Saturday, March 6, 2010

Diari Seorang Tetamu Allah (04) – Pentingnya Teman Yang Setia

Assalamualaikum wbt...
“Ya Allah kurniakan teman yang lebih baik supaya aku dapat memberikan tumpuan terbaik ketika beribadah di Tanah Suci Mu” . Begitulah doa saya ketika berada di tanah suci.


Pergi ke Tanah suci seorang diri tanpa ditemani oleh sesiapa yang benar-benar ada talian atau ikatan dengan kita sememangnya susah. Tetapi ia bukan halangan. Saya sudah mengalaminya, hinggalah saya membacakan doa di atas.

AlhamdulilLah, Allah mengurniakan teman yang baik selepas sedikit kesukaran yang saya alami dengan sahabat yang saya kenal sejak di Malaysia lagi. Mereka orang-orang baik, cuma saya memerlukan teman yang lebih baik ketika berada di Tanah Suci. AlhamdulilLah saya telah ditemukan dengan ramai teman yang banyak membantu. Paling tidak dilupakan jasa Sarina, Kak Rus dan Abang Raof.

Sebenarnya ada ramai lagi, namun mereka bertiga lah yang paling banyak membantu dan menghabiskan masa bersama saya. Terima kasih wahai sahabat dan teman tidak kiralah apa sumbangan yang diberikan sebelum, ketika dan setelah pulang ke Tanah suci.

Setiap bantuan dalam bentuk wang, nasihat, bantuan walaupun sedikit amat saya hargai. Untuk yang menyakiti, melukakan dan menyusahkan diri ini tidak kira dimanapun berada dan atas alasan apa, anda telah dimaafkan!

Pada dasarnya, kita sering menjadikan wang, masa, ilmu dan muhrim sebagai perkara asas untuk menunaikan ibadah haji. Memang benar, ketiga-tiga elemen ini sangat penting. Namun ada perkara lain yang tidak kurang pentingnya iaitu teman.

Teman ialah orang yang akan bersama-sama dengan kita sepanjang masa kita berada di tanah suci.


Ada beberapa senario yang ingin dikongsikan tentang teman. Semua ini boleh dilihat ketika kita berada di Tanah Suci.

1. Senario pertama – suami dan isteri saling menjadi teman atau sahabat antara satu sama lain. Namun bila di tanah suci tidak kurang pula pasangan suami isteri yang ”berperang” kerana peristiwa yang kecil. Tidak kurang pula yang saling berkecil hati sebab hal-hal yang kecil contohnya tidak naik bas bersama dari Padang Arafah ke Mina atau dari Mina kembali ke hotel. Atau naik bas yang berlainan ketika aktiviti ziarah.
2. Senario kedua – anak-anak peneman ibu bapa. Menemani ibu atau bapa apatah lagi kedua-duanya menunaikan ibadah haji adalah tugasan yang mulia. Namun melebihkan isteri atau suami kadangkala mengguris hati ibubapa yang sebenarnya perlukan teman dan lebih banyak masa untuk ditemani. Banyak kali kami melihat lelehan airmata ibu yang ditinggalkan oleh anak.
3. Senario ketiga – adik beradik sepatutnya menjadi teman/sahabat antara satu sama lain. Semakin kukuh ikatan kekeluargaan, sepatutnya bertambah keinginan dan kesungguhan saling menemani dalam menunaikan ibadah sepangjang masa di tanah suci. Namun di Tanah Suci, ada adik beradik seakan tidak mengenali antara satu sama lain.
4. Senario keempat – geng bujang atau yang belum berumahtangga atau ibu tunggal juga memerlukan teman seperti orang lain. Namun banyak sekali peristiwa yang menyedihkan berlaku di tanah suci. Seringkali orang yang belum berumahtangga atau ibu tunggal diabaikan oleh rakan, teman atau sahabat ketika di tanah suci.


Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kepentingan dan keperluan teman, mari kita hayati nasihat oleh Lukmanul Hakim dan Iman al-Ghazali seperti berikut.

Antara pesanan Luqmanul Hakim kepada anakandanya berkaitan dengan teman ialah, "Puteraku, janganlah kamu meninggalkan temanmu yang pertama. Sekiranya itu kamu lakukan maka temanmu yang kedua tidak tenang berteman denganmu. Puteraku, carilah seribu teman, kerana seribu teman itu terasa sedikit. Janganlah kamu mencari seorang musuh sahaja, kerana seorang musuh itu sudah terasa banyak.”

Daripada pesanan ini mengertilah kita betapa pentingnya hidup berteman. Memiliki teman adalah lebih baik berbanding dengan mereka yang hidup berseorangan. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh pula menafikan bahawa terdapat kawan yang menyusahkan kawan.

Dalam bab kawan menyusahkan kawan ini, Luqmanul Hakim memberikan pesanan ini kepada anakandanya, “Puteraku, jauhilah teman yang jahat kerana teman yang jahat ibarat pedang yang terhunus. Bentuknya membuatmu kagum namun bekas (luka yang disebabkannya) sangatlah buruk.”

Memang berbeza sekali bandingan antara teman yang baik dengan teman yang jahat. Teman yang baik tidak akan mengkhianati dan menyakiti kita. Sebaliknya teman yang jahat atau tidak baik memang mampu menghancurkan kita. Sebab itulah kita memerlukan serba sedikit panduan untuk mencari teman yang baik.





Dalam bukunya, Ihya’ Ulumuddin atau Bimbingan Mukminin, Imam al-Ghazali menulis pesanan berikut sebagai panduan untuk kita memilih kawan atau sahabat.

Menurut al-Ghazali, Alqamah berpesan kepada puteranya, katanya: “Wahai anakku! Kiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

1. Jika engkau membuat bakti kepadanya, dia akan melindungimu

2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu.

3. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, dia akan membantumu.

4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.

5. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, dia akan menghargai dan menyebut kebaikanmu.

6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, dia akan menutupnya.

7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya.

8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu untuk meminta), dia akan menanyakan kesusahanmu.

9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).

10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkanmu.

11. Jika engkau merancang sesuatu, nescaya dia akan membantumu.

12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.



Manakala Abu Sulaiman ad-Darani pula berpesan: Jangan sekali-kali engkau bersahabat melainkan dengan salah seorang daripada dua orang berikut:

1. Orang yang engkau berasa senang dengannya dalam menguruskan hal-ehwal keduniaan.

2. Orang yang engkau dapat menambah faedah dan manfaat dalam hal-ehwal keakhiratan.



Di Tanah Suci, teman yang kita kenal di Tanahair bagaikan orang yang tidak dikenal. Itulah ujian namanya. Namun ada pula "orang asing" tiba-tiba menjadi teman. Itulah kurnian dari Tuhan. Apa-apapun berdoalah di depan Kaabah bila di Tanah Suci agar kita dikurniakan teman yang mampu mengukuhkan lagi hubungan kita dengan Allah.


~Roha Hassan~

No comments: