"Anak akak ni dah 15 tahun, tapi tak serupa la macam anak orang lain..." Kata Kak Midah ketika diwawancara oleh wartawan NTV7. Sebenarnya wartawan ini memohon bantuan saya untuk mendapat ibu tunggal yang boleh diwawancara untuk rancangan di NTV7. Maka saya pun membantu apa yang termampu. Dan dipertemukanlah dengan Kak Midah."Dia anak istimewa Kak Midah" bicara saya sambil mengambil beberapa foto. Sesi wawancara terus berjalan. Manakala remaja istimewa itu berguling merangkak, aktif dan ceria.Tidak tertahan hati ini untuk terus melihat wajah anak itu. Wajah tenang si ibu dan soal jawab wartawan NTV 7 itu membuat saya terasa ingin menangis. Hati rasa sayu sekali. Begitupun faham dengan segala ketentuan Allah. Allah jadikan semua ini untuk semua kita belajar. Yang baik jadikan teladan, yang kurang baik jadikan sempadan. Kak Midah adalah ibu tunggal yang tabah membesarkan lapan orang anak dengan salah seorangnya remaja istimewa. Walaupun pendapatannya tidak seberapa, makan pakai anak-anak dijaga sedaya upaya, sekolah anak-anak tidak mahu diabaikan jua.Bukan sedikit cabaran yang menjelma, namun Kak Midah tetap tekun dan tabah. Sebagai insan biasa Kak Midah amat gembira dengan segala bantuan yang diterima, namun tetap malu untuk bergantung pada bantuan dan huluran orang ramai sahaja.Sebab itu Kak Midah usahakan mencari rezeki yang halal, berniaga secara kecil-kecilan untuk menambahkan pendapatan yang diterima dari Baitul Mal dan lain-lain organisasi dan individu
Sejenak saya mohon diri kerana tidak tertahan mendengar keperitan yang ditanggung oleh wanita ini serta anak-anaknya. Saya menenangkan diri di surau dan sujud syukur, betapa Allah telah mengurniakan segala macam nikmat yang hanya akan saya sedari bila mengetahui ada orang lain yang jauh lebih besar ujiannya dari diri sendiri.
Mengalir airmata kala berdoa kerana rasa kehambaan dan kesyukuran. Dalam sendu saya berdoa agar Kak Midah dan anak-anak dikurniakan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Tentulah sudah ada dalam suratan takdir Allah setiap apa jua peristiwa yang telah dan bakal Kak Midah tanggung. Yang penting, saya ikhlas mahu semua orang bahagia termasuk Kak Midah
Kak Midah, bukanlah satu-satunya wanita yang hidup tanpa suami di sisi. Kak Ros dan Syidah juga mengalami nasib yang sama. Syidah berkahwin di usia muda. Masih remaja, belasan tahun. Setelah 15 tahun berumahtangga, suaminya menjatuhkan talak. Memang adalah kisahnya di sebalik segala kejadian, Namun kata Syidah, dia akan kongsikan dalam buku "Dunia Tanpa Suami" jilid 3 nanti.
Seperti jua pertemuan sebelum ini, setiap kali bertemu, pasti bermacam cerita yang ingin dikongsi. Itulah namanya kawan!
Kak Ros punya kes lagi la complicated. Matanya pernah dibedah kerana penderaan suami. Bukan main sedih kisah perjalanan hidup Kak Ros hinggakan satu ketika tu, Kak Ros prejudis dengan sesiapa sahaja termasuk diri ini.
Buat pertama kali, Kak Ros curahkan pada saya, "Roha tau tak? Mula-mula jumpa Roha, Kak Ros prejudis pada Roha dan kawan-kawan Roha. Dalam hati berkata-kata, boleh percaya ke depa ni. Tapi setelah dua tahun lebih kenal Roha. Kak Ros anggap Roha macam adik. Bukan apa, suami Kak Ros dulu pun kalau cakap bab agama....fuhhhh...nombor satu!"
"Takpe Kak, Roha ni pun tak terasa hati kalau ada sesiapa prejudis dengan Roha. Masa tak kenal atau baru kenal memang la kita ada macam-macam prasangka. Bak kata pepatah, "tak kenal maka tak cinta"..." Sejenak kami sama-sama ketawa.
Maka dipertemuan yang ada, seperti juga di setiap kali perjumpaan kami, saya memberikan sedikit motivasi kepada semua ibu tunggal yang hadir pada 9 Mei yang lalu, jam 6.00 - 7.00 petang.
"Memang kalau nak dermakan segala harta kekayaan, memang la Roha ini bukanlah orangnya sebab Roha ni bukanlah seorang jutawan, tidak juga hartawan"...kata saya pada kakak-kakak dan rakan-rakan ibu tunggal yang ada di depan mata. "Namun kalau saya dapat memberikan semangat dan berkongsi kekuatan sesama kita, saya sudah rasa cukup gembira. Habis-habis sangat pun, dapat melihat semua kita tersenyum dan ketawa pun, saya rasa bertuah dan bahagian sangat".
Dan kami semua ketawa ceria sepanjang pengisian diberikan. Seolah-olah tiada kesusahan, kedukaan dan kelukaan.
Untuk apa ditangisi apa yang tiada. Kenapa pula mencari apa yang bukan rezeki. Atas dasar apa pula menyesali apa yang tidak dimiliki. Padahal segala-galanya Allah telah berikan pada kita. Hanya kita yang sering alpa dan lupa.
Sesungguhnya, tiada yang kebetulan dalam kehidupan, hatta gugurnya sehelai daun menimpa bumi. Setiap satunya penuh dengan hikmah yang kalau kita syukuri dan hayati, penuh dengan pengertian, pengajaran dan nikmat dari Ilahi.
~Roha Hassan~
No comments:
Post a Comment