Nama saya Nadira. Saya berusia 15 tahun dan masih bersekolah. Saya amat meminati seorang pelajar senior yang belajar di sekolah yang sama dengan saya. Namun saya sangat sedih bila baru-baru ini, dia telah memaklumkan pada rakan saya bahawa dia tidak sukakan saya kerana saya tidak cantik. Saya sedih sangat dengan kata-katanya. Saya kecewa sebab dilahirkan tidak cantik. Saya harap Kak Roha dapat memberikan semangat supaya dapat mengurangkan kesedihan hati saya.
Nadira,
Kuala Lumpur
--------------------
Jawapan
Assalamualaikum wbt…
Adik Nadira. Semoga sentiasa sihat dan ceria selalu. Kak Roha bersimpati dengan apa yang menimpa Nadira.
Apa kata kita mulakan perkongsian ini dengan melihat dan memahami istilah cantik dan kecantikan itu sendiri. Berikut ialah antara takrifan daripada kamus dewan berkaitan dengan kecantikan.
Menurut, Tesaurus Bahasa Melayu Dewan (1998), cantik ialah indah, elok, bagus, molek, ayu, lawa, jelita, rupawan, juita, bergaya, berupa, kacak, tampan, gombang, kirana, mongel, laksemi, ganteng, jambu, manis, kecil molek, menawan, menarik, segak, jombang, anggun.
Manakala dalam buku “Anggun diluar, serlah pesona dari dalam” keluaran PTS, penulis memberikan pandangan bahawa kecantikan ialah, “Secara umumnya, cantik bergantung pada persepsi. Ada benda ataupun perkara dilihat cantik oleh sesetengah orang dan sesetengah yang lain tidak melihatnya sebagai cantik. Ada orang melihat barangan antik itu cantik dan ada yang tidak. Oleh sebab persepsi setiap individu pada maksud cantik berbeza-beza, maka tidak ada perkara yang konkrit dapat dikaitkan dengan cantik.
Sebenarnya setiap makhluk ciptaan Allah di muka bumi ini adalah ciptaan yang sangat cantik. Manusia amat istimewa dan berlainan dengan makhluk lain. Rupa fizikal manusia memang cantik jika dibandingkan dengan ciptaan Allah yang lain. Disamping itu, cantik bukan sahaja merujuk kepada kecantikan fizikal semata-mata sebaliknya ia adalah kombinasi kecantikan fizikal, kualiti iman, keindahan akhlak serta kesempurnaan ibadah seseorang.
Sekurang-kurangnya seorang remaja yang cantik sepatutnya :
1. Bercita-cita tinggi dan mempunyai wawasan - Pada usia muda, seseorang remaja harus memiliki wawasan hidup. Anda mesti tahu arah dan matlamat yang ingin dicapai.
2. Tahu membezakan di antara yang baik dan buruk
Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya di antara kami ada orang yang taat dan ada pula orang yang menyeleweng daripada kebenaran. Barangsiapa yang taat maka mereka itu benar-benar sudah memilih jalan yang lurus, ada pun orang yang menyimpang daripada kebenaran, maka mereka menjadi kayu api bagi neraka jahannam.” (Surah Al-Jin : 14-15)
3. Sayangkan diri, keluarga dan masyarakat - Seseorang remaja mesti sayangkan diri sendiri, sayangkan ibu bapa serta mengasihi setiap ahli keluarga. Mereka berusaha mengukuhkan hubungan kekeluargaan, menyayangi jiran dan ahli masyarakat. Mereka tidak derhaka terhadap ibu bapa dan keluarga atau menyakiti jiran dan masyarakat. Sabda Rasulullah, maksudnya: “Tidaklah sempurna iman salah seorang di antara kalian sehingga dia menyintai saudaranya sebagaimana dia menyintai dirinya sendiri.”
4. Berilmu pengetahuan dan bermaklumat - Seseorang remaja mesti mendapatkan sebanyak mungkin ilmu secara formal atau tidak formal. Ilmu akademik penting untuk masa depan kehidupan. Ilmu kerohanian untuk mencantikkan jiwa dan dalaman manakala ilmu pengurusan bagi mengurus diri.
5. Menjaga kesihatan fizikal, jiwa dan minda - Kesihatan fizikal mesti dipelihara dengan memberikan hak yang sepatutnya kepada tubuh. Lakukan aktiviti yang menyihatkan badan. Makanlah makanan seimbang dan berkhasiat. Elakkan daripada mengambil sesuatu yang boleh merosakkan kesihatan dan minda seperti rokok, arak dan dadah.
Apa yang dikongsikan disini adalah untuk mengingatkan Nadira bahawa kecantikan bukan sekadar pada bentuk fizikal dan rupa paras semata. Dengan melaksanakan beberapa panduan seperti di atas, Nadira juga mampu menjadi gadis yang sangat cantik.
~Roha Hassan~
No comments:
Post a Comment