Sunday, February 28, 2010

Sungguhkah Kita Kasihkan RasululLah saw (01)

Assalamualaikum wbt...


Kita baru sahaja meyambut "Maulidur Rasul" beberapa hari yang lalu. Selawat dan salam keatas junjungan besar RasululLah saw. Saya yakin ramai yang rindukan RasululLah saw setiap kali selewat keatas insan yang paling mulia dan berpengaruh ini berkumandang.


Namun, sejauh manakah kasih kita kepada RasululLah saw? Hanya Allah yang tahu. RasululLah saw telah meninggalkan dua perkara yang dijanjikan dapat menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat kepada pengamalnya. Dua perkara tersebut ialah, "Al-Quran dan As-sunnah".

Sesungguhnya, diri ini bukanlah yang terbaik dalam membicarakan tentang RasululLah apatah lagi hadis-hadis yang baginda saw tinggalkan sebagai panduan.

Saya hanyalah insan biasa yang berazam untuk melaksanakan sebanyak mungkin panduan baginda insyaAllah. Oleh itu, saya kongsikan apa yang saya pelajari daripada salah satu hadis baginda saw.

RasululLah saw bersabda,

Mafhum Hadith Rasulullah SAW :
`Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara yang lain : keadaan hidupmu sebelum datangnya mautmu, keadaan kamu lapang sebelum kamu didatangi kesibukan, keadaanmu berada dalam kekayaan sebelum datangnya kemiskinan, keadaan mudamu sebelum datangnya tuamu dan keadaan sihatmu sebelum datangnya keadaan sakitmu.’



Berapa banyakkah wang yang kita belanjakan demi kesihatan? Berapa banyak pula masa yang kita peruntukkan untuk kesihatan? Berapa banyak pula usaha kita untuk memastikan kita sentiasa sihat?

Jawapannya pasti berbeza antara satu sama lain.

Mungkin ada yang berpandangan, kesihatan adalah sesuatu yang susah untuk diukur. Ada setengah orang nampak "sihat" tapi sebenarnya "sakit". Ada pula yang kelihatan "sakit" tapi sebenarnya "sihat".

Apapun pandangan kita, kesihatan adalah sesuatu yang boleh dijaga, diramal dan diukur. Teknologi hari ini memungkinkan kita melakukan beberapa amalan pencegahan dalam mengekalkan kesihatan. Sesungguhnya tiada penyakit yang tidak boleh diubati kecuali tua dan mati.

Namun dalam persoalan kesihatan ini, ada beberapa perkara yang tidak boleh kita nafikan iaitu;

1. Sihat itu nikmat. Hayatilah hadis RasululLah saw yang saya kepilkan diatas. Betapa RasululLah telah mengingatkan betapa pentingnya kesihatan. Bila kita sihat, mudah untuk beramal. Bila kita sihat mudah mencari rezeki. Bila kita sihat mudah untuk kita melakukan amar maaruf nahi mungkar. Sayang sekali, ramai diantara kita tidak menyedari bahawa sihat itu satu nikmat hinggalah kita jatuh sakit!


2. Setiap nikmat perlu dijaga. Yang dinamakan nikmat itu adalah satu anugerah. Maka jagalah ia. Namun berapa ramai diantara kita yang menjaga kesihatan? Atau kita biarkan sahaja masa, keadaan dan alam yang menentukan. Bagi kita selagi kita boleh bernafas dan setiap anggota tubuh kita berfungsi dengan baik, kita sudah anggap diri kita sihat.

3. Bila kita kata kesihatan itu satu nikmat, bersyukurlah. Bersyukur perlu dilafazkan dan dijelmakan dengan perbuatan. Bukan sekadar bisikan dalam hati. Sebagai tanda kesyukuran diatas tubuh yang sihat, kita menjaga "kebajikan" tubuh kita secara fizikal, mental, emosi dan spiritual. Atas dasar syukur tubuh yang sihat tidak boleh digunakan untuk apa-apa perkara dan tujuan yang merupakan penderhakaan kepada yang Maha Pemberi kesihatan itu, yakni Allah. Tubuh yang sihat adalah untuk berbakti kepada Tuhan, insan dan alam. Bukan sebaliknya.


4. Melaburlah Demi Kesihatan. Pelaburan demi kesihatan bukanlah sesuatu yang merugikan. Memang benar jika kita berbelanja untuk kesihatan, kita tidak akan menikmati hasilnya dalam bentuk material yakni wang atau harta benda. Tapi pelaburan untuk kesihatan adalah satu pelaburan yang sangat menguntungkan. Kalau tidak percaya, tanyalah pada yang diuji dengan sakit dan penyakit. Pasti mereka boleh berikan tazkeerah agar kita lebih mengerti untung rugi melabur untuk kesihatan. Sebabnya, kos mengubati biasanya jauh lebih besar daripada kos pencegahan.

5. Kesihatan Adalah Hak Setiap Insan - Setiap insan berhak untuk sihat dan bahagia. Ia bukan milik orang-orang tertentu sahaja. Ia milik semua bergantung kepada Allah swt. Allah yang akan menentukan untuk siapa nikmat itu akan diberi. Bukan orang kaya sahaja yang berhak hidup sihat, orang yang sederhana kaya atau miskin juga berhak memilikinya. Kadang-kadang orang yang kurang hartanya lebih sihat dari yang kaya raya dan berharta. Apapun yang pasti, setiap insan yang berusaha dan berdoa untuk sihat, mereka berhak untuk sihat...insyaAllah.

6. Nak Sihat Ada Macam-Macam Cara - Dari pemakanan hingga senaman, ada banyak cara untuk kita mengekalkan kesihatan. Makanan yang mahal tidak semestinya menyihatkan! Ulam-ulaman yang dipungut dibelakang rumah kadangkala lebih berzat dan menyihatkan. Yang pasti ada banyak makanan yang menyihatkan disamping yang merosakkan. Selain makanan ialah aktiviti-aktiviti untuk menjadikan kita sentiasa sihat dan cergas seperti aktiviti riadah dan rekreasi.


7. Sihat Ertinya Cantik, Cantik Ertinya Sihat - Kalau ingin kelihatan cantik, tentulah kena sihat terlebih dahulu. Ada ramai wanita hari ini sanggup mengabaikan kesihatan demi kecantikan. Nak tahu lebih lanjut dapatkan maklumat daripada "Persatuan Pengguna Negeri Pulau Pinang" melalui
www.cap.org.my. Dalam bab cantik dan sihat ini, bagi yang mampu sekali sekala manjakanlah diri dengan mengunjungi spa yang menawarkan khidmat demi kecantikan dan kesihatan. Bukan hendak berkempen, cuma mencadangkan salah satu cara..:-). Banyak lagi cara, ikut kemampuan dan keselesaan masing-masing.

8. Halal dan Haram Perlu Dijaga - Sekalipun ingin sihat. Makanlah dari rezeki yang halal. Jika kita membeli makanan yang halal menggunakan duit yang haram, haram juga hasilnya. Begitu juga jika kita membeli makanan yang haram dengan duit yang halal, mungkin tubuh kita akan sihat? Begitu juga jika kita beriadah dan berekreasi sambil membuka aurat, boleh kesihatan itu menjadi satu nikmat yang membawa keberkatan. Ada banyak cara yang halal bagi memastikan kita sihat...insyaAllah.

9. Mencegah Adalah Lebih Baik Dari Mengubati. Pepatah ini memang ada benarnya. Oleh itu, pemeriksaan kesihatan secara berkala perlu bagi memeriksa tahap kesihatan kita dari masa ke semasa. Usahlah tunggu sehingga sakit ye...kita boleh mengubahnya! InsyaAllah.

Kesimpulannya, jadilah muslim yang sihat dan kuat sebagaimana yang dipesan oleh baginda RasululLah saw. Sungguh banyak sekali hikmah dan nikmat disebalik tubuh yang sihat dan kuat. Bahkan, muslim yang kuat lebih dikasihi oleh Allah.


~Roha Hassan~
28 Feb 2010

Sunday, February 21, 2010

Senyumlah Remajaku, Kalian Sangat Kreatif

Assalamualaikum wbt...

Pada hari minggu yang lain, saya dengan sahabat menyantuni remaja di PPR Hiliran Ampang. AlhamdulilLah ada sahabat yang meminjamkan kereta, dapatlah saya menunaikan janji pada anak-anak remaja ini. Sebenarnya seminggu lalu hati ini berbelah bagi kerana kereta berada di bengkel setelah dilanggar ketika berhenti di hadapan lampu isyarat. Namun, AlhamdulilLah keizinan Allah menjadikan program ini satu kenyataan.


Saya tinggalkan seketika kisah ujian yang menimpa saya, insyaAllah, saya telah menerimanya dengan redha. Setiap ujian pasti ada hikmahnya.

Yang penting sekarang, jom kita lihat senyuman anak-anak remaja PPR Hiliran Ampang ini.



Memang mereka tidak dilahirkan dalam keluarga yang kaya raya tapi mereka juga seperti remaja yang lain. Jika diberikan peluang untuk beraktiviti, mereka pasti ceria. Hidup serba sederhana seadanya sudah cukup menjadikan mereka kaya dengan idea dan sangat kreatif pula .

Perkongsian kali ini adalah merangkumi dua golongan yang sangat penting dalam hidup remaja iaitu ibubapa dan kawan!

Anak-anak ini dididik melalui teori, perbincangan dua hala, contoh dan management Games.


Saudara Warikh dari Wargakilang yang cukup rapat dengan ibubapanya memberikan tips untuk berjaya serta hubungannya dengan ibubapa. Untuk kami rakan-rakan Saudara Warikh cukup yakin dengan tips yang beliau berikan kerana beliau memang sangat hormat, kasih serta mendahulukan ibubapa dalam segala perkara.

Anak-anak ini sangat beruntung dapat bertemu insan berjaya yang sangat hormatkan kedua ibubapanya. Anak-anak ini tersenyum ceria penuh yakin dapat pula menyantuni ibubapa hasil daripada Tips saudara Warikh kelak.


Untuk pengisian tentang kawan, remaja ini diminta menulis nama rakan yang paling dikasihi sambil memberikan 3 alasan kenapa rakan tersebut sangat dikasihi.

Antara maklumbalas menarik tentang kawan ialah :

1. Dialah satu-satunya kawan saya disekolah
2. Dialah yang membela saya bila diejek oleh kawan-kawan yang lain
3. Saya sukakan dia kerana dia sering menolong mengangkat barang saya
4. Dia dan saya memiliki banyak persamaan
5. Dia selalu jujur dengan saya.
6. Dia kawan saya ketika senang dan susah
7. Dia selalu membantu saya menyiapkan tugasan sekolah
8. Dia tidak kedekut dengan saya
9. Dia pandai berlawak dan menghiburkan saya
10. Dia baik terhadap saya




Setelah itu anak-anak ini diberikan satu permainan mencipta bersama kawan-kawan. Tujuannya ialah untuk mendidik peranan kawan, ciri-ciri yang perlu diamalkan dalam berkawan, mencari nilai baik dan buruk dalam bekerja dalam kumpulan yang ada ramai kawan.

Ramuan bahan adalah 5 jenis bahan buangan. Tidak boleh dibantu oleh orang-orang dewasa. Setiap kumpulan dikehendaki mencipta logo, moto dan matlamat kumpulan masing-masing.

Akhirnya, setiap kumpulan melakukan pembentangan dan hasil ciptaan terbaik diumumkan. Diakhir program semua orang dapat hadiah!..:-)


Tengoklah betapa bersungguhnya anak-anak ini menyiapkan tugasan. Bukan main tinggi semangat setiakawan dalam memastikan ciptaan terbaik dihasilkan.
Khusyuk dan bersungguh juga ketika menerima input dan pengisian.


Namun yang pasti, kami rasa puashati dan gembira bila melihat mereka senyum, gurau senda dan ceria.
Setiap warga wajib diberikan pendidikan, begitu kalimah yang dilafazkan oleh seorang guru dalam filem Laskar Pelangi.
Saya pula ingin melafazkan pandangan bahawa setiap remaja patut dididik membuat pilihan antara yang salah dengan yang betul. Antara yang amar maaruf dengan nahi mungkar. Antara dosa dengan pahala. Antara kawan yang baik dengan kawan yang jahat.
Setiap remaja juga berhak untuk tersenyum walaupun hanya dengan model ciptaan menggunakan bahan buangan. Senyumlah remajaku, anda memang kreatif!


~Roha Hassan~

Kala Menatap Mata Remaja Itu

Assalamualaikum wbt...

Hari sabtu dan ahad mungkin hari yang amat menyeronokkan untuk ramai orang. Yang bekerja dapat bercuti, sedangkan yang sibuk dapat berehat seketika, yang kelelahan dapat bersantai sejenak. Tidak kurang pula menjadikan hari sabtu dan ahad sebagai waktu paling sesuai menyelesaikan segala urusan peribadi, rumahtangga dan keluarga setelah 5-6 hari mencurahkan segala-galanya untuk kerja dan kerjaya.
Bagi anak-anak mahupun aulad, remaja dan belia, hari sabtu dan ahad mungkin hari yang terbaik bersantai di hadapan televisyen, melepak bersama rakan-rakan, membeli belah, chatting, bersukan, bercuti bersama keluarga, mengulangkaji pelajaran, mengikuti program motivasi atau lain-lain aktiviti.

Semuanya bergantung pada masa, jadual dan bajet!

Sejenak dalam segala kesibukan, keletihan, kebosanan atau keseronokan, marilah merenung sejenak ke dalam mata anak-anak remaja ini. Kebanyakan mereka adalah anak-anak yatim, kurang berkemampuan, dibesarkan oleh ibu dan bapa tunggal dan tidak bernasib baik seperti anak-anak kita.

Ketika merenung sejenak ke dalam mata mereka, cubalah bertanya :
1. Apa agaknya aktiviti anak-anak ini setiap hari sabtu dan ahad?
2. Apakah yang paling menyeronokkan anak-anak ini bila tiba hari sabtu dan ahad?
3. Apakah makanan dan minuman yang disajikan pada hari sabtu atau ahad?
4. Dimanakah mereka berada pada hari sabtu dan ahad?

Jawapannya ada pada anak-anak ini sendiri. Namun yang pasti, kami di Wargakilang, JIM dan Tinta Ori sentiasa prihatin dengan menyumbang sedikit tenaga, masa dan wang ringgit untuk menjadikan hari sabtu dan ahad mereka bermakna.

InsyaAllah, setiap bulan pada hari sabtu dan ahad, kami akan cuba memenuhkan aktiviti anak-anak remaja dari rumah anak-anak yatim dan Penempatan Rakyat dan Penempatan Rakyat Termiskin ini dengan aktiviti berikut, antaranya ;
1. Motivasi
2. Bimbingan Kerja
3. Riadah
4. Management Games
5. Reakrasi
6. Bimbingan Jiwa dan Rohani
...dan banyak lagi. Yang pasti, kami yang lebih bernasib baik ini merasakan ada insan lain yang patut diberikan hak mereka.

Renunglah ke dalam mata anak-anak yatim itu dan hayatilah Firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat 220 yang bermaksud, "....Mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang anak-anak yatim. Katakanlah, "Memperbaiki keadaan mereka adalah baik! Dan jika kamu mempergauli mereka, maka mereka adalah saudara-saudara mu. Allah mengetahui orang yang berbuat kerosakan dan berbuat kebaikan. Dan jika Allah mengkehendaki, nescaya Dia datangkan kesulitan kepada mu. Sungguh Allah Mahaperkasa, Mahabijaksana..."

Anak-anak ini mungkin tiada talian darah dengan kita. Namun mereka akan membesar sebagai warga yang kelak memimpin umat dan negara. Tidak kita siapa mereka hari ini, kelak bila kita tiada lagi, merekalah pewaris segala yang kita usahakan hari ini.

Bergantung kepada usaha kita, itulah hasilnya. Jika kita mendidik mereka penuh ikhlas dengan meniatkan bahawa ia sebahagian daripada usaha kita untuk melihat mereka dewasa menjadi insan berguna, sedikit sebanyak pasti ada hasilnya.

Dalam kamus khalifah Allah tidak sepatutnya ada kalimah atau ungkapan.. "Ini bukan tugas kita dan lebih baik bersantai dan berehat dihujung minggu atau menghabiskan masa, wang dan tenaga untuk diri dan keluarga semata-mata".

Manusia yang menerima amanah sebagai khalifah Allah itu mestilah memakmurkan insan dan alam serta melaksanakan syariat Allah.

Oleh itu, dalam segala kesibukan, renunglah ke dalam mata mereka yang memerlukan...kelak kita akan mengertikan "Tangan yang diatas lebih mulia dari tangan yang dibawah. Yang sentiasa memberi dengan lebih tinggi darjatnya dari yang hanya menerima. Yang beruntung adalah yang lebih bertaqwa!

~Roha Hassan~

Saturday, February 20, 2010

Diari Seorang Tetamu Allah (03) – Merancanglah..Jangan Sekadar Menunggu "Seru"

Assalamualaikum wbt...

Kita sering mendengar kata-kata ini, "Aku ni bukan tak teringin untuk menunaikan haji...tapi belum sampai seru. Bila sampai seru nanti, aku pi la..." kata-kata itu terlalu sering saya dengar hinggalah secara tidak langsung melalaikan saya tentang tanggungjawab menunaikan haji.


Sebab itulah apabila keinginan untuk menunaikan haji mendatangi diri ini, saya langsung tidak ingat bahawa saya pernah mendaftar untuk menunaikan haji pada tahun 2000.


Apabila dimaklumkan, "Nama Roha binti Hassan ni sudah didaftarkan sejak tahun 2000 dan kalau ikutkan rekod, tahun yang dipilih ialah tahun ini, tahun 2009..." Memang terdiam sejenak apabila dimaklumkan sedemikian rupa oleh kakitangan kaunter Tabung Haji Cawangan Bagan Serai.


Sebenarnya saya berhasrat untuk mendaftarkan diri seterusnya membuat rayuan untuk menunaikan haji pada tahun tersebut juga. Langsung tidak teringat bahawa saya pernah mendaftar bersama abah pada tahun 2000 dulu.


Setelah itu, barulah terkenangkan peristiwa pada tahun 2000 dimana saya mendaftarkan abah dengan hasrat menghiburkan hati abah yang baru kehilangan isteri tersayang iaitu mak kami. Abah...kami usahakan untuk ke tanah suci pada tahun 2000 itu juga menggunakan Pakej Haji. Manakala saya yang masih "muda" ketika itu terlupa seketika....


Bila hati sudah benar-benar ingin ke Tanah Suci, barulah saya teringat betapa selama ini saya tidak pernah berusaha dan merancang bersungguh-sungguh demi mendapatkan tempat untuk menunaikan haji. Wang simpanan telah cukup. Namun sekadar berharap peluang tiba, bukanlah tindakan yang bijak.


Suatu hari apabila saya menceritakan kisah ini kepada seorang gadis yang sangat muda. Kata-katanya sangat bermakna dan membuatkan saya berfikir dengan mendalam, "Kak, semua orang boleh menunaikan haji Kak kalau dia ada keinginan dan keazaman...." Gadis itu telah menunaikan haji ketika di tingkatan 5. Dan kata-kata itu pula dikutip daripada orang tuanya.


Sungguh kerja haji bukan hanya mengharapkan "tibanya seru". Seruan Allah telah bergema melalui al-Quran dan as-Sunnah agar setiap kita berusaha dan merancang untuk mengerjakan haji. Seruan itu sudah lama disampaikan melalui Nabi Ibrahim as lagi.
Hayatilah Firman Allah swt seperti berikut :
Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.


Hayatilah jua terjemahan Al-Quran dalam surah Al-Hajj ayat 25-30 seperti berikut :

[25] Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalangi manusia dari jalan Allah (ugama Islam), dan dari memasuki Masjid Al-Haraam (Makkah) yang Kami jadikan dia tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman) - sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah; dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.

[26]Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).

[27]"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

[28]"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

[29]"Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu".

[30]Itulah yang wajib dipatuhi; dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta....


Sesungguhnya, yakinlah, setiap insan yang berazam dan berusaha untuk menunaikan umrah dan haji akan dimakbulkan keinginannya oleh Allah. Usah takut pada segala kekurangan yang ada, tapi merancanglah.
~Roha Hassan~