikan mereka kail bukan ikan semata-mata! Itulah ungkapan yang popular dalam menterjemahkan bagaimana sikap yang perlu kita tunjukkan dalam membawa mereka yang memerlukan bantuan kearah yang lebih membangun.


Seringkali kita akan menghulurkan bantuan dalam apa jua bantuan apabila ada fakir miskin, miskin, janda, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan. Antara bantuan yang popular ialah wang ringgit dan harta benda ataupun material. Walaupun ia merupakan bantuan yang sangat disukai oleh kebanyakan insan, namun ia adalah sesuatu yang bersifat tidak kekal jika ia tidak diuruskan dengan baik.


Bukahkah sesuatu yang mampu menjana pendapatan yang berterusan lebih baik dan bermanfaat untuk golongan ini.


Menyedari hal ini, maka Program Champion yang merupakan kursus Kraf Komersil diwujudkan. Ia merupakan program untuk menambah pendapatan kepada peserta-peserta e-Kaseh seterusnya mengeluarkan peserta-peserta dari garis kemiskinan. Ia dianjurkan oleh ICU Terengganu (Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu) dan dikendalikan oleh Krafedge Sdn. Bhd. sebagai syarikat pembimbing seterusnya menjadi mentor kepada peserta-peserta tersebut. Program ini mengambil masa selama enam bulan mulai bulan Mei hingga bulan November 2010. Program ini disertai oleh 40 orang peserta senarai e-Kaseh. Peserta e-kaseh merupakan kumpulan miskin tegar, miskin serta ibu tunggal.


Antara produk yang dihasilkan oleh para peserta ialah kraf yoyo yang diberikan sentuhan baru serta pouch bag. Menurut Pengarah Projek, Saudari Norazah bt Asat, antara objektif program ini ialah untuk :
1. Menjana ekonomi peserta melalui program yang mudah, murah dan berkualiti
2. Menambah pendapatan peserta supaya dapat keluar dari garis kemiskinan
3. Memberi ilmu pengetahuan kepada peserta berkenaan kemahiran menggunakan bahan terpakai dan kemahiran dalam diri sendiri
4. Menyediakan kualiti dan perkhidmatan serta pembelajaran yang mudah, ceria dan santai kepada peserta
5. Mendidik peserta menggunakan kemudahan alam semulajadi


Bagi memastikan perjalan projek berjalan lancar, baru-baru ini satu perjumpaan khas telah diadakan bersama peserta projek. Kecerian jelas terbayang apabila hasil kraftangan masing-masing diserahkan kepada pengarah projek.


Selain daripada perbincangan dari hati ke hati, tazkeerah ringkas oleh Saudari Roha Hassan serta pengagihan bahan-bahan untuk projek akan datang, pemberian sumbangan turut dilakukan.


Diakhir perjumpaan, Saudari Norazah Asat dan Roha Hassan turut turun padang untuk menziarahi beberapa ahli yang tidak dapat menghadirkan diri semasa perjumpaan diadakan.


Penyerahan sumbangan kepada golongan yang memerlukan seterusnya di serahkan kepada kumpulan yang terpilih di Kota Bharu Kelantan dan Kuantan Pahang.


~Roha Hassan~

Thursday, August 5, 2010

Jom Cepat-cepat! Ramadan Dah Dekat!


Jom cepat-cepat kita siapkan kerja kita sebab nanti nak puasa pulak!
Jom cepat-cepat siapkan latihan sebab Ramadan dah dekat!
Jom cepat-cepat beli baju raya, puasa dan dekat! Jom cepat-cepat kalau nak outstation, puasa nanti tak larat nak jalan sana sini!
cepat-cepat buat program, bulan Ramadan susah kalau buat program!
Jom cepat-cepat aku belanja hang makan, Ramadan nanti tak boleh makan tengahari bersama dah!

Itulah antara ungkapan yang sering kita dengar. Namun amat jarang kita dengar bicara seumpama ini:
i. Jom cepat-cepat buat persediaan, Ramadan dah dekat.
ii. Jom cepat-cepat kemas rumah dan pejabat, kita nak sambut Ramadan.
iii. Jom cepat-cepat tambahkan ilmu tentang ibadah yang terbaik sepanjang Ramadan.
iv. Jom cepat-cepat rancang program yang bagus-bagus sepanjang Ramadan.
v. Jom kita terus berdoa agar dapat bertemu Ramadan kali ini!


Ramadan akan tiba tidak lama lagi. Jika kita merindukan kehadiran yang indah, inilah masa bahagia, masa betapa dekatnya jiwa kita bersama Allah, inilah waktu kedamaian.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa melakukan satu ibadat sunnah pada Ramadan, maka ia seperti orang yang melakukan ibadat wajib pada bulan selain Ramadan. Dan barang siapa yang melakukan ibadat wajib pada Ramadan, maka ia seperti orang yang melaksanakan 70 ibadat wajib di selain Ramadan." (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah).

Berpisah dengan bulan ini bermakna kita meninggalkan kesempatan meraih pahala kebaikan yang berlipat ganda.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, kegembiraan saat berbuka dan kegembiraan tatkala bertemu dengan Allah." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Maka, perpisahan dengan bulan ini pula, bererti kita kehilangan dua keajaiban kegembiraan di kala berbuka puasa.

Perpisahan dengan bulan ini juga adalah hilangnya kesempatan kita untuk memperoleh keampunan Allah terhadap dosa yang tidak sanggup kita kira lagi.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa yang menunaikan qiamullail pada Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampuni dosanya yang lalu." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Selesai saja Ramadan bermakna lenyapnya kesempatan kita untuk menunaikan solat malam dengan jaminan pahala ampunan atas dosa dan kesilapan yang kita sudah tenggelam di dalamnya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Siapa saja yang solat tarawih bersama imam hingga selesai, akan ditulis baginya pahala solat satu malam suntuk." (Hadis riwayat Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasai dan Ibnu Majah)

Kehadiran Ramadan juga beerti peluang untuk bertemu Lailatul Qadar tiba lagi. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Kami sudah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan." (Surah al-Qadr, ayat 1-3)

Maka Rasulullah SAW sentiasa mencari malam Lailatul Qadar dan memerintahkan sahabat mencarinya. Beliau membangunkan keluarganya pada malam sepuluh terakhir dengan harapan mendapat malam Lailatul Qadar.

Ketika menanti kehadiran Ramadan tahun ini, berpesan-pesanlah. Bahawasanya perginya bulan ini daripada sisi kita, bermakna kita akan terlepas kesempatan yang tidak ternilai dalam seluruh hidup sekalipun. Maknanya, lenyap peluang kita memperoleh keuntungan 1000 bulan, iaitu kira-kira 80 tahun daripada usia kita. Mampukah kita hidup dan beramal lengkap selama 80 tahun?

Oleh itu, jangan disia-siakan kehadiran Ramadan. Usah lakukan segala kebaikan dan ibadah ketika detik perpisahan dengannya menjelang. Rasakan benar-benar kehadiran kita pada bulan ini. Lantunkan zikir, tilawah al-Quran, munajat, permohonan ampun di sini. Buang kepenatan, hilangkan rasa lelah.

Usahlah menunggu hari-hari terakhir menjelang perpisahan dengan bulan penuh kemuliaan ini. Gigihkan usaha kita mengejar Lailatul Qadar. Namun, apa yang lebih penting adalah semangat diambil dengan makna Lailatul Qadar.

Semangatnya, adanya sebuah perubahan sikap yang istiqamah terhadap Islam, mencintai Allah sepenuhnya tanpa dinodai dengan cinta dunia. Dengan itu kita boleh menjadi manusia yang ikhlas, menerima Islam seutuhnya, tidak separuh-separuh dan tidak memilih.

Berdoalah bersungguh-sungguh agar kita dapat bertemu dengan Ramadan tahun ini. Sambutlah Ramadan yang bakal tiba dengan penuh kegembiraan. Berebut-rebutlah melakukan amat kebajikan.

Bila tiba pula waktu perpisahan dengan bulan yang mulia ini, menangislah kerana kita akan berpisah dengan kemuliaan dan keberkatan hebat bulan ini.