Saturday, February 20, 2010

Diari Seorang Tetamu Allah (03) – Merancanglah..Jangan Sekadar Menunggu "Seru"

Assalamualaikum wbt...

Kita sering mendengar kata-kata ini, "Aku ni bukan tak teringin untuk menunaikan haji...tapi belum sampai seru. Bila sampai seru nanti, aku pi la..." kata-kata itu terlalu sering saya dengar hinggalah secara tidak langsung melalaikan saya tentang tanggungjawab menunaikan haji.


Sebab itulah apabila keinginan untuk menunaikan haji mendatangi diri ini, saya langsung tidak ingat bahawa saya pernah mendaftar untuk menunaikan haji pada tahun 2000.


Apabila dimaklumkan, "Nama Roha binti Hassan ni sudah didaftarkan sejak tahun 2000 dan kalau ikutkan rekod, tahun yang dipilih ialah tahun ini, tahun 2009..." Memang terdiam sejenak apabila dimaklumkan sedemikian rupa oleh kakitangan kaunter Tabung Haji Cawangan Bagan Serai.


Sebenarnya saya berhasrat untuk mendaftarkan diri seterusnya membuat rayuan untuk menunaikan haji pada tahun tersebut juga. Langsung tidak teringat bahawa saya pernah mendaftar bersama abah pada tahun 2000 dulu.


Setelah itu, barulah terkenangkan peristiwa pada tahun 2000 dimana saya mendaftarkan abah dengan hasrat menghiburkan hati abah yang baru kehilangan isteri tersayang iaitu mak kami. Abah...kami usahakan untuk ke tanah suci pada tahun 2000 itu juga menggunakan Pakej Haji. Manakala saya yang masih "muda" ketika itu terlupa seketika....


Bila hati sudah benar-benar ingin ke Tanah Suci, barulah saya teringat betapa selama ini saya tidak pernah berusaha dan merancang bersungguh-sungguh demi mendapatkan tempat untuk menunaikan haji. Wang simpanan telah cukup. Namun sekadar berharap peluang tiba, bukanlah tindakan yang bijak.


Suatu hari apabila saya menceritakan kisah ini kepada seorang gadis yang sangat muda. Kata-katanya sangat bermakna dan membuatkan saya berfikir dengan mendalam, "Kak, semua orang boleh menunaikan haji Kak kalau dia ada keinginan dan keazaman...." Gadis itu telah menunaikan haji ketika di tingkatan 5. Dan kata-kata itu pula dikutip daripada orang tuanya.


Sungguh kerja haji bukan hanya mengharapkan "tibanya seru". Seruan Allah telah bergema melalui al-Quran dan as-Sunnah agar setiap kita berusaha dan merancang untuk mengerjakan haji. Seruan itu sudah lama disampaikan melalui Nabi Ibrahim as lagi.
Hayatilah Firman Allah swt seperti berikut :
Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.


Hayatilah jua terjemahan Al-Quran dalam surah Al-Hajj ayat 25-30 seperti berikut :

[25] Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalangi manusia dari jalan Allah (ugama Islam), dan dari memasuki Masjid Al-Haraam (Makkah) yang Kami jadikan dia tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman) - sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah; dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.

[26]Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).

[27]"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

[28]"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

[29]"Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu".

[30]Itulah yang wajib dipatuhi; dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta....


Sesungguhnya, yakinlah, setiap insan yang berazam dan berusaha untuk menunaikan umrah dan haji akan dimakbulkan keinginannya oleh Allah. Usah takut pada segala kekurangan yang ada, tapi merancanglah.
~Roha Hassan~

No comments: