Namun, sejauh manakah kasih kita kepada RasululLah saw? Hanya Allah yang tahu. RasululLah saw telah meninggalkan dua perkara yang dijanjikan dapat menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat kepada pengamalnya. Dua perkara tersebut ialah, "Al-Quran dan As-sunnah".
Saya hanyalah insan biasa yang berazam untuk melaksanakan sebanyak mungkin panduan baginda insyaAllah. Oleh itu, saya kongsikan apa yang saya pelajari daripada salah satu hadis baginda saw.
RasululLah saw bersabda,
Mafhum Hadith Rasulullah SAW :
`Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara yang lain : keadaan hidupmu sebelum datangnya mautmu, keadaan kamu lapang sebelum kamu didatangi kesibukan, keadaanmu berada dalam kekayaan sebelum datangnya kemiskinan, keadaan mudamu sebelum datangnya tuamu dan keadaan sihatmu sebelum datangnya keadaan sakitmu.’
Berapa banyakkah wang yang kita belanjakan demi kesihatan? Berapa banyak pula masa yang kita peruntukkan untuk kesihatan? Berapa banyak pula usaha kita untuk memastikan kita sentiasa sihat?
Jawapannya pasti berbeza antara satu sama lain.
Mungkin ada yang berpandangan, kesihatan adalah sesuatu yang susah untuk diukur. Ada setengah orang nampak "sihat" tapi sebenarnya "sakit". Ada pula yang kelihatan "sakit" tapi sebenarnya "sihat".
Apapun pandangan kita, kesihatan adalah sesuatu yang boleh dijaga, diramal dan diukur. Teknologi hari ini memungkinkan kita melakukan beberapa amalan pencegahan dalam mengekalkan kesihatan. Sesungguhnya tiada penyakit yang tidak boleh diubati kecuali tua dan mati.
Namun dalam persoalan kesihatan ini, ada beberapa perkara yang tidak boleh kita nafikan iaitu;
1. Sihat itu nikmat. Hayatilah hadis RasululLah saw yang saya kepilkan diatas. Betapa RasululLah telah mengingatkan betapa pentingnya kesihatan. Bila kita sihat, mudah untuk beramal. Bila kita sihat mudah mencari rezeki. Bila kita sihat mudah untuk kita melakukan amar maaruf nahi mungkar. Sayang sekali, ramai diantara kita tidak menyedari bahawa sihat itu satu nikmat hinggalah kita jatuh sakit!
2. Setiap nikmat perlu dijaga. Yang dinamakan nikmat itu adalah satu anugerah. Maka jagalah ia. Namun berapa ramai diantara kita yang menjaga kesihatan? Atau kita biarkan sahaja masa, keadaan dan alam yang menentukan. Bagi kita selagi kita boleh bernafas dan setiap anggota tubuh kita berfungsi dengan baik, kita sudah anggap diri kita sihat.
3. Bila kita kata kesihatan itu satu nikmat, bersyukurlah. Bersyukur perlu dilafazkan dan dijelmakan dengan perbuatan. Bukan sekadar bisikan dalam hati. Sebagai tanda kesyukuran diatas tubuh yang sihat, kita menjaga "kebajikan" tubuh kita secara fizikal, mental, emosi dan spiritual. Atas dasar syukur tubuh yang sihat tidak boleh digunakan untuk apa-apa perkara dan tujuan yang merupakan penderhakaan kepada yang Maha Pemberi kesihatan itu, yakni Allah. Tubuh yang sihat adalah untuk berbakti kepada Tuhan, insan dan alam. Bukan sebaliknya.
4. Melaburlah Demi Kesihatan. Pelaburan demi kesihatan bukanlah sesuatu yang merugikan. Memang benar jika kita berbelanja untuk kesihatan, kita tidak akan menikmati hasilnya dalam bentuk material yakni wang atau harta benda. Tapi pelaburan untuk kesihatan adalah satu pelaburan yang sangat menguntungkan. Kalau tidak percaya, tanyalah pada yang diuji dengan sakit dan penyakit. Pasti mereka boleh berikan tazkeerah agar kita lebih mengerti untung rugi melabur untuk kesihatan. Sebabnya, kos mengubati biasanya jauh lebih besar daripada kos pencegahan.
6. Nak Sihat Ada Macam-Macam Cara - Dari pemakanan hingga senaman, ada banyak cara untuk kita mengekalkan kesihatan. Makanan yang mahal tidak semestinya menyihatkan! Ulam-ulaman yang dipungut dibelakang rumah kadangkala lebih berzat dan menyihatkan. Yang pasti ada banyak makanan yang menyihatkan disamping yang merosakkan. Selain makanan ialah aktiviti-aktiviti untuk menjadikan kita sentiasa sihat dan cergas seperti aktiviti riadah dan rekreasi.
7. Sihat Ertinya Cantik, Cantik Ertinya Sihat - Kalau ingin kelihatan cantik, tentulah kena sihat terlebih dahulu. Ada ramai wanita hari ini sanggup mengabaikan kesihatan demi kecantikan. Nak tahu lebih lanjut dapatkan maklumat daripada "Persatuan Pengguna Negeri Pulau Pinang" melalui www.cap.org.my. Dalam bab cantik dan sihat ini, bagi yang mampu sekali sekala manjakanlah diri dengan mengunjungi spa yang menawarkan khidmat demi kecantikan dan kesihatan. Bukan hendak berkempen, cuma mencadangkan salah satu cara..:-). Banyak lagi cara, ikut kemampuan dan keselesaan masing-masing.
9. Mencegah Adalah Lebih Baik Dari Mengubati. Pepatah ini memang ada benarnya. Oleh itu, pemeriksaan kesihatan secara berkala perlu bagi memeriksa tahap kesihatan kita dari masa ke semasa. Usahlah tunggu sehingga sakit ye...kita boleh mengubahnya! InsyaAllah.
Kesimpulannya, jadilah muslim yang sihat dan kuat sebagaimana yang dipesan oleh baginda RasululLah saw. Sungguh banyak sekali hikmah dan nikmat disebalik tubuh yang sihat dan kuat. Bahkan, muslim yang kuat lebih dikasihi oleh Allah.
~Roha Hassan~
28 Feb 2010
No comments:
Post a Comment