Assalamualaikum wbt...
Pada hari minggu yang lain, saya dengan sahabat menyantuni remaja di PPR Hiliran Ampang. AlhamdulilLah ada sahabat yang meminjamkan kereta, dapatlah saya menunaikan janji pada anak-anak remaja ini. Sebenarnya seminggu lalu hati ini berbelah bagi kerana kereta berada di bengkel setelah dilanggar ketika berhenti di hadapan lampu isyarat. Namun, AlhamdulilLah keizinan Allah menjadikan program ini satu kenyataan.
Saya tinggalkan seketika kisah ujian yang menimpa saya, insyaAllah, saya telah menerimanya dengan redha. Setiap ujian pasti ada hikmahnya.
Yang penting sekarang, jom kita lihat senyuman anak-anak remaja PPR Hiliran Ampang ini.
Memang mereka tidak dilahirkan dalam keluarga yang kaya raya tapi mereka juga seperti remaja yang lain. Jika diberikan peluang untuk beraktiviti, mereka pasti ceria. Hidup serba sederhana seadanya sudah cukup menjadikan mereka kaya dengan idea dan sangat kreatif pula .
Perkongsian kali ini adalah merangkumi dua golongan yang sangat penting dalam hidup remaja iaitu ibubapa dan kawan!
Anak-anak ini dididik melalui teori, perbincangan dua hala, contoh dan management Games.
Saudara Warikh dari Wargakilang yang cukup rapat dengan ibubapanya memberikan tips untuk berjaya serta hubungannya dengan ibubapa. Untuk kami rakan-rakan Saudara Warikh cukup yakin dengan tips yang beliau berikan kerana beliau memang sangat hormat, kasih serta mendahulukan ibubapa dalam segala perkara.
Anak-anak ini sangat beruntung dapat bertemu insan berjaya yang sangat hormatkan kedua ibubapanya. Anak-anak ini tersenyum ceria penuh yakin dapat pula menyantuni ibubapa hasil daripada Tips saudara Warikh kelak.
Untuk pengisian tentang kawan, remaja ini diminta menulis nama rakan yang paling dikasihi sambil memberikan 3 alasan kenapa rakan tersebut sangat dikasihi.
Antara maklumbalas menarik tentang kawan ialah :
1. Dialah satu-satunya kawan saya disekolah
2. Dialah yang membela saya bila diejek oleh kawan-kawan yang lain
3. Saya sukakan dia kerana dia sering menolong mengangkat barang saya
4. Dia dan saya memiliki banyak persamaan
5. Dia selalu jujur dengan saya.
6. Dia kawan saya ketika senang dan susah
7. Dia selalu membantu saya menyiapkan tugasan sekolah
8. Dia tidak kedekut dengan saya
9. Dia pandai berlawak dan menghiburkan saya
10. Dia baik terhadap saya
Setelah itu anak-anak ini diberikan satu permainan mencipta bersama kawan-kawan. Tujuannya ialah untuk mendidik peranan kawan, ciri-ciri yang perlu diamalkan dalam berkawan, mencari nilai baik dan buruk dalam bekerja dalam kumpulan yang ada ramai kawan.
Ramuan bahan adalah 5 jenis bahan buangan. Tidak boleh dibantu oleh orang-orang dewasa. Setiap kumpulan dikehendaki mencipta logo, moto dan matlamat kumpulan masing-masing.
Akhirnya, setiap kumpulan melakukan pembentangan dan hasil ciptaan terbaik diumumkan. Diakhir program semua orang dapat hadiah!..:-)
~Roha Hassan~
No comments:
Post a Comment