Wednesday, May 20, 2009

Dari Pena Anak Mak Yang Tidak Pandai Mengarang

”Aku memang tidak sepandai anak-anak mak yang lain dalam mengungkapkan kata-kata tentang mak. Kerana itu, aku ingin mulakan perkongsian aku ini dengan kata-kata ini, terima kasih mak!”


Nama ku Salina. Aku masih menuntut di Institut Pendidikan Awal Kanak-Kanak dalam jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.


Aku adalah anak bongsu dalam keluarga kami. Nama mak ku ialah Zainab binti Salleh. Nama abah ku pula, Hassan bin Ali.Mak meninggal ketika aku masih berada di bangku sekolah. Tidak dapat aku membalas segala jasa dan pengorbanan mak. Malahan ketika mak pergi mengadap Ilahi, aku dalam keadaan masih memerlukan perhatian dan kasih sayang mak.

Betapa sedih dan hancurnya hati ini ketika emak menghembuskan nafas yang terakhir. Namun aku pasrah, semua itu sudah suratan takdir. Kematian dan kehidupan Allah yang menentukan. Lama kelamaan aku mampu menerima pemergian ibu dengan penuh keredhaan.

Ketika melihat kerancakan kakak ku menulis tentang mak. Aku juga terasa teringin benar menulis sesuatu tentang mak. Namun aku tidak sebijak kakak dalam menyusun kata-kata. Dia sudah biasa menulis.


Aku pula, menulis bukanlah sesuatu yang mudah. Kadangkala untuk menyiapkan satu artikel aku akan mengambil masa berjam-jam untuk menyiapkannya. Kadangkala bila kepupusan idea, aku berhenti seketika dan memerlukan hari esok dan seterusnya untuk menyiapkannya.

Namun aku kepingin sekali menuliskan betapa aku amat berterima kasih pada mak. Maka dengan segala kekurangan yang ada aku mulakan coretan ini. Walaupun coretan ini amat biasa dan ringkas, aku berharap ia menjadi satu perkongsian yang bermakna.

Terutamanya oleh golongan muda yang satu hari nanti akan mendirikan rumahtangga, menjadi isteri dan ibu. Kata mak, dengan menjadi ibu, seorang anak akan lebih memahami dan menghargai setiap jasa ibunya.

Terlalu banyak ucapan penghargaan dan terima kasih ingin aku berikan pada mak. Walaupun aku sering mengucapkannya ketika mak masih hidup. Tapi semua itu belum cukup. Sebab itulah dalam tulisan yang ringkas ini aku cuba lakarkan betapa aku amat berterima kasih pada mak.


Terima kasih Mak Kerana Telah Melahirkan Aku


Pertamanya aku ingin mengucapkan terima kasih kerana mak telah melahirkan aku ke dunia ini. Tentu mak bersusah payah ketika melahirkan aku. Kata kakak, masa mak mengandungkan aku, mak aktif macam biasa. Bawa perut mak yang semakin hari semakin besar itu ke bendang dan ke sana sini. Mak masih memasak dan buat kerja rumah macam selalu.

Kadang-kadang mak angkat benda-benda berat masa abah tiada di rumah.Setelah cukup masanya, mak melahirkan aku ke dunia dengan penuh susah payah. Maklumlah aku ni anak bongsu dan umur mak sudah hampir empat puluh tahun ketika itu. Bayangkan kemudahan bersalin yang serba kekurangan ketika itu, tentu mak bertarung nyawa melahirkan aku.

Mak memang wanita mulia yang sembilan kali telah menyabung nyawa untuk melahirkan kami semua. Walaupun anak-anak mak ramai, mak tidak pernah bersungut menyesal melahirkan kami.


Sesungguhnya kelahiran kami bagi mak adalah anugerah daripada Allah yang mak amat mensyukuri dan menghargai. Sebab itu mak tidak pernah mengabaikan kami.

Terima kasih Mak Sebab Jaga Aku Dengan Baik

Kata kakak, aku selalu sakit-sakit ketika masih bayi. Macam-macam usaha mak lakukan agar aku segera sembuh. Mak bawa aku ke sana ke mari. Dari perubatan moden hinggalah perubatan tradisional. Mak usahakan apa sahaja. Kata Kakak, kalau mak tidak usahakan segala-galanya untuk kesihatan aku, barangkali kedua-dua tangan aku tidak boleh digerakkan.

Terima kasih mak kerana dua tangan yang sempurna ini. Walaupun aku masih belum dapat makan dengan baik menggunakan tangan kanan, aku tahu ia lebih baik daripada kedua tangan yang lumpuh.

Walaupun kami bukan orang senang, pakaian kami sentiasa bersih. Tempat tidur kami juga sentiasa tersusun. Mak tidak mahu anak mak rasa terasing atau terpencil apabila bergaul dengan orang lain. Sebab itu, mak akan berusaha sedaya upaya untuk melengkapkan keperluan anak-anak mak seperti anak-anak orang lain juga.

Aku juga agak beruntung ketika itu memandangkan dua orang kakak ku sudah mula bekerja. Manakala adik beradik yang lain masih bersekolah. Gaji kakak kecil sahaja sebab mereka berdua tidak bersekolah tinggi. Tapi sekurang-kurangnya ringan lah beban mak dan abah. Segala penjagaan mak yang rapi ketika aku masih kecil memang amat baik berbanding dengan pengetahuan dan kelulusan mak.

Ketika menjadi guru TADIKA dan kini belajar di bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak, aku boleh bandingkan apa yang ibu lakukan ketika menjaga aku berbanding dengan apa yang dilakukan oleh generasi hari ni memang berbeza. Mak telah menjaga dan membesarkan aku dengan baik sehingga ke akhir hayat maTerima kasih Mak Sebab Tidak Pernah Gagal Sediakan Sarapan Buat ku

Mak tidak pernah gagal menyediakan sarapan pagi buat aku. Dari nasi goreng hingga nasi lemak ikan bilis, mak tidak lupa menyediakannya. Aku sentiasa dalam keadaan kenyang. Prinsip mak dalam pendidikan anak-anak ialah, anak-anak yang kenyang dan ada ilmu tidak akan melakukan perbuatan yang tidak baik bila berada di tengah masyarakat.



Dapatkan Buku Ibu Madrasah Pertama Ku untuk mengetahui kisah selanjutnya...hasil pena anak mak yang tidak pandai mengarang.
Untuk mengetahui lanjutan dari kisah ini. Dapatkan buku, Ibu Madrasah Pertama Ku dengan menghubungi Roha Hassan (012-4317948) atau Nazirah/Murni (03-41073379).
~Roha Hassan~

No comments: