Sunday, January 11, 2009

Anak Lelaki Sebagai Pelindung

ANAK LELAKI SEBAGAI PELINDUNG
(Dipetik dari Buku : Sentuhan Papa Belaian Mama - Rosnah & Roha)

“Allah berfirman di dalam surah an Nisa’ ayat 34: Yang bermaksud: Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (kaum lelaki) atas sebahagian yang lain (kaum wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka”
Anak lelaki harus dididik dari kecil bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang besar di muka bumi Allah ini. Salah satu darinya adalah menjadi pelindung kepada kaum wanita.

Bagi memupuk sikap ini, anak saya Muhammad sejak berumur 4 tahun telah dididik untuk mengambil alih tugas abahnya bagi memastikan bahawa semua pagar, pintu dan tingkap ditutup sebelum masuk tidur apabila abah tiada di rumah.

Saya terlebih dahulu menceritakan bahawa kaum lelaki adalah pelindung bagi kaum wanita kerana kekuatan fizikal yang Allah anugerahkan kepada mereka. Saya juga memberitahu bahawa Muhammad adalah lelaki paling besar bila abah tiada di rumah. Jadi dia mesti memastikan keselamatan ibu dan kakaknya.

Pada peringkat awal saya banyak membantu kerana keadaan fizikalnya yang masih kecil. Alhamdullillah, Muhammad lama-kelamaan sangat seronok dan ingin melakukan sendiri walaupun terpaksa memanjat menggunakan kerusi untuk menutup tingkap dan lampu.

Saya dapat merasakan tugasan ini telah sedikit sebanyak berjaya meningkatkan keyakinan diri Muhammad. Jadi setiap kali bila abah tiada di rumah, dia pun sangat sibuk memastikan semuanya selamat. Gelagatnya sangat menghiburkan tetapi kadang-kadang dia agak “ bossy” dan suka memerintah.
Sikap kelelakian yang akan berkekalan hingga dewasa

Sikap dan nilai yang ditanamkan dalam diri Muhammad ini akan terus berkekalan bila beliau meningkat remaja sekiranya ia terus dipupuk dari masa ke semasa.

Sikap pelindung ini akan membantu mereka lebih bertanggungjawab terhadap adik-beradik dan kawan-kawan perempuan mereka.

Mengimbau suasana ketika saya remaja, saya teringat bagaimana kawan-kawan lelaki saya melindungi saya. Mereka bukan sahaja menjaga keselamatan, malahan maruah dan akhlak saya.

Saya gariskan di sini kenapa sikap anak lelaki sebagai pelindung ini mesti diterapkan dalam diri anak-anak lelaki kita sejak mereka di peringkat kanak-kanak lagi.


1. Sikap pelindung adalah ciri-ciri ”jantan” dalam diri manusia - Sudah menjadi lumrah alam, haiwan jantan akan melindungi haiwan betina dalam dunia haiwan. Dalam dunia manusia perkara ini juga merupakan satu fitrah. Suami adalah pelindung kepada isteri.

Anak lelaki yang disemai dengan sikap ini akan membesar menjadi seorang remaja seterusnya lelaki yang akan berada di hadapan membela wanita, tidak kira keluarga, rakan atau ahli masyarakat yang lain.

2. Yang kuat pelindung bagi yang lemah – Secara fitrah, lelaki dijadikan lebih kuat fizikalnya dari wanita. Perkara ini mesti ditanamkan dalam jiwa anak-anak sejak awal lagi. Kelak mereka akan memahami bahawa kekuatan yang Allah kurniakan kepada mereka adalah untuk mereka menjadi pelindung kepada golongan perempuan yang dijadikan lebih lemah fizikalnya.

3. Sikap yang dicintai Allah dan Rasul - Rasulullah SAW adalah pelindung utama kepada para wanita. Sifat ini adalah sifat terpuji di sisi Allah dan RasulNya.

Allah berfirman di dalam surah an Nisa’ ayat 34: Yang bermaksud: Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (kaum lelaki) atas sebahagian yang lain (kaum wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.

4. Menjauhi sikap mengambil kesempatan pada Wanita – Kebelakangan ini sering terjadi kisah-kisah remaja perempuan yang dinodai oleh rakan sendiri. Ada yang dikatakan menjadi mangsa ”kenduri” rakan-rakan atau teman –teman lelaki sendiri. Amat malang sekali apabila kawan-kawan yang diharapkan sebagai pelindung menjadi pemusnah segala-galanya.

5. Meningkatkan perasaan tanggungjawab – Tanggungjawab sebagai pelindung adalah satu amanah. Amanah yang dipupuk sejak kecil akan sebati dengan jiwa anak-anak. Akan lebih mudah untuk mereka praktik sejak mereka kecil hinggalah dewasa.

Kelak akan lahirlah abang yang bertanggungjawab terhadap adik beradik perempuannya. Juga suami yang bertanggungjawab terhadap isteri.

6. Menyuburkan kasih sayang – Melindungi adalah sifat penyayang. Anak-anak yang memiliki sifat pelindung kaya dengan kasih sayang. Mereka akan prihatin kepada orang lain.

7. Memantapkan keprihatinan - Andai dari kecil, remaja hingga dewasa sifat ini sudah subur di jiwa. Sudah tentulah kes penderaan oleh para suami akan berkurang. Mungkin tiada lagi lelaki yang akan sepak terajang isteri dan ibu sekiranya mereka memahami dan mengamalkan tanggung jawab lelaki sebagai pelindung.



Buku : Sentuhan Papa Belaian Mama
Rosnah Ahmad & Roha Hassan

No comments: