Monday, March 14, 2011

Kembara Taubat di Bumi Anbiya - 02

Assalamualaikum wbt




Daftar segera, elak kecewa. Beribadah dan beramal. Peluang menaja ibu tunggal, fakir miskin, anak-anak yatim mengerjakan umrah!
~Roha Hassan~

Kembara Taubat di Bumi Anbiya - 01

Assalamualaikum wbt...



Curahan hati Mak Long Zaitun, "Mak Long teringin nak tengok Kaabah. Teringin nak solat di Masjidil Haram. Teringin nak ziarah maqam RasululLah dan sahabat. Tapi dah 10 tahun kumpul duit tak cukup-cukup! Dapat pi umrah pun jadilah"

Curahan hati Lin, "Saya dok kumpul untuk untuk mak abah. Depa tu teringin sangat nak ke Mekah..."

Curahan hati Abang Hussin, "Abang usin dan Kak Nah ni bukannya tak ada cita-cita. Kalau bolehlah tahun ni juga nak pi umrah ke, haji ke. Masalahnya nak pi daftar haji pun rasa segan sebab tak tau bila nak boleh pergi. Kena tunggu anak-anak habis belajar la dulu kot."

Curahan hati, Haji Nor Hashim Abdullah, selaku Pengarah Urusan Harmony Excellence Travel and Tours ketika diminta mengulas tentang program ini berkata, “Saya terpanggil untuk menganjurkan program seumpama ini bila mendengar keluhan dan reaksi golongan yang kurang berkemampuan yang teringin untuk mengunjungi rumah Allah. Boleh dikatakan semua insan ingin berkunjung ke bumi kelahiran para anbiya ini, namun ramai yang hanya memendamkan perasaan kerana kekangan dari sudut kewangan"


Ibadah haji dan umrah merupakan tuntutan agama yang wajib dilaksanakan ke atas setiap umat islam yang berkemampuan. Mengerjakan ibadah ini adalah sebagai satu tanda kesyukuran kita kepada Allah atas nikmat Islam dan Iman yang dianugerahkan kepada setiap hambaNya.

Setiap daripada umat Islam amat merindui untuk mengunjungi rumah Allah. Bagi yang berkemampuan, tiada halangan bagi mereka kerana boleh dilaksanakan bila-bila masa yang mereka ingini. Tetapi bagi yang kurang berkemampuan, jika diberikan peluang walaupun sekali dalam seumur hidup, ia merupakan nikmat yang besar maknanya kepada mereka.
Justeru itu, Harmony Excellence Travel and Tours dengan kerjasama Innovative Management Consultancy menganjurkan Kembara Taubat di Bumi Anbiya 2011 untuk memberi peluang kepada mereka yang berkemampuan dan yang kurang berkemampuan untuk sama-sama berkongsi peluang mengerjakan ibadah yang dituntut agama ini.

Melalui Kembara Taubat di Bumi Anbiya 2011, peserta akan dibawa untuk sama-sama berkongsi peluang mengerjakan umrah dengan peserta-peserta daripada Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/ AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM), Persatuan Perlindungan Raudhatul Jannah, Baitul Hidayah serta beberapa rumah kebajikan lain khususnya yang memberikan perlindungan kepada golongan fakir miskin, anak-anak yatim dan ibu tunggal.

Diantara objektif program ialah untuk memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk sama-sama mengerjakan ibadah umrah, membuka ruang kepada masyarakat untuk menyumbang dengan membiayai perjalanan mereka yang kurang berkemampuan mengerjakan umrah yang terdiri daripada anak yatim, fakir miskin dan ibu tunggal serta mengeratkan hubungan di antara para peserta dengan kumpulan yang ingin disantuni di samping menjadikan mereka keluarga angkat kepada peserta.

Encik Nor Hashim Abdullah, selaku Pengarah Urusan Harmony Excellence Travel and Tours ketika diminta mengulas tentang program ini berkata, “Saya terpanggil untuk menganjurkan program seumpama ini bila mendengar keluhan dan reaksi golongan yang kurang berkemampuan yang teringin untuk mengunjungi rumah Allah. Boleh dikatakan semua insan ingin berkunjung ke bumi kelahiran para anbiya ini, namun ramai yang hanya memendamkan perasaan kerana kekangan dari sudut kewangan”

Tambah beliau, “Hasrat ikhlas Harmony Excellence dalam penganjuran program seumpama ini bukanlah untuk mengaut keuntungan atas nama kebajikan atau mengambil kesempatan menggunakan rumah-rumah kebajikan tetapi atas nama kebersamaan dan kemanusiaan. Walaupun sedikit, namun sekurang-kurang ini merupakan peluang untuk golongan yang tiada dalam merealisasikan impian menjejakkan kaki dan beribadah di Tanah Suci.

Selain dari itu, setiap peserta yang menyertai Kembara Taubat ini akan turut sama menyumbang kepada rumah-rumah yang terlibat iaitu Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/ AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM), Persatuan Perlindungan Raudhatul Jannah, Baitul Hidayah serta beberapa rumah kebajikan lain khususnya yang memberikan perlindungan kepada golongan fakir miskin, anak-anak yatim dan ibu tunggal.

Pakej Umrah Khas Kembara Taubat di Bumi Anbiya ini adalah bermula dengan nilai RM5500 seorang. Para dermawan yang ingin menyertai program ini boleh memilih untuk menjadi peserta Kembara Taubat dengan membayar harga pakej Umrah yang telah ditetapkan atau menaja seorang peserta dari pusat perlindungan yang terlibat atau memberi sumbangan kewangan mengikut kemampuan masing-masing.

Selain daripada pakej ini, Harnony Excellence Travel & Tours turut menyediakan pakej umrah yang menarik sepanjang tahun dengan harga Pakej bermula daripada RM4750.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai program ini boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada :

Harmony Excellence Travel & Tours Sdn Bhd
5, Jalan Wangsa Melawati 4, Wangsa Melawati, 53300 Kuala Lumpur.
Tel: 03 - 4142 8817 Faks: 03 - 4142 4926
Handphone : 019-241 2120 / 012-9010580 / 019-223 7048
Email: admin@harmoni2u.com
Laman Web: http://www.harmoni2u.com

atau

Innovative Management Consultancy
No 216B, Jalan Negara 2, Taman Melawati,
53100 Kuala Lumpur
Tel: 03-41056233 Faks: 03-41055433
Handphone: 012-4317948/ 013-3898534/ 012-5285214/019-9150421
Email: innovativeimc@gmail.com
Laman Web: http://innovativeimc.blogspot.com/

Thursday, September 9, 2010

Raya Tiba Lagi, Jangan Lupa Pada Yang Tiada



Berikan mereka kail bukan ikan semata-mata! Itulah ungkapan yang popular dalam menterjemahkan bagaimana sikap yang perlu kita tunjukkan dalam membawa mereka yang memerlukan bantuan kearah yang lebih membangun.


Seringkali kita akan menghulurkan bantuan dalam apa jua bantuan apabila ada fakir miskin, miskin, janda, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan. Antara bantuan yang popular ialah wang ringgit dan harta benda ataupun material. Walaupun ia merupakan bantuan yang sangat disukai oleh kebanyakan insan, namun ia adalah sesuatu yang bersifat tidak kekal jika ia tidak diuruskan dengan baik.


Bukahkah sesuatu yang mampu menjana pendapatan yang berterusan lebih baik dan bermanfaat untuk golongan ini.


Menyedari hal ini, maka Program Champion yang merupakan kursus Kraf Komersil diwujudkan. Ia merupakan program untuk menambah pendapatan kepada peserta-peserta e-Kaseh seterusnya mengeluarkan peserta-peserta dari garis kemiskinan. Ia dianjurkan oleh ICU Terengganu (Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu) dan dikendalikan oleh Krafedge Sdn. Bhd. sebagai syarikat pembimbing seterusnya menjadi mentor kepada peserta-peserta tersebut. Program ini mengambil masa selama enam bulan mulai bulan Mei hingga bulan November 2010. Program ini disertai oleh 40 orang peserta senarai e-Kaseh. Peserta e-kaseh merupakan kumpulan miskin tegar, miskin serta ibu tunggal.


Antara produk yang dihasilkan oleh para peserta ialah kraf yoyo yang diberikan sentuhan baru serta pouch bag. Menurut Pengarah Projek, Saudari Norazah bt Asat, antara objektif program ini ialah untuk :
1. Menjana ekonomi peserta melalui program yang mudah, murah dan berkualiti
2. Menambah pendapatan peserta supaya dapat keluar dari garis kemiskinan
3. Memberi ilmu pengetahuan kepada peserta berkenaan kemahiran menggunakan bahan terpakai dan kemahiran dalam diri sendiri
4. Menyediakan kualiti dan perkhidmatan serta pembelajaran yang mudah, ceria dan santai kepada peserta
5. Mendidik peserta menggunakan kemudahan alam semulajadi


Bagi memastikan perjalan projek berjalan lancar, baru-baru ini satu perjumpaan khas telah diadakan bersama peserta projek. Kecerian jelas terbayang apabila hasil kraftangan masing-masing diserahkan kepada pengarah projek.


Selain daripada perbincangan dari hati ke hati, tazkeerah ringkas oleh Saudari Roha Hassan serta pengagihan bahan-bahan untuk projek akan datang, pemberian sumbangan turut dilakukan.


Diakhir perjumpaan, Saudari Norazah Asat dan Roha Hassan turut turun padang untuk menziarahi beberapa ahli yang tidak dapat menghadirkan diri semasa perjumpaan diadakan.


Penyerahan sumbangan kepada golongan yang memerlukan seterusnya di serahkan kepada kumpulan yang terpilih di Kota Bharu Kelantan dan Kuantan Pahang.


~Roha Hassan~

Thursday, August 5, 2010

Jom Cepat-cepat! Ramadan Dah Dekat!


Jom cepat-cepat kita siapkan kerja kita sebab nanti nak puasa pulak!
Jom cepat-cepat siapkan latihan sebab Ramadan dah dekat!
Jom cepat-cepat beli baju raya, puasa dan dekat! Jom cepat-cepat kalau nak outstation, puasa nanti tak larat nak jalan sana sini!
cepat-cepat buat program, bulan Ramadan susah kalau buat program!
Jom cepat-cepat aku belanja hang makan, Ramadan nanti tak boleh makan tengahari bersama dah!

Itulah antara ungkapan yang sering kita dengar. Namun amat jarang kita dengar bicara seumpama ini:
i. Jom cepat-cepat buat persediaan, Ramadan dah dekat.
ii. Jom cepat-cepat kemas rumah dan pejabat, kita nak sambut Ramadan.
iii. Jom cepat-cepat tambahkan ilmu tentang ibadah yang terbaik sepanjang Ramadan.
iv. Jom cepat-cepat rancang program yang bagus-bagus sepanjang Ramadan.
v. Jom kita terus berdoa agar dapat bertemu Ramadan kali ini!


Ramadan akan tiba tidak lama lagi. Jika kita merindukan kehadiran yang indah, inilah masa bahagia, masa betapa dekatnya jiwa kita bersama Allah, inilah waktu kedamaian.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa melakukan satu ibadat sunnah pada Ramadan, maka ia seperti orang yang melakukan ibadat wajib pada bulan selain Ramadan. Dan barang siapa yang melakukan ibadat wajib pada Ramadan, maka ia seperti orang yang melaksanakan 70 ibadat wajib di selain Ramadan." (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah).

Berpisah dengan bulan ini bermakna kita meninggalkan kesempatan meraih pahala kebaikan yang berlipat ganda.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, kegembiraan saat berbuka dan kegembiraan tatkala bertemu dengan Allah." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Maka, perpisahan dengan bulan ini pula, bererti kita kehilangan dua keajaiban kegembiraan di kala berbuka puasa.

Perpisahan dengan bulan ini juga adalah hilangnya kesempatan kita untuk memperoleh keampunan Allah terhadap dosa yang tidak sanggup kita kira lagi.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa yang menunaikan qiamullail pada Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampuni dosanya yang lalu." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Selesai saja Ramadan bermakna lenyapnya kesempatan kita untuk menunaikan solat malam dengan jaminan pahala ampunan atas dosa dan kesilapan yang kita sudah tenggelam di dalamnya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Siapa saja yang solat tarawih bersama imam hingga selesai, akan ditulis baginya pahala solat satu malam suntuk." (Hadis riwayat Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasai dan Ibnu Majah)

Kehadiran Ramadan juga beerti peluang untuk bertemu Lailatul Qadar tiba lagi. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Kami sudah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan." (Surah al-Qadr, ayat 1-3)

Maka Rasulullah SAW sentiasa mencari malam Lailatul Qadar dan memerintahkan sahabat mencarinya. Beliau membangunkan keluarganya pada malam sepuluh terakhir dengan harapan mendapat malam Lailatul Qadar.

Ketika menanti kehadiran Ramadan tahun ini, berpesan-pesanlah. Bahawasanya perginya bulan ini daripada sisi kita, bermakna kita akan terlepas kesempatan yang tidak ternilai dalam seluruh hidup sekalipun. Maknanya, lenyap peluang kita memperoleh keuntungan 1000 bulan, iaitu kira-kira 80 tahun daripada usia kita. Mampukah kita hidup dan beramal lengkap selama 80 tahun?

Oleh itu, jangan disia-siakan kehadiran Ramadan. Usah lakukan segala kebaikan dan ibadah ketika detik perpisahan dengannya menjelang. Rasakan benar-benar kehadiran kita pada bulan ini. Lantunkan zikir, tilawah al-Quran, munajat, permohonan ampun di sini. Buang kepenatan, hilangkan rasa lelah.

Usahlah menunggu hari-hari terakhir menjelang perpisahan dengan bulan penuh kemuliaan ini. Gigihkan usaha kita mengejar Lailatul Qadar. Namun, apa yang lebih penting adalah semangat diambil dengan makna Lailatul Qadar.

Semangatnya, adanya sebuah perubahan sikap yang istiqamah terhadap Islam, mencintai Allah sepenuhnya tanpa dinodai dengan cinta dunia. Dengan itu kita boleh menjadi manusia yang ikhlas, menerima Islam seutuhnya, tidak separuh-separuh dan tidak memilih.

Berdoalah bersungguh-sungguh agar kita dapat bertemu dengan Ramadan tahun ini. Sambutlah Ramadan yang bakal tiba dengan penuh kegembiraan. Berebut-rebutlah melakukan amat kebajikan.

Bila tiba pula waktu perpisahan dengan bulan yang mulia ini, menangislah kerana kita akan berpisah dengan kemuliaan dan keberkatan hebat bulan ini.

Wednesday, June 30, 2010

Malam Amal Titian Kaseh - MAK 2010 (01)



Assalamualaikum wbt...

Paparan dibawah merupakan sebahagian daripada laporan akhbar tentang keperitan yang terpaksa dilalui Penghuni Rumah Titian Kaseh apabila mereka terpaksa keluar dari kediaman mereka sekarang. Pelbagai usaha dan cara dilakukan untuk mendapatkan dana, termasuklah Malam Amal Titian Kaseh - MAK 2010. Pamplet Program adalah seperti diatas.

Hulurkanlah bantuan mu. Mereka pasti akan menerimanya dengan penuh syukur dan sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang meringankan beban anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan.

Mohon sebarkan kepada keluarga dan rakan-rakan. Mudah-mudahan ada hati yang dipenuhi kasih dan sayang sudi untuk menyumbang!


~Roha Hassan~


==================================

Utusan Malaysia 30 Jun 2010: Rumah Titian Kasih diarah kosongkan segera

SUASANA kehidupan penghuni yang kebanyakannya warga emas dan OKU Rumah Titian Kasih semakin tertekan apabila mereka diberi notis sehingga 1 Julai ini untuk mengosongkan rumah tersebut atas perintah Mahkamah di Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/MOHD. NAIM FIRDAUS ABDUL AZIZ

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR 29 Jun - Dalam masa kurang 48 jam lagi, 45 orang anak yatim, ibu tunggal dan warga emas yang menghuni Rumah Titian Kasih di Persiaran Titiwangsa di sini terpaksa mengosongkan rumah itu.

Ini kerana pemilik rumah tersebut telah mendapat perintah mahkamah agar premis itu dikosongkan pada atau sebelum Khamis ini.

Pengasas rumah tersebut, Sharifah Adlan, 52, berkata, apa yang dibimbangkan ialah nasib penghuni rumah tersebut terutama ke mana mereka akan menetap selepas tarikh itu.

"Sebelum ini, kami telah menerima dua notis pada tahun lalu bagi mengosongkan kediaman ini. Bagaimanapun, notis kali ini benar-benar membimbangkan kerana ia adalah perintah mahkamah," katanya ketika ditemui di sini hari.

Sejak ditubuhkan kira-kira 12 tahun lalu, Rumah Titian Kasih yang mempunyai dua premis, kini dihuni kira-kira 120 penghuni dari bayi berusia dua bulan hingga warga emas berusia 82 tahun.

Beliau berkata, bukan pihaknya tidak berusaha untuk membeli rumah itu yang ditawarkan oleh pemiliknya pada harga RM2.7 juta tetapi sehingga hari ini, dana yang dikumpulkan masih belum mencukupi.

Katanya, beliau telah berusaha mempertahankan kediaman itu sejak tahun lalu termasuklah melancarkan tabung wakaf Rumah Titian Kasih, selain membuat kraf tangan dan kuih-muih untuk dijual.

Dalam tempoh itu juga, katanya, beliau cuba mendapatkan pinjaman daripada beberapa buah bank tetapi semuanya ditolak.

Katanya, seorang individu telah menyumbang sebanyak RM270,000 bagi membantu rumah itu selepas hasrat untuk membeli kediaman tersebut disiarkan Utusan Malaysia tidak lama dahulu.

"Tabung wakaf yang dilancarkan pula sudah berjaya mengumpulkan sebanyak RM400,000 tetapi ia masih tidak mencukupinya," katanya.

Sharifah berkata, beliau juga telah membawa perkara itu ke Baitulmal dan turut mengutarakan dua cadangan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Cadangan pertama, katanya, pihak Baitulmal membeli kediaman tersebut sebagai aset dan pihaknya akan menyewa daripada Baitulmal sementara cadangan kedua ialah Baitulmal membeli rumah tersebut dan pihak Rumah Titian Kasih akan membelinya daripada Baitulmal dengan membayarnya secara ansuran.

Namun, tegasnya, kedua-dua cadangan itu tidak diterima.

Namun, keluhan Sharifah itu mendapat perhatian daripada Pergerakan Pemuda UMNO hari ini yang berjanji akan cuba membantu menyelesaikan masalah itu.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, pihaknya sangat sedih apabila mendapat aduan yang rumah itu telah mendapat notis untuk dikosongkan.

"Kita hormati keputusan mahkamah tetapi berasa kesal kerana pemilik rumah tersebut telah menggunakan saluran yang terlalu ekstrem terhadap penghuni rumah terbabit," katanya.

Muhd. Khairun berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan mengambil tindakan dalam waktu terdesak ini untuk membela nasib penghuni rumah itu.

"Kita akan membawa perkara ini ke pengetahuan pihak berkuasa yang berkaitan untuk membantu menyelesaikan masalah ini.

"Apa yang penting kita akan mencari jalan untuk mendapatkan penempatan dan memberi perlindungan pada penghuni Rumah Titian Kasih ini," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan bertemu pihak berkuasa esok supaya penghuni rumah itu dapat lokasi sementara.

"Lebih baik jika kerajaan dapat menyediakan lokasi tetap untuk penghuni ini supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih selesa," katanya.

Saturday, May 15, 2010

Remajaku, Gurumu Untuk Dikasihi, Bukan Disakiti


Puisi Guru Oh Guru – Usman Awang

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Setiap kali membaca puisi guru oh guru oleh SN Dato’ Dr Usman Awang wajah setiap guru yang pernah mendidik dari sekolah rendah hingga universiti akan bermain dalam ingatan.

Menjadi seorang guru bukanlah satu tugas yang mudah. Bukan semua insan sanggup dan mahu melakukannya. Guru ibarat lilin, membakar diri menerangi orang lain. Sejak dahulu hingga kini guru tetap merupakan insan penting dalam kehidupan kita.

Namun, akhir-akhir ini sering kita dengar hal-hal kurang menyenangkan antara guru dan pelajar. Tidak sedikit kisah yang kita dengar tentang guru mencabul pelajarnya, begitu juga guru memukul dan mencederakan pelajar dan macam-macam lagi hal yang kurang enak didengar.

Dari sudut lain pula, semakin ramai guru yang keluh kesah dengan sikap pelajar masing-masing. Terutamanya pelajar remaja. Bukan sedikit kisah pelajar yang degil, ponteng sekolah, melawan, memaki hamun, memukul atau menyakiti guru masing-masing.
Remajaku, gurumu untuk dikasihi bukan disakiti. Hayatilah puisi diatas betapa sentuhan para guru merupakan sentuhan ajaib yang boleh mengubah seorang manusia dengan izin Allah. Insan boleh jadi istimewa atau sebaliknya dengan bimbingan guru.

Dalam membicarakan kepentingan guru dalam kehidupan remaja. Meletakkan semua tanggungjawab mendidik diri remaja di atas bahu para guru juga merupakan perbuatan yang tidak wajar. Guru adalah sebahagian daripada kehidupan seorang remaja. Namun bahagian yang paling besar mesti diisi oleh ibubapa. Guru ada peranannya yang tersendiri dalam hidup remaja. Manakala ibubapa memiliki tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan apa yang disampaikan oleh guru diamalkan oleh remaja masing-masing.

Kenapakah guru sangat penting dalam kehidupan kita wahai remajaku? Jawapannya kerana guru dan ilmu tidak dapat dipisahkan. Melalui guru kita mendapatkan ilmu. Manakala dalam mendapatkan ilmu kita memerlukan bimbingan guru.

Islam memandang tinggi orang yang menuntut ilmu, ia merupakan satu amalan yang sangat tinggi nilainya. Pahalanya amat besar sehingga orang yang mati semasa menuntut ilmu dikategorikan saperti seorang yang mati dalam beribadah.

Ayat pertama yang diturunkan dalam al-Quran memerintah manusia supaya membaca yang maksudnya menuntut ilmu, sebagaimana firman Tuhan yang bermaksud
"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang maha pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan Qalam”. (al-Alaq – ayat 1-4)

Dalam Hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda madsudnya "Barang siapa keluar untuk menuntut ilmu maka ia termasuk dalam golongan orang yang berjuang pada jalan Allah , sehinggalah ia kembali".

Menuntut ilmu sama ada ilmu fardu ain atau fardu kifayah, kedua-duanya adalah penting.

Allah turut berfirman "Katakanlah hai Muhammad! Adakah sama kedudukan orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu ? Sesungguhnya orang yang sedar itu ialah orang yang berfikir”. (al-Zumar – ayat 9)

Ilmu pengetahuan yang ada pada seseorang itu dapat meningkatkan kedudukannya dalam masyarakat. Lagi tinggi pengetahuan seseorang maka lagi tinggilah kemuliaannya dalam masyarakat. Orang berilmu bagaikan bintang yang bersinar diwaktu malam.

Usia remaja adalah usia dimana seseorang itu perlu melengkapkan diri dengan ilmu sebanyak-banyaknya sebagai bekalan menuju kedewasaan dan paling penting menuju dunia abadi.

Usahlah marah dan benci jika guru memberikan nasihat. Jauhilah salah sangka dan benci pada guru walaupun adakalanya mereka melukakan hatimu. Guru juga manusia, mereka juga boleh tersilap seperti kita. Terimalah setiap ilmu, teguran, muhasabah, nasihat dan bekalan yang gurumu berikan dengan lapang dada.

Andai kita umpama sibuta, guru adalah tongkatnya. Andai kita umpama sijahil, belajarlah menjadi cerdik dari seorang guru dan andai kita sebatang pensil, redhalah guru menjadi pengasahnya!


~Roha Hassan~

Saturday, May 8, 2010

Remajaku, Tudungmu Bukan Passport Berbuat Kemungkaran




Seorang sahabat bercerita tentang seorang gadis remaja yang beruniform sekolah dan bertudung ayu sekali. Namun demi sahaja gadis itu melangkah keluar dari pagar sekolah, tudungnya disingkap. Rambutnya yang berwarna 'oren' terserlah.

Oh remajaku! Kenapa singkapkan tudungmu? Kemudian jawabmu, “Kena la pakai tudung. Kalau tidak kantoi la. Cikgu mesti tahu bab rambut aku yang 'oren' ini."

Ada sahabat yang lain pula berkata, “Ramai gadis bertudung terlibat dengan perzinaan.” Haruskah kenyataan ini dinafikan? Haruskah kita marah? Haruskah kita menyalahkan tudung yang menutupi kepalamu.

Oh remajaku! Kenapa tanggalkan tudungmu demi cinta dan kekasih? Kemudian jawabmu, “Ala..tudung ni kan fesyen saja. Semua orang pun pakai. Lagipun aku pakai sebab 'boyfen' aku yang suruh.” Memang katamu tidak boleh dinafikan. Hari ini tudung dipakai bukan untuk menutup aurat. Tudung dikenakan dengan baju yang ketat. Tudung lilit dipadankan dengan baju kurung yang jarang. Tudung singkat dikenakan dengan t-shirt singkat dan seluar jeans yang ketat. Tudung bagaikan hiasan dan fesyen semata-mata.

Remajaku, ambillah tudungmu dan renungkan sejenak betapa Allah sangat sayangkan dirimu. Sesungguhnya sebaik-baik perhiasan di dunia ialah wanita yang solehah.

Kerana kasihnya Allah taala kepada kita, maka Allah memberikan panduan yang jelas tentang aurat kita dalam al-Quran menerusi ayat hijab iaitu ayat 30 dan 31 surah an-Nur yang bermaksud:

30. "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.

31. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka….." sehingga akhir terjemahan ayat ini.

“Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu remajaku, dikongsikan beberapa peringatan untuk bekalan kita bersama:

1. Tudungmu bukan untuk berfesyen semata-mata. Gunakan tudungmu untuk menutup auratmu agar dirimu selamat dan dihormati. Tudung jika sekadar sebagai fesyen, sifatnya bermusim dan membawa kemudaratan.

2. Tudungmu bukan pasport membuat kemungkaran. Usahlah gunakan tudungmu untuk menutup kesalahan. Bukan untuk menutup rambut yang diwarnakan agar tidak dimarahi guru. Atau menutup kemungkaran lain agar tidak dimarahi ibumu.

3. Tudungmu bukan uniform semata-mata. Walaupun tidak dinafikan, ketika di alam persekolahan, tudung menjadi sebahagian uniform di sesetengah sekolah. Namun hayatilah hikmah di sebalik pemakaian tudung. Jika ia hanya dianggap sebagai uniform, betapa ruginya kita kerana rambut kita adalah sebahagian daripada aurat. Pakailah apabila tiba masanya demi menyempurnakan penutupan aurat daripada lelaki yang bukan muhrim kita.

4. Tudung bukan aksesori semata-mata. Ia dipakai sebagai pelengkap agar seorang gadis bertambah ayu atau seorang wanita bertambah anggun. Kelak yang menjadikan tudung sebagai aksesori semata, pagi dipakai, petang dibuka. Hari ini disukai, hari esok dilupakan.

Sesungguhnya wahai remajaku, mari kita jadikan tudung kita istimewa dan pembeza. Istimewa kerana ia akan menjadikan aurat kita sempurna seperti yang diperintahkan oleh Allah. Pembeza kerana ia mampu menjadikan pemakainya malu untuk berbuat kemungkaran. Maka ia akan membezakan antara yang memakai dengan yang tidak memakainya!



~Roha Hassan~