Sesungguhnya, junjungan Nabi s.a.w. adalah sebaik-baik manusia dari segi kejadian dan akhlaknya. Bagindalah orang yang paling benar menunjuki jalan Allah. Akhlak baginda adalah al-Quran. Baginda juga sangat berlembut terhadap anak-anak yatim dan para janda atau dalam bahasa kebanyakan kita hari ini, golongan ibu tunggal.
Menyentuh tentang ibu tunggal dan membaca kisah-kisah RasululLah saw serta para sahabat. Hati ini tertanya-tanya, siapakah hari ini yang akan atau sudi mengikuti jejak RasululLah saw dalam menyantuni golongan ini.
Ungkapan saya ini bukan bermaksud, setakat ini tiada bantuan untuk golongan anak-anak yatim atau ibu tunggal. Cuma persoalan ini bermaksud, sudah cukupkah apa yang kita lakukan untuk mereka.
Ya, barangkali kita lebih selesa berdiam diri dari memberi pandangan. Khuatir ia bisa "memerangkap" diri sendiri. Barangkali akan ada yang lebih mengerti kelak, bila diri sendiri diuji oleh Allah. Suami yang dipinjamkan diambil kembali atau buat hal atau sudah tidak setia. Ketika itu seorang isteri akan mengerti apa ertinya hidup tanpa suami.
Teori ini tidak ingin dibahas lanjut kerana, perkara utama yang ingin dikongsikan di sini ialah kisah benar sekumpulan sahabat dari dunia tanpa suami.
Antara perkara yang saya suka lakukan selain melunaskan tugasan dakwah, urusan pejabat, melaksanakan amanah terhadap keluarga, ziarah menziarahi sesama sahabat, ialah melakukan sesuatu yang menggembirakan anak-anak yatim atau ibu tunggal. Walaupun ianya sesuatu yang ringkas dan kecil, rasa gembira bila dapat menghiburkan duka lara mereka walaupun sedetik cuma.
Lihatlah wajah-wajah mereka yang sempat dirakamkan ini. Sudahlah hidup di dunia tanpa suami. Diuji Allah dengan kekurangan dari sudut fizikal. Dia tidak boleh bertutur seperti orang lain. Manakala dia pula, diuji Allah sedikit kekurangan dari sudut kecerdasan akalnya.
Jumlah mereka semua lebih kurang 80 orang. Namun untuk beberapa ketika ini, saya hanya mampu menyantuni mereka secara berperingkat-peringkat. Biasanya mereka akan ceria bila kami berkumpul. Banyak yang ingin mereka ceritakan. Banyak yang ingin mereka kongsikan.
Bila usia semakin lanjut, mata semakin kabur, tubuh semakin lemah, tiada tempat berkongsi masalah selain teman. Ada keluarga pun terkadang tidak mampu membantu. Acap kali juga, keluarga ada, hanya bila kita "berada". Bila papa, keluargapun, ada yang tidak mengaku keluarga. Maka terjadilah, ada sesetengah kita, tiada pula tempat pergantungan selain Tuhan. Maka, bantuan orang lain walaupun kecil sangat dihargai dan disyukuri.
Begitu mereka bersemangat untuk berkongsi dan ingin kisah mereka dikongsikan dengan umum. "Ye Kak, InsyaAllah...Roha akan usahakan"..janjiku. Itulah yang termampu saya lakukan. Nak kuberikan harta yang banyak, aku bukan hartawan kak. Nak ku hulurkan ribuan ringgit, aku bukan jutawan kak. Nak ku taburkan pelbagai janji dan harapan, aku bukan orang politik Kak.
InsyaAllah Kak. Kalau bakti kecil ini boleh sama-sama buat kita ceria dan gembira, apa salahnya.
Terimakasih Mak Su yang sentiasa sudi menghubungkan Roha dengan mereka. Roha tahu, Mak Su tak dapat baca blog Roha ini. Takpe Mak Su, nanti Roha printkan. Bolehlah Mak Su kongsikan dengan kawan-kawan yang lain.
~Roha Hassan~