Tuesday, January 27, 2009

Dunia Tanpa Suami - Sejenak Bersama Mereka (1)

Assalamualaikum wbt...

Sesungguhnya, junjungan Nabi s.a.w. adalah sebaik-baik manusia dari segi kejadian dan akhlaknya. Bagindalah orang yang paling benar menunjuki jalan Allah. Akhlak baginda adalah al-Quran. Baginda juga sangat berlembut terhadap anak-anak yatim dan para janda atau dalam bahasa kebanyakan kita hari ini, golongan ibu tunggal.

Menyentuh tentang ibu tunggal dan membaca kisah-kisah RasululLah saw serta para sahabat. Hati ini tertanya-tanya, siapakah hari ini yang akan atau sudi mengikuti jejak RasululLah saw dalam menyantuni golongan ini.


Ungkapan saya ini bukan bermaksud, setakat ini tiada bantuan untuk golongan anak-anak yatim atau ibu tunggal. Cuma persoalan ini bermaksud, sudah cukupkah apa yang kita lakukan untuk mereka.

Ya, barangkali kita lebih selesa berdiam diri dari memberi pandangan. Khuatir ia bisa "memerangkap" diri sendiri. Barangkali akan ada yang lebih mengerti kelak, bila diri sendiri diuji oleh Allah. Suami yang dipinjamkan diambil kembali atau buat hal atau sudah tidak setia. Ketika itu seorang isteri akan mengerti apa ertinya hidup tanpa suami.

Apa-apapun itu adalah satu teori tentang sebuah pengertian melalui pengalaman. Menurut teori ini, sesetengah manusia akan lebih memahami sesuatu situasi apabila mereka sendiri yang melalui atau mengalaminya.

Teori ini tidak ingin dibahas lanjut kerana, perkara utama yang ingin dikongsikan di sini ialah kisah benar sekumpulan sahabat dari dunia tanpa suami.

Antara perkara yang saya suka lakukan selain melunaskan tugasan dakwah, urusan pejabat, melaksanakan amanah terhadap keluarga, ziarah menziarahi sesama sahabat, ialah melakukan sesuatu yang menggembirakan anak-anak yatim atau ibu tunggal. Walaupun ianya sesuatu yang ringkas dan kecil, rasa gembira bila dapat menghiburkan duka lara mereka walaupun sedetik cuma.

Lihatlah wajah-wajah mereka yang sempat dirakamkan ini. Sudahlah hidup di dunia tanpa suami. Diuji Allah dengan kekurangan dari sudut fizikal. Dia tidak boleh bertutur seperti orang lain. Manakala dia pula, diuji Allah sedikit kekurangan dari sudut kecerdasan akalnya.


Jumlah mereka semua lebih kurang 80 orang. Namun untuk beberapa ketika ini, saya hanya mampu menyantuni mereka secara berperingkat-peringkat. Biasanya mereka akan ceria bila kami berkumpul. Banyak yang ingin mereka ceritakan. Banyak yang ingin mereka kongsikan.

Bila usia semakin lanjut, mata semakin kabur, tubuh semakin lemah, tiada tempat berkongsi masalah selain teman. Ada keluarga pun terkadang tidak mampu membantu. Acap kali juga, keluarga ada, hanya bila kita "berada". Bila papa, keluargapun, ada yang tidak mengaku keluarga. Maka terjadilah, ada sesetengah kita, tiada pula tempat pergantungan selain Tuhan. Maka, bantuan orang lain walaupun kecil sangat dihargai dan disyukuri.

Dia beritahu saya, "Sukanya jumpa Roha. Macam jumpa anak..." Kami sama-sama ketawa dan berpelukan. Kebetulan, diri ini juga sudah tidak memiliki ibu, kerna ibu tercinta sudah pergi mengadap Ilahi beberapa tahun yang lalu.

Kata salah seorang dari mereka, "Boleh tak Roha bukukan kisah kami dalam buku Roha yang akan datang, yang dunia tanpa suami tu. Kak nak ceritakan habis-habisan ujian yang Kak alami untuk dijadikan teladan oleh orang lain. Maka, disambut oleh seorang lagi sahabat kami yang senasib dengan sahabat tadi, "Kak pulak nak kongsikan suka duka dan pengalaman membesarkan 9 orang anak sorang-sorang"...

Begitu mereka bersemangat untuk berkongsi dan ingin kisah mereka dikongsikan dengan umum. "Ye Kak, InsyaAllah...Roha akan usahakan"..janjiku. Itulah yang termampu saya lakukan. Nak kuberikan harta yang banyak, aku bukan hartawan kak. Nak ku hulurkan ribuan ringgit, aku bukan jutawan kak. Nak ku taburkan pelbagai janji dan harapan, aku bukan orang politik Kak.

"Kak, insyaAllah Roha akan tolong apa yang termampu. Kalau ada rezeki lebih, kita kongsikan sorang sedikit. Bila Allah beri kemampuan Roha menulis, Roha akan cuba tulis kisah kakak semua. InsyaAllah dengan tenaga yang Roha ada, kita sama-sama akan buatkan program motivasi untuk Kakak semua, macam hari ini. InsyaAllah bulan depan kita buat untuk 80 orang ye" Itulah antara ucapan saya.

Lalu sumbangan daripada pihak Syarikat Jurukursetia serta tanda kasih dari diri ini diserahkan pada mereka. Cerianya mereka, hanya Allah yang tahu. Walaupun kecilnya sumbangan kami buat mereka.

Maka beberapa foto diambil, bukan untuk memberitahu satu dunia tentang sumbangan kecil kami buat mereka. Tapi foto ini dirakamkan untuk simpanan dan kenangan kami. Sebabnya mereka tidak banyak bergambar dan tidak tahu pula menggunakan kamera digital.

Betapa mereka menghargai apabila foto mereka diambil, pesan mereka, "Nanti, lepas Roha cuci gambar kami. Roha bagi kami tengok yer" Roha geleng kepala sambil ketawa dan memberitahu mereka. "Ini kamera digital. Tapi boleh juga dicuci gambarnya. Tapi sebelum tu, Roha nak masukkan gambar Kak semua dalam blog Roha...maksud Roha dalam komputer! Suka tak?
"Wah...bestnyer...nanti kami nak tengok gambar kami tau!

InsyaAllah Kak. Kalau bakti kecil ini boleh sama-sama buat kita ceria dan gembira, apa salahnya.

Buat Kakak semua, insyaAllah kita jumpa lagi bulan hadapan.

Terimakasih Mak Su yang sentiasa sudi menghubungkan Roha dengan mereka. Roha tahu, Mak Su tak dapat baca blog Roha ini. Takpe Mak Su, nanti Roha printkan. Bolehlah Mak Su kongsikan dengan kawan-kawan yang lain.

~Roha Hassan~

No comments: