Friday, April 2, 2010

Secawan Kopi Untuk Aku Dan Sahabat

Assalamualaikum wbt...

Pagi ini ketika bertemu salah seorang pelanggan. Aku sempat membaca berita dari sebuah akhbar tempatan yang menceritakan kisah seorang remaja tingkatan dua telah merogol teman sekelasnya. Pedihnya hati ini ketika membaca kisah tersebut.

Rasa tersayat hati ini. Lalu aku dapatkan secawan kopi. Sambil menikmati kopi yang hitam itu aku memikirkan debu-debu hitam yang sedang mencemarkan nilai-nilai murni remaja hari ini. Bukan sesuatu yang asing bila jenayah dan remaja hari ini digandingkan.

Aku benci gandingan itu. Bagaimana mungkin bakal pemimpin masa depan boleh berjalan seiringan dengan rogol, dadah, zina, pembuangan bayi, pembunuhan, ragut, curi, lepak dan banyak lagi.


Aku cuba tersenyum ketika menikmati secawan kopi bersama sahabat. Kopi ku hirup sambil tersenyum sebab aku yakin senyum pengubat hatiku yang sedang kesedihan. Namun kopi yang kuhirup terasa pahit. Mungkin aku tidak patut minum kopi sebab ada sesetengah orang menyatakan dalam kopi ada kandungan kafein yang ada ketikanya boleh memudaratkan.

Namun bukan kisah kafein yang menyentuh hatiku, namun pahit manis kehidupan yang lebih menambat hatiku untuk merasa serta menyentuh mindaku untuk berfikir.

Memang tidak dinafikan hidup adalah satu pelayaran buat seorang hamba Tuhan menuju ke negeri yang abadi. Tempat abadi yang kekal. Ada yang Indah lagi menyenangkan. Itulah syurga ciptaan Ilahi yang tidak tergambar keindahannya namun sentiasa menjadi impian dan harapan semua makhluk. Tidak kira siapa, mereka mahukan syurga.

Namun makhluk Tuhan yang mampu membezakan yang benar atau salah, yang pahit atau manis, yang baik atau jahat, yang buruk atau cantik akan segera memahami, pasti sedar, disebelah dunia abadi yang indah itu adanya dunia abadi yang buruk lagi menakutkan. Di dalamnya api yang membakar, air yang menggelegak, makanan dari buah-buahan berduri serta minuman dari darah dan nanah. Itulah Neraka. Satu ciptaan yang sifatnya berlawanan dengan sifat sebuah syurga.

Bacalah Dengan Nama Tuhanmu. Bacalah Al-Quran. Ikutilah sunnah RasululLah SAW. Di sana ada penceritaan tentang syurga dan neraka. Al-Quran dan As-sunnah bagai bintang penyuluh dimalam hari, bersinar bak mentari di kala siang menjelang. Ia bagai rumah api, memberi petunjuk kepada kapal yang berlayar di tengah lautan luas. Pendekata, Al-Quran dan As-sunnah adalah pedoman untuk insan yang berlayar menuju ke negeri yang abadi.

Jangan biarkan pahit kehidupan memusnahkan seluruh perjuangan. Jangan juga mencemarkan seluruh kebaikan dengan noda-noda hitam dosa dan kejahatan hanya kerana kita bangga sebagai manusia.

Hidup di dunia baik yang putih atau hitam sememangnya ketentuan Tuhan! Namun Tuhan tidak akan mengubah nasib seorang manusia itu jika manusia itu tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubahnya.

Kita boleh menentukan rasa kopi. Jika ingin yang pekat, cair, manis atau masin. Kita boleh menentukan jenis dan kualiti kopi yang menjadi pilihan. Kita juga boleh menentukan untuk minum secawan kopi atau hanya segelas air putih. Setelah berusaha dan memilih kembalikan penyelesaiannya kepada Allah.

Tanpa izin Allah, seorang insan boleh hilang seleranya untuk minum secawan kopi buat selama-lamanya.

Dengan kehendak Allah juga segelas air putih boleh menjadi sesuatu yang sukar untuk diperolehi oleh seorang hamba Tuhan di sebuah negara yang mengalami kemarau yang panjang.

Kseimpulan yang ingin dikongsikan disini ialah, untuk setiap manusia, baik remaja, belia atau dewasa, Tuhan memberikan ruang untuk memilih. Kita boleh memilih yang hitam atau putih yang baik atau jahat. Setelah memilih, berusahalah diatas jalan kebaikan yang kita pilih. Selepas itu berserahlah kepada Allah.

Jangan katakan, memilih kejahatan itu adalah satu takdir sebelum kita berusaha melakukan kebaikan. Setelah berusaha bertawakkallah kerana bukan sedikit manusia jahat menjadi baik kerana keinginannya untuk berubah. Tidak sedikit pula manusia baik menjadi jahat bila diri mula riya', sombong dan merasa cukup dengan kebaikan yang dilakukan. Padahalnya iman kita sentiasa ada turun naiknya. Manakala syaitan tidak pernah penat dan putus asa!

~Roha Hassan~

Jom Solat Jumaat

Assalamualaikum wbt...Jom kita jawab soalan-soalan berikut :

1. Negeri Apakah yang mottonya, "Membangun Bersama Islam"?
2. Yang kebanyakan peniaganya orang Melayu?
3. Yang kedai-kedainya ditutup pada hari jumaat
4. Yang Menteri Besarnya seorang ulama.

Jawapannya: Sila jawab sendiri..:-)


Apa-apapun saya nak ajak..Jom ke Kelantan!

Antara yang saya sukai ialah suasana persekitarannya, makanan dan rakan-rakan yang baik.
Sekurang-kurang hati terasa lapang bila mendengar pengumuman, "Para Pembeli diminta menyelesaikan pembayaran serta merta kerana Pasaraya ini akan ditutup bagi membolehkan para muslimim menunaikan solat jumaat". Pasaraya akan dibuka kembali pada jam 2.30 petang.

Memang bagus sikap seperti ini memandangkan solat jumaat adalah solat jemaah yang dilakukan seminggu sekali. Ia sangat penting dalam mengukuhkan hubungan ukhuwah sesama muslim.


Memang ramai majikan yang tidak prihatin dengan solat pekerja masing-masing. Begitu juga dengan para pekerja lelaki yang kadangkala tidak kisah untuk menunaikan solat jemaah. Bagi saya, seorang lelaki yang baligh sepatutnya bersolat jumaat secara konsisten. Bukan selang-selang atau sekali sekala atau tak buat langsung.

Semoga dengan kesungguhan untuk menunaikan solat jumaat dapat mengukuhkan peribadi seorang muslim disamping mengeratkan ukhuwwah dan silaturrahim!


~ Roha Hassan ~



Indahnya Alam Ciptaan Ilahi

Salam..

Indahnya pagi ini, itulah ungkapan yang terlintas dalam pemikiran ini ketika memandang alam ciptaan Allah.

Menggunakan kamera biasa, saya sempat merakamkan beberapa keping foto keindahan alam yang luar biasa, dalam perjalanan menuju ke KLIA.

Destinasi yang ingin dituju ialah Kelantan.


Apabila melihat alam ciptaan Allah ini, saya teringat ayat-ayat suci al-quran dan al-hadis yang menceritakan tentang keunikan dan keajaiban alam ciptaan Tuhan.

"Dia-lah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak terhadap langit, lalu di jadikanNya 7 lapisan langit. Dan Dia maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah al-Baqarah; 29)

"Maka Dia menjadikannya tujuh langit dalam dua masa dan Dia mewahyukan pada tiap-tiap langit urusannya. Dan Kami hiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang yang cemerlang dan Kami memeliharanya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui." (Surah Fusilat; 12)


Alam mengandungi sejuta pelajaran dan pengajaran yang boleh diambil oleh manusia. Ia adalah salah satu formula untuk kita lebih rapat dan dekat dengan Tuhan jika kita benar-benar berfikir.

Alam yang begitu unik dan tidak mungkin diciptakan oleh insan. Sesuatu yang tiada cacat celanya pastinya dari Tuhan bukan insan atau makhluk

Manusia yang berfikir akan menyedari bahawa alam yang Tuhan jadikan penuh dengan rahsia ini adalah semata-mata untuk
kebaikan semua mahkluk Tuhan. Sebab itu menyayangi dan menyantuni alam adalah merupakan salah satu tanggungjawab insan.

Manusia dan alam memiliki perhubungan yang sangat erat. Oleh itu, kita wajib mengasihi dan memelihara alam sebaik-baiknya.

Mencemari dan menyakiti alam hanya akan membawa kepada kemusnahan.

Malahan segala keindahan yang ada ini mungkin lenyap dari mata dan tidak mampu kita nikmati lagi selama-lamanya

~Roha Hassan~

Sunday, March 28, 2010

Karnival Verandah Seni 2010 (02) - Jom Beli

Disertakan beberapa bahan yang dipamer dan dijual sepanjang Karnival...Tunggu apa lagi.

Jom singgah dan beli!

6. Jualan Mawar oleh Roha's Rizqi

7. Hasil kraftangan dari Daun Getah - Sila tanya pakarnya, Puan Hanani

8. Bunga Ros kuning di gerai Roha's Rizqi


9. Dapatkan pasu-pasu menarik dan murah di gerai Danial


10. Inipun cantik juga, dapatkan ia digerai Danial




11. Ada banyak lagi seni hiasan seramik di Karnival Verandah Seni 2010




Apa lagi....JOM SINGGAH SAMBIL MEMBELI DI KARNIVAL VERANDAH SENI, PERKARANGAN MBPJ....:-)



~ Roha Hassan ~

Karnival Verandah Seni 2010 (01) - Jom Singgah

Salam Sejahtera..

Jom kawan-kawan kita ke perkarangan MBPJ.
1. Ada Karnival Verandah Seni 2010 yang berlangsung mulai 26 Mac - 04 April 2010. Program ini anjuran, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) dan Verandah Asia serta organisasi yang terlibat dengan gerai jualan dan pameran.
2.Tema untuk Karnival kali ini iaitu, ”Art of Life” atau ”Seni dalam Kehidupan” sangat bertepatan dengan usaha Majlis Bandaraya Petaling Jaya dalam mengekalkan keindahan dan kehijauan landskap Bandaraya Petaling Jaya. Keindahan landskap yang menggabungkan kehijauan alam dan hasil seni insan mampu menjadi daya tarikan para pengunjung untuk ke Bandaraya Petaling Jaya. Ini selaras dengan kehendak kerajaan yang sentiasa berusaha ke arah menjadikan Malaysia sebuah Negara Taman Terindah Menjelang 2020.
3. Kemajuan dalam industri landskap ini melibatkan individu professional seperti arkitek landskap, malah kontraktor, pembekal bahan-bahan tanaman, input binaan landskap dan lain-lain lagi. Proses dalam industri ini bermula dengan reka bentuk oleh arkitek landskap, direalisasikan oleh kontraktor dengan mendapatkan bahan-bahan landskap kejur dan lembut daripada para pembekal dan bahan tanaman elemen landskap. Lanjutan daripada itu, kawasan yang telah dilandskapkan pula perlu diselenggara dan dijaga bagi memastikan ia kekal dan menghasilkan impak seperti yang diharapkan. 4. Karnival yang berlangsung sejak, Jumaat 26 Mac hingga 04 April 2010 ini turut disertai oleh berbagai-bagai Institusi Kerajaan, Swasta, Institusi Pengajian Tinggi, Media dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Di samping itu, difahamkan juga berbagai jenis bahan landskap, bengkel kesenian dan pertandingan turut diadakan bagi memeriahkan lagi suasana Karnival. Tambah menarik bila Taman Rusa dan persekitaran Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya dijadikan tempat berlangsungnya Karnival.
5. Banyak pasu-pasu yang menarik, bunga Ros yang cantik, hiasan laman yang indah dan banyak lagi yang bukan sahaja indah dipandang tapi mampu dibeli.

Jom kita sama-sama ke Karnival Verandah Seni 2010! Pasti ada sesuatu yang menarik untuk dilihat dan dibeli!



~ Roha Hassan ~

Saturday, March 6, 2010

Diari Seorang Tetamu Allah (04) – Pentingnya Teman Yang Setia

Assalamualaikum wbt...
“Ya Allah kurniakan teman yang lebih baik supaya aku dapat memberikan tumpuan terbaik ketika beribadah di Tanah Suci Mu” . Begitulah doa saya ketika berada di tanah suci.


Pergi ke Tanah suci seorang diri tanpa ditemani oleh sesiapa yang benar-benar ada talian atau ikatan dengan kita sememangnya susah. Tetapi ia bukan halangan. Saya sudah mengalaminya, hinggalah saya membacakan doa di atas.

AlhamdulilLah, Allah mengurniakan teman yang baik selepas sedikit kesukaran yang saya alami dengan sahabat yang saya kenal sejak di Malaysia lagi. Mereka orang-orang baik, cuma saya memerlukan teman yang lebih baik ketika berada di Tanah Suci. AlhamdulilLah saya telah ditemukan dengan ramai teman yang banyak membantu. Paling tidak dilupakan jasa Sarina, Kak Rus dan Abang Raof.

Sebenarnya ada ramai lagi, namun mereka bertiga lah yang paling banyak membantu dan menghabiskan masa bersama saya. Terima kasih wahai sahabat dan teman tidak kiralah apa sumbangan yang diberikan sebelum, ketika dan setelah pulang ke Tanah suci.

Setiap bantuan dalam bentuk wang, nasihat, bantuan walaupun sedikit amat saya hargai. Untuk yang menyakiti, melukakan dan menyusahkan diri ini tidak kira dimanapun berada dan atas alasan apa, anda telah dimaafkan!

Pada dasarnya, kita sering menjadikan wang, masa, ilmu dan muhrim sebagai perkara asas untuk menunaikan ibadah haji. Memang benar, ketiga-tiga elemen ini sangat penting. Namun ada perkara lain yang tidak kurang pentingnya iaitu teman.

Teman ialah orang yang akan bersama-sama dengan kita sepanjang masa kita berada di tanah suci.


Ada beberapa senario yang ingin dikongsikan tentang teman. Semua ini boleh dilihat ketika kita berada di Tanah Suci.

1. Senario pertama – suami dan isteri saling menjadi teman atau sahabat antara satu sama lain. Namun bila di tanah suci tidak kurang pula pasangan suami isteri yang ”berperang” kerana peristiwa yang kecil. Tidak kurang pula yang saling berkecil hati sebab hal-hal yang kecil contohnya tidak naik bas bersama dari Padang Arafah ke Mina atau dari Mina kembali ke hotel. Atau naik bas yang berlainan ketika aktiviti ziarah.
2. Senario kedua – anak-anak peneman ibu bapa. Menemani ibu atau bapa apatah lagi kedua-duanya menunaikan ibadah haji adalah tugasan yang mulia. Namun melebihkan isteri atau suami kadangkala mengguris hati ibubapa yang sebenarnya perlukan teman dan lebih banyak masa untuk ditemani. Banyak kali kami melihat lelehan airmata ibu yang ditinggalkan oleh anak.
3. Senario ketiga – adik beradik sepatutnya menjadi teman/sahabat antara satu sama lain. Semakin kukuh ikatan kekeluargaan, sepatutnya bertambah keinginan dan kesungguhan saling menemani dalam menunaikan ibadah sepangjang masa di tanah suci. Namun di Tanah Suci, ada adik beradik seakan tidak mengenali antara satu sama lain.
4. Senario keempat – geng bujang atau yang belum berumahtangga atau ibu tunggal juga memerlukan teman seperti orang lain. Namun banyak sekali peristiwa yang menyedihkan berlaku di tanah suci. Seringkali orang yang belum berumahtangga atau ibu tunggal diabaikan oleh rakan, teman atau sahabat ketika di tanah suci.


Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kepentingan dan keperluan teman, mari kita hayati nasihat oleh Lukmanul Hakim dan Iman al-Ghazali seperti berikut.

Antara pesanan Luqmanul Hakim kepada anakandanya berkaitan dengan teman ialah, "Puteraku, janganlah kamu meninggalkan temanmu yang pertama. Sekiranya itu kamu lakukan maka temanmu yang kedua tidak tenang berteman denganmu. Puteraku, carilah seribu teman, kerana seribu teman itu terasa sedikit. Janganlah kamu mencari seorang musuh sahaja, kerana seorang musuh itu sudah terasa banyak.”

Daripada pesanan ini mengertilah kita betapa pentingnya hidup berteman. Memiliki teman adalah lebih baik berbanding dengan mereka yang hidup berseorangan. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh pula menafikan bahawa terdapat kawan yang menyusahkan kawan.

Dalam bab kawan menyusahkan kawan ini, Luqmanul Hakim memberikan pesanan ini kepada anakandanya, “Puteraku, jauhilah teman yang jahat kerana teman yang jahat ibarat pedang yang terhunus. Bentuknya membuatmu kagum namun bekas (luka yang disebabkannya) sangatlah buruk.”

Memang berbeza sekali bandingan antara teman yang baik dengan teman yang jahat. Teman yang baik tidak akan mengkhianati dan menyakiti kita. Sebaliknya teman yang jahat atau tidak baik memang mampu menghancurkan kita. Sebab itulah kita memerlukan serba sedikit panduan untuk mencari teman yang baik.





Dalam bukunya, Ihya’ Ulumuddin atau Bimbingan Mukminin, Imam al-Ghazali menulis pesanan berikut sebagai panduan untuk kita memilih kawan atau sahabat.

Menurut al-Ghazali, Alqamah berpesan kepada puteranya, katanya: “Wahai anakku! Kiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

1. Jika engkau membuat bakti kepadanya, dia akan melindungimu

2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu.

3. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, dia akan membantumu.

4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.

5. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, dia akan menghargai dan menyebut kebaikanmu.

6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, dia akan menutupnya.

7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya.

8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu untuk meminta), dia akan menanyakan kesusahanmu.

9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).

10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkanmu.

11. Jika engkau merancang sesuatu, nescaya dia akan membantumu.

12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.



Manakala Abu Sulaiman ad-Darani pula berpesan: Jangan sekali-kali engkau bersahabat melainkan dengan salah seorang daripada dua orang berikut:

1. Orang yang engkau berasa senang dengannya dalam menguruskan hal-ehwal keduniaan.

2. Orang yang engkau dapat menambah faedah dan manfaat dalam hal-ehwal keakhiratan.



Di Tanah Suci, teman yang kita kenal di Tanahair bagaikan orang yang tidak dikenal. Itulah ujian namanya. Namun ada pula "orang asing" tiba-tiba menjadi teman. Itulah kurnian dari Tuhan. Apa-apapun berdoalah di depan Kaabah bila di Tanah Suci agar kita dikurniakan teman yang mampu mengukuhkan lagi hubungan kita dengan Allah.


~Roha Hassan~

Sunday, February 28, 2010

Sungguhkah Kita Kasihkan RasululLah saw (01)

Assalamualaikum wbt...


Kita baru sahaja meyambut "Maulidur Rasul" beberapa hari yang lalu. Selawat dan salam keatas junjungan besar RasululLah saw. Saya yakin ramai yang rindukan RasululLah saw setiap kali selewat keatas insan yang paling mulia dan berpengaruh ini berkumandang.


Namun, sejauh manakah kasih kita kepada RasululLah saw? Hanya Allah yang tahu. RasululLah saw telah meninggalkan dua perkara yang dijanjikan dapat menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat kepada pengamalnya. Dua perkara tersebut ialah, "Al-Quran dan As-sunnah".

Sesungguhnya, diri ini bukanlah yang terbaik dalam membicarakan tentang RasululLah apatah lagi hadis-hadis yang baginda saw tinggalkan sebagai panduan.

Saya hanyalah insan biasa yang berazam untuk melaksanakan sebanyak mungkin panduan baginda insyaAllah. Oleh itu, saya kongsikan apa yang saya pelajari daripada salah satu hadis baginda saw.

RasululLah saw bersabda,

Mafhum Hadith Rasulullah SAW :
`Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara yang lain : keadaan hidupmu sebelum datangnya mautmu, keadaan kamu lapang sebelum kamu didatangi kesibukan, keadaanmu berada dalam kekayaan sebelum datangnya kemiskinan, keadaan mudamu sebelum datangnya tuamu dan keadaan sihatmu sebelum datangnya keadaan sakitmu.’



Berapa banyakkah wang yang kita belanjakan demi kesihatan? Berapa banyak pula masa yang kita peruntukkan untuk kesihatan? Berapa banyak pula usaha kita untuk memastikan kita sentiasa sihat?

Jawapannya pasti berbeza antara satu sama lain.

Mungkin ada yang berpandangan, kesihatan adalah sesuatu yang susah untuk diukur. Ada setengah orang nampak "sihat" tapi sebenarnya "sakit". Ada pula yang kelihatan "sakit" tapi sebenarnya "sihat".

Apapun pandangan kita, kesihatan adalah sesuatu yang boleh dijaga, diramal dan diukur. Teknologi hari ini memungkinkan kita melakukan beberapa amalan pencegahan dalam mengekalkan kesihatan. Sesungguhnya tiada penyakit yang tidak boleh diubati kecuali tua dan mati.

Namun dalam persoalan kesihatan ini, ada beberapa perkara yang tidak boleh kita nafikan iaitu;

1. Sihat itu nikmat. Hayatilah hadis RasululLah saw yang saya kepilkan diatas. Betapa RasululLah telah mengingatkan betapa pentingnya kesihatan. Bila kita sihat, mudah untuk beramal. Bila kita sihat mudah mencari rezeki. Bila kita sihat mudah untuk kita melakukan amar maaruf nahi mungkar. Sayang sekali, ramai diantara kita tidak menyedari bahawa sihat itu satu nikmat hinggalah kita jatuh sakit!


2. Setiap nikmat perlu dijaga. Yang dinamakan nikmat itu adalah satu anugerah. Maka jagalah ia. Namun berapa ramai diantara kita yang menjaga kesihatan? Atau kita biarkan sahaja masa, keadaan dan alam yang menentukan. Bagi kita selagi kita boleh bernafas dan setiap anggota tubuh kita berfungsi dengan baik, kita sudah anggap diri kita sihat.

3. Bila kita kata kesihatan itu satu nikmat, bersyukurlah. Bersyukur perlu dilafazkan dan dijelmakan dengan perbuatan. Bukan sekadar bisikan dalam hati. Sebagai tanda kesyukuran diatas tubuh yang sihat, kita menjaga "kebajikan" tubuh kita secara fizikal, mental, emosi dan spiritual. Atas dasar syukur tubuh yang sihat tidak boleh digunakan untuk apa-apa perkara dan tujuan yang merupakan penderhakaan kepada yang Maha Pemberi kesihatan itu, yakni Allah. Tubuh yang sihat adalah untuk berbakti kepada Tuhan, insan dan alam. Bukan sebaliknya.


4. Melaburlah Demi Kesihatan. Pelaburan demi kesihatan bukanlah sesuatu yang merugikan. Memang benar jika kita berbelanja untuk kesihatan, kita tidak akan menikmati hasilnya dalam bentuk material yakni wang atau harta benda. Tapi pelaburan untuk kesihatan adalah satu pelaburan yang sangat menguntungkan. Kalau tidak percaya, tanyalah pada yang diuji dengan sakit dan penyakit. Pasti mereka boleh berikan tazkeerah agar kita lebih mengerti untung rugi melabur untuk kesihatan. Sebabnya, kos mengubati biasanya jauh lebih besar daripada kos pencegahan.

5. Kesihatan Adalah Hak Setiap Insan - Setiap insan berhak untuk sihat dan bahagia. Ia bukan milik orang-orang tertentu sahaja. Ia milik semua bergantung kepada Allah swt. Allah yang akan menentukan untuk siapa nikmat itu akan diberi. Bukan orang kaya sahaja yang berhak hidup sihat, orang yang sederhana kaya atau miskin juga berhak memilikinya. Kadang-kadang orang yang kurang hartanya lebih sihat dari yang kaya raya dan berharta. Apapun yang pasti, setiap insan yang berusaha dan berdoa untuk sihat, mereka berhak untuk sihat...insyaAllah.

6. Nak Sihat Ada Macam-Macam Cara - Dari pemakanan hingga senaman, ada banyak cara untuk kita mengekalkan kesihatan. Makanan yang mahal tidak semestinya menyihatkan! Ulam-ulaman yang dipungut dibelakang rumah kadangkala lebih berzat dan menyihatkan. Yang pasti ada banyak makanan yang menyihatkan disamping yang merosakkan. Selain makanan ialah aktiviti-aktiviti untuk menjadikan kita sentiasa sihat dan cergas seperti aktiviti riadah dan rekreasi.


7. Sihat Ertinya Cantik, Cantik Ertinya Sihat - Kalau ingin kelihatan cantik, tentulah kena sihat terlebih dahulu. Ada ramai wanita hari ini sanggup mengabaikan kesihatan demi kecantikan. Nak tahu lebih lanjut dapatkan maklumat daripada "Persatuan Pengguna Negeri Pulau Pinang" melalui
www.cap.org.my. Dalam bab cantik dan sihat ini, bagi yang mampu sekali sekala manjakanlah diri dengan mengunjungi spa yang menawarkan khidmat demi kecantikan dan kesihatan. Bukan hendak berkempen, cuma mencadangkan salah satu cara..:-). Banyak lagi cara, ikut kemampuan dan keselesaan masing-masing.

8. Halal dan Haram Perlu Dijaga - Sekalipun ingin sihat. Makanlah dari rezeki yang halal. Jika kita membeli makanan yang halal menggunakan duit yang haram, haram juga hasilnya. Begitu juga jika kita membeli makanan yang haram dengan duit yang halal, mungkin tubuh kita akan sihat? Begitu juga jika kita beriadah dan berekreasi sambil membuka aurat, boleh kesihatan itu menjadi satu nikmat yang membawa keberkatan. Ada banyak cara yang halal bagi memastikan kita sihat...insyaAllah.

9. Mencegah Adalah Lebih Baik Dari Mengubati. Pepatah ini memang ada benarnya. Oleh itu, pemeriksaan kesihatan secara berkala perlu bagi memeriksa tahap kesihatan kita dari masa ke semasa. Usahlah tunggu sehingga sakit ye...kita boleh mengubahnya! InsyaAllah.

Kesimpulannya, jadilah muslim yang sihat dan kuat sebagaimana yang dipesan oleh baginda RasululLah saw. Sungguh banyak sekali hikmah dan nikmat disebalik tubuh yang sihat dan kuat. Bahkan, muslim yang kuat lebih dikasihi oleh Allah.


~Roha Hassan~
28 Feb 2010