Tuesday, December 16, 2008

Usahlah Bersedih Sayang


Sahabatku dan adik-adik yang dikasihi,
Dikongsikan sebuah lagi kisah sebagai pengajaran kita bersama.
Sesungguhnya setiap kita memiliki kisah sedih masing-masing. Namun, setiap pemergian ada hikmahnya. Setiap kehilangan ada gantinya. Setiap kesedihan ada kegembiraannya.

Oleh itu, Usahlah bersedih sayang.
Mari kita kongsikan kisah berikut. Semoga bermanfaat.
----------------------
Kak Roha, kawan baik saya sudah enam bulan meninggal. Tapi saya masih bersedih dengan kematian dia. Hari-hari saya menangis. Saya tidak dapat melupakan segala-galanya tentang kawan baik saya tersebut. Tambahan pula, dia meninggal kerana terlibat dengan kemalangan. Setiap hari bila kesekolah, saya akan teringatkan kenangan kami di sekolah. Gelak ketawa dan gurau senda kami bersama menghantui saya.

Bagaimanakah saya dapat mengurangkan kesedihan yang saya alami ini? Saya bukan ingin melupakan dirinya, Cuma saya tidak tahu bagaimana untuk melalui semua ini kerana ia turut memberikan kesan terhadap pembelajaran saya. Mohon bantuan Kak Roha.

Wawa
Rawang
------------------------------------------

Jawapan,

Assalamualaikum wbt…

Adik Wawa,

Mari kita bersama-sama membaca al-fatihah dan berdoa agar ruh kawan baik Wawa di masukkan bersama dengan golongan mereka yang soleh dan dirahmati oleh Allah.

Wawa, pada pandangan Kak Roha kesedihan bukanlah sesuatu kesalahan. Begitu juga dengan kematian. Setiap yang hidup pasti akan menemui mati. Cuma cara, masa dan tempat kejadian adalah ketentuan Tuhan.

Firman Allah swt dalam surah al-Jumu’ah ayat 8 bermaksud, ”Katakan bahawasanya maut yang kamu sekalian ingin lari darinya itu pasti akan menemui kamu, kemudian kamu sekalian akan dikembalikan kepada Zat yang Maha Mengetahui segala yang ghaib serta yang nyata, kelak Dia akan memberitahu kamu segala yang apa telah kamu lakukan.”

Memang normal untuk manusia bersedih dan menangisi kematian insan yang kita sayangi. Namun setiap perkara ada batasannya, begitu juga dengan cara kita menghadapi kematian.

Bagaimanakah Wawa boleh mengubat hati yang duka lara kerana kehilangan seorang kawan baik? Berikut dicadangkan beberapa panduan. Semoga menjadi panduan dan pengajaran.

Setiap yang hidup akan mati - Soal hidup dan mati seseorang insan itu adalah ketetapan Tuhan. Kita sebagai insan memang tidak mampu menetapkan tarikh dan masanya kawan baik kita akan mati. Malahan, kita sendiri tidak mampu menganalisa bilakah kita pula yang akan meninggalkan dunia ini. Sebab itu kita mestilah mendidik hati menerima ketetapan ini dengan tenang, tabah dan sabar.

1. Kematian adalah ujian - Apa yang berlaku adalah sebahagian daripada ujian kehidupan. Dan setiap ujian dari Allah merupakan bukti yang Allah sangat kasihkan kita. Dalam surah Al-Baqarah ayat 24 Allah berfirman dengan maksud : ”Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu”.

2. Tiada kesedihan yang berkekalan - Setiap yang hidup akan menemui kematian. Begitu juga setiap kesedihan akan berakhir dengan kegembiraan. Tidak ada satu perkara yang abadi di atas dunia ini. Begitulah nasihat Dr Aidh bin Abdullah Al-Qarni. Oleh itu, janganlah risau, kesedihan dan kepedihan yang sedang dialami ini pasti akan berlalu kelak. .

3. Patah Tumbuh Hilang Berganti – Seorang rakan yang telah pergi akan digantikan oleh Allah dengan beberapa rakan baru. Itupun jika Wawa membuka hati dan minda untuk menerima kawan-kawan lain sebagai ganti. Mungkin dari sudut fizikalnya, kawan-kawan lain tidak sama dengan rakan karib yang telah meninggal dunia. Namun, kita kena belajar menerima rakan-rakan sebagai ganti supaya kita dapat melalui kehidupan seperti biasa. Malahan lebih baik dan menggembirakan.

4. Sibukkan Diri dengan Aktiviti yang berfaedah – Selain dari tu, kita juga boleh melupakan kenangan yang menyedihkan dengan menyibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Antara aktiviti yang berfaedah yang dimaksudkan ialah sukan, reakreasi, bercuti, berehat, menghadiri ceramah motivasi, mengulangkaji pelajaran dan melibatkan diri dengan khidmat kemasyarakat dan kebajikan.

5. Banyakkan berzikir dan mengingati Allah – Zikir adalah ubat yang mujarab untuk mengubat hati. Dengan memperbanyakkan ingatan kepada Allah menjadikan kita sentiasa mensyukuri dan menghargai segala kejadian yang berlaku. Tingkatkan juga ibadah dan amal soleh demi mengeratkan hubungan dengan Allah. InsyaAllah hati akan jadi tenang dan fikiran akan lebih tenteram.

6. Ambillah iktibar diatas kematian – Disamping berusaha melupakan kesedihan dan kerinduan pada teman yang telah dijemput oleh Allah terlebih dahulu, kita yang masih hidup ini juga mestilah mengambil iktibar. RasululLah SAW bersabda dengan maksud, ”Cukup mati itu menjadi penasihat (menginsafkan)”

Sabda baginda RasululLah SAW lagi, ”Sepintar-pintar manusia ialah orang yang mengingat mati dan sentiasa bersedia untuk menghadapinya. Mereka itulah orang-orang yang bijaksana. Mereka telah pergi dengan membawa penghornatan dunia dan kemuliaan akhirat.”

Terus berdoa agar Allah merahmati ruh rakan kita – Jika kita menyayangi seseorang, sentiasalah kita berdoa demi kebaikannya di dunia atau akhirat. Samada ketika dia masih hidup atau setelah meninggal dunia. Teruslah berdoa.

~Roha Hassan~

No comments: