Saturday, December 12, 2009

Diari Seorang Tetamu Allah (01) - Bila Rindu Bertamu


Assalamualaikum wbt...


Haji Oh Haji
(Ketika Kursus Haji Perdana -Putrajaya)

Apa khabar semua wahai sahabat-sahabat yang dikasihi. Hari ini genap seminggu aku kembali ke tanahair setelah 45 hari berada di Tanah Suci.

Menunaikan Haji bukanlah sesuatu yang berada dalam jadual kehidupan pada asalnya. Bukan kerana aku takut, tidak bersedia atau tidak suka. Siapalah yang tidak ingin menunaikan haji. Malahan ia impian semua insan yang bergelar muslim. Namun bila terkenangkan amanah dan bebanan yang sedang dipikul, hasrat menunaikan haji ditangguhkan terlebih dahulu.

(Suasana semasa Kursus Haji Perdana di Putrajaya)



Ibadah haji adalah puncak pengabdian insan Muslim terhadap Allah SWT. Setelah ia memenuhi tuntutan syahadah, menunaikan ibadah anggota tubuh badan yakni solat, menundukkan hawa nafsu melalui puasa (bulan Ramadhan) dan memenuhi kewajipan keatas hartanya menerusi amalan berzakat.


Malahan menunaikan fardhu haji adalah wajib bagi mereka yang berkuasa. Dimana maksud "berkuasa" disini ialah berupaya melakukan ibadah haji sama ada secara sendiri atau melalui pertolongan orang lain.



Bermulanya Di Sini


(Bersama-sama teman-teman yang juga ingin ke tanah suci)


Masih terbayang diingatan bagaimana semua ini bermula. Awal tahun ini, sekitar bulan Januari 2009, aku dan sahabat karib tiba-tiba menjadikan topik menunaikan haji dan umrah sebagai topik perbincangan. Mulanya ia sekadar sembang biasa. Namun menjadi semakin serius dan bersungguh-sungguh.

Kami mula mencongak-congak ruang dan peluang untuk ke Tanah Suci tahun ini juga. Sahabat ku yang kupanggil S ini memang beruntung kerana tidak lama lagi beliau akan genap 10 tahun bekerja di Syarikat J. Salah satu "benefit" yang diberikan kepada staff yang berkhidmat 10 tahun keatas ialah tajaan untuk menunaikan umrah. S berhasrat untuk memanfaatkan peluang ini untuk menunaikan haji.

Aku pulak, tiba-tiba "teringin" benar untuk menunaikan fardhu haji walaupun aku sedar peraturan dan syarat yang diletakkan oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji). Sedangkan seingat aku, mendaftar dengan Tabung Haji pun belum aku lakukan. Tapi sudah kepingin benar untuk menunaikan haji tahun ini. Sekali sekala bila teringatkan karenah kami ketika itu terasa kelakar. Mendaftarpun belum, tiba-tiba beriya-iya nak menunaikan haji.



Bila Rindu Bertandang


(Khusyuk mendengar ceramah haji)

Namun bila rindu bertandang, hasrat untuk ke tanah suci sudah tidak dapat dihalang. Setiap kali mendengar seruan talbiah melalui "CD Panduan Haji" yang baru ku beli, aku terasa, akulah salah seorang yang melafazkan kalimah tersebut.

"Ku sambut seruan Mu ya Allah, ku sambut seruan Mu, tiada sekutu bagi Mu, ku sambut seruan Mu. Sesungguhnya segala puji, nikmat dan kerajaan adalah milik Mu, tiada sekutu bagi Mu".

Terasa sebak hati ini dan kerinduan untuk ke tanah suci terus melonjak-lonjak dalam hati. Betapa ianya bagai tidak dapat ditahan-tahan lagi. "Aku mesti menunaikan haji tahun ini juga" itulah bicara hari ini berkali-kali.

Sejenak aku melupakan segala tangungan yang ada. Adik yang masih menuntut di IPT. Anak sedara kesayangan yang kujaga macam anak sendiri, Danil. Tugasan pejabat dan segala-galanya kini bukan alasan lagi. Aku yakin Allah akan membantuku menguruskan semua tangungan yang ada dibahu. Malah aku benar-benar yakin, Allah pasti akan memudahkan dan aku mesti terus berusaha.

Menunaikan Haji Tahun Ini Juga!



Itulah azamku! Menunaikan haji tahun ini juga! Kerinduanku sudah tidak dapat ditahan lagi. Duit dan lain-lain bukan lagi alasan dan halangan. Yang penting bagi aku ketika itu ialah mencari jalan untuk membolehkan aku menunaikan haji seperti yang aku harap-harapkan.


Kami mula mengintai cara dan peluang. Ada banyak cara, antaranya melalui muasasah atau pakej. Kami turut mendapatkan input dan nasihat daripada sahabat-sahabat yang telah bergelar "haji" dan "hajjah". Membaca buku, melayari internet dan macam-macam usaha untuk memastikan kami dapat menunaikan haji tahun ini juga.

Dalam kesibukan mendapatkan tempat untuk ke tanah suci. Aku juga telah memulakan beberapa langkah persediaan. Antaranya :

1. Melakukan senarai semak persediaan sebelum, ketika dan selepas menunaikan haji
2. Merancang kewangan, cuti, aktiviti dan kursus haji yang mesti disertai
3. Menyediakan diri, keluarga dan rakan-rakan sepejabat agar kelak apabila tiba masanya nanti tiada sebarang kejutan.

Begitulah serba sedikit persediaan awal yang aku lakukan. Namun aku sedar, perjalanan masih panjang. Usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh mesti dilakukan memandangkan masa untuk mencapai cita-cita tidak sampai 9 bulan lagi.

Aku terus membulatkan tekad, "Aku mesti menunaikan haji Tahun ini juga, insyaAllah". Bermula dengan tekad ini aku terus berusaha dan berdoa!

Bersambung insyaAllah....


Roha Hassan
Ahad - 13 Dec 2009

Wednesday, September 23, 2009

Doa Anak Yang Soleh Dan Solehah

Dalam surah Yunus ayat 4, Allah swt berfirman dengan maksud, "Hanya kepada Nyalah kamu semua akan kembali, sebagai janji yang benar daripada Allah, sesungguhnya Allah menciptakan makhluk pada permulaannya kemudian mengulanginya (menghidupkannya) kembali (sesudah bangkit) agar Dia memberi pembalasan kepada orang-orang yang beriman dan yang mengerjakan amal saleh dengan adil. Dan untuk orang-orang kafir disediakan minuman air yang panas dan azab yang pedih disebabkan kekafiran mereka."

Begitulah setiap kita akan menemui mati. Tiada yang terkecuali dan tiada yang boleh lari. Setiap makhluk ciptaan Ilahi akan mati dan diadili. Mati adalah mesti dan pasti. Cuma, kita yang sering takutkan mati. Tidak kurang juga manusia yang alpa tentang mati sehingga sanggup melakukan segala kemungkaran kerana lalai tentang mati dan pembalasan Ilahi. Berangan-angan dan berharap untuk tidak mati sehinggakan berusaha mencipta macam-macam ubat dan formula yang boleh melambatkan penuaan dan kematian.

Apabila kematian mengunjungi dan kita akhirnya tinggal sendiri dalam kubur yang hanya Allah mengetahui keadaannya. Bergantung pada amalan masing-masing. Kubur boleh menjadi tempat yang indah atau ngeri bergantung pada amalan dan rahmat Ilahi. Yang pasti setiap yang mati akan tinggal sendiri dalam liang lahad. Tiada yang menemani melainkan amalan, ilmu baik yang diajarkan ketika masih didunia serta doa tanpa henti oleh anak-anak yang soleh dan solehah.

Suami, isteri, anak-anak, sanak saudara, sahabat handai dan segala yang dimiliki akan ditinggalkan. Hanya tiga perkara tadi menjadi peneman sepi. Jika amal yang baik menemani, bahagialah kita. Kubur yang sempit menjadi luas dan diterangi. Jika amal yang buruk yang mengikuti, kubur yang sempit bertambah ngeri. Kegelapan dan ketakutan yang hanya Allah yang mengetahui sedang ular dan kala jengking serta segala yang menakutkan akan menyakitkan diri setiap hari.

Antara janji Allah adalah tentang tiga perkara yang tidak terhenti kebaikannya walaupun setelah kita mati ialah doa anak yang soleh dan solehah. Bukan berapa jumlah anak yang akan menjadi penawar buat ayah bonda yang masih hidup atau telah mati. Tapi berapa anak yang akan sentiasa sudi mendoakan kebaikan buat ayah bonda yang telah pergi mengadap Ilahi.

Sepertimana kita mengharapkan kelak anak-anak yang ditinggalkan terus-terusan berdoa untuk kita, begitu juga harapan ayah bonda atau mak abah atau ibu ayah yang telah terlebih dahulu dijemput oleh Allah. Adakah kita sering berdoa untuk ayah dan bonda samada yang masih hidup atau yang telah mati?

"Oh Tuhanku, kasihanilah kedua-dua ibu bapaku sebagaimana mereka mengasihi aku waktu kecil."

"Ya Allah, sampaikanlah seumpama pahala bacaanku kepada roh ibuku. Ya Allah, ampunilah dosanya, kasihani dan selamatkanlah dia dan maafkanlah kesalahannya, muliakanlah kedatangannya, lapangkanlah kuburnya, terimalah kebaikannya, hapuskanlah kesalahannya dengan rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih".

Aku selalu ingatkan pada diri. Walaupun setelah hampir sepuloh tahun bonda pergi mengadap Ilahi. Kubur bonda bukan hanya untuk dikunjungi setiap aidilfitri. Sebaliknya, batu nesan bonda pahatkan dihati agar kita akan sentiasa mengingati segala jasa dan pesanan bonda ketika dia masih hidup di muka bumi. Juga untuk kita ingati ada tanggungjawab yang perlu kita penuhi samada ketika bonda masih hidup atau setelah mati.

Sungguh kematian adalah satu peringatan. Mudah-mudahan dengan menziarahi kubur bonda, kami juga akan sentiasa mengingatkan mati. Ketika berdoa dikubur bonda, aku turut berharap satu hari nanti, jika aku mati, mudah-mudahan ada yang akan berdoa dan memohon rahmat untuk rohku. Alangkah pedih dan sedih jika punya anak yang ramai sedangkan seorangpun tidak pernah mendoakan kebaikan untuk kita ketika kita masih hidup atau setelah mati.

Buat kita yang belum atau tidak memiliki zuriat atau dikurniakan dengan anak-anak yang berkualiti, mudah-mudahan firman Allah swt dalam surah Al-Khaf ayat 46 yang bermaksud, "Harta dan anak-anak itu (adalah) perhiasan kehidupan dunia; tetapi amalan-amalan kebaikan yang kekal (manfaatnya di Akhirat) adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhan engkau serta lebih baik untuk menjadi harapan" ini menjadi penawar dan peringatan buat diri.

~Roha Hassan~

24 September 2009

Saturday, August 29, 2009

Nikmat Puasa, Cahaya Hidayah Bagi Saudara Baru


(petikan dari harakahdaily.net) Azamin Amin I Foto Shukri Mohd Sat Aug 29, 09 1:50:24 am MYT

KUALA LUMPUR, 29 Ogos: Walaupun baru memeluk agama Islam 26 hari lalu, dia mampu berpuasa penuh sejak Ramadan bermula. Ini merupakan pertama kali, tidak perit atau pedih malah baginya pengalaman menjalani ibadah itu cukup menyeronokkan!
Dia, Azman Yap Abdullah, 32 sentiasa tersenyum dan ceria. Tiada raut keletihan atau kerut di wajahnya. Sungguhpun agak malu-malu bercerita pada awalnya, tetapi bersemangat sekali mengungkap pengalaman berpuasa, satu-satu ibadah yang dijalankan tanpa banyak tanya. Sejak hari pertama sehingga kini, masih berpuasa tanpa tangguh. Tidak sekerat-sekerat atau separuh hari tetapi penuh, sehingga menjelang waktu berbuka.
“Saya tidak merasa susah, sakit ataupun pedih perut. Semuanya baik dan ianya cukup menyeronokkan!” Menceritakan pengalaman, kata Azman dia bersahur beberapa minit sebelum masuk waktu subuh hanya dengan menjamah beberapa biji kurma, seperti yang disunnah oleh Rasullulah s.a.w.
“Saya buka puasa pun makan kurma juga. Kemudian cari nasi atau makan di KFC. Ada masa saya berbuka dengan cornflakes atau coco crunch,” katanya sambil tersenyum lebar kepada kami.
Itu perasaan yang diluahkan Azman kepada Harakahdaily yang diberi peluang Allah SWT bertemu dengan insan yang mendapat cahaya hidayah 2 Ogos lalu, lalu mengucapkan kalimah syahadah di Hidayah Centre Pusat Komuniti Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dekat sini.

Dia mula mengenali agama indah ini sejak 3 bulan lalu, melalui sahabatnya yang juga merupakan saudara baru.Sahabatnya itu, turut menghadiahkan al-Quran terjemahan bahasa melayu untuk dia lebih mengenali dan memahami agama Allah itu.
“Saya baca terjemahan melayu sebab tak berapa pandai bahasa inggeris. Dari situ, saya mula percaya, bahawa agama Islam ini adalah agama yang baik,”jelasnya dengan tenang.
Masih bertatih dan belajar, dia mengakui baru solat hanya sekali sahaja tetapi terus mendapat bimbingan dua orang ustaz daripada JIM dikenali sebagai Johan dan Abdul Rahim.
Azman merupakan seorang guru tuisyen sepenuh masa, sejak sembilan tahun lalu. Dia mengajar Bahasa Melayu, Mandarin dan Sains untuk pelajar sekolah rendah di Jalan Klang Lama.
Lelaki berketurunan Cina ini masih bujang dan agak segan untuk ditemubual pada mulanya, tetapi kemudian menjadi teman mesra kepada kami berdua dari Harakahdaily. Katanya dia masih menyembunyikan keIslamannya daripada ibunya untuk sementara waktu kerana tahu akan reaksi negatif yang bakal diterima.
“Lambat laun, saya akan beritahu juga…cuma perlahan-lahanlah. Tak mau mak saya marah…”katanya masih tersenyum dengan sinar cahaya di wajahnya.
Ditanya tentang tip kuat semangat untuk berpuasa dan petua untuk orang yang punya ‘banyak alasan’ untuk culas melakukan ibadah itu, Azman menjawab ringkas tetapi tajam.
“Di belakang rumah kami, ada juga orang Islam makan di restoran Cina waktu bulan puasa. Bagi saya, hati mesti baik dan jangan lupa, Tuhan ada tengok kita.”
Setelah berkongsi rasa dengan Azman, kami beralih pula kepada Siti Aisyah Tresa, 38 yang memeluk agama Islam sejak 1993 di Melaka. . Sambil matanya mula berkaca, hampir tumpah air mata, Siti menceritakan detik-detik awal mula menyintai dan menaruh minat kepada agama Islam.
“Saya bekerja kilang dan tinggal di asrama di Johor. Ketika itu saya begitu tertarik melihat kawan sebilik yang sentiasa mengerjakan sembahyang.
“Tiap kali waktu azan, dia akan terus bersiap-siap untuk sembahyang. Saya tengok dia sembahyang, buat hati saya cukup tenang dan saya jadi minat sangat untuk tahu agama kawan saya itu,”kata Siti.
Katanya kerana terlalu minat, adakala bila di kampung, dia akan sembahyang sendiri-sendiri meniru gerak gaya kawannya itu.
Namun, setelah masuk agama Islam, cabaran hebat diterima apabila ditentang hebat oleh kaum keluarga yang masih menganut Kristian. Selama hampir enam tahun, dia melalui tekanan dan asakan hebat. Tetapi selama itu jugalah, dia tabahkan hati dan tidak terputus hubungan dengan kaum keluarga malah secara rutin, setiap sebulan sekali akan pulang ke kampungnya di Kg Layang-Layang, Johor.

“Selama enam tahun, biar apa pun keluarga buat dan beri tekanan, saya cekalkan hati balik juga bertemu mereka sebulan sekali…

“Alhamdulillah, kini mereka sudah boleh menerima saya dan hubungan masih baik seperti sediakala. Syukur kepada tuhan,” katanya cuba menahan sebak

Kini Siti yang mempunyai dua cahaya mata bahagia bersama suami dikasihi, Khaidir Maidin dan merindui sahabatnya Zainab yang rajin solat itu, yang kini sudah terputus hubungan sejak sekian lamanya.

Siti memberitahu, pengalaman berpuasa bukanlah sesuatu yang asing dan menjalani seperti biasa sama seperti umat Islam yang lain.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa saudara baru sepertinya, sering diabaikan kebajikan dan disisihkan daripada masyarakat Islam.

“Saya sentiasa rasa diperlukan. Tak pernah saudara seagama menyisih saya malah merekalah yang banyak membantu tatkala saya menghadapi kesulitan.

Sebelum mengakhiri perbualan, Siti sempat menyuntik semangat kepada rakan-rakan saudara baru baik yang sudah lama atau yang masih baru memeluk agama Islam agar terus istiqamah bersama agama tercinta ini.

“Walau apa pun berlaku, teruslah bersama agama Islam. Percayalah, setiap kesusahan yang dihadapi, ada jalan penyelesaian yang diberikan oleh Allah…percayalah, saya juga pernah melaluinya…,”tersenyum mengucapkan terima kasih kepada Harakahdaily.

Turut mencuri perhatian ialah seorang saudara baru yang berasal daripada Afnka yng dikenali sebagai Hilal Abdullah, bakal melanjutkan pelajaran di Kanada dalam masa terdekat.

Cuma kisah pilu Hilal yang berasal dari satu kawasan bernama Brundi,ialah kedua-dua ibu bapanya mati dibunuh kerana berhasrat memeluk agama Islam.

Sebenarnya insan-insan bertuah ini antara 11 orang saudara baru yang kami temui di Hidayah Centre, Pusat Komuniti JIM, petang semalam.
Hidayah Centre adalah sebuah institusi di bawah JIM yang ditubuhkan sejak 2005, berperanan sebagai pusat sokongan kepada saudara baru membawa tema hidayah yang menarik perhatian iaitu “Saudara baru, Saudara Kita”
Objektif penubuhannya adalah untuk memberi penempatan sementara serta memberi bimbingan dalam bentuk kelas-kelas pengajian dan khidmat nasihat.
Semalam, Hidayah Centre mengadakan sidang media Majlis Pelancaran Buka Puasa yang dihadiri saudara-saudara baru yang kelihatan begitu ceria tetapi malu-malu dan tersipu bilamana lensa kamera menyorot wajah bercahaya mereka.
Sebelum sidang media dimulakan oleh jurucakap Hidayah Centre, Joannes Lukas yang juga seorang saudara baru, majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada saudara-saudara baru yang hadir.
Ketika ditanya tentang aduan, masalah dan antara kekangan yang dihadapi oleh saudara baru, Joannes menjelaskan ianya terbahagi kepada beberapa perkara antara yang utama ialah ancaman daripada keluarga dan ketiadaan pekerjaan.

“Bila ada ancaman, maka kita berusaha sediakan penempatan dan penginapan sementara kepada mereka.

“Bagi yang tiada pekerjaan kerana terpaksa berpindah atau disishkan, kita mempunyai jaringan dengan NGO Islam dan syarikat yang bersedia memberi peluang pekerjaan bagi saudara baru ini,”katanya.

Setakat ini Hidayah Centre telah beroperasi di 14 cawangan di sembilan buah negeri manakala sejumlah 432 saudara baru yang berdaftar dengan pusat ini.

Bagi meneruskan pengoperasian dan untuk memberi bantuan kepada saudara-saudara baru, Hidayah Care akan menganjurkan Program Majlis Berbuka Puasa pada 12 September ini, di Putrajaya.

Menurut Pengarah Program Nasiruddin Tahir majlis itu bertujuan bagi mengutip dana melalui tajaan meja makan ataupun sumbangan syarikat, kumpulan atau individu yang berasa terpanggil untuk membantu saudara baru.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Joannes Lukas atau Rosmawati Zainal di 03-41053159 atau 03-41089669.

Moga sudi membantu dan meringankan beban saudara baru yang juga saudara kita.

Friday, August 28, 2009

Ramadhan - Bulan Melakukan Kebaikan - (1)

Assalamualaikum wbt...

Hari ini merupakan hari kelapan kita berpuasa. Itupun jika dipanjangkan usia dan sempat pula kita berbuka, berterawih, qiyamulail, tadarrus dan beramal sebanyak yang mungkin.

Ramadhan memang bulan penuh kebaikan yang sewajarnya dipenuhkan dengan amal kebaikan juga. Adakah amal kebaikan cukup dengan amalan yang wajib dan sunat seperti yang disebut sebelum ini. Adakah yang wajib itu sekadar berpuasa, solat, taddarus dan lain-lain seperti yang disebutkan diatas.

Sebab itu mari kita renungkan, sudahkah kita menjadikan Ramadhan ini bulan untuk melakukan segala amal kebaikan.

1. Akhlak kita - Adakah akhlak kita lebih baik pada bulan ramadhan berbanding pada bulan-bulan yang lain. Yang suka menyakitkan hati ibubapa, sudah mulai berlembut dan bersopan dengan ibubapa sepanjang ramadhan. Yang suka menyakitkan hati sesama teman, sudah membaiki hubungi sesama insan. Yang suka membuli, masihkah jadi pembuli. Yang suka cakap kotor-kotor, adakah sudah insaf dan bertambah baik budi bahasanya. Yang suka menghina dan mencerca orang lain, sudahkah belajar memuji dan melihat kebaikan orang lain. Yang suka mengumpat, sudahkan berhenti mengumpat dan memanfaatkan mulut yang cantik untuk menyampaikan kebaikan, amar maaruf nahi mungkar.



2. Pakaian Kita - Ketika melihat persekitaran, mata ini masih melihat susuk tubuh wanita yang tidak menutup auratnya. Bertawaf di sekeliling pasar Ramadhan tanpa rasa segan dan silu. Ada juga yang menutup kepala masing-masing dengan tudung jarang yang sebenarnya lebih baik tidak dipakai sebab tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada yang memakai kerana pakaiannya yang jarang dan ketat. Ramadhan bulan yang penuh kebaikan untuk lelaki dan wanita yang menyempurnakan kesempatan ini untuk mengutip pahala. Menutup aurat memanglah bukan tuntutan untuk bulan Ramadhan semata-mata. Ia tuntutan bagi setiap lelaki dan wanita yang sudah baligh dengan mereka yang bukan muhrim masing-masing. Namun jika bulan Ramadhan yang mana para iblis dan syaitan dipenjarakan pun kita tidak dapat menutup aurat mengikut al-quran dan as-sunnah. Bilakah lagi kita boleh dan mampu memenuhi tuntutan ini.

3. Makanan Kita - Apakah makanan yang kita makan di bulan Ramadhan adalah lebih baik dari bulan-bulan sebelum ini. Adakah kita makan dari makanan yang halal. Adakah kita pentingkan kebersihan makanan yang kita makan untuk berbuka dan bersahur. Apakah makanan yang menyihatkan menjadi sesuatu yang utama untuk kita. Namun persoalannya adakah semua yang disebutkan ini berlaku atau kita masih tetap sama seperti sebelum ini. Memakan dari rezeki yang tidak halal melalui rasuah atau kerja-kerja kotor yang lain. Makan atau "bantai" sahaja apa-apa makanan yang ada di depan mata kita tanpa mengira kebersihan dan kesuciannya atau kita abaikan saja bab makanan berzat sebab dengan berpuasa sudah cukup untuk menyihatkan badan kita. Tidak kurang pula yang menyimpan niat, berpuasa untuk menguruskan badan. Rugilah bagi kita yang tidak mengisi perut dengan makanan yang halal, suci dan menyihatkan di bulan Ramadhan sedangkan ini tempoh terbaik memberikan keseimbangan dan kerehatan sewajarnya kepada badan.


..............Bersambung insyaAllah.

Ramadhan Kareem!


Roha Hassan

Tuesday, July 28, 2009

Wacana Wanita Tanpa Suami : Senario Hari Ini

”Kita tidak mampu mengubah peristiwa masa lalu atau membuat masa depan dengan gambaran yang kita kehendaki. Lantas kenapa kita menghancurkan diri kita sendiri dengan bersedih hati untuk sesuatu yang pasti tidak bisa kita ubah.”
– Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni-

Perangkaan pada tahun 1989 menunjukkan, Malaysia mempunyai 600,000 wanita yang berumur sekitar 30 hingga 34 tahun yang masih belum berumahtangga. (petikan dari buku ”Andartu: Penyelesaian Menurut Pandangan Islam” oleh Fauziah Mohammad)


Terkini
Perangkaan Banci Penduduk dan Perumahan 2000 yang dipetik daripada laman web IKIM menunjukkan:

Pertama:
Statistik umur minimum perkahwinan yang semakin meningkat dari masa ke semasa seperti berikut:
a. Tahun 1980 26.2 tahun bagi lelaki dan 23.5 tahun bagi wanita
b. Tahun 1991 28.2 tahun bagi lelaki dan 24.7 tahun bagi wanita
c. Tahun 2000 28.6 tahun bagi lelaki dan 25 tahun bagi wanita


Mentaliti Orang Kita

”(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu.” (Surah al-Hadid [57] : 23)

Istilah andartu (anak dara tua) ataupun istilah yang dimodenkan iaitu andalusia (anak dara lanjut usia) adalah istilah biasa pada masa ini. Istilah ini bukan sekadar diucapkan oleh mana-mana ahli masyarakat, tetapi turut disenaraikan di dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.

Gelaran Yang Kurang Menyenangkan, Tetapi Sudah Menjadi Kebiasaan
Andalusia (Anak Dara Lanjut Usia), Andartu (Anak Dara Tua), Janda Berhias, Janda Meletup dan lain-lain lagi adalah gelaran yang kurang menyenangkan. Ada masanya ia memberikan tekanan.

Sudahlah mereka menerima ujian dengan keadaan yang mereka miliki. Masyarakat sekeliling pula seakan-akan tidak mengerti dan memahami kerana membiasakan bibir dan minda dengan gelaran-gelaran seumpama ini.

Lelucon dan Sindiran

Lelucon yang berlebihan dan sindiran yang menyakitkan telinga memberikan kesan pada mental, spiritual dan emosi seperti, ”Itulah memilih sangat”, ”Patutlah tidak berlaki”, ”Bila kamu mahu berkahwin”, “Apa-apa pun, kamu jangan jadi perampas suami orang”, “Kamu kena mandi bunga agaknya”, “Kucing pun sudah bertanduk, kamu tidak juga berkahwin”, ”Kalau susah-susah sangat, kamu pinang sahaja aku jadi suami kamu” dan lain-lain lagi.

Bukan semua insan yang berada dalam situasi ini rasa terhibur dan turut ketawa dengan gurauan seumpama ini. Kadang kala, ada yang mampu mengalirkan air mata dan bertindak agresif.

Biasanya, salah seorang sahabat kami menangis teresak-esak apabila diusik begini. Tidak kurang yang tertekan dan terhimpit. Walaupun ada insan yang tidak kisah. Gurau senda seumpama ini bukan ucapan alu-aluan yang sesuai dan diharapkan oleh semua orang.


Andaian dan Tohmahan

Masyarakat kita juga kaya dengan andaian dan tohmahan yang tidak berasas pada golongan yang lambat berkahwin sebagai tidak berkat ataupun tidak laku. Manakala golongan ibu tunggal pula sebgai ’tidak pandai menjaga suami’, ’pembawa sial’ dan sebagainya.



Mudah Melakukan Maksiat dan Dosa

Masyarakat juga mengaitkan golongan ini dengan maksiat secara membuta tuli. Kononnya berasaskan ajaran islam, insan yang tidak berkahwin lebih mudah melakukan perbuatan yang menghampiri zina atau berzina dan sebagainya. Padahal konsep sebenar yang ingin diketengahkan oleh ajaran islam adalah menggalakkan umatnya berkahwin bagi mengelakkan diri daripada terlibat dengan zina dan lain-lain.

Walaupun kita tidak menafikan terdapat golongan ini yang terjebak dengan pelbagai maksiat dan dosa, namun punca utamanya bukan disebabkan oleh status mereka.

Dunia hari ini menyaksikan kadar dosa dan maksiat dilakukan oleh remaja seawal usia sembilan (9) tahun yang berzina dan golongan tua sehingga lapan puluh (80) tahun yang merogol cucu sendiri. Tidak kurang juga, cinta terlarang antara orang yang sudah bersuami ataupun beristeri.


Pahala dan Rahmat Allah

Ada dakwaan yang menyatakan wanita yang berumahtangga lebih mudah mengumpul pahala. Ini kerana setiap kebaikan yang dilakukan untuk suami dan anak-anak mendapat pahala, sedangkan wanita yang belum berumahtangga tidak ada peluang seumpama ini.

Kita tidak menafikan, wanita yang berumahtangga memiliki lebih banyak ruang dan peluang bagi mengumpul pahala. Namun, kita perlu ingat Allah maha adil terhadap semua makhlukNya. Yang menjadi ukuran di sisi Allah adalah iman dan takwa hamba-hambaNya.

Allah menyatakan dalam surah Ali Imran [3] ayat 139 yang bermaksud, ”Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”

Rahmat Allah terlalu luas. Tidak terbatas pada segolongan hamba sahaja. Hayati hadis Rasulullah SAW yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, ”Sesungguhnya rahmatKu lebih luas daripada murkaKu.”


Menangguk di Air Keruh

Banyak pihak yang mengambil kesempatan dengan pelbagai cara terhadap sekelompok golongan ini yang terdesak untuk berumahtangga ataupun memerlukan perlindungan dan kasih sayang.

Apatah lagi, jika mereka berpangkat dan berharta. Kalau ada paras rupa yang cantik dan pandai bergaya, semakin ramai yang menggoda.



Kurang Sokongan

Berkaitan dengan sokongan, ia diberikan kepada beberapa kategori iaitu:

i. Sokongan ibu bapa dan keluarga: Sokongan ini penting dan utama. Tanpa sokongan daripada ibu bapa dan keluarga, wanita-wanita ini pasti berasa tertekan. Lebih-lebih lagi apabila ibu bapa dan keluarga sering mendesak supaya anak-anak perempuan mereka berkahwin serta merta.



i. Rakan-rakan: Selain daripada keluarga, rakan adalah kelompok kedua terhampir dengan kita. Rakan dapat menjadi tempat yang kukuh sebagai sokongan. Namun, boleh juga menjadi punca robohnya keyakinan. Oleh itu, peranan dan kefahaman daripada rakan atau teman diperlukan. Sepatutnya, rakan-rakan dapat menjadi tempat mengadu.

Namun, keadaan menjadi rumit apabila ramai kawan yang tidak mengerti berbanding yang mahu memahami. Tambah menyakitkan apabila ada kawan yang busuk hati dan membuat tuduhan melulu.

i. Masyarakat sekeliling: Ia termasuk jiran-jiran, teman sekerja, media, pihak-pihak berwajib dan seluruh ahli masyarakat. Sikap golongan yang berada di sekeliling kita pasti memberikan kesan. Pandangan dan sikap positif pasti melahirkan suasana positif. Namun, jika pandangan dan sikap terhadap golongan ini negatif, pasti suasana dan sikap negatif ini mewujudkan suasana yang menekan jiwa.
Mentaliti Orang Kita Perlu Diubah

Bersangka baik dan menerima wanita-wanita ini seadanya adalah perkara yang amat dihargai. Lebih wajar dan munasabah jika kita menghulurkan bantuan kepada golongan ini. Ada antara mereka yang bahagia dan berjaya dalam pelbagai perkara. Ada pula yang mundur, hidup miskin dan terpencil. Lebih teruk apabila ada tanggungan sama ada ibu bapa, adik-beradik ataupun anak-anak.

Bagi mereka yang berada dalam situasi ini, bukan sahaja memerlukan sokongan emosi. Malah, memerlukan bantuan lain seperti wang ringgit dan harta benda.

Teringat aku pada keluhan teman berkenaan anak lelakinya yang semakin membesar. Dia berasa agak sukar mahu mendidik anak lelaki sulungnya melaksanakan sembahyang Jumaat. Siapakah yang dapat menemaninya? Mahu diminta bantuan suami jiran, takut disalahertikan. Maklumlah IT (Ibu Tunggal). Apabila jiran dan masyarakat sekeliling lebih prihatin, hal seumpama ini tidak berlaku.

Ini belum termasuk hal-hal lain. Oleh itu, fikir-fikirkan sikap anda kepada wanita-wanita ini. Anda perlu tahu ia patut dibetulkan.















~ Roha Hassan~

Friday, July 17, 2009

Wacana Wanita Tanpa Suami : Khas Untuk Mu




Hidup ini adalah realiti yang perlu dihadapi. Sendiri tidak bererti sepi.

Bukan bererti cacat jika tidak bergelar isteri.

Bukan bererti kurang kalau tidak dipanggil ibu.


Mereka juga isteri-isteri yang setia. Yang berpisah dengan suami akibat sikap tidak adil sesetengah manusia.

Berpisah dengan suami demi kehidupan dan perjuangan.

Berpisah oleh kematian dan perceraian.

Namun amanah dan tanggungjawab yang ditinggalkan oleh suami dilaksanakan sebaik mungkin.

Mereka punyai misi dan visi

Mereka sentiasa bermotivasi

Mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran

Mereka bijak dan bekerjaya

Mereka juga pejuang dan pendakwah.

Ramai daripada mereka yang ceria dan bahagia kerana kebahagiaan milik semua insan yang berusaha mencari dan mempercayainya.

Ramai juga yang dikurniakan ketenangan dan kekayaan jiwa.

-Petikan Buku Dunia Tanpa Suami 1-

Kepada semua. Kami bawakan:

Wacana Wanita Tanpa Suami:
Cabaran, Peranan dan Sumbangan kepada Masyarakat

Pada
26 Julai 2009 (Ahad)

Pukul
8.00 pagi-5.00 petang

Di
Auditorium A, Kuliyyah Engineering, UIA Gombak

Kepada semua
Yang masih solo @
Ibu tunggal @
Isteri yang suaminya ditahan di penjara / pusat tahanan


KEUTAMAAN PENYERTAAN ADALAH KEPADA ANDA!!!!
Jadi jangan lepaskan peluang untuk menyertainya. Tiada bayaran dikenakan

Aktiviti menarik untuk semua!!!! Kita ada::

Sesi Forum Wanita Tanpa Suami: Bukan Golongan Terpinggir
Sesi Perkongsian Dunia Tanpa Suami: Bangkit dari Kejatuhan
Tayangan Multimedia Dunia Tanpa Suami
Persembahan Nasyid
Gerai Jualan
Pameran
Pemeriksaan Kesihatan
Cabutan hadiah
Doorgift untuk semua peserta

Kepada yang berminat, daftarkan diri anda segera!!!!

Hubungi:
Roha Hassan: 012-4317948
Nazirah: 03-41073379/ 019-5053008
Email:
wjim@pd.jaring. my

Sunday, June 28, 2009

Adakah Kita Terlalu Sibuk Hingga Sukar Untuk Tersenyum


Terkadang kita merasakan kitalah orang yang paling sibuk. Terkadang kita rasa tidak pernah cukup masa. Terkadang kita rasa jadual kitalah yang paling padat.

Lebih kritikal lagi bila kesibukan kita menjadikan kita ”stress” tidak tentu hala. Kepadatan jadual kita pula buat kita lupa pada hak keluarga dan insan sekeliling kita. Bertambah teruk andai semua kesibukan dan kepadatan jadual hidup kita jadikan kita serius memanjang. Senyuman dan gurau senda jadi asing buat kita.

Kalau tanda-tanda di atas ini sudah ada pada diri kita, maka renungkanlah mutiara kata ini, ”Hiasi kehidupan ini dengan gurau senda kerana ia melambangkan kehidupan yang harmoni”.

Dalam persoalan begini, anjang punya pandangan dan cara sendiri. Bagi anjang keseimbangan dalam kehidupan wajib dimiliki. Mesti ada masa untuk Tuhan, diri, pelajaran, kerjaya, keluarga, rakan-rakan dan ahli masyarakat.

Anjang teringat Mutiara kata yang anjang pernah baca dan kongsi dengan rakan-rakan iaitu,
”Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.”
Anjang amalkan beberapa tips dalam hidup anjang. Demi menuju ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat, anjang ingin kongsi beberapa tips tersebut dengan para remaja dan belia yang dikasihi;

Hidup perlukan keseimbangan – Keseimbangan dari segenap sudut. Walaupun keseimbangan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai, namun usaha ke arah itu amat penting. Dalam mengisi waktu yang dikurniakan oleh Allah sebanyak 24 jam ini, kita harus bijak memanfaatkan setiap detik dan saat yang dikurniakan! Pembahagian masa kita mestilah mengambil kira segala kepentingan yang ada. Antaranya pelajaran, kerjaya, keluarga, ibu bapa, rakan-rakan, masyarakat dan alam. Jika kita melebihkan satu tanggungjawab dan mengabaikan tanggungjawab yang lain, hidup kita akan haru biru. Walaupun cemerlang dalam satu perkara, tetapi mengabaikan perkara penting yang lain. Kita tetap akan merasa kekurangan.

Masa kita untuk apa dan siapa? – Seperti yang disebutkan sebelum ini, kita semua dikurniakan 24 jam. Tidak ada mana-mana insan dikurniakan masa melebihi atau kurang dari 24 jam. Kita semua dikurniakan 24 jam sahaja. Cuma bagaimana kita membahagikan masa tersebut. Berapa jam untuk belajar. Manakala yang sudah berkerjaya, berapa jam untuk kerjaya dan mencari rezeki. Berapa jam untuk keluarga. Berapa jam untuk hiburan. Berapa jam untuk riadah dan rekreasi. Berapa jam untuk berbakti pada masyarakat. Berapa jam untuk bersosial dan menyambung silaturrahim. Berapa jam untuk membaca buku untuk menambahkan ilmu. Berapa jam untuk bermesra dengan alam. Berapa jam pula untuk membeli belah atau melancong. Semuanya kita yang menguruskannya sendiri.

Hidupku, matiku, ibadahku hanyalah untuk Tuhan pemilik semesta alam – barangkali ada antara kita akan bertanya, berapa jam pula untuk Allah. Setiap kali bila bersolat, kita pasti berikrar, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Tuhan pemilik sekalian alam”. Sebenarnya setiap perkara yang kita lakukan sepanjang hidup kita adalah ibadah selagi kita memenuhi syarat-syaratnya. Adalah kurang tepat jika kita nyatakan bahawa mengenal dan mengingati Allah hanyalah melalui solat Lima waktu atau ibadah itu sekadar berpuasa. Padahal Islam adalah “The way of life”, maka adakanlah setiap perbuatan kita sebagai ibadah dengan melaksanakannya mengikut peraturan dan syarat yang telah digariskan.

Menentukan keutamaan – satu lagi tips penting ialah menentukan keutamaan. Kita harus bijak menentukan siapa dan apa keutamaan kita dalam satu-satu waktu tertentu. Contohnya jika sudah hampir dengan peperiksaan, fokus utama kita tentulah kepada pelajaran. Manakala jika ketika khusuk membaca buku atau bekerja, waktu solat lima waktu tiba, yang wajib dan utama ketika itu adalah solat. Dan begitulah seterusnya. Kegagalan menentukan keutamaan merupakan salah satu punca kegagalan kita dalam mencari keseimbangan.
Setelah berusaha, bertawakal – Selepas kita berusaha bersungguh-sungguh untuk membahagikan masa dan menentukan keutamaan, kita bertawakallah kepada Allah. Kadang-kadang ada antara kita yang merasakan telah menguruskan masa yang terbaik untuk setiap perkara, tapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Bagi orang-orang berusaha dan bertawakkal, mereka tidak akan mudah berputus asa terhadap rahmat Allah. Kejayaan akan dianggap sebagai nikmat dan ujian. Sedang kegagalan akan diterima sebagai ujian dan cabaran. Kedua-duanya hadiah dari Allah dalam bentuk yang berbeza.


Disediakan oleh : Roha Hassan @ Anjang