Sunday, June 28, 2009

Adakah Kita Terlalu Sibuk Hingga Sukar Untuk Tersenyum


Terkadang kita merasakan kitalah orang yang paling sibuk. Terkadang kita rasa tidak pernah cukup masa. Terkadang kita rasa jadual kitalah yang paling padat.

Lebih kritikal lagi bila kesibukan kita menjadikan kita ”stress” tidak tentu hala. Kepadatan jadual kita pula buat kita lupa pada hak keluarga dan insan sekeliling kita. Bertambah teruk andai semua kesibukan dan kepadatan jadual hidup kita jadikan kita serius memanjang. Senyuman dan gurau senda jadi asing buat kita.

Kalau tanda-tanda di atas ini sudah ada pada diri kita, maka renungkanlah mutiara kata ini, ”Hiasi kehidupan ini dengan gurau senda kerana ia melambangkan kehidupan yang harmoni”.

Dalam persoalan begini, anjang punya pandangan dan cara sendiri. Bagi anjang keseimbangan dalam kehidupan wajib dimiliki. Mesti ada masa untuk Tuhan, diri, pelajaran, kerjaya, keluarga, rakan-rakan dan ahli masyarakat.

Anjang teringat Mutiara kata yang anjang pernah baca dan kongsi dengan rakan-rakan iaitu,
”Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.”
Anjang amalkan beberapa tips dalam hidup anjang. Demi menuju ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat, anjang ingin kongsi beberapa tips tersebut dengan para remaja dan belia yang dikasihi;

Hidup perlukan keseimbangan – Keseimbangan dari segenap sudut. Walaupun keseimbangan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai, namun usaha ke arah itu amat penting. Dalam mengisi waktu yang dikurniakan oleh Allah sebanyak 24 jam ini, kita harus bijak memanfaatkan setiap detik dan saat yang dikurniakan! Pembahagian masa kita mestilah mengambil kira segala kepentingan yang ada. Antaranya pelajaran, kerjaya, keluarga, ibu bapa, rakan-rakan, masyarakat dan alam. Jika kita melebihkan satu tanggungjawab dan mengabaikan tanggungjawab yang lain, hidup kita akan haru biru. Walaupun cemerlang dalam satu perkara, tetapi mengabaikan perkara penting yang lain. Kita tetap akan merasa kekurangan.

Masa kita untuk apa dan siapa? – Seperti yang disebutkan sebelum ini, kita semua dikurniakan 24 jam. Tidak ada mana-mana insan dikurniakan masa melebihi atau kurang dari 24 jam. Kita semua dikurniakan 24 jam sahaja. Cuma bagaimana kita membahagikan masa tersebut. Berapa jam untuk belajar. Manakala yang sudah berkerjaya, berapa jam untuk kerjaya dan mencari rezeki. Berapa jam untuk keluarga. Berapa jam untuk hiburan. Berapa jam untuk riadah dan rekreasi. Berapa jam untuk berbakti pada masyarakat. Berapa jam untuk bersosial dan menyambung silaturrahim. Berapa jam untuk membaca buku untuk menambahkan ilmu. Berapa jam untuk bermesra dengan alam. Berapa jam pula untuk membeli belah atau melancong. Semuanya kita yang menguruskannya sendiri.

Hidupku, matiku, ibadahku hanyalah untuk Tuhan pemilik semesta alam – barangkali ada antara kita akan bertanya, berapa jam pula untuk Allah. Setiap kali bila bersolat, kita pasti berikrar, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Tuhan pemilik sekalian alam”. Sebenarnya setiap perkara yang kita lakukan sepanjang hidup kita adalah ibadah selagi kita memenuhi syarat-syaratnya. Adalah kurang tepat jika kita nyatakan bahawa mengenal dan mengingati Allah hanyalah melalui solat Lima waktu atau ibadah itu sekadar berpuasa. Padahal Islam adalah “The way of life”, maka adakanlah setiap perbuatan kita sebagai ibadah dengan melaksanakannya mengikut peraturan dan syarat yang telah digariskan.

Menentukan keutamaan – satu lagi tips penting ialah menentukan keutamaan. Kita harus bijak menentukan siapa dan apa keutamaan kita dalam satu-satu waktu tertentu. Contohnya jika sudah hampir dengan peperiksaan, fokus utama kita tentulah kepada pelajaran. Manakala jika ketika khusuk membaca buku atau bekerja, waktu solat lima waktu tiba, yang wajib dan utama ketika itu adalah solat. Dan begitulah seterusnya. Kegagalan menentukan keutamaan merupakan salah satu punca kegagalan kita dalam mencari keseimbangan.
Setelah berusaha, bertawakal – Selepas kita berusaha bersungguh-sungguh untuk membahagikan masa dan menentukan keutamaan, kita bertawakallah kepada Allah. Kadang-kadang ada antara kita yang merasakan telah menguruskan masa yang terbaik untuk setiap perkara, tapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Bagi orang-orang berusaha dan bertawakkal, mereka tidak akan mudah berputus asa terhadap rahmat Allah. Kejayaan akan dianggap sebagai nikmat dan ujian. Sedang kegagalan akan diterima sebagai ujian dan cabaran. Kedua-duanya hadiah dari Allah dalam bentuk yang berbeza.


Disediakan oleh : Roha Hassan @ Anjang

Sayangi Dirimu Wahai Remaja – PPR Ampang Hilir


Sayangi Dirimu Di PPR Ampang Hilir

AlhamdulilLah program remaja, Motivasi Remaja Cemerlang dengan tajuk utama, Sayangi dirimu telah berjaya dianjurkan di PPR Ampang Hilir pada 21 Jun yang lalu.

Seramai 65 remaja yang berusia 10-15 tahun telah menghadiri program yang diadakan selama 4 jam ini.

Program ini mengandungi beberapa aktiviti yang terdiri daripada, pengisian, “management games” dan aktiviti berkumpulan.

Program ini ditaja sepenuhnya oleh beberapa pihak yang prihatin dengan halatuju remaja hari ini iaitu, Syarikat Tinta Ori, Pertubuhan Amal Warga Kilang dan Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia. Turut membantu ialah Persatuan Penduduk PPR Ampang Hilir khususnya Biro wanita.

Kali Pertama Berprogram

Semua peserta amat ceria dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang program ini dijalankan. Tambahan pula program seumpama ini merupakan program yang pertama kali diadakan di PPR Ampang Hilir.

Diantara objektif penganjuran program ini ialah :

1. Menyantuni remaja yang berada diantara usia 10-15 tahun
2. Meningkatkan motivasi remaja melalui perkongsian ilmu dan tips kecemerlangan
3. Mengukuhkan ukhuwwah sesama peserta
Kami Sayang Diri Kami

Itulah antara ikrar anak-anak remaja ini selepas mereka diingatkan tentang tanggungjawab sebagai remaja, kelebihan yang Allah kurniakan serta kepentingan menjaga fizikal, mental, emosi dan spiritual masing-masing.

Para remaja juga didedahkan tentang bahagian tubuh yang perlu dijaga dan tindakan yang mesti diambil apabila terdapat mana-mana pihak yang mengambil kesempatan keatas diri mereka. Mereka juga diberikan pendedahan tentang buli yang terdiri daripada jenis-jenis buli, kesan dan cara mengatasinya

Bagi memastikan remaja ini turut mengingati amanah dan tanggungjawab masing-masing, setiap peserta diberikan sekeping kertas A4 dan menyenaraikan sendiri tanggungjawab masing-masing. Antara tanggungjawab masing-masing yang disenaraikan oleh para peserta ialah:

Beribadah
Solat
Mematuhi arahan ibubapa
Menghormati ibubapa, guru dan keluarga
Belajar bersungguh-sungguh
Bercakap benar
Menjaga kebersihan dan kesihatan diri
Menjaga diri dan keluarga
Menolong mereka yang memerlukan
Menjaga kesopanan
Mengelakkan pergaduhan
Mengulangkaji pelajaran
Saling tolong menolong
Prihatin dengan kesusahan orang lain
Bersiap menjadi pemimpin masa depan
Maklumbalas Yang Memberansangkan

Diakhir program para remaja memberikan maklumbalas yang memberansangkan tentang program, antaranya :

1. Program ini menyeronokkan
2. Mahukan program seperti ini lagi dimasa hadapan
3. Dapat banyak ilmu
4. Lebih memahami masalah remaja
5. Banyak pesanan yang berguna
6. Anjang seorang penceramah yang baik
7. Dapat sijil, majalah dan hadiah percuma
8. Dapat melihat nasib mereka yang lebih susah daripada kami
9. Seronok dapat buat aktiviti dengan kawan-kawan
10. Belajar bercakap dihadapan kawan-kawan


Disediakan oleh : Roha Hassan @ anjang

Sunday, June 14, 2009

Apa Ertinya CINTA Bagi Seorang Remaja - Part (1)



Definisi Cinta

Dalam memberikan pendapat tentang cinta, Imam Al-Ghazali di dalam bukunya Kimia as-Sa'adah (Rahsia kebahagiaan) mendefinasikan cinta sebagai "Satu Kecenderungan yang membawa kepada perasaan yang menyenangkan. Ia adalah tarikan pemikiran, kesudian dan kecenderungan kepada yang disukai.

Manakali ilmuan tersohor, Profesor Dr Hamka dalam memberikan pendapat tentang cinta menyatakan bahawa, "Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanah yang lain-lain menerimanya.

Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji"

Begitu indah ungkapan cinta apa diterjemahkan oleh dua insan mulia ini. Imam al-Ghazali dan Profesor Dr Hamka. Namun bagaimana pula tafsiran cinta oleh remaja secara umumnya. Adakah selari dengan ungkapan yang diberikan para ulama dan cerdik pandai? Atau menepati kehendak agama dan adat. Adakah mengambil kira antara kebaikan dengan kemudaratan?

Antara cinta dengan C.I.N.T.A

Remaja dan cinta bagaikan dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Ketika diambang usia remajalah, cinta mula dikenali. Semuanya berlaku apabila seorang insan yang dulunya kanak-kanak kini mengalami perubahan dari sudut fizikal, mental, emosi, sosial dan moral. Perubahan yang membawa seorang insan ke alam yang penuh mencabar iaitu alam remaja.

Ketika menjadi salah seorang panelis forum remaja dan cinta di sebuah kolej di Negeri Sembilan, baru-baru ini, Ustaz Wan Aminuddin Haji Wan Abdullah berkongsi tentang C.I.N.T.A. Dalam ceria beliau menterjemahkan C.I.N.T.A sebagai "Cuma Ingin Nak Test Aje".

Maka diatas tafsiran inilah cinta yang suci menjadi mimpi ngeri bagi sesetengah remaja. Buktinya apabila bertambahnya kes-kes perzinaan, hamil luar nikah, pembuangan bayi secara berleluasa dan pelbagai lagi penyakit sosial dikalangan remaja yang menjadikan cinta sebagai "C.I.N.T.A".

Cinta Suci Cinta Sejati

Cinta bukan sesuatu yang keji. Tidak pernah ia dimusuhi atau dibenci. Namun, hanya cinta yang suci murni yang mengandungi ketenangan dan keindahan. Maka ingin dikongsikan disini secebis keindahan dan kelebihan cinta yang suci dan murni untuk sama-sama dihayati. Antara

1. Tokoh-tokoh agama juga mengiktiraf kesucian dan keperluan cinta.

Tiada agama yang memusuhi cinta. Sebab itu kebanyakan tokoh agama mengajak kepada cinta dan kebaikan. Berikut antara ucapan tokoh-tokoh berikut tentang cinta :
a. CINTAILAH sesama manusia, seperti engkau mencintai dirimu sendiri – Nabi Muhammad saw
b. Jangan menangis kerana gagal dalam PERCINTAAN, sebab manusia akan meninggalkan semua yang dicintainya - Buddha
c. Apabila kita bersungguh ingin MENCINTAI, kita perlu belajar memaafkan – Mother Teresa
d. Ketika anda diserang oleh musuh, taklukinya dengan CINTA – Mahatma Ghandi

2. Hakikat cinta abadi

Jika benar kita faham tentang cinta, tanamkanlah dalam jiwa kita lima kecintaan hakiki iaitu :
a. Cinta kepada Pencipta
b. Cinta kepada Nabi dan Rasul
c. Cinta kepada ibu bapa
d. Cinta kepada ummah
e. Cinta kepada kecemerlangan

3. Cinta perlukan keutamaan
Sebagai insan yang bijak, kita wajib tahu cinta yang mana harus diutamakan. Jika kita seorang remaja, cinta yang manakah harus kita utamakan?

Pada kekasih atau Tuhan? Sedangkan yang menjadikan dan memberikan segala-galanya kepada kita adalah Tuhan. Sedangkan kita tidak pernah berterimakasih dan mensyukuri segala nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita.

Pada kekasih atau Rasul Saw? Sedangkan kerana cintanya RasululLah saw kepada kitalah, kita hari ini menerima kenikmatan sebagai muslim. Bukan sedikit usaha dan pengorbanan RasululLah demi umat manusia, namun berapa ramaikah antara kita yang mengenali baginda, apatah lagi menyintai junjungan besar RasululLah SAW.

Pada kekasih atau ibu bapa? Pada kekasih yang baru dikenal beberapa purnama atau pada ibu bapa yang memelihara kita penuh cinta dan kasih sayang sejak kita dilahirkan. Tidak tertulis dan terbanding pengorbanan mereka. Sayang seribu kali sayang, manusia terutamanya golongan remaja sering melukakan hati ibu bapa demi cinta kepada seorang kekasih.

Pada kekasih atau kecemerlangan? Ketika usia remaja, cinta pada ilmu adalah lebih utama. Kesungguhan mengejar kecemerlangan akan membuka ruang kepada cinta-cinta yang seterusnya.

Jangan sesekali kantoi dalam kehidupan disebabkan percintaan!


~ Roha Hassan ~

Sunday, May 31, 2009

Danial Yang Pemurah Mewarisi Sifat Pemurah Ibu Kami


Setiap kali berjalan bersama Muhammad Danial Sufi dan terserempak dengan peminta sedekah atau insan kurang upaya....kami sudah tahu dan dapat mengagak apa tindakan Danial. Dia akan berhenti dan perkataan pertama yang akan muncul dari bibir anak kecil yang berusia 5 tahun ini ialah, "Jom bagi duit kat pak cik tu...sian dia"

Pada awalnya dulu kami ada menegur dan memberikan pandangan kami bahawa bukan semua peminta sedekah itu harus diberikan wang. Namun Danial tidak mahu menerima alasan kami. Malahan Danial akan meleteri Anjang dan Acu pulak.

Tambahan pulak, setiap kali keluar bersama Danial ke Pasar Malam atau ke tempat lain, Danial sudah siap sedia memasukkan beberapa ringgit ke dalam poket untuk diberikan kepada peminta sedekah, insan kurang upaya atau sakit.


Yang lebih kelakar, selepas memberikan sumbangan, Danial akan mewawancara peminta sedekah tersebut.


Satu hari semasa kami ke Pasar Malam, Danial telah melihat seorang pak cik peminta sedekah yang mengalami kecacatan di tangan dan di kaki. Danial menyerahkan wang kepada pak cik tersebut, kemudian duduk di hadapan pak cik tersebut dan bertanya, "Pak Cik, kenapa tangan dan kaki pak cik jadi macam ni...." dan pak cik tersebut pun bercerita...."Pak Cik kena timpa dengan pokok ketika menebang pokok di hutan....."


Dan setiap kali ke Pasar Malam yang sama, Danial akan mencari Pak Cik tersebut, memberikan wang RM1, mencium tangan pak cik tersebut kemudian melambai-lambai pada lelaki tersebut.

Sikap ini sudah bermula dalam diri Danial sejak dia berusia 4 tahun lagi, kini Danial berusia 5 tahun. Sifat pemurahnya bertambah ketara.

Semalam Danial cuba bertanya pada pak cik peminta sedekah yang Danial berikan RM1, tapi kata Danial, "Pak Cik tu tak boleh cakap la...." . Dia nampak kurang puashati. "Memang la...pak cik tu bisu..." jawab Acunya merungkai persoalan anak kecil ini.

Dalam tren, semasa hendak pulang ke rumah kami, Danial telah menghadiahkan mainannya yang baru dibeli kepada kanak-kanak kecil yang asyik memandang kepada mainan baru Danial, sepanjang perjalanan kami.

"Adik nak mainan ni ka? tanya Danial kepada anak kecil yang kurus dan pucat itu. Anak kecil itu mengangguk dan terus mengambil mainan dari tangan Danial.

Anjang dan Acu hanya tersenyum. Itu semua pemandangan biasa. Kami selalu berpandangan, "Danial ini ikut perangai Tok Nab kot." Tok Nab ialah nenek Danial yang merupakan Ibu kami, iaitu Zainab binti Salleh yang sangat pemurah terhadap semua yang memerlukan terutamanya anak-anak yatim dan orang-orang yang lebih susah dari kami.

Kami akan sentiasa merindui dan mendoakan ibu kami yang sangat baik hati itu.

Andai dirimu juga ingin mengetahui kisah lanjut tentang ibu kami juga ibu-ibu lain yang mulia lagi hebat, belilah buku, "Ibu Madrasah Pertama Ku" dari kami. InsyaAllah....kalian pasti akan menemui tips hebat dari para penulis yang tidak kurang hebatnya dalam mengungkapkan kisah ibu masing-masing.


~Roha Hassan~

Wednesday, May 20, 2009

Dari Pena Anak Mak Yang Tidak Pandai Mengarang

”Aku memang tidak sepandai anak-anak mak yang lain dalam mengungkapkan kata-kata tentang mak. Kerana itu, aku ingin mulakan perkongsian aku ini dengan kata-kata ini, terima kasih mak!”


Nama ku Salina. Aku masih menuntut di Institut Pendidikan Awal Kanak-Kanak dalam jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.


Aku adalah anak bongsu dalam keluarga kami. Nama mak ku ialah Zainab binti Salleh. Nama abah ku pula, Hassan bin Ali.Mak meninggal ketika aku masih berada di bangku sekolah. Tidak dapat aku membalas segala jasa dan pengorbanan mak. Malahan ketika mak pergi mengadap Ilahi, aku dalam keadaan masih memerlukan perhatian dan kasih sayang mak.

Betapa sedih dan hancurnya hati ini ketika emak menghembuskan nafas yang terakhir. Namun aku pasrah, semua itu sudah suratan takdir. Kematian dan kehidupan Allah yang menentukan. Lama kelamaan aku mampu menerima pemergian ibu dengan penuh keredhaan.

Ketika melihat kerancakan kakak ku menulis tentang mak. Aku juga terasa teringin benar menulis sesuatu tentang mak. Namun aku tidak sebijak kakak dalam menyusun kata-kata. Dia sudah biasa menulis.


Aku pula, menulis bukanlah sesuatu yang mudah. Kadangkala untuk menyiapkan satu artikel aku akan mengambil masa berjam-jam untuk menyiapkannya. Kadangkala bila kepupusan idea, aku berhenti seketika dan memerlukan hari esok dan seterusnya untuk menyiapkannya.

Namun aku kepingin sekali menuliskan betapa aku amat berterima kasih pada mak. Maka dengan segala kekurangan yang ada aku mulakan coretan ini. Walaupun coretan ini amat biasa dan ringkas, aku berharap ia menjadi satu perkongsian yang bermakna.

Terutamanya oleh golongan muda yang satu hari nanti akan mendirikan rumahtangga, menjadi isteri dan ibu. Kata mak, dengan menjadi ibu, seorang anak akan lebih memahami dan menghargai setiap jasa ibunya.

Terlalu banyak ucapan penghargaan dan terima kasih ingin aku berikan pada mak. Walaupun aku sering mengucapkannya ketika mak masih hidup. Tapi semua itu belum cukup. Sebab itulah dalam tulisan yang ringkas ini aku cuba lakarkan betapa aku amat berterima kasih pada mak.


Terima kasih Mak Kerana Telah Melahirkan Aku


Pertamanya aku ingin mengucapkan terima kasih kerana mak telah melahirkan aku ke dunia ini. Tentu mak bersusah payah ketika melahirkan aku. Kata kakak, masa mak mengandungkan aku, mak aktif macam biasa. Bawa perut mak yang semakin hari semakin besar itu ke bendang dan ke sana sini. Mak masih memasak dan buat kerja rumah macam selalu.

Kadang-kadang mak angkat benda-benda berat masa abah tiada di rumah.Setelah cukup masanya, mak melahirkan aku ke dunia dengan penuh susah payah. Maklumlah aku ni anak bongsu dan umur mak sudah hampir empat puluh tahun ketika itu. Bayangkan kemudahan bersalin yang serba kekurangan ketika itu, tentu mak bertarung nyawa melahirkan aku.

Mak memang wanita mulia yang sembilan kali telah menyabung nyawa untuk melahirkan kami semua. Walaupun anak-anak mak ramai, mak tidak pernah bersungut menyesal melahirkan kami.


Sesungguhnya kelahiran kami bagi mak adalah anugerah daripada Allah yang mak amat mensyukuri dan menghargai. Sebab itu mak tidak pernah mengabaikan kami.

Terima kasih Mak Sebab Jaga Aku Dengan Baik

Kata kakak, aku selalu sakit-sakit ketika masih bayi. Macam-macam usaha mak lakukan agar aku segera sembuh. Mak bawa aku ke sana ke mari. Dari perubatan moden hinggalah perubatan tradisional. Mak usahakan apa sahaja. Kata Kakak, kalau mak tidak usahakan segala-galanya untuk kesihatan aku, barangkali kedua-dua tangan aku tidak boleh digerakkan.

Terima kasih mak kerana dua tangan yang sempurna ini. Walaupun aku masih belum dapat makan dengan baik menggunakan tangan kanan, aku tahu ia lebih baik daripada kedua tangan yang lumpuh.

Walaupun kami bukan orang senang, pakaian kami sentiasa bersih. Tempat tidur kami juga sentiasa tersusun. Mak tidak mahu anak mak rasa terasing atau terpencil apabila bergaul dengan orang lain. Sebab itu, mak akan berusaha sedaya upaya untuk melengkapkan keperluan anak-anak mak seperti anak-anak orang lain juga.

Aku juga agak beruntung ketika itu memandangkan dua orang kakak ku sudah mula bekerja. Manakala adik beradik yang lain masih bersekolah. Gaji kakak kecil sahaja sebab mereka berdua tidak bersekolah tinggi. Tapi sekurang-kurangnya ringan lah beban mak dan abah. Segala penjagaan mak yang rapi ketika aku masih kecil memang amat baik berbanding dengan pengetahuan dan kelulusan mak.

Ketika menjadi guru TADIKA dan kini belajar di bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak, aku boleh bandingkan apa yang ibu lakukan ketika menjaga aku berbanding dengan apa yang dilakukan oleh generasi hari ni memang berbeza. Mak telah menjaga dan membesarkan aku dengan baik sehingga ke akhir hayat maTerima kasih Mak Sebab Tidak Pernah Gagal Sediakan Sarapan Buat ku

Mak tidak pernah gagal menyediakan sarapan pagi buat aku. Dari nasi goreng hingga nasi lemak ikan bilis, mak tidak lupa menyediakannya. Aku sentiasa dalam keadaan kenyang. Prinsip mak dalam pendidikan anak-anak ialah, anak-anak yang kenyang dan ada ilmu tidak akan melakukan perbuatan yang tidak baik bila berada di tengah masyarakat.



Dapatkan Buku Ibu Madrasah Pertama Ku untuk mengetahui kisah selanjutnya...hasil pena anak mak yang tidak pandai mengarang.
Untuk mengetahui lanjutan dari kisah ini. Dapatkan buku, Ibu Madrasah Pertama Ku dengan menghubungi Roha Hassan (012-4317948) atau Nazirah/Murni (03-41073379).
~Roha Hassan~

Wednesday, May 13, 2009

Emak Aku Adalah "Women Of Substances" - Ibu Madrasah Pertama Ku




AlhamdulilLah. Itulah ucapan pertama ku apabila mendapat berita ini dari sahabat ku ini. Sahabat ku ini telah berkongsi berita gembira bahawa, penulisan beliau berkaitan ibunya di dalam buku, "Ibu Madrasah Pertama Ku", dengan izin Allah telah menyebabkan emak yang sangat disayanginya ini mendapat anugerah "Ibu Mithali" peringkat negeri Johor dari Muslimat PAS Johor.

Tahniah untuk sahabatku Ir Endok dan ibunya Puan Hajah Sakinah Abdul Hamid yang merupakan salah seorang penulis dalam buku, "Ibu Madrasah Pertama Ku". Keistimewaan lain ibu ini ialah kecintaan terhadap ilmu, dimana beliau sudah tamat mengikuti Latihan ESQ dan dapat pulak memujuk 13 orang anak-anaknya mengikuti Latihan ESQ ini. Lagi sekali tahniah! kerana ia merupakan satu rekod!



(Ir Endok Bersama Ibunya, Hajah Sakinah Serta Dua Orang Adiknya)


Tentu kalian ingin tahu, kenapakah ibu yang mulia ini terpilih sebagai ibu Mithali? Ikutilah kisah beliau yang dinukilkan oleh anaknda beliau, Ir Endok Sempo Mohd Tahir


Emak Aku Adalah ‘Women Of Substances’
Ir Endok Sempo binti M Tahir-
M & E Consulting Engineers


”Tiada rehat selagi hidup, tiada pencen sebelum mati. Kerana hidup kita sentiasa berjuang dan kita mesti kaya untuk menolong orang lain.”

Sudah terlalu lama aku pendamkan niat ini. Niat untuk menulis tentang emak. Namun kini adalah masa terbaik untuk merakamkannya. Semasa artikel ini ditulis, aku sedang terlantar sakit kerana menjalani rawatan dan proses pemulihan dari serangan asthma yang terjadi seminggu yang lepas. Sambil berbaring di katil teruja fikiran untuk mula menulis. Masa inilah aku terasa benar-benar memerlukan kehadiran emak di sisi.

Teringat zaman kanak-kanak dan remaja, masa sakitlah emak terlalu dekat dengan kita. Rasa sakit, terpinggir, keseorangan, kesepian dan kesedihan ini membolehkan aku menulis sesuatu. Ilham dan bayangan masa lalu datang bertindih-tindih. Jelas wajah kasih dan simpati emak. Terasa kelembutan sentuhan emak dan motivasi emak mengalir dalam diri.

Perjuangan masa lalu emak menanamkan iman dan semangat dan menggilap potensi aku sejak dari kecil hingga dewasa malah semakin terkesan dalam rumahtangga apabila usia semakin senja. Emak adalah idola dan mentor dalam membentuk jati diri, membina kerjaya, melayari bahtera rumahtangga, menyusur alunan ombak kehidupan yang silih berganti antara susah dan senang.

Emak bersuamikan seorang pejuang revolusi

Kedatangan seorang ‘Guru’ dan Pejuang Revolusi dari Makassar Indonesia ke Tanah Melayu tahun 1948 menjadi buah mulut suku kaum Bugis yang telah bermastautin sejak abad ke 19 di Benut, Johor. Perawakan ‘kiyai’ dan keilmuan Islam nya yang terserlah memancing minat sepasang keluarga ‘berada’ kacukan Bugis-Banjar di Sungai Pulai Muar. Pasangan itu ialah datuk dan nenek aku. Mereka amat berkenan dengan semangat keislaman yang berkobar-kobar, kelakuan bersopan santun serta gaya pertuturan ‘guru’ itu yang kemudiannya menjadikan ayah aku menantu mereka.

Pada tahun 1949, ayah aku menjadi menantu idaman datuk aku. Emak aku, Sakinah Binti Abdul Hamid menjadi isteri seorang pejuang revolusi semasa dia masih bersekolah dalam darjah 4 di sekolah rendah. Umur emak di kala itu ialah 10 tahun. Menjadi isteri seorang pejuang revolusi bermakna menempah ranjau perjuangan yang penuh kesusahan. Gadis kecil se muda itu (anak orang berada yang serba cukup) tidak pernah terfikir risiko bersuamikan seorang yang berjiwa revolusioner. Emak seperti gadis-gadis di zamannya bukan tidak punya pilihan, tetapi mereka terlalu muda untuk memilih. Kedua ibu bapa merekalah yang memilih dan menentukan calon pasangan hidup mereka.

Sepatah kata emak, takdir telah menemukan emak dengan ayah kerana ada satu ’tujuan’ khusus. Emak telah dipilih Allah menjadi isteri ayah kerana ada maksud yang tersembunyi dan tersirat, yang hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Tujuan itu pada mulanya tidak emak fahami. Namun kehidupan bersama ayah selama hampir 45 tahun membuktikan semuanya. Kesusahan, penderitaan, kelaparan dan kesempitan dalam perjuangan, menghidupkan dan mendidik anak-anak semuanya tidak sia-sia.

Gelombang kehidupan bersama ayah menjadikan emak juga seorang ‘pejuang kehidupan’ yang cekal dan tabah serta tidak pernah mengaku kalah dan pantang berundur. Emak melihat perkahwinan bersama ayah bertujuan untuk melakar satu sejarah perjuangan yang menyambung sejarah perjuangan yang tidak ada penghujungnya sehinggalah dijemput malaikat maut. Perjuangan kemerdekaan jiwa dan bekerja untuk Islam sehingga mati tanpa rehat. Tidak ada istilah pencen dalam diari kehidupan pasangan berjiwa merdeka ini.

Emak umpama ’Aisyah’ tapi ’ibu beranak ramai’

Perjuangan emak sepanjang masa mudanya ialah perjuangan melahirkan anak sebanyak 17 kali, membesarkan dan mendidik anak seramai 13 orang sehingga dewasa. Dalam usia yang teramat muda, emak telah merasa erti pahitnya ’kehilangan’ apabila 3 orang puteranya meninggal dunia semasa kecil. Putera pertama, kedua dan ketiga dilahirkan sempurna dan hidup untuk beberapa bulan namun kemudian meninggal dunia satu persatu di kala emak berumur bawah 14 tahun. Bayangkan kepiluan dan kekosongan hati seorang ibu muda.

Ibu muda ini sebenarnya telah bertekad untuk memikul tugas besar seorang ’ibu’ muslimah. Suaminya pernah berkata, bahawa ’wanita terbaik ialah wanita yang paling ramai anaknya. Anak perlu ramai untuk menggandakan tentera Allah memperjuangkan agama Nya. Islam perlu umat yang ramai. Kekuatan politik sesuatu bangsa terletak pada bilangan ramai umatnya.

Dalam kekecewaan emak, ayah membawa emak menunaikan fardu Haji ke Mekah semasa emak berumur 14 tahun. Doa emak hanya satu. Emak berdoa agar dia dikurniakan anak yang ramai dan mohon Allah gantikan anak-anaknya yang telah diambil pergi. Emak genggam kemas cita-citanya yang satu itu, demi memegang amanat seorang ’guru’. Ayah terus memberikan kata semangat dan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada isterinya yang teramat muda itu. ...
Untuk mengetahui lebih lanjut kisah Ibu mithali ini, dapatkanlah buku, "Ibu Madrasah Pertama Ku" . Maklumat lanjut tentang buku Ibu Madrasah Pertama Ku ini boleh didapati dengan menghubungi, Roha Hassan (012-4317948) atau Nazirah/Murni (03-41073379)
Ibu Madrasah Pertama Ku Akan Ke Udara Di Radio IKIM
InsyaAllah perkongsian oleh para penyumbang penulisan dalam buku, "Ibu Madrasah Pertama Ku akan ke udara di radio IKIM dalam slot dokumentari jam 10.30 pg, jumaat 15 Mei 2009.
Antara penulis yang akan berkongsi tentang ibu masing-masing dalam slot ini ialah Roha Hassan, Dr Harlina Halizah Siraj, Puan Anfaal Saari dan ibu, Puan Aliza Jaafar serta Ir Endok dan ibu, Hajah Sakinah.

(Rakaman Oleh Team Radio IKIM Yang Diketuai Oleh Puan Fairus Di KJIM)

(Rakaman slot Ibu Madrasah Pertama Ku Oleh Radio IKIM)

Apa tunggu lagi! Dapatkan Buku, "Ibu Madrasah Pertama Ku" untuk mengetahui kisah-kisah 23 orang ibu yang ditulis oleh 25 orang anak. Maklumat lanjut tentang buku "Ibu Madrasah Pertama Ku" ini boleh diperolehi daripada Roha Hassan(012-4317948) atau Nazirah/Murni (03-41073379)

~ Roha Hassan~

Sunday, May 10, 2009

Berbahagialah! Kerana Allah Itu Sentiasa Ada Di Sisi Kita

"Anak akak ni dah 15 tahun, tapi tak serupa la macam anak orang lain..." Kata Kak Midah ketika diwawancara oleh wartawan NTV7. Sebenarnya wartawan ini memohon bantuan saya untuk mendapat ibu tunggal yang boleh diwawancara untuk rancangan di NTV7. Maka saya pun membantu apa yang termampu. Dan dipertemukanlah dengan Kak Midah.

"Dia anak istimewa Kak Midah" bicara saya sambil mengambil beberapa foto. Sesi wawancara terus berjalan. Manakala remaja istimewa itu berguling merangkak, aktif dan ceria.


Tidak tertahan hati ini untuk terus melihat wajah anak itu. Wajah tenang si ibu dan soal jawab wartawan NTV 7 itu membuat saya terasa ingin menangis. Hati rasa sayu sekali. Begitupun faham dengan segala ketentuan Allah. Allah jadikan semua ini untuk semua kita belajar. Yang baik jadikan teladan, yang kurang baik jadikan sempadan.

Kak Midah adalah ibu tunggal yang tabah membesarkan lapan orang anak dengan salah seorangnya remaja istimewa. Walaupun pendapatannya tidak seberapa, makan pakai anak-anak dijaga sedaya upaya, sekolah anak-anak tidak mahu diabaikan jua.
Bukan sedikit cabaran yang menjelma, namun Kak Midah tetap tekun dan tabah. Sebagai insan biasa Kak Midah amat gembira dengan segala bantuan yang diterima, namun tetap malu untuk bergantung pada bantuan dan huluran orang ramai sahaja.

Sebab itu Kak Midah usahakan mencari rezeki yang halal, berniaga secara kecil-kecilan untuk menambahkan pendapatan yang diterima dari Baitul Mal dan lain-lain organisasi dan individu

Sejenak saya mohon diri kerana tidak tertahan mendengar keperitan yang ditanggung oleh wanita ini serta anak-anaknya. Saya menenangkan diri di surau dan sujud syukur, betapa Allah telah mengurniakan segala macam nikmat yang hanya akan saya sedari bila mengetahui ada orang lain yang jauh lebih besar ujiannya dari diri sendiri.
Mengalir airmata kala berdoa kerana rasa kehambaan dan kesyukuran. Dalam sendu saya berdoa agar Kak Midah dan anak-anak dikurniakan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Tentulah sudah ada dalam suratan takdir Allah setiap apa jua peristiwa yang telah dan bakal Kak Midah tanggung. Yang penting, saya ikhlas mahu semua orang bahagia termasuk Kak Midah


Kak Midah, bukanlah satu-satunya wanita yang hidup tanpa suami di sisi. Kak Ros dan Syidah juga mengalami nasib yang sama. Syidah berkahwin di usia muda. Masih remaja, belasan tahun. Setelah 15 tahun berumahtangga, suaminya menjatuhkan talak. Memang adalah kisahnya di sebalik segala kejadian, Namun kata Syidah, dia akan kongsikan dalam buku "Dunia Tanpa Suami" jilid 3 nanti.
Seperti jua pertemuan sebelum ini, setiap kali bertemu, pasti bermacam cerita yang ingin dikongsi. Itulah namanya kawan!

Kak Ros punya kes lagi la complicated. Matanya pernah dibedah kerana penderaan suami. Bukan main sedih kisah perjalanan hidup Kak Ros hinggakan satu ketika tu, Kak Ros prejudis dengan sesiapa sahaja termasuk diri ini.
Buat pertama kali, Kak Ros curahkan pada saya, "Roha tau tak? Mula-mula jumpa Roha, Kak Ros prejudis pada Roha dan kawan-kawan Roha. Dalam hati berkata-kata, boleh percaya ke depa ni. Tapi setelah dua tahun lebih kenal Roha. Kak Ros anggap Roha macam adik. Bukan apa, suami Kak Ros dulu pun kalau cakap bab agama....fuhhhh...nombor satu!"

"Takpe Kak, Roha ni pun tak terasa hati kalau ada sesiapa prejudis dengan Roha. Masa tak kenal atau baru kenal memang la kita ada macam-macam prasangka. Bak kata pepatah, "tak kenal maka tak cinta"..." Sejenak kami sama-sama ketawa.
Maka dipertemuan yang ada, seperti juga di setiap kali perjumpaan kami, saya memberikan sedikit motivasi kepada semua ibu tunggal yang hadir pada 9 Mei yang lalu, jam 6.00 - 7.00 petang.

"Memang kalau nak dermakan segala harta kekayaan, memang la Roha ini bukanlah orangnya sebab Roha ni bukanlah seorang jutawan, tidak juga hartawan"...kata saya pada kakak-kakak dan rakan-rakan ibu tunggal yang ada di depan mata. "Namun kalau saya dapat memberikan semangat dan berkongsi kekuatan sesama kita, saya sudah rasa cukup gembira. Habis-habis sangat pun, dapat melihat semua kita tersenyum dan ketawa pun, saya rasa bertuah dan bahagian sangat".
Dan kami semua ketawa ceria sepanjang pengisian diberikan. Seolah-olah tiada kesusahan, kedukaan dan kelukaan.
Untuk apa ditangisi apa yang tiada. Kenapa pula mencari apa yang bukan rezeki. Atas dasar apa pula menyesali apa yang tidak dimiliki. Padahal segala-galanya Allah telah berikan pada kita. Hanya kita yang sering alpa dan lupa.
Sesungguhnya, tiada yang kebetulan dalam kehidupan, hatta gugurnya sehelai daun menimpa bumi. Setiap satunya penuh dengan hikmah yang kalau kita syukuri dan hayati, penuh dengan pengertian, pengajaran dan nikmat dari Ilahi.
~Roha Hassan~